Karya

Karya

Jumaat, 31 Ogos 2012

nota syawal (3) HERO GANU SEBELUM EMAN MANAN

Syukur ke-hadrat Ilahi, saya dikurniakan keluarga yang besar. Adik-beradik saja, kalau dicampur lelaki perempuan, boleh buat satu pasukan bola. Itu tidak termasuk total enam lagi di sebelah Yang Tersayang – yang bisa dilantik jadi jurulatih, ahli fisio dan pengurus Kelab Bola Pulau Musang. Sebab ada jugak ipar yang berdiri gah sebagai ahli korporat yang begitu sukses, barangkali tidak sukar untuk dia menjadi penaja!

Meriah dengan pelbagai warna pelangi Aidilfitri. Itu gambaran raya keluarga besar kami. Tiga hari pertama raya, tidak bisa ke lain. Rumah terbuka diadakan di kalangan adik-beradik sudah dimulai hari pertama lagi. Enam adik-beradik saya masih tinggal di Kampung Pulau Musang. Kerana itu rumah terbuka diecer kepada tiga hari berturut-turut.

Jadual raya jadi sendat. Pagi selepas solat sunat aidilfitri di surau pusaka Ayahanda Bonda, kami langsung masuk kampung (Kubang Kekura – kampung kelahiran Ustaz Dr Zulkifli al-Bakri), beraya di rumah orang tua-tua – nenek, bapa dan mak saudara. Rumah-rumah sepupu yang terbina di kampung yang sama, dikujungi sekali harung.

Selesai mengunjungi saudara tua-tua, adik-beradik dan sepupu di Kampung Pulau Musang dan Kubang Kekura, saya akan menyertai pula konvoi sebelah Yang Tersayang.

Keluarga saya asal di kampung, dan majoriti masih kekal di kampung, walaupun tak seorang pun kerja kampungan. Berlainan dengan keluarga sebelah Yang Tersayang. Konvoi ipar-duai yang saya sertai akan beraya di Bandar Ganu. Rumah orang tua-tua yang menjadi kewajipan dikunjungi tiap tahun letaknya di Pasir Panjang. Kira-kira sepuluh minit dari Kuala Terengganu.

Antara deretan rumah waris-warah yang terdiri bersempadan dengan Sekolah Menengah Tengku Bariah (kakak ipar saya jadi penolong kanan di situ) ialah rumah Haji Yaakob. Bapa saudara Yang Tersayang. Kami memanggilnya Wak Akob. Dia antara dua adik-beradik bapa mentua saya yang masih ada. Enam yang lain (termasuk mentua saya), sudah kembali ke alam baqa.

Orangnya peramah. Mudah senyum. Tingginya lima kaki sebelas. Usia sudah hampir cecah lapan puluh, masih tegap.

Saya gemar amat berbual dengannya. Lelaki segak yang berasal dari Kota Singapura ini banyak pengalaman. Jika pandai cungkil, timbul cerita yang bagus-bagus. Bisa dijadikan teladan dan sempadan. Kalau mahu sembang politik Ganu, inilah antara orang yang bisa bicara secara objektif kerana pengalaman bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Malahan dia mengenali agak dekat tokoh-tokoh politik Darul Iman (yang lama dan baru, yang memerintah dan yang membangkang).

Raya kali ini, bukan cerita politik yang timbul. Saya tidak minat mencungkil bab yang tidak berapa pasti itu. Kerana soalan dan jawapan yang basi tentang ‘bila pilihanraya’, dan ‘siapa akan menang’ tidak menarik minat saya.

Kali ini saya sudah set, mahu ungkit musykil lama: Benarkah Wak Akob ditawarkan berlakon dalam filem Melayu?

Sambil tersenyum dan ketawa kecil, Wak Akob berkisah. Saya tulis semula, dan turunkan ringkasannya kira-kira begini:

Itu cerita zaman muda-muda dulu. Waktu itu Wak Akob belum lima tahun hijrah di Terengganu. Awal tahun 1960. Ada shooting filem Cucu Datuk Merah di Chendering. Heronya, Nordin Ahmad. Pasangannya, Latifah Omar. Ketika penggambaran, pihak produksi ambil kesempatan, nak cari bakat di kalangan orang-orang muda Terengganu. Tersebarlah berita di seluruh bandar. Tapi tak ada pemuda Terengganu sanggup sahut cabaran. Tiada yang berani tampil. Tak berani baca skrip. Tak sanggup buat lagak ikut arahan. Antara yang mendengar cabaran itu ialah orang-orang muda yang aktif dalam Kelab Darul Ehsan. Kelab seni budaya Kuala Terengganu. Mereka juga tidak berani ke depan. Tapi tetap terasa maruah pemuda Terengganu sudah tercemar. Di kalangan mereka bersetuju, hanya seorang yang dapat menyelamatkan maruah pemuda Terengganu. Maka wakil Kelab Darul Ehsan pun bergegas ke deretan kedai berhampiran Pasar Kedai Payang. Waktu itu, orang yang dicari sedang berkerja di sebuah kedai kain. Tanpa diberitau sebabnya, jejaka yang hanya pakai singlet dan kain pelikat itu didesak supaya segera memakai seluar slack dan kemeja. Apabila dia bertanya, jawapan diberikan ringkas: Jangan tanya. Kamu mesti tolong. Ini maruah kita. Maruah orang Terengganu!

Maka terpaksalah orang lain menggantikan tugas jejaka tadi menjaga kedai kain tersebut. Sewaktu screen test itu, diberikan skrip dan diuji cara berjalan dan lagak yang pelbagai. Keesokan hari, jejaka berkenaan diperkenalkan kepada Hero Malaya yang original - Nordin Ahmad.

