Karya

Karya

Rabu, 30 Oktober 2013

TUHAN TIDAK TULI!



(nota awal:  
bulan Haji sudah cecah sempadan. Maal Hijrah akan muncul. sempena penamat musim Haji tahun ini, dilakarkan kembali kenang-kenangan ketika wukuf di Padang Arafah - kemuncak ibadah haji. Moga artikel kedua berkaitan Memori di Tanah Suci bisa memberikan manfaatnya dan diperoleh teladan jua daripadanya.  
 
___________________________
 
“Ini macam khemah orang Baduwi!”
Terasa macam segera mahu terloncat ketawa. Tapi ditahankan. Kelakar Jamal tidak boleh dilayan. Ini bukan waktu nak berkelakar. Sekarang sudah duduk di dalam khemah di Arafah. Datang ke sini untuk beribadat. Mengabdikan diri sungguh-sungguh kepada Yang Maha Pencipta. Bukan nak jadi Maharaja Lawak di bawah khemah Padang Arafah!

Tapi hakikatnya, memang benarlah kata-kata Jamal itu. Khemah yang didirikan agak sederhana. Kanvasnya nampak lama. Bertampal-tampal. Tiang tengah (khemah kami) bersambung dan bengkok pula. Pucuknya pula tidak betul-betul lolos lubang puncak khemah.

“Kalau ribut goyang sikit saja, ranap habis!”

Apabila tak buat kelakar, membebel pula si Jamal ini.
Tapi memang betul juga ngomelannya itu. Kalau tak ribut pun, jika hujan lebat, tempias mesti akan menimpa penghuni khemah yangdapat ruang ‘menginap’ di bahagian paling tepi (tempat kami bertujuh teman sebilik di Hotel Janadriyah).

Allah Maha Besar. Tiada ribut, tiada setitik jua hujan yang turun. Khemah yang sederhana ini tidak menimbulkan sebarang masalah. Malahan timbul keseronokan pula duduk bergelimpangan ramai-ramai hanya dalam pakaian ihram. Beg jadi bantal. Tikar plastic jadi tilam. Tiada pula teman-teman yang merungut. Nampak selesa saja makan mi segera (rendam dalam koleh), mamah biskut dan minum kopi di kawasan yang sempit.

Malamnya agak mengganggu. Ada segelintir jemaah bersembang melewati jam satu. Sesekali tertangkap di telinga, sembangnya tiada kaitan amal ibadat di Arafah. Alangkah ruginya mereka. Kerana mengantuk dan keletihan, tidak sedar pun waktunya terlena.

Pukul tiga pagi sudah terjaga. Pukul empat bergegas ke surau (khemah juga). Lebih ‘rugged’ daripada khemah kami. Ada sebatang pohon sebesar pemeluk di tengah-tengahnya. Rasa sudah awal, tapi masih ramai yang datang terlebih awal. Saya tidak mendapat tempat di dalam surau. Terpaksa membentang sejadah di atas laluan di antara surau dengan khemah penginapan. Jemaah yang menginap berhampiran surau tidaklah bersusah payah macam saya dan orang lain yang jarak khemah agak jauh. Mereka yang berjiran dengan surau ini hanya perlu membuka tabir khemah masing-masing, dan menyambung saf dari surau. Nikmatnya mereka!

Kerana masih punyai waktu lama sebelum azan Subuh, sempatlah menunaikan solat sunat hajat, taubat, tahajjud dan witir. Cuma dukacita timbul jua kerana hasrat mahu munajat kepada Allah menerima sedikit gangguan. Seorang penceramah terkenal yang mengepalai jemaah pakej swasta agak merimaskan. Ayat-ayat suci yang dilagukannya (memang sedap didengar) terlalu kuat. Barangkali pembesar suara yang digunakan tidak boleh diturunkan paras volum. Barangkali pendakwah terkenal ini terlupa orang lain mahu ibadah juga. Bukan sekadar mendengar bacaannya yang bagus itu. Bayangkan, lokasi khemah jemaah pakej swasta ini duduknya di seberang jalan (tidak jauh daripada khemah kami). Tapi lantang suaranya mengaji melampaui surau jemaah muassasah TH. Barangkali pendakwah ini terlupa akan firman Allah supaya mengambil jalan sederhana ketika berdoa, berzikir atau membaca al-Quran.

