Karya

Karya

Khamis, 29 Disember 2011

cikgu hensem baca MERAH CINTA KITA!

Kemarin saya menerima emel daripada Cikgu Firdaus. Sebenarnya dia belum jadi guru lagi. Masih mengaji dalam bidang TESL di IPG Kuala Lipis. Tapi kelaziman orang kita, belia yang sedang tekun di IPG, kita kira sudah bisa dipanggil cikgu.

Orang lain yang masuk IPTA/IPTS yang seusianya, yang bukan studi di IPGM, biasanya terima biasiswa ataupun pinjaman. Tapi siswa seperti Cikgu Firdaus sudah menerima elaun bulanan. Kira-kiranya sudah diterima masuk 'pra-perkhidmatan' dengan Kementerian Pendidikan tu.

Elaunnya agak lumayan. Apatah lagi duduknya di Kuala Lipis. Jimat bangat. Bisa disimpan elaunnya, habis kursus perguruan boleh jadi modal kahwin tu, cikgu!

Bersama emel itu dikepilkan fotonya sekali. Ugh, hensem sekali cikgu ini!

Saya kutip emelnya itu untuk tatapan bersama.
Cikgu TESL, emel pun ditulis dalam bahasa orang putih. Saya kekalkan seperti yang original.

"I am one of your many blog followers. When I found out about the Merah Cinta Kita series, immediately I bought MCK 1 & MCK 3 which includes your pieces "Ella Gadis Pencegah Maksiat" and "Kasut Bola Syafika". Both are fascinating and definitely such a page turner. Even though the saying goes, “don’t judge a book from its cover” but the attractive cover designs are parallel to its satisfying contents. The illustrations are of high quality. The way you described the scenery, characters, and atmosphere in England as in “Kasut Bola Shafika”, delighted me very much. I felt as if I was there with all the characters playing futsal! In fact, through the books, I have truly experienced ‘the joy of reading’! I hope your next novel will come out very soon. Happy New Year, Pak Harleem!"

Permisi. Bisa ketemu lagi.

Khamis, 22 Disember 2011

BELUM TUMBUH GIGI, SUDAH KHATAM ‘MERAH CINTA KITA’!

Teks berikut, saya kutip daripada fb.

“Anak sulung saya 6 tahun sudah baca cerita Ella. Komennya (sila baca ikut nada dialog kanak2) Ella ni nama betul dia Suhaila. Ayah dia ada Blackberry, mak dia ada kereta baru. Dia ada kawan, nama Yassin. Kesian Yassin, kena culik. Duduk bawah tangga, mulutnya ke plaster. Haji Mansor tu rupanya pencolek, ibu." (December 9 at 10:32am)

Comel,petah, dan bijak! Saya bayangkan begitu ketika membaca reaksi anak kecil ini terhadap kisah “Ella Gadis Pencegah Maksiat” yang termuat di dalam antologi ‘Merah Cinta Kita’ (MCK - siri pertama). InsyaAllah, dia akan jadi gadis bijak dan dinamik seperti Ella, watak utama kisah itu.

Luahan jujur seorang anak yang baru bertunas dan masih jagung yang putik, sebenarnya mengejutkan saya. Budak umur enam tahun, baca cerita yang diolah untuk gadis remaja sekolah menengah. Paling rendah usia yang disasarkan, saya jangka cerita Ella itu boleh dan sesuai dibaca juga oleh murid-murid darjah lima!

Subhanallah. Budak usia enam tahun bukan sekadar baca, tetapi dia faham. Sebabnya, dia dapat pula menuturkan ringkasan yang menepati inti seluruh ceritanya!

Benar sungguhlah kata-kata Pujangga, “Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapak!”

Benar jugalah yang dilagukan orang dulu-dulu, “Hayun buai tinggi-tinggi, sampai cucur atap; belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab!”

Mari kita lagukan bait yang baru pula:
“Bangun pagi-pagi, di serambi duduk berzikir; belum tumbuh gigi, sudah khatam MCK!”

Permisi. Bisa ketemu lagi.

nota: ‘belum tumbuh gigi’ itu bermaksud ‘belum tumbuh atau keluar semua giginya’ sebab masih di usia awal remaja.

foto: Sofea (sudah khatam MCK) adalah pelajar cemerlang PMR & SPM (Sekolah Menengah Ibrahim Fikri di Seberang Takir, Terengganu), kini menuntut dalam bidang geologi di UTP, Tronoh. Semoga si cilik yang berusia enam tahun itu akan menjadi seperti dia. Ameen!

Sabtu, 17 Disember 2011

DEWA YANG PATAH KAKINYA DI OLD TRAFFORD!


(nota awal: artikel ini saya tulis pada tahun 2002, ketika mastautin di sebuah negara yang rakyatnya taksub bola. Waktu itu, David Beckham -kapten pasukan England- berada dalam period kegemilangan kariernya.)


_________________________________________


Tengah hari, sebelas April 2002.

ITV Lunchtime News memaparkannya sebagai berita utama. Mendahului laporan mutakhir keganasan sebuah regim di Tebing Barat. Sampai ke berita malam jam sepuluh, ITV dan BBC berebut-rebut menyiarkan laporan terbaru tentang kesakitan dan jangka kesembuhan kaki kirinya. Diulang-ulang visual Beckham diterjah Pedro Duscher, pertahanan pasukan Deportivo La Coruna. Melambung, terguling kesakitan, terhinjut-hinjut dipapah ke tepi padang, dan mengerang di usungan. Laporan keseriusan kecederaan, tempoh kesembuhan dan kepulihan kapten England itu disertai analisis pakar perubatan sukan, siap dengan grafik tulang kecil yang terserpih di kaki kirinya. Turut menyelit, lintas langsung berita terkini dari Old Trafford.

BBC turut melaporkan kenyataan Perdana Menteri Tony Blair ketika mesyuarat mingguan kabinet betapa “Nothing is more important to England’s arrangements for the World Cup than the state of David Beckham’s foot!”

Laporan muka belakang Daily Express hari ini ‘meraung’ dengan judul besar “ALL OVER” menindih gambar Beckham yang merengkuk kesakitan, memenuhi separuh halaman: mata pejam, mulut ternganga, tangan kanan menutup dahi, tangan yang satu lagi memegang kaki kirinya yang jadi sebutan.

Jumaat. Dua belas hari, bulan April.

Di dada The Mirror tersiar gambar besar sebelah kaki kiri yang nampak jelas berbulu perang, diiringi hanya satu judul utama “THE FOOT: A Nation Holds Its Breath…”. Di hujung kaki itu, tertampal gambar kecil kapten England sedang merengkuk kesakitan. Sama visualnya macam yang tersiar di laman belakang Daily Express kelmarin.

Laporan sensasi muka depan The Mirror itu memperihalkan begini:-

“This is the most important foot in British Sporting history. The Cabinet was kept informed yesterday as the nation awaited news on David Beckham’s broken metatarsal”.

Dengan itu, bermula hari ini sampai ke esoknya, The Mirror dan Daily Express bermain dengan sentimen yang menyelebungi kesakitan dan kesembuhan kaki kiri Beckham. Kedua-dua akhbar itu memberikan ruangan khas empat lima halaman meratapi tulang yang patah di kaki kiri itu, yang tiba-tiba meletakkan England dalam kepayahan untuk beraksi cemerlang di Jepun pada Musim Panas nanti.

Selama dua hari The Mirror jadi gaduh tentang untung nasib England di Piala Dunia dengan ruangan khas berjudul “England’s Foot & Beck Crisis”. Selama itu jugalah Daily Express hingar-bingar dengan pelbagai kerisauan dan ratapan di bawah ruangan khas berjudul “Beckham Crisis” yang ditindihi gambar kecil bintang ternama England itu merengkuk kesakitan.

Sentimen yang terzahir dalam media menampakkan betapa bermaknanya kesembuhan dan kepulihan kaki kiri jutawan bola itu kepada masyarakat tempatan. Tendangan lencung Beckham di Old Trafford pada 6 Oktober tahun lalu, bukan sahaja secara automatik melayakkan England ke Jepun, malahan laporan media menganggapnya sebagai pencetus ‘feel good factor’ di kalangan masyarakat tempatan ketika cuaca ekonomi-sosial-politik agak mendung, belum begitu kebah terkena serpihan bencana WTC 911.

Peter Reid, salah seorang panel pengulas Match Of The Day di BBC pada malam 6 Oktober itu mengatakan jika Beckham bertanding dalam pilihanraya pada ketika itu, dia pasti akan menang kerana masyarakat terpukau dek auranya. Seorang lagi panelnya, Ian Wright, bukan sekadar bersorak dan melompat ke atas meja, malahan sampai menitiskan air mata kegembiraan kerana tendangan berbisa Beckham membawa England ke pusingan akhir Piala Dunia 2002 di Jepun.

Sebaik sahaja tamat perlawanan antara England dengan Greece yang berlangsung di Theater of Dreams, BBC menyiarkan dokumentari khas “There Is Only One David Beckham”.

Sekarang ini, di pawagam tertayang filem “Bend It Like Beckham”. Kisah penuh dramatik wirawati bernama Jess, seorang gadis Punjabi yang bukan sahaja memuja bintang England itu, malahan bermain bola pun ketrampilannya macam Beckham.

Pada 27 Februari yang lalu, di laman lima Daily Express tersiar berita berjudul “Heavens above! Is that Becks and Co?”

Tiga keping gambar mengiringi berita itu. Yang teratas, gambar kecil Beckham sedang mengelek Brooklyn, meleret senyum di samping Posh. Gambar bawah pula menunjukkan dua artis, Amrit dan Rabindra, sedang mencalitkan sentuhan terakhir kepada sebuah lukisan.

Lukisan itu yang dihasilkan oleh artis kembar itulah yang diberikan ruangan paling besar. Sebuah lukisan yang menggambarkan ‘keluarga sang dewa’ duduk di atas singgahsana: David Beckham dengan mahkota di kepalanya, punyai empat tangan, digambarkan sebagai Dewa Shiva, Brooklyn yang terpangku di peha kanannya diumpamakan Ganesh (dewa gajah kecil), manakala Posh yang duduk di peha kirinya ialah Dewi Parvati.

Komen kedua-dua pelukis tentang karya mereka itu begini:-

“We are using the language of religion but it doesn’t mean we are saying they are gods in a spiritual sense but in a material sense. They are figures people follow just like gods in the Hindu religion!”


Permisi. Bisa ketemu lagi.


foto: Ney-ney di sebelah 'kaki Beckham' yang dipamer di Muzium Madame Taussauds, London.

Khamis, 15 Disember 2011

DEWA YANG TURUN DI STADIUM EMIRATES?

Kali ini kita bicara hal bola. Selepas diganyang oleh Syaitan Merah pada bulan Ogos, kebangkitan The Gunners makin menyerlah. Selepas lolos ke pusingan kalah mati Liga Juara Eropah, Sabtu lalu mereka menang lagi. Tapi tipis saja dengan Everton. Hanya satu gol.Kalau dibandingkan dengan Manchester United, Liverpool, Manchester City, dan Chelsea, kelab yang berjiran dengan Liverpool itu bukanlah tandingan Arsenal. Kerana tiga mata tambahan sangat berharga untuk terus duduk dalam kelompok empat pasukan teratas, maka kemenangan di Stadium Emirates itu sangat berharga buat budak-budak Arsene Wenger.

Gol kemenangan jaringan Robin van Persie itu dikatakan berpotensi diangkat sebagai 'gol terbaik sepanjang musim'. Memang ada kelas dan ada stail. Rembatan 'first timer' kaki kiri van Persie menakjubkan. Ada iras-iras ledakan gaya Thiery Henry. Penyerang berbisa Arsenal dan pemegang rekod penjaring terbanyak kelab London ini, yang diabadikan sebagai legenda dengan tertegak patungnya di luar Stadium Emirates. Semasa van Persie merayakan gol kemenangan itu dengan rakan-rakannya, tertayang di kaca tv Thiery Henry bangun memberikan tepukan.

Sewaktu Piala Dunia 2002 anjuran bersama Jepun dan Korea Selatan, saya masih mastautin di England. Saya masih ingat terbaca laporan akhbar tempatan tentang pasukan England yang menghadiri sesi latihan pasukan Brazil. Lawan mereka di peringkat suku akhir. Akhbar berkenaan menggunakan tajuk kira-kira begini: "God is watching from the stand".