Orang yang membawa jejaka itu ke rumah penginapan pelakon Latifah Omar. Ketika itu Nordin Ahmad sedang menunggu Latifah Omar bersiap-siap. Mereka ada dating. Lantas (dengan nada bangga berbaur cabaran) ditanyai pelakon handalan itu begini, “Nordin, boleh challenge?”

Dengan lagak sang hero, Nordin Ahmad menjawab, “Ah, siapa-siapa pun boleh!” Sebentar kemudian dia berlalu bersama seniwati anggun Latifah Omar.

Tidak berapa lama selepas itu, sepucuk surat daripada syarikat perfileman sampai di tangan jejaka Terengganu yang pernah cuba diadu dengan Hero Malaya Nordin Ahmad. Ia surat tawaran untuk berlakon dalam filem Tajul Asyikin. Bukan watak utama. Tapi berpeluang berlakon di samping Nordin Ahmad.

Kerana tidak mendapat restu ibunya, pemuda itu menolak tawaran keemasan itu. Jika tidak, kerana bakatnya terserlah ketika screen test, mungkin dia bisa menjadi hero filem Melayu macam Nordin Ahmad. Mungkin dia bisa menjadi Hero Ganu yang pertama sebelum Eman Manan.
Saya kira, anda udah bisa teka siapa jejaka hebat itu. Orang Ganu waktu itu sampai berani adukan dia dengan Nordin Ahmad!

Tak lain, dia ialah bapa saudara Yang Tersayang. Duduknya di Pasir Panjang. Sudah masuk kategori veteran. Tapi lagak hero itu – tegap, segak, senyum menawan, mata memikat, petah bicara, berani, dan tahu agama – tetap terserlah pada diri Haji Yaakob. Dialah yang kami panggil Wak Akob.

Inilah ‘Hero Ganu sebelum Eman Manan!’

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto 1&2: Wak Akob di samping isteri, anak, menantu, cucu dan anak-anak saudara.
foto 3: sekali imbas macam Nordin Ahmad!

Khamis, 30 Ogos 2012

nota syawal (2) KENAPALAH BEREBUT NAK KAWAN DENGAN SETAN!

Nota syawal (1) “JEMBALANG YANG MENGGILA DI FAJAR AIDILFITRI” menarik perhatian beberapa kawan lama.Yang bagusnya, reaksi yang dicatat dalam fb itu bukti mereka prihatin kepada nasib segelintir anak bangsa yang tidak tentu hala haluan hidupnya. Yang sangat menarik perhatian ialah catatan seorang sahabat.

Begini diturunkan yang originalnya:

1) Ni adalah hasil dari 'berkawan dengan syaitan yang baik yang kita kenali'. Setelah 55 tahun benih disemai kini kita sedang mengutip hasilnya.

Catatan itu disanggah pula oleh seorang sahabat yang lain.

2)apakah bezanya dgn ungkapan "kito sanggup kerjasamo denge setan asalkan umno tumbang"

Sudah terang lagi lagi bersuluh. Tidak perlu dinyatakan siapa di sebalik ungkapan-ungkapan yang dikutip untuk jadi bahan hujahan. Walaupun dipetik secara bebas dan tidak betul-betul dikutip sebagaimana kata-kata tuan punya yang asal, siapa-siapa yang biasa ikuti perkembangan politik Tanah Bonda, boleh teka dengan serta-merta. Yang pertama itu diangkat daripada ungkapan bekas seorang PM. Yang kedua itu pula dipetik daripada bicara seorang MB yang masih memegang tampuk kuasa.

Tidaklah kita ingin lanjut bicara untuk tunjuk siapa-siapa yang benar. Kerana yang benar itu belum tentu betul. Begitulah juga sebaliknya. Kerana dari suatu segi, ini adalah kemahiran dua tokoh yang sudah sampai makam Mahaguru Politik. Terjerat kita, jika bicara mereka itu dibaca tanpa tafsir. Diambil bulat-bulat tanpa melihat konteks suasana dan latar masa. Jadi makin parahlah jika hanya dicabut daripada teks yang lengkap. Mudahlah kita melakukan kesilapan tafsiran yang berlanjutan.

Kena tengok jugak apakah ungkapan itu terlontar ketika ceramah depan ratusan ribu penyokong totok atau sekadar ditulis dalam blog. Jika terjadi di depan khalayak yang fanatic, maka kena tengok pulak bagaimana nada dan gerak badan penuturnya. Jika ditulis dalam blog, mesti ditengok artikel itu secara keseluruhannya.

Kalau ikut ilmu yang saya pernah pelajari di kampus lama dulu, ungkapan (1) dan (2) di atas tadi itu dinamakan retorika politik. Kedua-duanya boleh nampak begitu neutral, tiada racun apa-apa, tapi bergantung kepada khalayak sasarannya untuk menilai. Penilaian itu bergantung pula kepada latar sosio, ekonomi dan politik khalayak berkenaan.

Andainya khalayak daripada parti yang bertentangan, maka mudahlah jadi melenting. Jika khalayak daripada ‘satu kapal’, lantas jadi betul dan benarlah belaka ungkapan itu.

Asasnya yang perlu dipersoalkan: kenapa ghairah sangat mahu berkawan dengan syaitan? Kenapa cakap sampai tak bertapis mahu syaitan dijadikan analogi untuk menghentam sesama Islam dan orang sebangsa?

Baru lepas seminggu bulan Ramadhan al-Mubarak, baru lepas seminggu syaitan kembali terlepas daripada belenggu, kita sudah riuh memukul gendang perang.

Sungguh malang kerana yang nak diperangi itu bukan syaitan yang kembali buat onar. Yang mahu diperangi habis-habisan itu sesama kita belaka. Sebangsa seagama. Yang nak diajak jadi sekutu (sahabat) nak punah-ranah sesama kita itu, musuh yang amat nyata – syaitan yang dilaknat Allah!