Interior monolog pun tercetus.
Bisikan nanar mula mendesak.
‘Apakah dia ingat orang lain tak mahu ibadat? Bagaimana boleh kusyuk solat sunat taubat, tahajjud dan witir dalam kebisingan? Kenapa pasang kuat-kuat loudspeaker? Tuhan tidak tuli!’

Tapi penawar datang juga menenangkan gelora.
‘Orang lain tak komplen, kenapa kita nak kecoh? Maknanya, kita tak kusyuk. Ambil iktibar kisah sahabat. Kalau dah solat, panah yang tembus badan pun boleh dicabut keluar tanpa disedari!’

Barangkali inilah ujian daripada Yang Esa. Inilah haji. Inilah Arafah. Tempat ujian kepada jemaah sebelum tibanya waktu yang dinantikan - gelincir mentari 9 Zulhijjah.  
Arafah makin lengang selepas wukuf.


Selepas selesai solat Subuh di surau Arafah, dalam taklimat dan tazkirah, imam mengkhabarkan tentang peristiwa ‘kedegilan dan ketaksuban’ anak murid kepada seorang tok guru. Hampir sekali menyebabkan sekumpulan jemaah haji Malaysia tidak wukuf di Arafah. Tok guru yang mengepalai satu kumpulan kecil jemaah telah ke Masjidilharam beberapa jam sebelum bas TH bertolak ke Arafah. Kerana keadaan sesak teruk di Masjidilharam, tok guru berkenaan tidak dapat pulang, dan tidak pula dapat dihubungi pada waktu yang ditetapkan. Semua pengikut tok guru (dalam dua puluh orang) pula berpakat tidak mahu menaiki bas tanpa kehadiran ketua mereka. Walaupun petugas TH cuba memujuk, mereka tetap degil. Mereka tidak akan berangkat ke Arafah tanpa tok guru yang dimaksudkan!

Haji itu Arafah. Begitu intipati sebuah hadis Nabi yang masyhur. Lantas Padang Arafah menjadi persinggahan sangat penting dalam ibadat Haji. Hinggakan pesakit yang di dalam wad dan punyai kemampuan fizikal yang terhad, dibawakan dengan ambulan oleh pasukan perubatan TH untuk wukuf di Arafah pada waktu yang ditetapkan. Entah apa sebabnya segelintir jemaah itu tidak mahu ke Arafah kerana menunggu kepulangan tok guru mereka!

Malangnya, cerita tok imam habis takat itu saja. Tiada penyudah. Entah kenapa tidak pula diberitau kesudahan nasib tok guru dan segelintir muridnya itu. Tiadalah juga didedahkan rasional tok guru itu pergi juga ke Masjidilharam pada waktu kecemasan (saat rombongan Malaysia akan bertolak ke Arafah), dan kesesakan itu (hampir sejuta jemaah haji memasuki Masjidilharam).

Saya fikir mungkin tok guru itu tidak menggunakan kad sim Arab Saudi di dalam telefon bimbitnya. Mungkin dia masih kekal guna kad sim dari Malaysia. Kalau dia guna ‘international roaming’ tak perlu tukar kepada nombor baru. Mungkin dia tidak tahu betapa bagusnya menggunakan kad sim Arab Saudi. Bukan sahaja kadarnya hantar sms rendah, jemaah kerap mendapat maklumat terkini suasana di tempat-tempat mudah sesak seperti Masjidilharam.  

Misalnya, sewaktu saya bersila di atas bumbung menunggu khutbah dibacakan (Jumaat terakhir sebelum wukuf), tepat pukul 12.21 (12 November 2010) masuk sms daripada Civil Defense:
‘dear pilgrim, civil defense is warning that Makkah Holy Mosque (AlHaram) is full. For your safety please divert to another near mosque.’

Seminggu sebelum hari wukuf, (dalam ceramah bersiri di hotel) jemaah sudah dinasihati beberapa kali supaya tidak lagi melakukan umrah sunat untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan musibah. Kesesakan di Masjidilharam boleh menimpakan kemudaratan yang tidak terduga. Mudah tersesat jalan dan terpisah daripada muhrim. Kemalangan pula boleh terjadi kerana sebab yang kecil.

Seorang isteri kenalan saya terpaksa dijahit kulit kepalanya kerana terluka hampir dua inci. Mujur tidak dalam. Sebabnya? Ketika berdiri di atas eskalator, kerana nak menjaga wuduk, dia tersiku isterinya. Terus hilang imbangan, isterinya terjatuh. Kepala terhantuk di bucu metal yang tajam!
 