Tajuk itu sebenarnya merujuk kepada seorang pemain menjadi harapan England, dan menjadi kegilaan peminat di Jepun. Pemain berjersi nombor tujuh - David Beckham. Pemujaan terhadap bintang ternama ini sudah sampai kepada tahap dia disamakan dengan 'dewa'! Betul jugak agaknya, tendangan kaki kirinya menyelamatkan England ketika menentang Greece (di peringkat kelayakan), dan membawa England ke Pusingan Akhir di Negara Matahari Terbit secara automatik.

Kaki kiri Beckham yang melencungkan bola ke dalam jaring Greece itu pula, telah diukir dan diabadikan di dalam muzium patung yang terkemuka - Madame Tussauds - di Kotaraya London. Kebetulan sekali nama 'David' itu sama pula dengan kesatria yang menjadi legenda rakyat British, iaitu 'Sir David the dragon slayer', maka sesuailah gamaknya dia didewa-dewakan begitu!

Tapi malang sekali, sang dewa Beckham tak dapat menyelamatkan England ketika berlawan dengan Brazil. Tewas mereka dengan jaringan fantastik Ronaldinho. Akhbar di England macam tak boleh terima hakikat, lantas mengejek dengan mengatakan gol itu 'tak sengaja masuk'. Manakala Ronaldinho yang sangat tinggi skilnya tapi tak kacak macam Beckham, dipersendakan sebagai makhluk Tuhan yang 'belum sempat siap dicipta' tapi tergesa-gesa diturunkan ke bumi!

Kembali kita ke adegan di Stadium Emirates.
Tamat perlawanan Arsenal dengan Everton, penjaga gol 'The Gunners' (namanya susah nak sebuat dan payah nak ingat) Szczesny merebahkan diri dan mencium kasut bola Robin van Persie. Seolah-olah menyembah seorang dewa yang baru turun bermain-main di padang hijau Stadium Emirates.

Inilah kali pertama saya menyaksikan seorang pemain mencium kasut bola rakan sepasukan kerana sangat kagum dan menghargai sumbangannya.
Inilah budaya gila bola di England. Pemujaan kepada pemain menjadikan mereka 'kebal dan hidup abadi' (ditegakkan patung peringatan seperti Theiry Henry dan Bobby Charlton).

Nampaknya kali ini, sempena perayaan 125 tahun pasukan Arsenal, dua dewa singgah sekaligus di Stadium Emirates. Satu yang patungnya baru saja ditegakkan di luar stadium, dan orangnya pula sedang menonton perlawanan berkenaan. Manakala seorang lagi memakai jersi nombor sepuluh yang 'didewakan' oleh ciuman di kaki kirinya oleh rakan sepasukan!

Ugh, gila sungguh!

Kita tengok hujung minggu ini, kalau-kalau 'sang dewa yang kacak ini' boleh menang bertempur dengan 'dewa perang' yang bengis - Mario Balotelli - dari Manchester City pula.

Molek benar, kalau dewa 'The Gunners' dapat bedil banyak-banyak dan runtuhkan kota 'the blue side of Manchester' yang mengancam mahkota Old Trafford.

Permisi.


nota 1: foto diimbas daripada akhbar The Star 12 Disember 2011.
nota 2: dalam posting akan datang, saya akan muatkan artikel tentang pemujaan terhadap hero England - David Beckham - ketika zaman gemilangnya.

Sabtu, 10 Disember 2011

MARI BELAJAR BAHASA ORANG PUTIH!

PAGI INI terbaca berita pihak berwajib sedang timbang-timbang mahu terap model TESL yang digunakan di Australia Barat.

Ugh, nampak gaya macam tak habis-habis cerita nak 'perkasa' bahasa orang putih ni. Hari ini timbul pula ura-ura nak ambil model pengajaran yang baru pulak.

Sebelum ini (saya ingat dalam setahun inilah) inisiatifnya ialah mengambil guru dari Amerika Syarikat untuk mengajar di sekolah kita. Waktu Dato' Seri Idris Jusoh jadi MB Darul Iman, beberapa buah sekolah terpilih di Terengganu mendapat khidmat guru Inggeris dari Australia. Nak ajar budak-budak Terengganu cakap orang putih ikut slang yang betul. Tak ada bau keropok lekor agaknya!

Tapi ambil orang putih masuk ngajar di sekolah bukan kaedah baru. Itu sudah berlaku zaman saya tingkatan empat dulu. Kira-kira tiga puluh tahun dulu! Saya ingat sangat kerana terpilih masuk dalam 'kelas khas' untuk pemulihan bahasa Inggeris.

Sebelum layak masuk kelas ini, semua pelajar tingkatan empat (aliran Melayu) menduduki ujian khas. Sesiapa yang mendapat markah rendah (tak capai tahap yang ditentukan), automatik akan masuk kelas ini. Saya dan beberapa rakan sudah berpakat sengaja nak 'buat-buat tak lulus'. Senang saja. Berikan jawapan yang salah. Mahu pengalaman belajar bahasa dengan orang putih.
Akhirnya, saya dan beberapa rakan yang 'bijak atur strategi' ini dapatlah masuk kelas pemulihan bahasa Inggeris. Sebahagian besar murid yang masuk kelas ini memang benar-benar tak reti cakap dan baca orang putih.

Guru kami bernama Mr Fowler. Mat Salih perut gendut ni semangat ngajarnya tinggi. Berpeluh bajunya di dada dan di belakang kalau ngajar. Pertama kerana memang nampak perit nak ngajar sekumpulan pelajar yang rendah tahap penguasaan bahasa Inggeris. Keduanya, kelas kami (walaupun SBP) manalah ada hawa dingin. Memang berpeluh sakan dia.

Satu peristiwa yang tidak saya lupa apabila Mr Fowler berikan satu ayat untuk menguji pelajar kelas pemulihan ini. Mudah saja. Tentang 'prepositons'. Kami kena isi tempat kosong.

Ayatnya begini:
Ahmad sits ___ the bike.
Pilihan diberikannya: a)at b)in c)by d)on e)of.

Seorang rakan yang duduk di tengah jadi panik kerana Mr Fowler menuding ke arahnya.

Walaupun gementar, kuat suaranya menjawab. "Ahmad sits in the bike!"
Seluruh kelas gamat jadinya dengan gelak ketawa.

Mr Fowler? Dengan gaya tersendiri, dia berlakon seolah-olah 'masuk' ke dalam basikal!
Setahun juga kami belajar bahasa Inggeris dengan Mr Fowler. Tingkatan lima kembali belajar bahasa Inggeris dengan guru Malaysia.
Saya mempunyai pengalaman lain belajar bahasa Inggeris dengan guru 'native speaker'. Lepas habis pengajian ijazah, ketika masih bujangan dan jadi tutor retorik, saya masuk kelas bahasa Inggeris di British Council Language Centre (Kompleks DayaBumi).

Sewaktu bertugas sebagai guru bahasa di USM (Kubang Kerian) pula, sekali lagi masuk kelas bahasa Inggeris yang diajar sepenuhnya oleh penutur asal. Dalam kelas saya (majoriti orang Malaysia) ada orang Itali, Jepun dan Sepanyol.

Memang kaedah pembelajarannya menyeronokkan dan sangat berkesan. Belajar dalam kegembiraan. Tiada tekanan. Adakalanya kami berlakon, berdebat, bercerita, LDK, dan menyanyi. Di samping itu, masing-masing punyai tugasan kendiri mesti diselesaikan di makmal bahasa.

Semasa di dalam kelas, tiada sepatah pun terloncat perkataan Melayu atau bahasa-bahasa lain. Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Saya pula amat bersemangat dan bersungguh-sungguh mahu mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Tamat kursus, saya dapat sijil 'pelajar terbaik'. Bangga jugak kerana dapat kalahkan orang Jepun, Itali dan Sepanyol serta pelajar dari Malaysia (Melayu, Cina dan India).

Ingat semula nostalgia belajar bahasa Inggeris dengan Mr Fowler tahun 70-an, dan fikir-fikir balik, nak pertingkat kemahiran menguasai bahasa asing ini mestilah bermula dengan sikap yang betul. Pada zaman saya bersekolah, jika kita cakap orang putih di luar kelas atau bukan dalam period bahasa Inggeris, kawan-kawan akan cop kita "sombong" dan "berlagak". Maka tersipu-sipu dan terencatlah kita yang mahu pratis cakap orang putih.

Saya rasa begitu juga keadaannya sekarang. Ini soal sikap, dan apa mahu kita sebenarnya.

Guna model pengajaran apa pun atau ambil guru orang putih dari negara mana pun, jika sikap kita terhadap bahasa itu tidak betul, maka rugi masa dan duit sajalah.

Lagipun, hairan juga, dah ramai pensyarah tempatan miliki sarjana dan Phd dalam bidang TESL, kenapa masih perlu model dan tenaga asing?

Tidak bergunakah tesis atau disertasi dalam bidang TESL masa duduk ngaji Phd dan sarjana (di universiti luar negara pulak tu)yang mereka hasilkan?

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto 1: masa tingkatan dua bergaya dengan Roslan Mohd Noor (berdiri), kawan baik yang gedebe orangnya. Kini jadi guru disiplin!

foto 2: akhir tahun tujuh puluh, masa tingkatan lima. Jantan belaka. Sekarang ada yang jadi Ketua Polis Daerah, pegawai kanan di sebuah penjara, dan jurutera jet pejuang. Di tengah-tengah duduk barisan depan ialah Ustaz Razak guru kelas. Kami gelar dia 'ustaz smart'!




Rabu, 7 Disember 2011

"BELAJAR BAHASA INGGERIS: MAHIR KALAU DAH PANDAI MEMAKI!"

Ini cerita sebulan lalu. Saya berkesempatan bertemu dengan dua orang sarjana di sebuah kampus ternama. Yang pertama kenalan lama, seorang profesor dalam bidang media. Yang kedua masih muda, belum cecah usia empat puluh. Baru balik ke Tanah Bonda. Tamat pengajian Phd dalam bidang psikologi dari University of Adelaide.

Kerana lama tidak bertemu, kami pun sepakat makan tengahari di sebuah kafeteria di dalam kampus. Latar tempat makan ini menarik sungguh. Bukit dan tumbuhan menghijau di lerengnya. Kafeteria itu pula juadahnya menyelerakan sekali, dan pelbagai. Kami memilih roti nan dan ayam tandoori.

Phew, pecah liur lihat ayam tandoori yang kemerahan, disiram pula perahan limau nipis!

Ah, bertemu kawan lama, banyak perkara diungkitkan secara simpang-siur. Sahabat yang baru habis mengaji Phd banyak bercerita tentang kajian serta artikelnya yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa. Baru habis Phd, udah tujuh artikelnya masuk dalam jurnal. Hebat betul sahabat saya nih!

Kerana dua sarjana bersembang, jadi payah juga saya nak masuk daun mencelah. Manalah saya reti segala jargons saintifik dalam bidang kajian sains sosial!

Sang Profesor pula berkisah tentang pengalamannya berada beberapa bulan di Turki. Malahan sempat pula sarjana budiman ini belajar bahasa Turki.

Saya sempat mengusiknya, "Dah boleh memaki dan mencarut dalam bahasa Turki?"

Dia hanya tersengih, menggeleng kepala sedikit, kemudiannya menutup mulut menahan ketawa.

Saya ungkit 'soalan gurauan' itu kerana teringat petua Pak Weil. Bekas pensyarah bahasa Inggeris di sebuah maktab perguruan di Kelate ni punyai ukuran sendiri untuk sukat paras kemahiran bahasa seseorang. Katanya, "Selagi tak boleh nak memaki dan mencarut dalam satu-satu bahasa yang baru kita pelajari, maknanya belum pandai lagi tu!"
Tapi lain sekali petua Cendekiawan Ulung Profesor diRaja Ungku Aziz. Dalam suatu pertemuannya dengan sekumpulan pensyarah, tutor dan guru bahasa di sebuah IPTA hujung Semenanjung (lama dulu, kira-kira udah 17 tahun), saya gagahkan diri bertanya soalan begini:

"Sekarang Pak Ungku mimpi dalam bahasa apa?"

Saya bertanya begitu kerana tahu Pak Ungku mempunyai cara tersendiri mengukur tahap kemahiran bahasa asing yang baru kita pelajari. Mudah saja: Jika dalam mimpi pun kita sudah bisa bertutur dalam bahasa asing itu, maka itulah tanda penguasaannya sudah bagus!"