Kepada sahabat yang minta saya komen tentang hal ini, jawapannya begini:

Inilah Retorika Politik. Waspada. Gendang perang sudah dipukul bertalu-talu. Kita tak usah tersilap tafsir. Cakap orang politik itu kadang-kadang macam badai menghentam kapal.Kadang-kadang macam ribut memukul senduduk. Janganlah kita berfikiran melulu, dan jadi kapa, atau senduduk itu. Khuatir nantinya, kita pula yang terjerat dan sibuk berebut nak berkawan dengan setan!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

Isnin, 27 Ogos 2012

nota syawal (1) JEMBALANG MENGGILA DI FAJAR AIDILFITRI

Suatu kebiasaan, Subuh satu syawal saya akan solat di Masjid Durian Burung. Kira-kira sepuluh minit saja dari rumah pusaka Bonda di Kampung Pulau Musang. Menjadi kebiasaan juga (sejak lima tahun kebelakangan ini), malam raya Yang Tersayang tidur di rumah ibunya, manakala saya dan anak-anak akan menginap di rumah pusaka di Pulau Musang. Rumah bonda saya itu pada hari-hari biasa hanya dihuni oleh Hajah Azizeh, kakak saya yang ke-2. Kadangkala dia ditemani anak-anak saudara yang kelapangan (lazimnya ketika cuti semester). Lebih banyaknya dia ditemani dua tiga orang budak-budak surau yang belajar mengaji dengannya.

Kerana kenang-kenangan waktu zaman remaja di rumah itu amat kuat, dan terasa terpanggil menemani kakak yang keseorangan itu, saya dan Yang Tersayang kompromi untuk berlainan rumah ketika di ambang Syawal. Bukan selalu. Sekali setahun saja. Lagipun, dia anak sulung, molek sangat menginap di rumah ibu bapanya. Apatah lagi, sudah dua kali Aidilfitri, ibu mentua saya menjalani hidup tanpa suami kesayangannya – Haji Mohd Amin – yang terlebih dahulu pulang ke pangkuan Yang Maha Pencipta.

Kerana sudah biasa terkejut awal untuk bersahur, lima belas minit sebelum lima saya sudah terbangun. Selepas stabil kondisi tubuh badan, dan matanya pun tidak layu lagi, saya telefon Yang Tersayang, berpesan akan mengambilnya dalam masa dua puluh minit. Mahu bersama-sama solat subuh di Masjid Durian Burung. Melihat anak-anak masih lena, dan nampak sangat keletihan (tidur lewat kerana menolong Kak Ara mencucuk satay dan menyusun kuih-muih), saya tinggalkan saja gadis-gadis remaja itu. Bisa dikejutkan mak saudara mereka jika sudah masuk waktu solat.

Ketika sampai di Kampung Padang Paloh, baru pukul lima setengah. Dua puluh minit lagi azan Subuh di pagi satu Syawal akan dilaungkan. Tapi saya terasa amat khuatir. Hajat mahu berjemaah di Masjid Durian Burung mungkin terpaksa dibatalkan.

Ketika menghampiri simpang empat (kanan adalah jalan ke masjid, kiri ke Padang Paloh, terus akan ke Losong), sudah mulai rasa tak sedap hati. Terlihat sebuah kereta peronda diam di tepi jalan, lampu amaran di atas bumbungnya berkelip-kelap tak henti. Beberapa pemuda bercongok di bahu jalan. Lima enam buah kereta dan motosikal parkir tidak jauh dari kereta peronda. Tidak kelihatan anggota polis berkawal. Saya agak semuanya diam di dalam kereta.

Dua ratus meter sebelum sampai ke jalan kecil masuk ke rumah ibu mentua saya, kelihatan asap berkepulan dalam cahaya yang terang dan bunyi yang membingit.

Rasa hampa terus menerpa. ‘Ah, kalau macam ni, tak jadi solat di masjid!’

Tapi, datang membisik juga dalam hati, agar Allah memberikan laluan kepada saya dan Yang Tersayang untuk tersampai hajat mahu ke Masjid Durian Burung.

Sewaktu mahu membuat U-turn untuk ke masjid, jelas benar, kami sudah terhalang. Tidak bisa bergerak. Terlalu banyak motosikal menderam tapi tidak bergerak, memenuhi jalan besar itu. Beberapa buah kereta yang lain, juga tersekat di situ. Asap berkepulan keluar dari ekzos, bunyi bising memekakkan telinga. Nampaknya, tiada sesiapa berani keluar dari kereta untuk menegur atau meminta laluan. Anak-anak muda yang ramai-ramai bermotosikal di atas jalan besar itu tidak mengendahkan sesiapa. Ada juga yang mundar-mundir tanpa baju. Tidak nampak pun kereta peronda yang saya lihat parkir tepi simpang empat datang menyelamatkan keadaan.

Tiada apa bisa dilakukan. Jika digagahi mahu hon atau memekik minta laluan, khuatir kami pula akan ditimpa kecelakaan. Lima minit menunggu, tiba-tiba budak-budak muda itu bertempiaran. Ada yang berlari anak, ada yang memecut motor. Tidak tentu hala belaka. Hentam keromo saja. Tidak kira arah mana. Main redah saja.

Syukur. Jalan besar tidak terhalang lagi. Tak sampai sepuluh minit, kami sudah sampai di perkarangan Masjid Durian Burung, ketika azan belum berkumandang. Sempat berbual dengan seorang Pak Haji.
Sambil menggelengkan kepala nampak sangat dukanya ketika bicara, “Dua tiga malam lepas, nak ke masjid kena tunggu dekat setengah jam. Budak-budak ni sekat jalan. Simpang empat jadi jam. Tiap hala penuh dengan motosikal. Beratus-ratus motosikal. Kita nak gerak pun tak boleh. Kena tunggu sampai budak-budak tu lari! Polis tengok saja. Tak boleh buat apa-apa!”