Permisi. dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Selasa, 29 Oktober 2013

MUSLIHAT LELAKI YANG MENDAKI BUKIT



(nota awal:  
Sekarang begitu ramai jemaah Haji udah kembali ke Tanah Bonda. Seronok menatap wajah mereka di kaca tv. Tumpang gembira kita kerana kejayaan mereka menunaikan rukun yang kelima. Nikmat seghoti menjadi tetamu Ilahi. Lantas tertayang jua memori beribadah di Kota Suci tiga tahun dulu. Maka kali ini dilakar kembali kenangan itu. Agar bisa dijadikan iktibar dan moga bermanfaat kepada sahabat siber sekalian.)

_____________________
Kira-kira tiga minggu sebelum wukuf, saya mengaturkan rombongan ziarah. Majoriti teman sebilik (bersama pasangan) disertai beberapa kenalan lain berpeluang melawati Jabal Nur (Gua Hira’),  Jabal Thur (tempat persembunyian Rasullah ketika hijrah), Padang Arafah, dan Mina. 

Saya mengambil inisiatif mengatur ziarah ini kerana berhasrat untuk ziarah juga ke Hudaibiyyah. Teringin sungguh sampai di tempat amat bersejarah itu. Di situ termeterai perjanjian yang termasyhur dalam sejarah ketamadunan Islam antara orang kafir Mekah dengan Nabi Muhammad SAW. Hajat Rasulullah menunaikan Haji julung kali pada tahun keenam Hijrah, sejak terbangun negara Islam Madinah tidak kesampaian. Implikasinya, Perjanjian Hudaibiyyah itu membuka gerbang dakwah Islamiyah yang luas ke seluruh Tanah Arab kerana genjatan senjata selama sepuluh tahun.  Dua tahun selepas itu (8 Hijrah), Kota Mekah pula jatuh sepenuhnya di bawah penguasaan Rasulullah.

Setelah berkira congak dengan Haji Zahari (lelaki Patani yang punyai perniagaan di Kota Mekah), Hudaibiyah tidak termasuk dalam laluan. Jika nak pergi juga, kena tambah bayaran. Kalau tidak termasuk lawatan ke situ, hanya 380 rial satu van (kos dibahagikan 14 orang yang menyertai ziarah itu). 

Tiada sesiapa yang bersetuju untuk tambah kos. Masing-masing berasa sudah memadai menziarah tempat-tempat yang dipersetujui lebih awal. Lagipun ada disuarakan kekhuatiran tidak sempat balik semula ke Hotel Janadriyah sebelum Zohor. Maka hasrat ziarah Hudaibiyah tidak kesampaian. 

Jabal Nur merupakan persinggahan yang pertama. Kami hanya bergambar agak jauh dari kaki bukit. Pandai Pak Arab pemandu van itu memilih lokasi supaya rakaman kenangan kami di situ tidak terhalang oleh banyak bangunan yang terdiri berhampiran kaki bukit. Dari tempat kami bergambar itu, sayup kelihatan kelibat jemaah yang mendakinya, membentuk satu barisan manusia yang panjang. Pemandu van beritau, kurang-kurang satu jam baru boleh sampai ke Gua Hira. Rugi juga rasanya tidak dapat mendaki Jabal Nur, dan masuk ke dalam gua pertapaan Nabi. Tempat turunnya wahyu yang pertama sebagai pertabalan Muhammad sebagai Pesuruh Allah. Pak Arab itu menambah, jika berdiri di depan Gua Hira, kita boleh nampak Baitullah. Benarlah yang dikatakannya itu. Kerana begitulah juga gambarannya dalam sebuah buku sejarah Kota Mekah (karya Dr Abdul Basit Abdul Rahman).

MasyaAllah. Sempurnanya pekerjaan Tuhan Yang Esa. Turun Jibrail mengajari Muhammad SAW surah al-Alaq itu, di suatu tempat syahdu bersaksikan rumah-Nya – Kaabah, yang didirikan oleh hambaNya yang amat taat, bapa kita Nabi Ibrahim.  

Destinasi selepas itu (Jabal Rahmah), rupa-rupanya lebih mengujakan segelintir ahli rombongan. ‘Bukit ikatan kasih-sayang’ ini dipercayai lokasi pertemuan semula Adam dan Hawa selepas dibuang daripada Syurga.