Saya pernah dua kali belajar bahasa Inggeris di British Council, Kuala Lumpur. Kali pertama sewaktu masih bujangan, semasa jadi tutor di Kampus Lembah Pantai. Selepas itu, memasuki kelas sekali lagi sewaktu mengajar di USM Kubang Kerian. Masa itu saya ditugaskan mengajar bahasa Melayu kepada sekumpulan pensyarah USM (fakulti perubatan) yang asalnya dari India, Pakistan, British dan Timur Tengah.

Tapi sampai sekarang saya tak pernah bermimpi dalam bahasa orang putih! Hatta sewaktu mastautin empat tahun lebih di England pun tak juga.

Anda bermimpi dalam bahasa apa, ya?

Permisi. Bisa ketemu lagi.


foto: Ney-ney sewaktu darjah satu di St Peters Primary School, Stoke-on-Trent. di rumah cakap Melayu, di sekolah cakap orang putih. dapat anugerah 'star of the year'dalam akademik. tewas anak orang tempatan (Pakistan dan Inggeris).

Ahad, 27 November 2011

MEMORI HAJI 2010: "PUTIH WAJAHNYA, PUTIH WAJAH NABI" (bhgn 2)

Kemarin, seorang sahabat bertandang ke rumah saya. Kerana cuaca petang (lepas Asar) yang mendamaikan, kami bersembang di laman rumah. Mengelilingi meja batu yang diwarnakan macam balak besar yang dipotong nipis. Sambil berbual, kami memamah popia, dan menghirup kopi O tanpa gula. Kerana Zaidi ini lama jadi guru (dan kini bertugas sebagai pegawai kanan pendidikan pula), maka saya cuba fokus kepada isu-isu terhangat bidang itulah. Tapi Cikgu Zaidi pandai mengelak dan mengelit.

“Kenapa orang yang baru balik Mekah, muka nampak lain?” Cikgu Zaidi yang belum pernah menjejak kaki di Tanah Suci, mengalihkan topik perbualan sewaktu saya menimbulkan musykil tentang PPSMI dan ‘eksperimen kerja guru sembilan jam’ yang mati tengah jalan.

“Lain macam mana?” Saya menuangkan kopi lagi ke cawannya.

“Tahun lepas, aku jumpa Luqman di Masjid Nilai. Masa tu baru seminggu dia balik Mekah. Terkejut sungguh. Aku tengok wajahnya macam ada cahaya. Senyumnya manis sungguh. Kamu pun tahu, Luqman tu, tak handsome langsung! Heran sungguh. Ada kena-mengena dengan haji ke?”
Berkerut dahi Zaidi. Nampak benar dia ingin tahu.

Luqman kawan lama kami. Pergi Mekah sekali dengan saya. Bertemu dengannya sewaktu Kursus Haji Perdana di Masjid Shah Alam. Tapi sepanjang di Tanah Suci tidak bersua pun. Walapun pergi melalui Muassasah juga, dia dan isterinya menginap di hotel lain.
Soalan Cikgu Zaidi tidaklah sukar untuk saya memberikan jawapan.

“Di sana, wuduk selalu lekat di badan. Macam pakai baju dan seluar. Macam pakai kopiah. Wuduk dah jadi pakaian rasmi! Kecuali masuk jamban. Masuk waktu, mesti cepat-cepat solat. Kalau tak pergi Masjidilharam, paling koman berjemaah di surau hotel. Sembahyang benar-benar jadi tiang hidup kita di Mekah!”

Cikgu Zaidi kelip-kelap matanya beberapa kali. Tangannya menongkat pipi. “Dengar cerita, dia dapat solat 40 waktu di Masjid Nabi. Kamu dapat?”
Guru yang satu batch dengan saya studi di Fakulti Sastera-Sains Sosial Universiti Malaya ini, nampak makin teruja.
Elok juga dimasukkan ‘seruan dan aura Haji’ ke telinga cikgu yang kahwin agak lewat ini. Umur pertengahan tiga puluh baru kahwin.

“Aku dapat 38 saja. Terlepas dua waktu. Yang naik flight dengan aku, semua sangkut di airport Madinah. Lekat tiga jam di imigresen. Yang nikmatnya, solat di Raudhah. di Taman syurga tu! Siapa tak nak!"
Cikgu Zaidi hanya diam. Nampak macam dia memikirkan sesuatu.

Saya terus tuang promo haji ke telinganya. “Besar hikmahnya. Bukan senang nak solat dalam Raudhah. Nak masuk berdoa pun payah! Ratus ribu jemaah berebut nak masuk Raudhah!”

Cikgu Zaidi menggigit bibir.

Saya nampak dia sudah sangat berminat. “Minum pula air suci. Bersih hati. Air zam-zam cuci kalbu tiap hari. Di Masjid Nabawi, minum tiap waktu solat. Masuk masjid ikut pintu mana pun, mesti teguk segelas. Di Masjidilharam tak kira masa. Lepas ngaji. Lepas solat. Lepas tawaf. Waktu nak balik minum lagi. Ramai jemaah ambil wuduk guna air zam-zam. Sambil-sambil buat Saie pun, minum zam-zam jugak.”

Cikgu Zaidi mencelah. “Payah ke nak cium Hajarulaswad?”

Saya mengobarkan semangatnya. “Kucup batu dari syurga! Kalau sungguh-sungguh nak, Tuhan beri laluannya. Kamu akan terpegun. Kamu mesti rasa macam tak percaya. Sebelum kucup, mesti tercegang tengok batu suci tu. Mesti takjub tengok serpihan kecil tu. Nampak macam permata...dalam gua yang gelap gelita!”

Cikgu Zaidi mengangguk kecil. Dia bersuara perlahan. “Patut ler berseri muka Luqman. Minum air suci. Kucup batu syurga. Solat pulak di Taman Syurga! Ratib depan Kaabah!”

Saya teruskan ajukan soalan cepumas:“Kamu bila lagi?”

Tanpa teragak-agak dia membalas. “Aku cadang tahun depan. Ikut pakej swasta. Mahal sikit tak apa. Nak cepat. Nak pergi jugak tahun depan. Seronok pulak dengar cerita kamu.”

“Molek benar.” Saya menepuk bahunya dua tiga kali. “Heh, kamu tak komen pula muka aku ni!”

Segera bersinar mata sahabat saya yang gemar mengusik ini. Dia tersengih. “Kamu? dah setahun balik Mekah, nampak gaya cahaya dah malap ni! Muka kelam saja!”

Kami gelak kuat sekali.

Hampir tengah malam, saya hantar sms kepada Cikgu Zaidi. Saya tulis penuh, tak main singkatan apa-apa:

'Yang membersihkan wajah ialah wuduk, bukan SK-II. Yang masuk ke dalam saluran darah ialah air suci dari syurga, air zam-zam. Bukan air herba atau jus apa-apa. Yang meresap masuk ke dalam jiwa dan raga ialah zikrullah. Bukan suntikan botox atau vitamin atau gel. Yang menjadi makanan supplemen ialah kurma ajwa. Bukan Tongkat Ali atau jamu. Itu sebabnya wajah Luqman bercahaya. Inilah gambaran taqwa dan iman. Kamu masih ingat sebaris sajak ‘Putih Wajahnya, Putih Wajah Nabi?’ Itulah tandanya orang yang dianugerah Haji yang mabrur!'


Selamat menyambut Awal Muharram. Moga Allah berkati kita dalam profesion dan dirahmatiNya dalam kehidupan seharian. Ameen.
Permisi. Wassalam.

foto: Jutaan manusia mengunjungi Masjidilharam saban tahun. Minum air zam-zam tidak tentu masanya. Banyak pula air zam-zam dibawa balik ke negara masing-masing. Telaga zam-zam tak pernah kering!

Sabtu, 26 November 2011

MEMORI HAJI 2010: 'PUTIH WAJAHNYA, PUTIH WAJAH NABI'

Saya sudah lupa kalimah ini daripada sajak siapa. Mulanya saya ingatkan baris daripada "Anak Jiran Tionghua" karya tersohor SN Usman Awang. Sudah disemak antologi Puisi-Puisi Terpilih Usman Awang (DBP:1987), ternyata terpesong jangkaan itu. Saya telefon Cikgu Mazlan untuk mencari kepastian. Katanya mungkin karya Usman Awang, Dharmawijaya atau T. Alias Taib. Hampa juga kerana sahabat saya yang kini seorang ketua jabatan di sebuah Institut Pebndidikan Guru Malaysia tidak boleh mengesahkan apa-apa.

Malang sungguh, satu baris saja terlekat dalam kepala. Sajaknya tentu tercipta daripada buah fikiran sasterawan yang hebat. Apa tidaknya, seingat saya kalimah ini pernah saya baca ketika mentelaah dan mengajar sastera SPM di Pusat Pendidikan Yayasan Islam Terengganupada tahun 1985. Baru lepas mengaji dari Universiti Malaya.

Kerna saya ini guru sastera dan ngajar Bahasa Melayu juga (bukan Bahasa Malaysia), menjadi kebiasaan jika ada majlis (misalnya Hari Guru), saya diminta atau meminta untuk baca sajak. Jika tidak baca sajak SN Usman Awang, maka tentu saya akan membaca sajak ciptaan sendiri.

Dua puluh enam tahun berlalu, pagi ini lintasan kalimah 'Putih Wajahnya, Putih Wajah Nabi' itu bermain dalam kepala.

Pagi ini, kalimah itu datang mengusik-usik sewaktu genap setahun saya pulang ke Tanah Bonda selepas menunaikan fardhu Haji (Oktober - November 2010).

'Putih Wajahnya, Putih Wajah Nabi' memberikan maksud murninya jiwa seseoranginsan sehinggakan ketaqwaannya menyerlah pada wajahnya. Nur keimanan terpancar di wajahnya. Boleh juga dikatakan, inilah gambaran seorang insan yang bersih daripada sebarang dosa! Begitu tafsiran yang pernah saya berikan ketika ngajar subjek sastera di depan empat puluh murid.

Sekarang majoriti jemaah sudah pulang ke tanahair. Musim Haji 2011 sudah menutup tirai. Kalau ada kelapangan, pergilah ziarah mereka (jika kenal). Tatap wajah mereka lama-lama. Mungkin beginilah hati anda akan berbisik: 'MasyaAllah, sedap tengok wajahnya. Tenang dan cerah. Macam terpancar cahaya keimanan!'

Dah balik rumah, silalah rujuk buku Ibadat Haji, Umrah & Ziarah (LTH: 2009) halaman 7. Bacalah hadis tercetak di situ(riwayat al-Bukhariy dan Muslim) yang bermaksud:
'Sesiapa mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan rafath (larangan bercampur dengan isteri termasuk juga segala yang menimbulkan nafsu berahi, dan fusuq (larangan maksiat, termasuk segala yang dilarang dalam masa mengerjakan Haji seperti berburu dan lain-lainnya) jadilah keadaan dirinya bersih seperti baru dilahirkan oleh ibunya'.

Selepas 26 tahun, saya beroleh ilham untuk memberikan tafsiran baru kepada kalimah 'Putih Wajahnya, Putih Wajah Nabi' itu. Ini merupakan suatu gambaran jemaah yang pulang dengan anugerah Haji Mabrur. Wajahnya memancarkan cahaya keimanan, seperti seorang bayi yang tiada punyai dosa apa-apa! Inilah kemuncak kejayaan peribadi dalam hayat seorang Muslim.

Bukan saja pulang tanpa dosa, bahkan iblis di dalam badan pun sudah dihempas keluar, dan syaitan yang berkeliaran sudah pun direjam!

Permisi.

foto: jemaah memasuki Terowong Moessim menuju Kompleks Jamrah, untuk merejam syaitan & iblis!





Selasa, 8 November 2011

Cerita Melayu (11): "SEKSUALITI MERDEKA DI MUSIM HAJI!"