Seorang yang nampak sama saja usianya menyampuk, “Kalau bangun awal-awal mari masjid, tak apa jugak. Ni jadi jembalang. Sekat orang nak solat Subuh. Dah punah budak-budak kita ni! Buat gila di pagi raya!”

Lelaki yang rasa-rasanya sudah pencen ini, merendahkan suaranya. Dia menjebik ke arah rakannya yang berdiri di depan saya. Nampak macam agak hati-hati pula dia bersuara, "Dua tiga bulan lepas...budak-budak ni dapat lesen besar. Ada orang besar negeri kita rasmi kelab baru. Molek benar untuk budak-budak nih. Kelab Rempit! Sebab tu budak-budak ni jadi besar kepala! Bukan makin baik. Tambah teruk jadinya. Orang nak pergi masjid pun susah! Tu yang saya kata...budak-budak ni dah jadi jembalang! Tak takut kat siapa-siapa. Tak dok orang boleh halang!"

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto 1 & 2 : jembalang yang menyekat laluan ke masjid di fajar Aidilfitri

Selasa, 14 Ogos 2012

madrasah ramadhan (8) “HEBATNYA AURA IMAM MUDA!”

Kita mulai bicara dengan imbas kembali kepada Forum Perdana Ehwal Islam di TV1, di ambang Ramadhan, seorang panelis buat analogi macam ini:

Cara orang puasa boleh dibahagi tiga tahap macam Bola Piala Dunia. Pusingan awal, banyak negara yang menyertai. Bahagian dua (suku akhir dan separuh akhir) pasukan yang berkualiti saja layak. Bahagian ketiga ialah final, yang betul-betul kuat saja yang bertanding. Begitulah dengan orang kita di Bulan Puasa. Minggu awalnya (fasa satu), ramai yang memeriahkan surau dan masjid. Masuk minggu kedua dan ketiga (fasa dua), mulai susut jemaah yang mendirikan solat malam – tarawih dan witir. Tiba minggu keempat (fasa tiga) – sepuluh malam yang terakhir, maka macam final bola jugak. Tinggal satu saf. Inilah jemaah yang benar-benar berkualiti – punyai kekuatan jasmani dan rohani untuk terus mengimarahkan malam-malam Ramadhan dalam pencarian keredhaan-Nya dan menjadi orang yang bertakwa.

Malam Jumaat, 21 Ramadhan 1433H. Sepuluh malam yang terakhir.

Rupa-rupanya analogi ustaz yang terkenal itu tidak terjadi di surau kami. Sejak Maghrib lagi surau sesak, hingga jemaah rapat ke dinding belakang. Cuma tak melimpah macam malam pertama Ramadhan. Sebahagian jemaah, tidak biasa dilihat pun ketika hari biasa bulan biasa. Sebilangannya langsung tak dikenali. Bilangan anak-anak muda ramai jugak, tapi tidak cecah separuh. Yang veteran masih majoriti. Anak-anak kecil pun ramai, tapi banyaknya duduk di luar. Bersedia untuk bermain mercun, lumba basikal dan berkejaran tak tentu hala.

Terasa meriah dan makmur surau kami kembali semula. Mula malam sepuluh terakhir, datang suntikan semangat baru di kalangan jemaah. Sebabnya?

Sudah tiga empat hari dihebohkan, Imam Muda akan datang ke surau kami! Imam Muda akan bersama ibadah dengan anak khariah dari Maghrib hingga Qiamullail!

Beberapa minit sebelum Isyak, setiausaha surau beritau Imam Muda sudah pun ada di kalangan jemaah. Maka kepala masing-masing pun tidak diam mencari ke kiri dan ke kanan. Mudah nampak. Orangnya memakai jubah kelabu dan kopiah agak tinggi yang ada corak – ala orang Yemen. Soksek-soksek pun mulai berberung. Tapi tidak lama kerana bilal sudah iqamah.

Selepas Isyak diadakan tazkirah. Jemaah masih sendat. Saya ambil peluang ketik kamera. Hala kepada Imam Muda. Terasa tersimbah malu jugak, kerana tiada orang lain yang buat begitu. Jadi sekali itulah saja saya mengetik kamera!

Imam Muda Yusof. Peserta musim pertama, program yang mencetuskan fenomena. Dunia penyiaran kebangsaan dan masyarakat sama-sama terbangun, mencekak pinggang, geleng kepala dan terbeliak.

Inilah aura seorang Imam Muda. Maka ramai jemaah menyempurnakan tarawih dan witir. Di hujungnya, sebahagian menyertai Imam Muda Yusof menjamah kuih-muih dan menghirup Nescafe panas di bawah khemah.

Cuma terdengar jugak keluhan hampa di kalangan jemaah. Imam Muda Yusof tidak dapat menyertai Qiamullail. Tidak boleh bersama-sama mendirikan malam yang akan terisi dengan zikir munajat, solat sunat tasbih, tahajjud, taubat dan akhirnya bersahur sekali. Imam Muda punyai program di tempat lain. Jadualnya ketat amat.

Ketika mahu dimulai Qiamullail pada jam 3.45 pagi, dalam bening suasana, rasa ada sesuatu yang ‘hilang’. Tiada meriah waktu tarawih dan witir. Tiada jemaah sendat hingga ke dinding belakang. Ruang solat jadi rongak. Ketika saf didirikan, total jemaah tak sampai lima belas.

Ugh, datang surau ramai-ramai pada awal malam tadinya kerana Imam Muda atau mahu mencari nikmat dan rahmat Malam Seribu Bulan?