Terdengar gurau-senda sebaik sahaja menuruni van. Tiada orang lain, Jamal si tukang usik.
“Orang lelaki, kalau panjat Jabal Rahmah, tiada lain doanya. Mesti nak tambah seorang lagi!”
jabal Rahmah: pendakian dengan pelbagai hajat


Lama sebelum menunaikan umrah (2009), saya pernah mendengar cerita tentang afdhal berdoa mohon jodoh di atas Jabal Rahmah. Kisah peribadi ini diberitau kepada saya oleh seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan. Wanita anggun ini, yang merupakan isteri kedua kepada seorang pegawai daerah dengan nada bangga beritau:

“Waktu sampai di airport, Abang Haji (suaminya) terus mencari saya. Mahu berjumpa segera dengan saya. Rupa-rupanya dia nak masuk meminang. Katanya, sewaktu tawaf wada’ dia asyik terbayangkan wajah saya. Abang Haji yakin doanya di Jabal Rahmah sudah termakbul. Dia berdoa agar Tuhan tunjukkan seorang wanita yang boleh dijadikan isterinya yang kedua!”

Ketika Kursus Intensif Haji (2010) pula, seorang penceramah memberikan pesan:-
Kalau suami berdoa di puncak Jabal Rahmah, isteri jangan main ‘amin’ saja. Kena waspada. Kadangkala suami doa langsung tak dengar suara. Kita tak tahu dia doa ‘nak tambah’ satu lagi. Bila dah jadi sungguh (kahwin satu lagi), isteri mengamuk. Suami dengan selamba beri alasan: ‘Waktu di Jabal Rahmah dulu, saya doa nak kahwin lain, awak yang kuat sebut ‘amin’ nya. Dah jadi betul, janganlah marah!’

@@@@@@@@@@

“Tadi aku nampak Haji Mahadi bawa marker. Nak tulis hajatnya di atas batu di puncak Jabal Rahmah.”
“Kalau lama macam ini, dah setengah jam kita tunggu, bukan tulis senarai. Ini mesti buat karangan di atas batu!” Entah siapa memulakan usikan. Tidak biasa dengar pula suaranya. Pasti bukan rakan sebilik.

“Duk reka sepuluh sebab perlu tambah tiga sekaligus!” seorang lagi yang bersuara parau menambah.

Ada yang terkekeh-kekeh. Jamal katup mulut dengan sebelah tangan, sambil telunjuk tangan yang satu lagi digoyang-goyang ke arah Hajjah Maznah. Ketawa kecil timbul tidak lama. Padam terus. Kawan-kawan satu van faham dengan isyarat Jamal. Kerling sedikit, masing-masing sudah nampak reaksi Hajjah Maznah. 

Ketara isteri Haji Mahadi dalam mood tidak bagus. Mencantum. Tidak bercakap dengan siapa-siapa.
Dia tidak bergerak sedikit pun. Berdiri di belakang van sambil berpeluk tubuh. Matanya mencorong ke arah Jabal Rahmah.

Pemandu van memberikan isyarat, masa untuk pergi sudah tiba. Kami sudah terlebih masa di sini. Saya menelefon Haji Mahadi.

Dia menjawab dalam termengah-mengah. “Ramai sangat orang berebut nak tulis. Baru habis nih. Tengah turun ni. Lima minit lagi saya sampai.”
___________________
Permisi. Dengan izinNya kita bisa ketemu lagi.

Isnin, 21 Oktober 2013

POLITIK PEMOTONG RUMPUT



Acap kali kita menipu diri sendiri. Kerap senghoti kita mengaku boleh dan mampu melakukan sesuatu perkara dan berani memberikan janji. Hakikatnya, kita jadi penipu yang berdikari (berdiri di atas kaki sendiri) tapi tiada kebolehan dan kemampuan. Walaupun kita punyai banyak wang, penuh kocek yang dalam. 

Jika usia doh jengah lima puluh, maka tak terkira berapa banyak udah kita jadi ‘penipu berdikari’. Menipu diri sendiri. 

Mudah bandingannya, tengok kerja potong rumput saja.

Kalau ikutkan nafsu, kita mengaku boleh dan mampu potong rumput hatta yang hijau tumbuh comel dalam kawasan rumah suku ekar. 
Hakikatnya, rumput karpet yang dibentang hanya muat dua kereta wira itu pun tak larat nak dijaga betul-betul.

Sebenarnya, ini tidak ada kena-mengena dengan factor usia. Tergendala kerja jaga dan potong rumput itu kerana tak reti nak urus kebolehan dan kemampuan sendiri. Bukan tak larat nak buat sebab usia yang udah jauh meninggalkan muda. Dah senior tapi tak ada bijaksana untuk mengurus. Itu saja. 