(nota awal: Di musim Haji 1432H ini, berita tentang Seksualiti Merdeka mendapat tempat 'penting' dalam media arus perdana. Setelah pihak-pihak yang bertentangan saling melancarkan 'roket', nampak tanda-tanda 'episod perselisihan nilai mengenai perjuangan hak asasi manusia' ini akan sampai ke penghujungnya buat tahun ini. Diharap sangat-sangat tahun depan tak usahkah dipilih Musim Haji (Syawal, Zulkaedah & Zulhijjah) juga untuk saling berperang dalam media mengenai gejala ini!
Cuma yang 'terasa hilang' (mungkin saya terlalai, lalu tidak terbaca atau termaklum) ialah statistik yang biasanya mengiringi apa-apa gejala sosial yang menggegar Tanah Bonda. Selalunya, yang masuk carta dan jadi juara statistik (gejala sosial itu, antaranya: mat rempit, penagih dadah, buang bayi, hamil luar nikah) ialah pemuda-pemudi Melayu jua! Silap sungguh saya. Apabila tersiar berita penganjur program sudah dipanggil memberikan keterangan kepada pihak polis, ada termuat juga sekeping foto (halaman 6, Utusan Malaysia) yang memaparkan seorang wanita Melayu yang ternama. Beliau dikatakan terlibat sebagai kepala penganjurannya dua tahun dulu. Ugh, Melayu pernah jadi juara juga dalam soal ini!
Kerana ada kaitannya, maka kali ini mari kita sama-sama baca artikel yang saya tulis sewaktu mastautin di UK. Berkaitan benar dengan episod 'Seksualiti Merdeka' pada Musim Haji ini. Moga kita diberikan hidayah oleh Yang Esa. Moga kita bisa beroleh iktibar - sempadan dan teladan - hasil pengetahuan dan pemahaman fenomena ini yang menjadi realiti di negara orang.

________________________________________________


"KETERBUKAANNYA DI LUAR TABII"


Jumaat 2 November 2001. Di dada Daily Express terpapar tajuk utama “Fury Over Go-Ahead For Gay Marriage”. Baroness Sally Morgan, Menteri yang menjaga soal ‘Equal Opportunities’ di bawah kerajaan pimpinan Tony Blair, dipetik telah memberikan bayangan tentang betapa besar kemungkinannya pihak berkuasa akan memperkenalkan skim pendaftaran nasional untuk pasangan seks sejenis. Jika peraturan ini terlaksana sebagaimana yang dibayangkan itu, akhbar berkenaan mengatakan ia akan membuka lembaran baru dalam sejarah ketamadunan Great Britain, kerana inilah pertama kali ‘perkahwinan gay mendapat restu’ secara rasmi daripada kerajaan.

Jika ini menjadi suatu hakikat dalam kehidupan di sini, sesiapa yang mengamalkan perkahwinan luar tabii ini bukan sahaja bebas hidup dengan pasangan masing-masing sebagaimana pasangan suami isteri mengikut kaedah yang lazim kita fahami, malahan mereka juga akan menerima manfaat daripada skim pencen dan hak-hak kediaman. Langkah ini diambil hasil daripada pemantauan terhadap ‘teladan’ dan ‘model’ perlaksanaan skim yang sebegitu, “London Partnership Register” yang diperkenalkan oleh Ken Livingstone, Datuk Bandar Kotaraya London. Skim yang diamalkan di London itu dikatakan membolehkan dan membenarkan pasangan sejenis (gay) mengisytiharkan kepada umum ‘perkahwinan’ mereka. Dalam pakej yang dilaksanakan melalui skim tersebut, setiap pasangan gay yang ‘dikahwinkan’ turut menerima sijil ‘pernikahan’ dengan bayaran perkhidmatan sebanyak £85.

Angela Mason, seorang wanita daripada kumpulan Stonewall (kumpulan yang memperjuangkan hak kesaksamaan dan keadilan gay), menyifatkan kenyataan Sally Morgan begitu memberangsangkan. Angela berpendapat skim yang sebegitu sepatutnya telah dilaksanakan lama dahulu.

Nampak gayanya, dua orang wanita (seorang menteri dan seorang lagi daripada NGO) menjadi jagoan memperjuangkan hak para lelaki yang “seleranya melencung”!

Ken Livingstone pula dipetik melahirkan rasa gembiranya kerana tindakan positif pihak kerajaan dalam soal berkenaan. Beliau menganggap langkah itu sebagai suatu pengiktirafan terhadap kejayaan skim ‘perkahwinan’ gay yang dilaksanakannya di Kotaraya London, yang dikatakan turut mendapat sokongan memberangsangkan daripada orang awam.

Ah, London! Kotaraya yang serba ada dan serba mungkin dengan pelbagai warna dan jutaan wajah. Di Kotaraya ini jugalah pada Sabtu yang kedua bulan Oktober, seramai 300 sukarelawan dalam pelbagai gaya - sambil telentang, mengiring, meniarap, merengkok - bertelanjang untuk rakaman lensa kamera Spencer Tunick. Mereka melakukannya atas nama seni, sukarela menjadi model untuk ‘karya’ terbaru jurugambar dari Amerika itu, yang telah melakukan penggambaran yang serupa di New York, Kanada dan Melbourne. Dua keping gambar sesi fotografi yang sensasi itu tersiar dalam Daily Express pada 18 Oktober 2001. Gambar pertama menunjukkan ‘para model’ sedang bersiap-siap menanggalkan pakaian masing-masing. Dalam gambar kedua pula kelihatan Tunick begitu lincah melangkahi celahan tubuh-tubuh bogel yang bergelimpangan di jalanan, barangkali mencari sudut yang terbaik untuk lensanya!

Perincian berita tentang ‘permit’ perkahwinan gay pada halaman empat Daily Express 2 November 2001 turut memetik jurucakap LDP (Liberal Democrat Party) Dr Evan Harris membidas pengumuman yang dibuat oleh Sally Morgan, yang disifatkannya sebagai kegagalan pihak kerajaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memberikan hak yang saksama dan adil kepada golongan gay. Dr Evan berpendapat ‘Skim Pendaftaran Nasional Untuk Homoseksual’ tidak memadai, kerana yang dihasratkan dan diperjuangkan LDP ialah perkahwinan gay yang sebenarnya bukan sekadar memberikan kebenaran ‘mendaftar pasangan seks sejenis’. Bagi Dr Evan, cadangan yang dihebahkan itu tidak membawa makna apa-apa, kerana yang sah di sisi undang-undang melalui skim itu hanyalah pendaftaran pasangan hidup (tidak kira sejenis atau dua jenis), dan bukannya kebenaran untuk ‘perkahwinan sejenis’ dalam maksud seerti dengan perkahwinan yang lazimnya kita fahami.

‘Kemarahan’ Dr Evan Harris itu barangkali berdasarkan prihatinnya terhadap beberapa masalah yang lazim dihadapi ‘pasangan gay’ di negara ini. Antaranya (sebagaimana tersiar dalam akhbar The Times pada 31 Oktober 2001), tidak menerima pencen pasangan masing-masing apabila ‘menduda’ atau ‘menjanda’, selain tidak layak mendapat manfaat apabila kematian ‘pasangan’ mereka. Golongan ini juga turut berhadapan dengan masalah premium insurans nyawa yang begitu tinggi – dikatakan melonjak sehingga 250 peratus, sedangkan perlindungan yang mereka perolehi terhad kepada kadar maksimum £150,000 sahaja. Sama ada ‘gay’ itu bujangan atau mempunyai ‘pasangan jangka panjang’, mereka berhadapan dengan masalah yang serupa. Memilih menjalani kehidupan sebagai gay nampaknya begitu mahal harganya!

Kerana itulah, antara sebab penyanyi tersohor Sir Elton John (kini berumur 54 tahun) dikatakan berhasrat ‘mengahwini’ teman lelakinya David Furnish ialah untuk mengelakkan masalah pembayaran cukai. Berdasarkan undang-undang di sini, isteri atau suami boleh mewarisi harta pusaka pasangan masing-masing tanpa perlu membayar apa-apa cukai. Lantas sekiranya Davis Furnish ‘dikahwini’ dan menjadi ‘isteri’ Sir Elton John, maka terkecualilah kedua-duanya daripada membayar cukai harta yang diwarisi.

Selain ura-ura pengiktirafan pihak kerajaan terhadap pasangan sejenis, nampaknya ‘masyarakat gay’ turut mendapat perhatian daripada institusi kewangan. Apa tidaknya, dengan pendapatan kolektif masyarakat gay dan lesbian yang dianggarkan berjumlah £10 bilion, mereka mula dilihat sebagai ‘telaga emas’ yang berpotensi besar untuk diterokai oleh agensi pelaburan. Penerokaan itu sudahpun bermula secara rasminya dengan pelancaran ‘The Queer Card’ - kad kredit yang pertama eksklusif untuk gay di Britain - pada awal bulan Oktober 2001.

Di halaman empat Daily Express 2 November itu juga, termuat suara lantang seorang negarawan yang dengan begitu jelas menyatakan pendirian kita dalam soal ini. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohammad dipetik memberikan amaran kepada mana-mana menteri British yang dikenal pasti homoseks, tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia jika datang bersama pasangan gay mereka. Kenyataan keras daripada seorang pemimpin yang tegas dan berani itu, dikatakan menimbulkan kemusykilan di sini. Mereka jadi ragu-ragu sama ada Ben Bradshaw, seorang menteri di Pejabat Luar Negara (Foreign Office) yang terkenal sebagai gay, akan menyertai misi perdagangan British ke Malaysia tahun depan atau sebaliknya.

Sesekali kita mestilah tegas dan berani menyatakan pendirian dalam soal prinsip yang tidak boleh dikompromi. Kerana itulah kita akan dihormati dan disegani. Kita boleh terbuka dalam apa jua aspek kehidupan, akan tetapi keterbukaan itu seharusnya harmoni dalam batas-batas kesopanan dan kesusilaan kita.

Pada malam Ahad 28 Oktober 2001, saya menonton rancangan satira 2DTV yang tersiar di ITV1. Rancangan animasi ini terisi dengan segala bentuk usikan, sindiran, cemuhan dan kritikan yang tajam dan pedas ditujukan kepada orang-orang ternama (termasuklah setakat ini Osama Bin Laden, George Bush, Tony Blair dan pasangan Beckham) melalui pemaparan imej yang kadangkala keterlaluan. Kali ini, keluarga Ratu England menjadi mangsanya. Dalam siarannya pada malam itu, dipaparkan karikatur Ratu Elizabeth duduk di atas kerusi sedang menghadapi santapan, sementara di belakangnya berdiri Putera Charles, Putera Edward, Puteri Anne dan Putera Andrew dengan senyuman melebar. Yang menyebabkan saya terlopong: kesemua ahli keluarga Ratu England itu diperlihatkan bergaya di depan lensa kamera tanpa seurat benang pun!

Huh, satira ini bukan sekadar tajam dan berani, malahan tiada ampun langsung! Keterbukaannya pula, di luar tabii!

Sabtu, 5 November 2011

Cerita Melayu (10): "PEJUANG BAHASA YANG SUDAH PUPUS!"

Muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris nampak riuh bertempik di muka depan: "English all the way". Gambar yang mengiringi tajuk utama itu memaparkan sekumpulan pelajar sekolah (majmuk etniknya) berwajah riang belaka menayangkan buku matematik dan sains menggunakan pengantar bahasa orang putih.
Reaksi spontan melihat tajuk dan foto tanpa membaca perincian berita ialah: Apakah ini 'korban pertama dan ulung' untuk hari raya korban esok hari? Kalau mahu jadi tukang tilik, bisa saja kita katakan tajuk berita dan foto pengiring itu ingin menyatakan 'kami sudah menang!' atau dari sudut yang lain begini boleh ditafsirkan:"ayuh raikan kemenangan ini!".
Episod PPSMI ini menyaksikan kemuncaknya (selepas pelbagai perbincangan antara autoriti dengan pelbagai pihak, termasuk para pejuang Bahasa Kebangsaan) apabila tercetus demontrasi jalanan yang disertai beberapa tokoh dalam dunia persuratan Melayu.
Selepas berlangsung PEMILU yang terakhir, menteri pelajaran berganti, implikasinya PPSMI dimahsuhkan. Ramai menganggapnya suatu kemenangan kepada susah-payah dan pengorbanan pejuang bahasa yang sanggup berarak di jalanan.
Hari ini, sebuah akhbar berbahasa Melayu muka depannya tertera: "Formula selesai PPSMI". Lunak dan manis nadanya berbanding tajuk dada akhbar berbahasa Inggeris yang disebut di atas. Membaca kenyataan menteri pula, nampak benar terselit nada begitu apologatik!
Dua tiga minggu sebelum ini, di sebuah negeri yang lahir Laksamana Hang Tuah dan terbina empayar Kesultanan Melayu, dinobatkan seorang sarjana dari Benua China dengan gelaran kira-kira begini bunyinya: 'Pejuang Bahasa Melayu Peringkat Antarabangsa' .
Undur empat bulan ke belakang (Jun, 2011), saya menghadiri forum di Pesta Buku Selangor kerana mahu dengar bicara oleh Pak Samad, Sasterawan Negara yang jadi bengkeng dan sangat berani menentang perlaksanaan PPSMI.
Pak Samad membuka bicaranya tentang suatu peristiwa di Korea Selatan. Sasterawan Negara itu dijemput untuk membentangkan pemikirannya di suatu konvensyen tentang bahasa dan sastera.
Ketika sampai di majlis berkenaan barulah Pak Samad sedar dan faham, rupa-rupanya konvensyen berkenaan diadakan untuk bahasa dan sastera yang sudah lupus!
Pak Samad menjadi wakil untuk membentangkan mindanya tentang bahasa dan sastera ibundanya, yang termasuk dalam senarai penganjur konvensyen sebagai sudah pupus!
Ugh, penobatan sarjana dari Benua China itu rupa-rupanya sebagai 'pejuang suatu bahasa yang sudah pupus' jua!
Cuma menarik sekali kalaulah menjadi realiti kerajaan British pula mengambil inisiatif mengadakan anugerah kepada 'pejuang Bahasa Inggeris' di Negara Commonwealth. Tentu molek benar sekiranya penghormatan itu diberikan kepada 'orang kita yang terpilih'!
Selamat menyambut Aidiladha kepada sahabat, kenalan dan perayau alam siber sekalian.
Permisi. Kita bisa ketemu lagi.

foto: SN Pak Samad di Pesta Buku Selangor (Jun, 2011) - dengar bicaranya, layak benar digelar Pendeta!