Tapi tabik kita kepada Imam Muda. Usia belum tiga puluh sudah begitu trampil dalam kerja dakwah. Mantap pula dalam ilmu keagamaan. Terbukti kuat gelombang auranya. Jadi magnet menarik anak khariah ramai-ramai memakmurkan surau kami.

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto: berbual dengan IMAM MUDA HASSAN - juara musim kedua. Ini bukan di surau kami. Tempat lain, situasi berbeza. Ada kisah di sebaliknya. Kita bicara di lain kali. InsyaAllah.

Jumaat, 10 Ogos 2012

madrasah ramadhan (7) "PENYAMUN VETERAN DICEKUP SEBELUM SAHUR!"

nota awal:
bisa diambil iktibar daripada hadis Rasulullah saw, diriwayatkan oleh Abu Hurairah (shahih Bukhari dan Muslim).
1. “Tidak masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasa aman daripada kejahatannya.”
2. “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya.”


___________________________________________________


Hari ke-20 Ramadhan, 1433H.

Tahun ini ada enam imam yang mengetuai solat tarawih di surau kami mengikut giliran. Imam tetap hanya seorang - Ustaz Iqbal. Seorang hafiz yang sedang menyiapkan tesis sarjana. Bacaannya jelas dan lunak. Tazkirahnya pula sesuai dengan sifat sarjananya - ada elemen ilmiah. Asalnya dari Tanah Seberang. Pernah mengaji lama di Timur Tengah.

Sudah tujuh tahun dia menjadi imam di surau kami. Dia jugak yang ajar mengaji budak-budak di kawasan ini. Kelas dewasa pun ada. Tapi tak formal. Kalau ada tahlil, dia yang menjadi penghulunya.

Jika cuti raya, dan majoriti penduduk balik kampung, ustaz dinamik ini bersama dua rakannya, bertugas meronda kampung kami. Jadi pengawal kampung pulak dia. Kebajikannya itu sangat besar nilainya kerana ketika orang lain bergembira di kampung, Ustaz Iqbal dan regunya menggalas mandat mempastikan kampung kami tidak sembarangan dicerobohi penyamun dan penyangak. Berkorban dia dan kawan-kawannya (bersekang mata dan berhabis masa) bersedia menghadapi risiko apa-apaan 'demi kedamaian Aidilfitri' penduduk yang lain, yang sudah berpestaan di kampung-kampung asal mereka.

Aidilfitri tahun lepas, tiada terlapor kecelakaan apa-apa di kalangan penduduk. Tidak terdengar ada rumah dicerobohi ketika cuti Aidilfitri. Nampak gaya, Ustaz Iqbal dan gengnya sudah menjalankan tugas rondaan dan kawalan yang bagus sekali.

Sebenarnya, ketika itu kami sekampung dalam kebimbangan. Pada awal Ramadhan lagi kes pecah rumah sudah berlaku. Ada kalanya satu malam sampai tiga empat rumah diceroboh penyamun. Rumah kenalan saya ditimpa kecelakaan sewaktu dia dan isterinya tarawih di surau.

Seriusnya kes kecurian itu hinggakan AJK kampung berusaha mengadakan temu-bincang dengan pihak polis. Nasihat akhirnya daripada pihak lelaki uniform biru itu kira-kira begini:

"Terserah kepada penduduk jugak. Nak harapkan polis saja, kami tak cukup tenaga. Tak sempat untuk kawal setiap kampung atau kawasan perumahan di seluruh Kajang. Jika penduduk bersepakat, kes jenayah di sini boleh dibendung. Tapi ada penduduk (di kawasan lain) bukan saja tak ambil berat, tak sepakat, tak ada semangat kejiranan...malahan buka lampu di parkir kereta sendiri pun tak nak. Macam-macam alasannya. Membazir. Kadang-kadang terlupa nak tutup sebab nak lekas pergi kerja. Kalau kena buka lampu jugak, kerajaan patut beri subsidi kos elektrik untuk sekuriti. Lagipun, tak boleh buka, mudah penyamun nak buat kerja dalam cerah!"

Atas semangat kejiranan, kampung kami mengadakan rondaan sepanjang Ramadhan tahun lepas. Ramai penduduk yang mendaftar dan bergiliran bertugas. Sempat juga saya dan geng (Wan, Mukrim dan Razman) menyelit. Meronda jugak empat kali. Dari jam dua hingga empat pagi. Slot yang kami pilih biasanya hujung minggu.

Lepas habis waktu ronda, kami lepak di beranda surau. Yang seronoknya, Razman selalu bawak bekal satu tarmos kopi panas diiringi sandwich atau bihun. Razman ni tauke katering. Isterinya handal memasak. Apa pun makanan yang dibawanya gerenti sedap.

Betul sungguh ungkapan yang selalu dimainkan dalam kempen rukun tetangga: 'Jiran Sepakat Membawa Berkat'.

Kekerapan penduduk buat ronda-ronda itu, geraf kecurian gelonsor turun. Kami pula makin rapat dan saling memahami. Jika tak ada rondaan ini, nak jumpa di hujung minggu pun payah. Sibuk komuniti profesional Melayu ini macam tak ada noktah. Faedah yang paling mahal, kami jelajah segenap pelosok kampung ini. Tahu semua lorong dan rumah di kejiranan kami. Razman yang jadi tukang beri info. Dia kenal semua orang.

Ketika meronda kami pakat bergilir kereta. Kali pertama kereta Mukrim. Kali kedua kereta Razman. Sebenarnya teksi. Di samping buat katering, kadang-kadang Razman jugak memandu teksi.

