Karya

Karya

Jumaat, 9 Mac 2012

PERIHAL SANG DOKTOR PERAGUT JIWA & RAGA!

(nota awal: artikel ini saya karang ketika mastautin di England dari tahun 2000 hingga 2004. Masih sangat relevan isinya dengan situasi kontemporari – tentang amanah yang terpecah dan maruah yang tertumpah).

________________________________________

Jarang orang yang gemar membaca fiksyen tidak tahu mengenai karya klasik Dr Jekyll and Mr Hyde. Sebuah kisah tentang kebaikan yang tumpas diterjang dek kejahatan insan. Perihal kemurnian yang relai berkecai dihempas kedajalan. Maka rapuh dan reputlah batas-batas yang membentengi kehaiwanan dan kemanusiaan. Di ketika itu, amanah sudah terpecah dan maruah pun tumpah.

Dr Jekyll dan Dr Hyde terhasil daripada ketajaman sensitiviti dan persepsi sang pengarang terhadap degup jantung masyarakatnya. Terkarya kisah seorang doctor yang siangnya merawat dan mengubat kerana tugasnya yang murni. Malamnya, doctor itu jadi begitu bengis dan ganas kerana belas ehsannya terhakis dek nafsu kebinatangan yang tak terkawal.

Itu hanyalah sebuah fiksyen. Benar betulnya sukar diukur kerana pokok pangkalnya: itu hanyalah cerita rekaan yang lahir daripada imaginasi pengarang. Namun begitu, ia tetap sebuah karya yang punyai harga kerana moral yang terbawa mengungkit pelbagai persoalan tentang kemanusiaan, yang boleh sahaja dibikin jadi sempadan dan teladan.

Karya itu, sebuah rekaan yang terbaca lama dulu (zaman sekolah rendah lagi), seakan terasa betul pula jadinya, jika ditonton filemnya (judul serupa) yang diterajui aktor Michael Caine. Tafsiran pengarang melalui buku yang diadaptasi ke filem, turun menjadi realiti di alam fana, apabila peristiwa benar serupa kisah Dr Dr Jekyll and Mr Hyde terjadi di bumi Orang Putih ini.

Kisah Satu: URAT YANG PUTUS, SARAF YANG TERSIMPUL

Jumaat 15 Mac 2002.

Seorang pakar saraf Dr Brian Phillips dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan lapan serangan seksual terhadap pesakit wanita dalam tempoh sepuluh tahun antara Ogos 1989 hingga Disember 1999. Doctor pencen yang kini berusia 70, dituduh melakukan perbuatan sumbang itu di bilik perundingan Hospital Sancta Maria, Swansea. Seorang daripada mangsanya pernah dirujuk kepada pakar itu kerana sakit kepala.

Dengan segala kepakaran yang ada, Dr Brian dikatakan melaksanakan pemeriksaan yang bukan sahaja begitu rapi tetapi luar biasa pula hinggakan tersasar tangannya menyelinap ke medan larangan di dada pesakitnya itu. Alasannya? Mahu mengesan jika ada apa-apa ketulan yang tersembunyi di situ. Rasional yang diberikan pakar saraf ini, betapa sakit di kepala boleh pula menyebabkan ketumbuhan di dada!

Kisah Dua: YANG SAKIT...PAKARNYA, PUAN!

Sabtu 9 Mac 2002.

Seorang pakar sakit puan Dr Paul Vinaal ditarik balik lesennya setelah Sheffield Crown Court mensabitkannya dengan kesalahan mencabuli dua pesakit wanita. Dr Paul yang menjadi perunding selama 20 tahun di beberapa hospital dalam wilayah Yorkshire, dikecam oleh rakan-rakan sejawatnya kerana menyalahguna kedudukan dan kepakarannya ‘memerangkap’ pesakit yang ‘tidak berupaya’. Bahkan dia dikatakan sesat kerana kaedah pemeriksaan yang dilakukannya dianggap menyimpang sekali.