Khamis, 27 Oktober 2011

SALAM ‘MERAH CINTA KITA’ DARIPADA HALIM OTHMAN

Pagi Selasa, saya punyai kesempatan bertemu dejay radio tersohor Halim Othman. Pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam. Setengah jam di sebuah kedai kopi di dalam Tropicana Mall. Baki waktunya dihabiskan dengan jalan-jalan di persekitaran yang serba kontemporari dan begitu kekotaan penampilannya. Jalan-jalan sambil sembang-sembang itu merupakan idea jejaka kacak ini. Sudah tabiat sehariannya sekarang. Tidak betah duduk lama-lama kerana mahu capai sepuluh ribu langkah sehari. Katanya mahu caj bateri (rohani dan jasmani)!

Sewaktu di warung berwajah klasik tapi bergaya moden itu, saya menghabiskan secawan kopi O kosong, pekena roti bakar. ‘The most eligible bachelor guy in Malaya’ asal dari Darul Iman ini hanya meneguk segelas ais kosong. Beberapa kali perbualan kami terganggu. Ah, jejaka bujangan yang popular, ada saja orang yang lalu-lalang mahu menegurnya!
Bicara kami cubit-cubitan pelbagai isu. Dua perkara yang timbul dan membangkitkan ghairahnya.
Pertama tentang sebuah filem klasik “Akhir Sebuah Impian”.

Ugh, bukan sahaja HO sangat meminati Broery dan Emilia, malahan beberapa dialog di dalam filem itu dituturkannya persis sang hero yang digilai wanita suatu waktu dahulu. Kebetulan saya pernah mendengar (dengan asyik) filem berkenaan melalui piring hitam, dapatlah juga saya sebutkan satu dua dialog yang mantap. Itu juga menjadi hafalan HO rupa-rupanya.

Angkat tangan dan tabik saya kerana tidaklah saya upaya untuk meniru pengucapan Broery Ramantika. Tapi jejaka rambut ikal cecah bahu ini bisa lontar dialog umpama Boery juga. Sesekali bergaya dia macam Rahim Razali pula. Bisa jadi hero filem sang dejay yang tersohor ini!

Kedua ialah keghairahan baru HO, iaitu mencapai sasaran sepuluh ribu langkah sehari. Itu merupakan setengah jam kedua pertemuan kami terisi pagi Selasa itu. Dari kedai kopi kami jalan-jalan melintasi pintu depan bangunan studio Suria fm. HO disapa oleh seorang pak jaga. Tersengih dan nampak megah dia ketika berkata sambil meleret pandangan kepada sang dejay, “Ini idola saya! Jalan-jalan sepuluh ribu langkah!”

Kami jalan-jalan hingga ke kolam renang. Jenguk dan singgah di gimnasium. Sempat sang dejay memberikan pedoman kepada saya cara-cara optimumkan mesin threadmill.

Ketika kembali menapak di tingkat bawah, saya mohon permisi kerana ada janji lain di kampus Universiti Malaya.
Rugi rasanya hanya punyai masa satu jam bersama HO. Bukan senang untuk bicara lama dan jalan-jalan dengan sang dejay yang ketat amat jadual kerja dan sibuk pula acara sosialnya.

Tujuan saya minta sangat bertemu dengan HO pagi itu tiada lain, mahu menghantar sendiri antologi Merah Cinta Kita siri ke-3. Sewaktu bertemu dengannya enam bulan lepas, jejaka rambut ikal ini pernah meminta saya tuliskan suatu kisah berkaitan pengalaman hidup di perantauan.

Di dalam antologi MCK siri ke-3 itu termuat karya saya berjudul “Kasut Bola Shafika”. Cerita gadis Melayu yang sangat gemar main futsal dan bercita-cita mahu menyertai pasukan sekolahnya memasuki pertandingan di Kompleks Carrington (milik Manchester United). Kerana pengkisahan tentang suatu peristiwa di England itu cocok dengan hasratnya, maka MCK siri ke-3 saya hadiahkan kepada jejaka tampan dari Darul Iman itu.

Sebelum berpisah, sempat saya merakam sang dejay yang bergaya dengan antologi MCK siri ke-3. Saya bangkit juga satu soalan: “Apa pesanan HO untuk para remaja kita?”

Sambil tersenyum (manis dan memikat, sih!) begini jawabnya: “Banyak berjalan. Banyak baca buku. Sihat badan. Segar minda. Semarak cinta anda. Merah Cinta Kita!”

Permisi. Bisa ketemu lagi.

Ahad, 23 Oktober 2011

MERAH CINTA KITA: "GADIS SUNTI SUMBER INSPIRASI"

Detik itu bermula 31 Mac 2011. Saya di antara sekumpulan penulis Grup Buku Karangkraf (GBK) menghadiri pertemuan sulung yang dipengerusikan oleh Sri Diah (novelis terkenal & wanita dinamik berjawatan Pengurus Besar Editorial GBK). Intipati bicara Sri Diah hari itu mengenai usaha menerbitkan novelet banyak siri diberi gelar 'Merah Cinta Kita' yang disasarkan kepada remaja (perempuan khususnya). Pembentangan susulan diberikan Puan Siti Zarinah yang nampak tegas orangnya (sang editor merangkap pengarah projek ini).
Berat kepala, dan panas otak jadinya kerana Sri Diah sudah menetapkan tempoh hantar sinopsis serta tarikh akhir menghantar manuskrip lengkap. Dalam gurauan terkandung amarannya tentang sikap non-kompromi untuk penulis yang 'sambil lewa dan buat kerja sekerat jalan' . Ketara sungguh betapa bersungguh-sungguh dia mahu merealisasikan Merah Cinta Kita (MCK) dalam tempoh yang singkat. Kepala yang berat jadi serabut, minda pula dah jadi macam CPU kepanasan!

Ini bukan kerja mudah. Karya saya yang terdahulu tidak pernah menyentuh soal alam sang gadis remaja.

Ketika masih di kampus saya kerap menulis artikel (tersiar di akhbar) tentang sosio-budaya, dan rajin menghantar komen ke ruangan 'surat kepada pengarang' dengan nama samaran Musang Pulau. Ketika kemuncak kekejaman Yahudi (penyembelihan di khemah pelarian Sabra & Shatilla), sajak saya tentang tragedi itu tersiar di sebuah akhbar mingguan. Selepas alam kampus, saya pernah bekerja sebagai editor eksekutif di sebuah syarikat penerbitan (lama sudah dikatup) yang antara lainnya menerbitkan semula novel-novel karya Tokoh Wartawan Negara - Tan Sri A Samad Ismail. Kerna masih jagungan, saya ditugaskan menjadi pembaca pruf untuk satu daripada novel berkenaan - Tembok Tidak Tinggi. Pernah sekali tokoh tersebut menziarah pejabat kami. Bukan sahaja ombak gementar menghempas di dalam dada berdepan dengan seorang tokoh persuratan Melayu, telinga panas dan merah jadinya kerana ditempelak. Beliau memberikan sindiran pedas kerana kerja saya dikatakan tidak teliti.

Pengalaman lain dalam bidang pengkaryaan ialah apabila saya terlibat dengan penerbitan buku dan buletin pelancongan untuk sebuah agensi kerajaan negeri. Saya dilantik sebagai ketua editor dan penulis utama. Seronok tapi amat mencabar. Bersama seorang jurugambar (Jasneh - sekarang di Pantai Timur dengan Bernama), pernah kami mencari bahan hingga ke dalam hutan dan pinggir air terjun. Peristiwa paling tak dilupai, kamera terjatuh ke dalam takungan air terjun kerana Jasneh terlalai ketika mahu mengetik di suatu sudut yang sukar.

Novel pertama saya (Waris Kalung Naga) pula ditulis untuk meladeni selera remaja jantan. Watak si gadis (Emilda) itu pun turut dibentuk jadi 'keras dan agak kasar ' macam kawan-kawannya (lelaki belaka). Novel yang terselit banyak adegan lasak ini merupakan suatu sintesis pengalaman zaman kanak-kanak (dengan rakan sebaya) yang selalu bermain di sungai, panjat pokok duku, lawan bergaduh di kebun getah, mandi parit, tarik lembu, dan tangkap ikan di baruh. Waktu itu, berkawan dengan budak-budak perempuan dikira sangat koman!

Tulis novel untuk remaja jantan, bahannya tidak sukar dihimpun dan dicerna.
Tulis novel untuk remaja perempuan? Ugh, itulah yang bikin kepala jadi serabut, minda naik suhu macam CPU kepanasan!

Tapi janji mesti ditunaikan. Peluang yang diberikan oleh Pengurus Besar Editorial GBK tidak boleh dipersia-siakan.

Malam itu saya berbincang dengan anak-anak (Syai, Dek-dek dan Ney-ney). Mujurnya, mereka gadis remaja belaka. Macam-macam cadangan timbul dalam gelak ketawa dan gurau-senda. Ney-ney membelek album lama. Ditunjukkan sekeping foto nostalgia ketika kami mastautin di UK. Dalam foto itu Ney-ney sedang seronok bermain salji di Cobridge Park bersama kawan-kawannya (satu famili Melayu dari Wales) yang bertandang ke rumah kami.
Foto itu mencetuskan ilham "Kasut Bola Shafika" - kisah gadis Melayu yang gemar bermain futsal walaupun dihalangi bapanya. Shafika curi-curi bermain futsal dengan budak-budak Inggeris dan Pakistan (lelaki & perempuan). Gelanggang futsal itu letaknya di Cobridge Park itulah juga, tempat Ney-ney bermain salji.

Sinopsis kisah gadis futsal itu diluluskan oleh sang editor tanpa guntingan.

"Kasut Bola Shafika" termuat di dalam siri ketiga antologi Merah Cinta Kita (tajuk kulit depan: "Kisyah Budak Junior Masterchef").
Jika pemangkin cerita ialah sekeping foto gadis sunti bermain salji, dari mana pula datang inspirasi menzahirkan heroin, konflik, plot dan lain-lainnya?
Yang itu, tunggu dulu. Permisi. Kita bisa ketemu dan bicara lagi.