Meronda kali kedua itu yang paling mengujakan. Kerana tersilap komunikasi, kami terus meronda tanpa mengambil lampu kelap-kelip yang macam terlekat di atas kereta polis tu. Yang ada dua lampu suluh saja. Jurupandu Razman. Tukang suluh Wan. Galak jugak dia menyuluh rumah-rumah yang dilintasi. Kadangkala lama dililau pancaran lampu ke beberapa rumah yang agak gelap persekitarannya.

Ketika masuk satu jalan kecil tanpa tar, yang gelap tiada lampu jalan, ralit kami melihat gelagat seekor musang bermain di celah-celah pokok yang renek. Tidak hirau langsung ia akan kehadiran kami.

Sebaik Razman pulas stereng, pusing balik masuk semula ke jalan besar, tak sampai lima meter, tiba-tiba muncul sebuah Kembara. Cara dipandu ganas jugak. Macam nak dirempuh teksi Razman. Mujurlah teksi itu dipandu amat perlahan. Sempat dibrek cemas. Kembara itu pula cepat sekali dikilas dan berhenti betul-betul di depan teksi. Kami terus terhadang. Terpinga-pinga jadinya! Apakah pencuri sudah jadi perompak yang ganas? Sudah main kasar, mahu rompak cara terang-terangan?

Kereta sendat dengan rasa kaget. Saya pegang kemas-kemas rotan sebesar satu inci, sepanjang tiga kaki. Kalau dibalun kepada siapa-siapa boleh patah tulang! Mukrim yang duduk di sebelah saya hanya diam. Tak nampak reaksi segera daripada Wan. Saya tahu dia gedebe. Ujian sudah datang untuk si gedebe! Razman yang muka bengkeng tu pun nampak tenang saja. Cepat dia turunkan cermin di sebelah Wan kerana dua lelaki bergegas dari Kembara menuju ke situ.

Pintu Kembara dibiar terkangkang. Gaya jalannya macam samseng jalanan. Seorang tubuhnya sasa dan tinggi. Kedua-duanya pakai jeans dan t-shirt sendat. Yang berbadan sederhana mendekati pintu sebelah Wan dan menyapa. "Kami polis! Encik nak ke mana pagi-pagi buta ni?"

Wan tidak segera menjawab. Razman lebih cepat memotong, dan menerangkan serba-serbi. Dia petah bicara. Pandai dia buat ayat.

Rupa-rupanya berlaku kekeliruan. Ada penduduk yang telefon ke balai, beritau ada penyamun merayau-rayau dengan sebuah teksi. Menyuluh dan mencari-cari rumah yang bisa dicerobohi.

Ugh, silap kami jugak. Tak pasang lampu kelip-kelap di atas bumbung teksi macam kereta peronda polis. Kami ingat itu perkara enteng. Hal lekeh saja. Yang penting buat rondaan ikut jadual. Ugh, nak buat baik, kaedah tak betul!

Sebelum beredar, polis muda yang berpakaian rugged itu berseloroh, "Nampaknya, orang muda-muda belaka yang meronda! Bagus, kuat semangat nih!"

Kami pakat ketawa. Kami tahu dia mengusik. Benar sangat usikannya itu. Rata-rata kami berempat ini sudah melepasi pertengahan usia empat puluh lima. Razman mungkin dah cecah awal lima puluh. Yang paling muda Mukrim - awal empat puluh!

Kalaulah polis itu main kaut saja, terus tangkap tanpa periksa, agak-agak saya beginilah kira-kira tajuk sensasi dada depan tabloid:

'EMPAT PENYAMUN VETERAN DICEKUP SEBELUM SAHUR!'


Memang haru-biru akan berlaku. Di pagi buta itu kami berempat tak bawak dompet. Jadinya, kad pengenalan pun tak ada. Kalau polis muda itu periksa betul-betul ikut 'buku polis' memang sah ke balai. Kerana percayakan ayat-ayat Razman, dan mungkin nampak muka kamu tak macam penyangak, sebab itu bisa terlepas.

Rondaan kami selepas itu (kali ketiga dan keempat), ikut peraturan ditetap AJK Kampung - mesti ambil beacon dan lampu kelip-kelap di surau. Mesti bubuh di atas bumbung kereta. Tak mahu disergah dan ditahan polis lagi. Khuatir kali ini benar-benar dibawak ke balai dan bersahur di dalam lokap! Barulah jadi sensasi sungguh berita muka depan akhbar tabloid.

Permisi. Bisa ketemu lagi.

Khamis, 9 Ogos 2012

madrasah ramadhan (6) "KAEDAH NAK BUKA SIMPULAN SYAITAN!"

(nota awal: posting kali ini dinukil berdasarkan tazkirah sebelum tarawih yang disampaikan beberapa ustaz di surau dan masjid yang sempat saya kunjungi, mengenai tabiat orang berpuasa dan amalan solat tahajjud)



Sudah biasa amat kita dengar, di Bulan Kegembiraan ini, musuh orang mukmin nombor wahid - iblis dan syaitan - dirantai selama sebulan.

Namun, biasa juga kita dengar sindiran terhadap ungkapan itu: jika benar musuh kita itu diberkas dan terpenjara, kenapa masih bisa terjadi pelbagai onar dan maksiat sepanjang Ramadhan, dilakukan pula oleh orang-orang yang berpuasa?

Nampaknya, ketika musuh orang mukmin sudah diikat kejap dan dipasung, 'manual maksiat' yang ditinggalkannya dipraktis oleh sebahagian daripada kita. Lantas nampaknya, maksiat yang terus-terusan berlaku di bulan penuh baraqah ini, tidak boleh dipersalahkan kepada yang lain, kerana perbuatan itu terhasil daripada kehendak manusia semata-mata. Yang tanpa segan menuruti 'pedoman syaitan'.