Apa tidaknya, ketika memeriksa seorang bidan (pada tahun 1991) dan seorang wanita mengandung (pada tahun 1995), Dr Paul dilaporkan ‘menjalankan tugasnya’ dalam keadaan kedua-dua pesakitnya itu merangkak tanpa seurat benang jua. Pakar ini dikatakan turut memeriksa pesakitnya dengan begitu intim melampaui ‘malu dan yang sulit-sulit’ atas alasan perubatan dan kesihatan.

Dr Paul Vinaal yang kini berusia 53 tahun, dikira sangat bernasib baik kerana dibebaskan daripada tiga tuduhan serangan seks yang lain. Tambah bagus nasibnya kerana pihak juri gagal membuat sebarang keputusan terhadap 26 tuduhan lagi.

Walaupun bersalah, dia tidak dipenjarakan kerana menghidapi sakit jantung dan kemurungan yang serius. Realitinya, bukan puan yang sakit, tuan doktorlah yang sakit!

Kisah Tiga: JARUM SUNTIKAN MALAIKAT MAUT!

31 Januari 2000.
Juri Preston Crown Court mensabitkan Dr Harold Fred Shipman dengan 15 kes pembunuhan dan memalsukan wasiat pesakitnya. Kaedah Shipman membunuh pesakitnya tidak ganas. Dengan jarum suntikan, dalam diam Shipman menyalurkan dadah berlebihan kepada mangsanya. Akibatnya membawa maut kepada 15 pesakitnya, yang rata-rata wargatua - wanita berumur antara 57 hingga 81 tahun.

Shipman terperangkap setelah menjerat mangsanya yang terakhir, Kathleen Grundy, janda umur 81, pesakit setia yang tidak merujuk lain doktor dan dikatakan begitu menghormati doktor peribadinya itu. Tapi kali ini Shipman bertindak agak berlebihan. Kathleen ditemui mati pada 24 Jun 1998 kerana disuntik morphine berlebihan oleh Shipman. Janda itu dikatakan mewariskan pula harta pusaka bernilai £386,402 kepada doktornya.

Sang doktor yang kejam rupa-rupanya telah ‘menjerut lehernya’ sendiri kerana bertindak meniru tandatangan Kathleen. Tandatangan saksi-saksi di surat wasiat didapati palsu belaka. Ketika penyiasatan dilakukan di klinik Dr Shipman, pihak polis menemui mesin taip yang digunakan untuk menulis surat wasiat Kathleen.

Kini Shipman menghabiskan sisa hidupnya dalam penjara. Sesekali mucul di mahkamah kerana masih banyak kesnya yang belum habis bicara. Masih ada 400 lagi tuduhan membunuh terbeban di atas kepalanya.

Anda tahu di mana Shipman menjalankan tugas-tugasnya?

Di sebuah tempat bernama Hyde, di Greater Manchester. Inilah Dr Jekyll and Mr Hyde yang sebenarnya!

NOTA HUJUNG: Mencari Realiti Dalam Fiksyen

Begitulah, apabila kejahatan terjadi dan tidak terbendung kerana sukarnya kita meneka kedurjanaan-kedurjanaan yang berselindung di sebalik kemurnian. Keliru kita dibuatnya apabila amanah dan kepercayaan begitu mudah dikhianati, dan maruah sudah tiada harga lagi. Maka hilang lesaplah milik dunia yang baik-baik.

Barangkali bagus jika kita kembali menghayati novel Tok Guru karya SN Shahnon Ahmad.
Mentelaah realiti yang terkisah dalam sebuah fiksyen. Tentang amanah yang terpecah, perihal kemurnian yang didurjanakan, dan maruah yang tertumpah.

Permisi. Bisa ketemu lagi.

catatan sumber:
Kisah Satu (kes Dr Brian Phillips). Daily Express, Jumaat 15 Mac 2002
Kisah Dua (kes Dr Paul Vinaal). Daily Express, Sabtu 9 Mac 2002
Kisah Tiga (kes Dr Shipman). http://www.nhi.clara.net/shipman

foto: salju dan manusia. indah yang sebentar. hidup yang sementara.