Jumaat, 21 Oktober 2011

Cerita Melayu (9): "KITA DAH JADI MACAM ENGLAND!"


nota awal:
Sewaktu mastautin di UK (2000-2004), antara isu besar yang dihadapi 'Negara Ratu' ini pada waktu itu ialah kebanjiran pendatang dari negara Eropah dan negara Timur Jauh juga. Penyeludupan manusia untuk disalurkan ke pelbagai sektor pekerjaan di England misalnya, menjadi 'bahan panas' diperdebatkan dalam media. Pihak berkuasa pernah menangkap seorang 'kepala ular' (gangster) yang kerjanya menyeludup masuk warga China untuk bekerja di UK. Malangnya, pihak pendakwaraya terpaksa gugurkan kes itu kerana saksi utama (seorang warga China juga) telah didapati hilang tanpa jejak.
Begitu juga dengan isu kemasukan pelajar asing (dari Afrika dan Asia). Mereka datang ke England hanya untuk mendaftar di kolej-kolej tertentu. Lepas itu hilang lesap. Bekerja sebagai buruh di mana-mana gedung, ladang (epal, strawberi dan seumpamanya), dan di pelbagai kilang.
Apabila terbaca berita muka depan (Utusan Malaysia - 18 Oktober 2011) yang menjeritkan judul "Kolej Sarang Penjenayah?" reaksi saya yang pertama ialah: Ugh, negara kita dah jadi macam England!
Berita itu memaparkan penyakit sosial yang dibawa masuk ke Tanah Bonda oleh pelajar asing (terutamanya dari negara Afrika).
Saya pernah menulis tentang fenomena ini ketika hidup di perantauan itu. Saya fikir, masalah yang terjadi di England pada waktu itu, kini sedang menjadi barah pula kepada negara kita.
Diperturunkan artikel yang pernah saya tulis pada tahun 2002 itu untuk dijadikan iktibar.

__________________________________________________


"BAHAI KUBUR, KAHIK MUNTING…”


Ini bukannya tajuk lagu Hindustan atau judul mana-mana filem lakonan Salman Khan atau Shah Rukh Khan. Ia merupakan lagu lama yang pernah saya nyanyikan lama dahulu, semasa jadi ‘anak serigala’ pada zaman tengah pakai seluar pendek biru tua yang cecah kepala lutut, kemeja putih lengan pendek, berkasut paras buku lali cap Fung Keong – sewaktu duduk mengaji di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga (SKPCT), Kampung Tok Kaya, Darul Iman.

Ketika mengetik papan kekunci, jelas terbayang wajah dan kelibat guru yang mengajarkan lagu itu kepada sekumpulan ‘anak serigala’ SKPCT. Malangnya, nama cikgu tidak segera menerpa dari kolah ingatan. Saya sudah lupa sungguh. Wajah menjelma, kelibat menerpa, namun begitu namanya tak kunjung tiba. Tapi hingga kini, saya tidak lupakan lagu yang diajarkannya itu.

Lagu dalam bahasa Tagalog itu tumbuh segar semula apabila saya berkawan dengan dua orang rakyat Filipina – Ismail dan Jeane. Kedua-duanya akan saya ketemu hampir tiap pagi ketika menghantar anak-anak ke sekolah, dan di sebelah petang sewaktu menunggu kelas budak-budak berakhir. Dalam jangkawaktu sepuluh hingga lima belas minit terluang, terisi dengan bicara antara kami yang biasanya menyentuh soal persekolahan anak-anak, kondisi kerja, dan adaptasi diri dengan sosio-budaya di sini.

Ismail dan Jeane belum begitu lama di sini. Baru nak cecah enam bulan. Bahasa Inggeris kedua-dua pemuda dari Luzon ini tidaklah begitu bagus. Errr…rasanya tidaklah lebih baik daripada saya! Kurang-kurangnya saya pernah mengaji bahasa orang putih di British Council.
Bicara kedua-duanya dalam broken English, dan kosa kata pula agak terhad, terutamanya Ismail. Kerana kurang interaksi, maka Ismail seolah-olah agak berahsia, dan selalunya tidak pernah pula berbual panjang dengan saya kecuali bertegur sapa, berbalasan senyuman, bersalaman dan tak pernah jemu komplen tentang cuaca yang sejuk!

Mungkin kerana hambatan-hambatan lingua franca itulah, maka Jeane yang lebih gemar bicara dengan saya. Dan pernah sekali bicaranya begitu ghairah, apabila saya menyebut tentang Jose Rizal dan "Noli me tangere".

Selalunya, tempat yang lazim kami berkumpul di tepi dinding bangunan tadika, menyempadani dataran bertar, tempat anak-anak beratur tiap pagi sebelum ke kelas masing-masing. Secara tidak sengaja kami bertiga membentuk satu kumpulan, antara kumpulan-kumpulan kecilan ibu bapa (yang ramainya kaum ibu) yang hadir di laman Sekolah Rendah St Peters, Cobridge, tiap petang, sepuluh minit sebelum jam tiga.
Selain kami, terbentuk dua kumpulan lain yang ketara. Satunya terdiri daripada wanita-wanita Inggeris, yang saya perhatikan tidak jemu bersok-sek dan bergelak ketawa (kadangkala deraian hilainya tanpa pedulikan keliling), dengan pelbagai gaya pakaian, yang selalunya ketat, sendat, dan singkat. Ada tiga empat orang daripada enam tujuh mek-mek saleh itu, nampak begitu ‘nikmat’ sekali menyedut dan menghembus sisa rokok, sambil-sambil ‘menyelam’ dalam bicara entah apa butirnya.
Ah, kontras sekali dengan kumpulan satu lagi, wanita-wanita Pakistan yang ‘dalam diam-diam’ datang dan pergi, berpakaian gelap serba labuh, longgar dan bertudung. Bicaranya tidak terdengar kepada kami, dan tidak pernah jua terhambur gelak ketawa. Mereka lebih banyak pandang-memandang, mengukirkan senyuman, dan dirinya pun ‘tegak dalam diam’.

Ismail dan Jeane mengikuti isteri masing-masing yang berkerja sebagai jururawat di bawah perkhidmatan NHS (National Health Services) dengan kontrak kerja selama lima tahun. Jururawat merupakan antara tenaga berketrampilan yang sangat diperlukan di samping doktor dan guru, pada ketika perkhidmatan awam UK menghadapi ‘kekurangan bekalan’ yang serius dalam ketiga-tiga profesion berkenaan.

Pendapatan jururawat pula begitu memberangsangkan. Boleh sampai £160 per shift, dan total gaji seminggu mencecah £800. Jika ditukar dalam nilaian peso, uh…lumayan sekali!

Sejak pertengahan tahun lepas, saya perhatikan makin ramai rakyat Filipina di Stoke-on-Trent. Jika ke pusat bandar Hanley di hari Sabtu atau mengunjungi carboot sales setiap hujung minggu, mudah sekali ketemu Filipino. Pada pemerhatian rambang saya, ramainya jauh melebihi Melayu di sini.

Apabila makin mesra dengan Jeane, barulah saya bertanyakan tentang makna lagu Bahai Kubur itu. Jeane nampak begitu terkejut pada mulanya kerana dia ingatkan saya reti berbahasa Tagalog. Hal ini mudah dimengertikan kerana mula-mula berkenalan dulu pun, saya disangkanya Filipino juga. Ah, asalnya daripada satu rumpun - pribumi Nusantara belaka!

Lantas hasil perkenalan dengan Jeane memberikan saya kefahaman akan maksud lagu berkenaan. Sekian lama lagu itu terlekat dalam ingatan, di alaf baru, barulah ketemu pengertiannnya. Itu pun setelah mastautin di bumi UK!

Begitulah, semacam budak-budak yang seronok nyanyi lagu-lagu popular dari filem-filem Bollywood, maka serupalah lakunya dengan saya dan rakan-rakan sebaya zaman di SKPCT - kami, ‘anak-anak serigala’ yang jadi kakak tua. Tahu nyanyi tanpa tahu makna apa-apa. Kami tidak tahu kenapa cikgu memilih lagu itu untuk dihafal. Dan saya tidak pasti apakah cikgu tahu maknanya atau serupa macam kami juga!

Secara umumnya, ikut penerangan Jeane, lagu Bahai Kubur berkisar perihal sebuah pondok kepunyaan seorang petani, yang terletak di tengah-tengah kebun yang ditanami sayur-sayuran menghijau, ditumbuhi pelbagai pohon buah-buahan yang segar.

Tema lagu itu mengambil latar persekitaran Filipina sebagai sebuah negara pertanian yang subur dengan tanaman padi, jagung, kelapa, tebu, tembakau, nenas, pisang, betik, mangga dan sayur-mayur. Kalau diperhatikan kepada beberapa perkataan dalam lirik lagu itu (saya turunkan di perenggan terakhir), mungkin boleh diteka sayur dan buah-buahan apa yang dimaksudkan. Tapi saya rasa elok sekali tugas teka-meneka itu diserahkan sahaja kepada saudara Fakir Fikir. Kerana berlampas minda itu kerja dia!

Merujuk pengetahuan tentang ‘Ilmu Alam’ yang diperoleh sewaktu di bangku sekolah dulu, hutan rimba negara pulau itu menghasilkan abaka, rotan dan balak kualiti tinggi. Sementara lautannya pula menghasilkan tuna yang merupakan satu daripada eksport utama Filipina.

Terkini, nampak gayanya, perkhidmatan jururawat pula punyai potensi termasuk dalam kategori ‘komoditi utama yang dieksport’ oleh negara yang terkenal sebagai pengeluar gula dan kopra.

Jeane bekerja sebagai pembantu dapur di Asrama Pelarian St Augustine, yang terletak di tepi jalan besar Leek Road, menghala ke Newcastle-under-Lyme. Lokasinya masih dalam kawasan Cobridge. Kalau berjalan dari Grove Street, tak sempat lelah, belum terbit peluh, lebih kurang sepuluh minit sudah sampai.

Mengikut cerita Jeane, di asrama itu terdapat kira-kiranya 70 penghuni yang datang dari Albania, China, Afrika, Turki, Iran dan Afghanistan. Yang paling ramai asalnya dari negara yang baru sahaja lepas perang, dan masih diterajui kerajaan sementara pimpinan Hamid Karzai.

Ketika Hamid Karzai mengunjungi teman sejawatnya di 10 Downing Street, bertemu dengan kabinet Blair, berita BBC1 menonjolkan enam ciri utama biodata ringkasnya:

i. punyai tujuh adik-beradik, enam lelaki dan seorang perempuan.
ii. lulusan sains politik.
iii. asal daripada keluarga politik.
iv. tukang kempen merekrut soldadu-soldadu memerangi pemerintahan Taliban.
v. boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
vi. pentingkan penampilan yang bergaya (punyai citarasa stail yang tinggi).

Imej Hamid Karzai yang cuba ditonjol dan diangkat oleh media pro-kerajaan itu, ternyata begitu berbeza dengan penampilan OBL, apatah lagi dengan Mullah Omar. Ciri yang dipaparkan, barangkali lebih ‘menepati citarasa’ dunia sebelah sini.

Namun begitu, keesokannya, saya perhatikan dalam Daily Express tiada langsung termuat berita tentang kunjungan Hamid Karzai. Yang terpampang di muka depannya ialah masalah besar yang ditimbulkan oleh pelarian politik.

Barangkali mesej itulah yang mahu disampaikan kepada pemimpin Afghanistan itu. Maklumlah, mengikut tinjauan UNHCR, setakat sembilan bulan pertama tahun lepas, terdapat 7,000 pelarian dari Afghanistan yang memohon suaka politik di Britain. Jumlah ini merupakan yang tertinggi di kalangan mana-mana nasionaliti yang jadi pelarian di negara ini.

Dua hari berturut-turut Daily Express mengangkat isu pelarian politik sebagai tajuk utama. Pada 31 Januari, akhbar berkenaan mengemukakan laporan utamanya berjudul “Asylum Invaders Will Destroy Channel Tunnel”, menonjolkan kegawatan yang dihadapi EWS (English Welsh and Scottish Railways). Syarikat EWS yang mengendalikan perkhidmatan keretapi barangan melalui terowong yang menghubungkan British-France, dilaporkan mengalami kerugian setengah juta pounds sterling seminggu angkara tindakan pelarian politik yang cuba menyeludup masuk ke Britain menggunakan keretapinya. Dikatakan, seribu perjalanan EWS terpaksa dibatalkan sejak November tahun lepas untuk mengelakkan ia digunakan sebagai alat pengangkutan ke Britain oleh ‘para penumpang tanpa izin’ dari Pusat Pelarian Palang Merah di Sangatte, Perancis.