Manusia sendiri yang mengambil-alih tugas rutin yang ditinggalkan syaitan dan iblis sepanjang 'waktu tahanan reman' sebulan itu. Manusia yang bangkit jadi 'anak-anak lanun' sewaktu 'maharaja segala lanun' sudah lumpuh selama 30 hari.

Manusia yang sibuk mengadu-domba dan membisikkan kejahatan ketika iblis dan syaitan tidak bisa berbicara.

Kita tahu, puasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga. Puasa suatu ikhtiar menahan nafsu serakah bermaharalela. Kerana itu puasa sepatutnya menjadi tembok mengekang hawa nafsu, dalam usaha kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Yang Maha Esa.

Kenapa bisa terjadi sebaliknya? Kenapa sebahagian kita melaksanakan ibadah puasa tetapi masih kekal menjadi 'anak-anak lanun' yang tidak menjaga lidahnya dan tidak mendamaikan hatinya?

Inilah puncanya. Selama sebulan syaitan dibelenggu, sebahagian kita mengambil-alih tugasnya. Membisikkan kejahatan ke dalam diri insan yang lain. Membenarkan lidah dan hati mengutip dan mempraktis amalan rutin yang tidak upaya dilaksanakan iblis dan syaitan selama sebulan.

Kita berpuasa, tetapi tidak menjaga lidah dan mendamaikan hati. Maka jadilah kita orang yang amat rugi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa pun yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tindakan jahat (pada bulan Ramadhan), Allah tidak menerima puasanya." (jilid 3,hadis ke-127 Shahih al-Bukhari)

Kenapa bisa terjadi begitu? Kerana sebahagian orang-orang yang berpuasa itu hati dan lidahnya sebenarnya sudah dikuasai iblis dan syaitan sebelum mereka dirantai dan dipasung! Mereka telah merantai sebahagian daripada kita awal-awal lagi!

Sebahagian daripada kita yang masih terus-terusan membasahi lidahnya dengan umpatan, kejian dan fitnah di bulan penuh baraqah ini, hatinya sudah dikuasai musuh orang mukmin itu lama sebelum Ramadhan. Lidah dan hatinya disuntik racun oleh iblis dan syaitan lama sebelum orang sibuk mahu teropong anak bulan Ramadhan! Mereka dirantai oleh iblis sebelum musuh orang mukmin itu dipasung.

Lantas, bagaimana mahu melepaskan diri daripada belenggu iblis yang begitu kejap itu, dan melepaskan diri daripada kedurjanaan di bulan penuh baraqah ini?

Marilah kita sama-sama ambil pedoman daripada hadis Rasulullah SAW.

'Pada saat kamu tidur, setan mengikatkan tiga simpulan pada bahagian kepalamu. Pada setiap simpul ia membacakan kata-kata berikut: "Malam masih panjang, maka teruskanlah tidurmu." Apabila orang itu bangun dan mengingat Allah, satu simpul lepas; apabila orang itu berwuduk, simpul yang kedua lepas; dan apabila ia mengerjakan solat, simpul yang ketiga lepas; dan pada pagi harinya (waktu Subuh) ia akan bangun dalam keadaan penuh semangat dengan suasana hati yang baik; sebaliknya, jika tidak melakukan hal itu (solat tahajjud), ia akan bangun dalam suasana hati yangh buruk dan malas'. (riwayat Abu Hurairah, jilid 2, hadis ke-243 Shahih al-Bukhari).

Lantas, rajin-rajinlah solat tahajjud di bulan penuh keberkatan ini. Lepaskan diri kita daripada simpulan iblis dan syaitan!

Permisi. Bisa ketemu lagi.



Selasa, 7 Ogos 2012

madrasah ramadhan (5) "SUDAHKAH KITA TUNAIKAN HAK-HAK AL-QURAN?"

15 Ramadhan. Iftar sempena Nuzul Quran.

Sementara menunggu jemaah memenuhi dewan solat, saya mendekati seorang anak muda yang santai di depan meja yang disediakan untuk bayaran zakat fitrah. Dia bukan amil. Saya pula tidak berhajat mahu menunaikan zakat malam itu. Dompet pun tak bawak.

Ini kali kedua pemuda itu hadir di surau penempatan kami. Kali pertama ketika majlis sempena Maulid Rasulullah. Kali pertama itu dia adalah qari jemputan. Kehadiran kali kedua ini, dia membaca surah al-Alaq. Sepuluh minit sebelum berbuka. Dihebahkan juga oleh pengerusi surau, pemuda itu akan menjadi imam jemputan untuk malam ke-20 hingga ke-23.

Memang asyik mendengar dia membaca ayat-ayat suci yang merupakan pengesahan kerasulan Muhammad SAW itu. Dia berlagu umpama seorang peserta musabaqah yang biasa kita nonton di kaca tv. Sewaktu solat Maghrib, dia menjadi imam. Subhanallah. Jelas sebutannya. Menusuk jauh ke lubuk kalbu.

Namanya Thufael. Dinamakan sempena seorang penyair handalan Yemen yang hidup seangkatan Abu Hurairah.

Usianya baru 18. Pernah masuk Akademi al-Quran (AQ) ketika di tingkatan empat. Kandas sewaktu pemilihan akhir di Kuala Lumpur. Asalnya dari Kedah. Gurunya? Pemuda dari Kedah juga. Juara AQ Musim Ketiga - Mohd Fakhrul Radhi Khamaruddin. Ketika usia 12 tahun, Thufael sudah bergelar hafiz.Impiannya mahu menuntut di Universiti al-Azhar.