Manakala pada 1 Februari pula tersiar laporan “Asylum Gangs Earning £15,000 A Night”, berkisar ganjaran yang lumayan hasil kerja-kerja menyeludup pelarian ke Britain. Dalam pengakuannya, Dimitri Pakhomoff, pemandu teksi berbangsa Perancis yang dipenjarakan kerana jadi ‘tekong terowong’, memberikan amaran betapa kegiatan kumpulannya tidak akan berjaya ditumpaskan kerana tarikan ganjaran yang begitu lumayan. Anggota sindiket ini menerima habuan £700 bagi setiap pelarian yang berjaya diseludup. Itulah sebabnya ‘para pedagang pelarian politik’ ini sentiasa berusaha mencari jalan (dan berjaya pula menemuinya) untuk menembusi kawalan keselamatan pihak berkuasa di pintu masuk ke Britain.

Muka depan Daily Mail 2 Februari 2002 pula mendada dengan tajuk “Britain Is Top Asylum Haven”, menyiarkan laporan betapa di kalangan Komuniti Eropah, Britain menjadi ‘sasaran’ utama pelarian. Mengikut laporan UNHCR, pada tahun 2000 sahaja negara ini ‘menanggung’ sejumlah 99,000 pelarian yang memohon suaka politik. Britain tetap menjadi pilihan walaupun sekarang ini pihak berkuasa sedang memperbaiki ‘sistem pengurusan pelarian’ dengan cadangan pelaksanaan langkah-langkah yang lebih mantap dan syarat yang ketat. Misalnya, kini heboh tentang rancangan untuk melaksanakan penggunaan kad pengenalan kebangsaan, dan ura-ura menjadikan kecekapan berbahasa Inggeris sebagai syarat kepada pendatang yang memohon suaka politik di sini.

Sekali imbas, jika dipinggirkan permasalahan sosio-budaya-politik, pelarian yang tinggal di sini (yang ditempatkan di asrama-asrama khas), hidupnya agak selesa.

Mereka menerima duit poket tiap minggu, yang diberikan dalam bentuk voucher. Dari nilai voucher itu (antara £26 hingga £57), sepuluh pounds daripadanya boleh ditukarkan dalam tunai. Setiap voucher hanya laku dalam tempoh empat minggu, dan hanya boleh dibelanjakan di kedai-kedai yang telah ditetapkan pihak berwajib. Jumlah duit saku itu ditentukan mengikut kategori umur dan taraf perkahwinan:-

18-24 (£28.95)
25 ke atas (£36.54)
Remaja bawah 16 (£26.60)
Remaja 16 atau 17 (£31.75)

o Pasangan (£57.37)
o Ibu atau bapa tunggal (£36.54)

Katakan pelarian yang datang dengan pasangan (dapat duit saku £57.37) punyai tiga anak yang berumur antara ‘di bawah 16 hingga 24 tahun’, dan tiap seorang termasuk dalam kategori umur yang berbeza (bawah 16, 16&17, 18-24). Maka ‘pendapatan’ keluarganya ialah £144.67 seminggu. Andaikan salah seorang anggota keluarga itu bekerja pula di premis perniagaan kepunyaan tauke Pakistan (restoran atau kedai runcit) dengan gaji £150 seminggu (tanpa cukai kerana tidak berdaftar dan tanpa permit). Maka jumlah ‘pendapatan kasar’ mingguan yang terkumpul mencecah £294.67, tanpa perlu risau tentang kos makan-minum dan penginapan yang diberikan percuma kepada penghuni asrama pelarian.

Mengikut cerita Jeane, penghuni St Augustine dibenarkan memasak sendiri makanan mereka dengan bahan mentah dibekalkan percuma. Malahan ada yang dihidangkan dengan ‘makanan dimasak khas’ kerana pihak pengurusan asrama turut melayani tuntutan special diets oleh penghuni atas alasan tertentu.

Saya kenal dua orang rakyat Afghanistan yang tinggal di asrama pelarian St Augustine. Kedua-duanya bekerja sebagai pemotong daging di dua supermarket berasingan milik tauke Pakistan. Mengikut anggaran kasar salah seorang pemilik supermarket itu, pemotong daging yang bekerja di premisnya boleh mengumpulkan ‘tunai bersih’ mencecah hingga enam ribu pounds sterling setahun. Uh, itu dikira sudah cukup baik!

Hari ini, 15 Februari 2002, The Independent menyiarkan berita “Asylum Seekers Riot and Set Fire to New Detention Centre”. Ia laporan tentang pusat tahanan pelarian yang dibakar penghuninya, selepas berlaku rusuhan dan percubaan melarikan diri dari Yarl's Wood Detention Centre, Bedford. Pusat ini merupakan penempatan sementara 400 ‘tahanan’ yang akan dihantar pulang ke negara masing-masing kerana gagal mendapat suaka politik di Britain. Ia adalah ‘pusat tahanan’ yang ketiga seumpamanya di sini, didirikan pihak berkuasa dalam usaha menghantar balik sekurang-kurangnya 30,000 pendatang tanpa izin setiap tahun.

Hakikatnya, pada hemat saya, Asrama Pelarian St Augustine, Yarl's Wood Detention Centre dan mana-mana asrama seumpamanya, bak ‘pondok-pondok kecil’ yang terdiri di tengah-tengah kebun, yang ditumbuhi sayuran segar dan pohon yang masak ranum buah-buahnya. Rama-rama, kumbang, kerengga, semut api, lalat, tupai, tikus, dan burung akan begitu terpikat dengannya, dan tentu tidak akan jemu-jemu ‘singgah dan bersarang’ di situ.

Selama dua minggu ini, ‘kebun yang subur itu’ dihinggapi isu ekonomi-politik yang agak kontroversi sebagai akibat tindakan Dyson - syarikat pengeluar vacuum cleaner - memindahkan operasinya ke Malaysia. Sementara ‘gergasi pinggan mangkuk’ Royal Doulton pula, yang mengambil tindakan menutup satu daripada kilangnya di Stoke-on-Trent, telah pun beroperasi di Indonesia.
Alasan kedua-duanya ialah untuk mengurangkan kos operasi, terutamanya faktor upah buruh yang terlalu tinggi di UK. Di sini, kerja sebagai tukang cuci sahaja dibayar antara empat hingga lima setengah pounds sejam. Apatah lagi buruh berkemahiran yang bekerja di kilang vacuum cleaner terkenal dan pengeluar pinggan mangkuk terkemuka.

Apa pun, marilah kita jadi ‘anak serigala’, dan sama-sama nyanyikan Bahai Kubur sampai habis, walaupun tak begitu tahu maknanya!

”BAHAI KUBUR, KAHIK MUNTING
ANG ALAMAN DUN AI SARI-SARI
SINKAMAS ATTALUNG
SIGARIL YAS ATMANI
SITAU, BATAU, PATANI
KUNDUL, PATOLA
UPUT KALABASA
AT SAKA MAI RUNG PANG
LABANUS MUSTASA
SIBUYAS KARMATIS
BAWANG AT LUYA
AT SAKA MAI RUNG PANG
LABANUS MUSTASA…”


foto 1: anak pelbagai bangsa di Tadika St Peters (berhampiran rumah kami). anak-anak warga asing mendapat pendidikan percuma tanpa mengira negara asal atau tujuan kedatangan ibu bapa mereka ke England.
foto 2: usah silap tafsir, ini bukan PATI yang kerja di ladang strawberi. ini kegiatan riadah bersama rakan-rakan ketika Musim Panas.

Isnin, 10 Oktober 2011

MERAH CINTA KITA

(nota awal:mohon maaf banyak-banyak kepada seluruh sahabat di alam siber yang setia dan rajin menjenguk blog saya. Sudah sebulan saya tidak pos artikel terbaru. Jadual terikat kejap dengan kerja 'membaik-pulih' manuskrip terbaru - sebuah buku umum.
Pos kali ini saya kutip daripada facebook Sri Diah Shaharuddin. Wanita dinamik ini, juga seorang novelis yang terkenal. Beliau merupakan Pengurus Besar Editorial, Grup Buku Karangkraf (GBK). Tulisannya yang dipetik itu berkaitan dengan produk terbaru GBK - antologi (novelet) remaja Merah Cinta Kita yang diterbitkan lima naskhah sekaligus. Karya saya ada di dalam siri pertama dan ketiga novelet berkenaan
.)
_________________________________________

SIRI NOVELET yang tepat untuk gadis genit. Habis sahaja UPSR dan PMR boleh baca buku-buku ini.
Untuk musim cuti sekolah nanti, ibu dan bapa disaran hadiahkan anak gedik anda lima judul terbaik ini.
Berwarna warni setiap muka surat, ada illustrasi cantik, bahasa yang standard dan 25 cerita yang amat bermoral. Ekstra...! Ada peraduan hadiah Samsung Galaxy TAb, Ipod dan telefon Blackberry.Memikirkan anak-anak gadis sukakan gajet, kami buat peraduan mudah, semua pembaca boleh jawab.
Konsep MERAH CINTA KITA ini belum pernah ada dalam pasaran negara kita. SEMUANYA bermula pada Mei 2011 sebaik selesai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Berhari-hari saya berfikir mengenai karya yang belum ada dalam pasaran untuk target anak gadis. Saya mahukan satu set khas untuk gadis genit yang tengah gedik. Cerita yang bagus. Ada moral. Ada agama. Cantik designnya. Bagus rekaletaknya. Cerita itu mestilah bersifat `dunia kita-kita' (alam remaja).
Lalu saya mengambil langkah pantas menghimpunkan beberapa orang penulis Grup Buku Karangkraf yang sedia ada, dan saya yakin dengan corak penulisan serta kepantasan cara kerja mereka. Editor perojek dilantik. Sesi bual bincang, saranan idea dan gerak kerja terus diatur.
Kami bertukar idea, membuat kajian jualan, trend semasa dan membuat perbandingan produk dalam pasaran. Sekumpulan illustrator yang kebanyakannya masih berstatus pelajar, siswa dan siswi terus kami lantik.
Mereka dibimbing membuat kerja sampingan secara lebih sistematik selain meneruskan pengajian mereka di sekolah/kolej dan universiti. Cara kerja mereka kami atur. Mereka turut diminta fokus pada projek.
Akhirnya alhamdulillah kerja `gila' ini berjaya direalisasikan pada Oktober 2011. Ya, dalam masa hanya 5 bulan dengan pembabitan 13 penulis Alaf 21 dan Buku Prima!
Maka lahirlah: MERAH CINTA KITA ‘SET PERTAMA’
Kami sudah tunjukkan kepada `sekumpulan gadis ujikaji kami'
Mereka kata:WOW CUN...! dan BESTLAH...! NAKKKK...!


PENGHARGAAN
Terima kasih kepada team Teen @ PRIMA, Managing Editor, Haji Mohd Ali (managing editor), Siti Zarinah (team editor) yang terlibat, penulis, pelukis dan pihak grafik yang beridea superb (gedik juga) sehingga terzahirnya karya yang sangat bagus dan menarik ini.

INFO:
*Satu naskhah berharga RM18
(satu set total lima naskhah - RM90)
Jika membeli di Karangkraf Mall harganya RM75
Jika membeli onlilne harganya RM90 (termasuk kos pos)
*Alamat surat-menyurat:
Karangkraf Mall Sdn Bhd
Unit Langganan
P/S 7041 Pejabat Pos Besar Shah Alam
40700 Shah Alam
Selangor
*Untuk sebarang pertanyaan berkaitan langganan sila hubungi:
Tel: 03 5101 7480/7481/7478
HP: 019 3310102
Faks: 03 5101 7483
Website: mall.karangkraf.com
*Nama Akaun: Karangkraf Mall Sdn Bhd
No. Akaun: 0142 7120 4204 (Maybank)

Rabu, 7 September 2011

CERITA MELAYU (8): “ULEK MAYANG MELENGGOK DI GONG KAPAS”

(nota awal:posting kali ini adalah susulan daripada “Tiada Melayu di wajah mereka”)


Lima belas minit selepas 12 tengahari barulah Aminuddin dan famili berundur kerana mahu beraya di Pulau Rusa (kira-kira lima minit berkereta dari Padang Paloh). Petang kemarin mereka sudah ke sana. Malangnya terpaksa berpatah balik kerana jem teruk. Tak dapat masuk simpang ke Pulau Rusa kerana terlekat hampir satu jam. Laluan ke kampung ini masih jalan lama dan sempit. Jika berselisih dua buah kereta, satu mesti meminggir dari atas jalan.
Kami tidak pasti Aminuddin berjaya akses jalan masuk ke Pulau Rusa kali ini. Besar kemungkinannya akan gagal lagi. Ketika kami keluar dari simpang Padang Paloh ke jalan besar (mahu segera ke rumah Pok Lang di Gong Kapas), tengahari itu, keadaan jalan sudah tersumbat. Terpaksa kami lari ke jalan lain, membelok masuk ke Kampung Paloh Sungai Kiat.