Asyik saya bicara dengan pemuda yang kini duduk mengaji di peringkat STAM. Rupa-rupanya saya mengenali ayahanda Thufael ini. Ustaz Sayuti, orang Jitra. Sewaktu saya mastautin hampir lima tahun di Jelapang Padi itu, saya pernah bertandang ke rumah ustaz dinamik lulusan Mesir itu. Dia mengasaskan Sekolah al-Azhar pada pertengahan tahun 80-an. Sebidang tanahnya diwakafkan untuk tujuan murni mendidik Generasi al-Quran. Saya rasa, dialah orang pertama yang menubuhkan sekolah sebegitu di Jitra. Subhanallah. Tidak ke mana tumpahnya kuah selain ke nasi jua!

Sewaktu tazkirah selepas Isyak, penceramah yang dijemput khas untuk membicara soal Nuzul Al-Quran menyebut tentang 'Hak-Hak Al-Quran Yang Perlu Kita Tunaikan'. Ada lima semuanya.

Pertama: Al-Quran perlu dibaca.
Kedua: Al-Quran perlu dihafal.
Ketiga: Al-Quran perlu difahami.
Empat: Al-Quran perlu diamalkan.
Lima: Al-Quran perlu disebarkan.


Pemuda bernama Thufael itu kurang-kurannnya sudah melaksanakan dua 'hak' yang terawal. Bagaimana dengan kita?

Permisi. Bisa ketemu lagi.

Sabtu, 4 Ogos 2012

madrasah ramadhan (4) "JANGAN BIARKAN RUMAH JADI KUBURAN!"


(nota awal: seperti dijanjikan, ini merupakan susulan ‘posting’ madrasah ramadhan yang ke-3)

Hal kedua yang terlekat dalam kepala, yang disebut oleh ustaz ialah, “Di bulan Ramadhan ini, janganlah semua ibadah nak dihabiskan di surau atau masjid saja. Tinggalkan sebahagian untuk rumah kita. Damaikan dan makmurkan rumah kita. Lakukan solat sunat. Banyakkan baca al-Quran. Adakan majlis berbuka kecil-kecilan untuk kerabat. Kalau boleh, ajak beberapa orang miskin dan anak yatim berbuka jugak. Jadikan rumah kita ‘syurga di bulan ramadhan’. Jangan biar sunyi macam kubur!

Dibacakannya sebuah hadis:-

Dari Abu Hurairah : Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu itu sebagai kuburan. Sesungguhnya setan itu lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat Al-Baqarah” [Hadits Shahih riwayat Muslim]

Kisah berikut, yang releven dengan judul kali ini, pernah saya dengar ketika mastautin di United Kingdom.

Suatu waktu, di sebuah penempatan minoriti Muslim England, tinggal seorang ibu tunggal bersama sepasang anak yang sudah masuk kolej. Dia bekerja sebagai doktor, punyai klinik persendirian. Aktif dia dalam badan kebajikan anak-anak yatim. Pernah menyertai misi kemanusiaan ke Afghanistan, Sudan dan Palestin.

Kerana sudah lama tidak menunaikan umrah, dia menyampaikan hajat murni itu kepada kedua-dua anaknya.

Anak gadis sanggup menemani sang ibu. Anak lelaki pula tidak boleh mengikuti, dan tidak dapat pula tinggal di rumah. Tiada upaya dia menjaga rumah ibunya sepanjang tempoh umrah itu kerana sedang menjalani housemanship di Malaysia. Berbuat begitu kerana sudah terpikat dengan gadis Tanah bonda yang satu kursus dengannya.
Kerana tiada waris-warah dan sahabat-handai yang boleh berbuat demikian, maka tawakal saja ibu tunggal itu. Tiada ternampak gusar dia walaupun kawasan itu kerap berlaku kes pecah rumah, di samping masalah dadah dan pelacuran.

Apabila balik dari Tanah Suci, seorang kenalannya menziarah. Selepas meneguk air zam-zam dan habis mengunyah kurma, dia bertanya separa berbisik, “Semasa umrah, siapa duduk di rumah ni?”

Si ibu tunggal itu mengerutkan dahi. Dia menggelengkan kepala. “Tak ada siapa-siapa. Tak ada siapa yang sanggup.”

Kali ini giliran yang bertanya pula mengerutkan dahi. Ketara dia begitu hairan. “Jangan nak main-main. Semua jiran tahu, waktu kamu umrah, ramai tinggal di rumah ini. Kami tak tahu siapa. Malam terang-benderang. Siang pulak, semua langsir terikat elok. Kalau betul tak ada orang, dah tentu dah parah. Kawasan kita ni ramai penyamun dan penagih! Rumah hujung, satu famili melancong ke Turki. Dua minggu jugak. Dua kali dipecah masuk!”

Wanita itu dan anak gadisnya saling berpandangan. Dengan berhemah dia menjawab, “Demi Allah, tiada siapa menjaga rumah kami. Kunci pun saya bawak sekali ke Tanah Suci!”

Musykil diungkit jiran yang bertandang menjadi suatu misteri.

Cuma tersebar khabar angin, ada andaian di kalangan jiran tetangga: yang ramai-ramai menjaga rumah wanita ketika ketiadaannya bukan manusia!
Mereka soksek-soksek memberikan teori. Yang paling kuat menjadi kepercayaan ialah bersabit amalan wanita itu juga. Jiran tetangga dan sahabat-handai memang tahu betapa solat tahajjud , witir dan duha jarang sekali ditinggalkannya. Tiap bulan, dia khatam al-Quran pula. Zikir al-Maathurat pula membasahi bibirnya di waktu Subuh dan Asar.

Kerana itu, mereka cukup yakin, sepanjang dua minggu doktor wanita itu dan anak gadisnya di Tanah Suci, malaikatlah yang turun menjaga rumahnya!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

(nota: masih terasa nikmat berbuka bersama adik-beradik di Ganu, dan bersama-sama pada malamnya tarawih di surau pusaka ayahanda)