Sampai di rumah Pok Lang sudah 45minit lepas jam dua belas. Jika bukan hari raya, paling lama hanya memakan masa lima belas minit.

Syukur sekali apabila diberitau anaknya, Pok Lang ada di rumah. Dia tidak menziarah ke mana-mana hari itu kerana perutnya kurang sihat. Bahkan saya menunggu (tentu sambil makan-makan) hampir 20 minti barulah dia menjengah di meja makan.

Buka bicaranya tentang perut yang meragam. Lanjut ceritanya tentang kondisi dirinya selepas menjalani pembedahan jantung. Kerana ‘hal-ehwal kesihatan dan kesakitan’ termasuk dalam bidang profesion Yang Tersayang, saya jadi tukang dengar, angguk dan senyum sambil hirup kopi secawan.

Sewaktu kisah ‘kesihatan dan kesakitan’ sudah kendur, saya pun mencelah. Meluahkan keterujaan yang tersimpan lama dalam dada. Tidaklah direct saya menyebutnya. Sengaja korner dulu kepada anak sulung saya.
“Syai, inilah pencipta lagu Ulek Mayang. Seniman hebat ni! Masa mudanya segak sungguh!” Saya muncung mulut serentak dengan telunjuk menuding ke arah potret yang digantung di ruang tamu.

Pok Lang (Mazlan Embong) ini bekas guru. Sudah lama pencen. Usianya sudah cecah tujuh puluh. Hebatnya kerana dia bukan guru biasa-biasa. Zaman mudanya (akhir 60-an hingga pertengahan 70-an), dia adalah aktivis budaya (penari dan penggubah lagu) yang aktif dalam Kelab Darul Ehsan.

Selain itu, dia seorang ahli politik yang disegani pada zamannya, lantang menyuarakan ‘hasrat rakyat’. Kemuncaknya, Pok Lang pernah bertanding dalam PEMILU pada tahun 70-an.

Ketika saya mengunjukkan sekeping CD “Dendang Rakyat Terengganu”, nampak keharuan terzahir di wajah guru dan insan seni yang dedikasi ini.

CD ini mengandungi sedozen lagu tradisional rakyat Terengganu, termasuk yang digubah oleh Pok Lang.

Ketika saya usulkan musykil tentang karya ciptaannya, sambil lambat-lambat merenung lagu-lagu yang tersenarai, Pok Lang segera menuding tiga judul: Ulek Mayang, Ayun Buai Kokek, dan Pintal Tali.

Seingat saya, sejak belum sekolah lagi saya sudah mendengar dua lagu yang terawal itu.

“Ayun Buai Kokek” itu bisa sekali dijadikan ejekan atau sindiran kepada rakan sebaya atau adik-beradik yang lokek (kedekut) – tidak mahu berkongsi permainan, makanan atau apa-apa sahaja milik mereka dengan orang lain. Kekal dalam ingatan sejak zaman budak-budak lagi rangkap yang mengandungi rasa dukacita dan sindiran sekaligus itu: ‘Ayun buai kokek, Kokek ulu golok; Hok dia lokek, Hok orang dia hendok!’

“Ulek Mayang”? itu sudah jadi identiti Darul Iman. Sudah sebati dengan rakyat Terengganu. Semasa budak-budak dulu, lagu berhantu ini pernah saya dengar dinyanyikan oleh seorang bomoh wanita. Ketika itu bomoh berkenaan merawat Aweng (adik saya) yang diserang demam panas (sawang). Meremang bulu roma, besar rasanya kepala apabila sang bomoh bergendang di lantai, melintuk-lintukkan seikat mayang, dan melagukan bait-bait “Ulek Mayang” – memanggil roh tujuh puteri segera turun membantunya!

Berkesan tidak perawatannya saya tidak ingat dah. Itu kisah lama. Lagipun saya tidak dibenarkan duduk dekat-dekat melihat sang bomoh menurun.

Yang saya pasti (ini diceritakan oleh Chek – arwah ibu saya), Aweng akhirnya dihantar ke hospital di Kuala Terengganu. Sihat-segar dia sampai sekarang. Lahir sebagai graduan undang-undang yang berjaya. Dah lama jadi perunding hal-hal legal. Bahkan pada zaman kemuncak kerjayanya, sebahagian tertuduh yang dianggap hampir pasti ke tali gantung pun, ada yang terlepas kerana handal dan bijaksananya Aweng.

Datang bermain-main dalam fikiran: handalnya dia mungkin kerana didampingi roh puteri yang tujuh itu sejak kecil! Puteri yang turun merawatnya ketika Aweng demam panas!

Agaknya, jika saya bawa Aweng bertemu Pok Lang, bisa menjelma semua tujuh puteri itu di rumah guru, budayawan dan ahli politik yang banyak baktinya kepada masyarakat.

Mungkin juga Pok Lang tidak mengizinkan saya mengatur pertemuan sebegitu. Saya ini bernasib baik dilayannya berbual-bual tentang masa silamnya. Sudah lama saya kenal dia – sudah 20 tahun.

Ketika di dalam kereta menuju ke surau berdekatan untuk solat Zohor, Pok Lang ada menyebut betapa kisah silamnya itu (jadi seniman dan ahli politik) sudah lama tidak difikirkannya lagi. Dia tidak anggap itu suatu kehebatan yang perlu dibanggakan. Katanya, itu hanyalah ‘suatu persinggahan’ dalam hidupnya, yang tidak perlu dikenang lagi.
Dia lebih gemar bicara soal ‘kesihatan dan kesakitan’, tentang kesementaraan hidup, serta hal-hal berkaitan ibadah harian.

Malahan matlamatnya yang terkini: solat 40 hari berturut-turut secara berjemaah di surau atau masjid. Dia sudah amat hampir mencapainya.

Ketika kembali membelek-belek fakta yang tertulis pada kertas bekas CD, tidak dinyatakan apa-apa info tentang Pok Lang. Begitu juga penggubah atau penulis lirik lagu-lagu lain yang termuat dalam CD kompilasi ini. Yang ada, biodata ringkas mengenai dua orang penyanyi – Hafsah Yusof dan Mustafa Mohd.

Molek sungguh kalau IPTA di Darul Iman (Universiti Malaysia Terengganu atau Universiti Sultan Zainal Abidin) mengambil inisiatif menerbitkan sebuah buku terkandung di dalamnya kisah ‘perjalanan seni’ budayawan rakyat seperti Pok Lang dan rakan-rakan seangkatannya. Sebagai penghargaan untuk budayawan yang berkarya atas minat yang tinggi dan kasih mendalam terhadap seni budaya tempatan. Kerja seni dilakukan secara sukarela. Bukan kerana diumpan gumpalan wang, dan tidak sekali-kali kerana mahu mengejar glamur.

Permisi. Wassalam.

foto 1: Segaknya seorang budayawan.
foto 2: Mengimbas masa lampau
foto 3: aktivis budaya Kelab Darul Ehsan.


Isnin, 5 September 2011

CERITA MELAYU (7): “TIADA MELAYU DI WAJAH MEREKA"

Eidulfitri tahun ini sama dengan tahun lepas. Hari raya pertama lancar sekali. Selepas solat sunat Eidulfitri, menziarah waris-warah yang tua-tua. Sebelah pagi masuk kampung – Kubang Kekura, Wakaf Cik Kapor, Kuala Bekah, Pulau Musang. Yang pertama itu ialah kampung kelahiran ulamak muda Ustaz Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Kami sempat singgah beraya di rumah ayahanda belia, dan bertemu pula dengan Ustaz Zul di rumah adiknya Ustaz Hakim (hanya sepelaung dari situ).

Sebelah petang (separuh masa kedua raya pertama), mengunjungi saudara-mara yang tua-tua di Manir, Tok Jembal, Batu Buruk, hingga ke Pasir Panjang.

Semua rumah diziarahi itu milik bapa dan emak saudara sebelah saya dan Yang Tersayang. Kerana ibu dan bapa saya sudah lama pergi menemui Yang Esa, maka mereka yang tua-tua itulah menjadi penyebab saya masih terusan pulang ke Darul Iman untuk menyambut Eidulfitri.

Waris yang tua-tua sebelah saya tinggal di kampung-kampung yang jalannya masih seperti dulu – sempit dan lama. Waris-warah yang tua-tua sebelah Yang Tersayang rata-rata tinggal di sekitar bandar. Laluan ke rumah mereka selesa amat.

Tapi jalan yang sempit dan lama tidak menjadi halangan untuk kami satu famili menziarahi saudara-mara yang tua-tua. ‘Etika Eidulfitri’ mudah amat. Tradisi yang terpegang lama - yang muda mengunjungi yang tua. Tiada kesulitan apa-apa untuk sampai ke rumah mereka. Yang penting: jika hati kata mahu, maka jadi mudahlah urusan ziarah itu.

Hari raya pertama, rumah terakhir yang kami singgah di Pasir Panjang. Ingatkan mahu ke Gong Kapas (masih dalam kawasan bandar Kuala Terengganu). Sudah hampir Maghrib. Tambahan pula jalan utama mulai jem. Seperti kondisi lima tahun kebelakangan ini, setiap kali Eidulfitri, bermula petang hari raya pertama, jalan utama sekitar Bandar Kuala Terengganu jem teruk.

Kali ini kami konvoi dua kereta - Avanza dan CRV. Total ahli konvoi 14 orang – kecil besar, kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa. Kerana sepakat mahu pulang, dan rata-rata sudah sangat letih, maka kami berpatah balik ke rumah mentua saya (Hajjah Rogayah) di Kampung Padang Paloh.

Tidak kesampaian hajat saya mahu terus mengunjungi rumah Pok Lang di Gong Kapas. Kali ini terasa sangat teruja mahu beraya di rumah bekas aktivis politik ini.

Hari raya kedua.

Ikut rencana, pukul lapan sudah mahu bertolak ke rumah terbuka Mizi (adik ipar saya) di Durian Burung. Dapat panggilan awal pagi. Aminuddin dan isterinya Dr Hasni mahu singgah beraya di Padang Paloh. Kerana sudah dua kali raya tidak ketemu mereka, maka hajat mahu keluar awal, mahu mengelak jem dibatalkan.

Aminuddin dan Dr Hasni asalnya memang watan Darul Iman. Tapi sudah lama mastautin di Lembah Kelang. Anak-anaknya macam anak-anak gadis saya juga – tak reti kecek Ganu.

Bersama mereka datang beraya ialah anak jantannya Akram. Kacak anak muda ini. Kerjanya sebagai jurulatih pilot. Anak sulungnya (Nabila) pula baru sebulan kembali dari Ukraine. Graduan dalam bidang perubatan. Yang ketiga (Nadhirah) akan duduki SPM tahun ini.

Dalam rancak berbual pelbagai perkara kerana lama tak jumpa, saya sengaja ungkit tentang rupa paras anak-anak Aminuddin.
“Amin, anak-anak kamu tak ada langsung muka Melayu.”
Aminuddin ketawa kecil.
Saya terus mengusik. “Dua macam Korea. Dua lagi macam Jepun!”
Sambil terus ketawa kecil Aminuddin membalas. “Campuran Cina dengan Bangladesh!”
Pecah berderai ketawa di meja makan.

Aminuddin ini, orangnya agak gelap. Dr Hasni pula putih melepak macam Cina. Campuran kedua-duanya adalah produk ‘bukan Melayu’ lagi. Sekali imbas, jika anak-anaknya tidak bertudung, dan tidak pula bercakap Melayu, sahih orang akan kata memang bukan Melayu. Rupa paras mereka memang macam gadis dan pemuda Korea atau Jepun.

Ini adalah hakikat. Sebahagian anak-anak Melayu zaman kontemporari ini, rupa paras bukan menjadi identiti lagi. Ciri Melayu tiada di wajah mereka. Tiada Melayu di wajah mereka.

Lantas, jika dibiarkan terlekang bahasa, budaya dan agama daripada kehidupan mereka, jatidirinya lambat-laun akan berkubur tidak bertanda!

Permisi. Wassalam.

foto 1: contoh Melayu tulen? sedang takbir sebelum solat sunat Eidulfitri.
foto 2: Mudah kenal jika pakaian pun ada identiti.