Pernah berlaku, seorang waris bukan main bersemangat mahu pakat-pakat beli mesin potong rumput. Dia hitung rugi besar bayar lima puluh rial sebulan kepada tukang potong rumput. Dia fikir, jika miliki mesin dan potong sendiri adalah terlebih bagus. Jimat dan  molek pulak untuk kesihatan.

Saya tidak termakan umpannya. Tidak berminat langsung. Kerana lebih suka tengok orang lain (yang mampu dan berkebolehan) potong rumput, dan duduk kita nikmati pemandangan menyeronokkan ketika tekukur, tiak, murai dan merpati singgah di laman mencatuk ulat dan makhluk seni yang terdedah kerana rumput udah pendek.

Maka tak jadilah saya masuk pakatan untuk aktif potong rumput tiap bulan. Tidak jugaklah hulur pitih untuk dana beli mesin.

Suatu ketika yang lain, berbual dengan waris yang lain pula, saya ungkit tentang si tukang kempen nak isi dana beli mesin potong rumput itu. 

Bukan main marah dia. Mendengus macam lembu korban menarik nafas terakhir.

Katanya, “Nak potong rumput sendiri? Longkang depan rumah tersumbat tu pun dia dok peduli. Pokok bunga berserabai tepi pagar buat dok kisah je. Sebabnya? Takboh upah orang lain. Rugi beri duit kat orang sebab buat kerja mudah. Dia fikir, kerja orang lain mudah belaka. Duit banyak, tapi bakhil! ”

Tinggi sekali nadanya  apabila arus marahnya mengalir lebih deras. 

“Bulan lepas, orang taman pakat gotong-royong. Masuk bersih jugak jalan hala rumah dia. Usah nak join, lalu dengan kereta dok tegur setarang pun! Kalau kamu ikut dia, pakat-pakat hulur pitih beli mesin rumput tu...akhirnya kamulah yang jadi tukang potong. Sebab dia rasa kerja tu mudah. Dia serah kat mun belaka. Dia akan kata kerja mudah macam tu, kamu pun boleh buat. Tak payah upah. Tak payah suruh orang lain!”

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

__________
nota: foto iringan hanya hiasan. tiada kaitan dengan inti kisah kali ini.

Rabu, 9 Oktober 2013

JET TERHEMPAS DI PULAU KERENGGA!

Dah jadi tabiat. Sejak kembali menetap di tanah tumpah darah, gemar sekali jalan-jalan masuk kampung. Darat Maras, Pengkalan Maras, Gong Kuin, Padang Nanas, Gong Pak Jin. Sejuring kampung-kampung kecik besar yang berzaman hidup, baru bisa dijejak tapi belum dijelajahi. Tidak jauh sangat dari penempatan kontemporari. Kerna dulu-dulunya tak pernah dilewati, kita jadi macam orang baru pula di negeri sendiri!

Paling jauh takat ini merayau hingga ke Pulau Kerengga. Kalau ke situ, masuk jadual singgah di medan selera Kelulut. Makan-makan di warung tepian pantai. Dapat rasa aura daun-daun nyiur yang benar senghoti duk  melambai serta bayu laut yang membisik supaya menyahut seru Pulau Kapas!
Pantai Kelulut, pohon nyiur dan Pulau Kapas

Ugh, nikmat bangat santai di sini sambil makan nasi minyak lauknya ikan aya.

Tak bisa digali lagi sebab namanya begitu. Mungkin dulu-dulunya ramai anak dara yang pinggangnya bak kerengga! Tiga empat kali sudah sampai ke situ. Mengembalikan memori arwah ayahanda yang gemar menembak bangau di pinggir sungai.

Dengar cerita sungainya ada penunggu. Air tenang yang gelap itu jadi wilayah kegemaran sang bedal yang kononnya tidak pernah pula membaham manusia. Dengar cerita ada penduduk yang nampak ia jadi tugu berjemur lama-lama di tebing seberang.
"Jangan khuatir tidak diusik siapa-siapa!" ghairah MokNah bercerita.
Dikhabarnya juga ada budak yang mati. Bukan dikerkah binatang warisan dinasur itu. Mati lemas kerana tak pandai berenang tapi masih mahu bermain di sungai itu.

Pulau Kerengga, serupa beberapa kampung lain di Darul Iman. Entah apa sebanya terlekat gelaran 'pulau' di pangkalnya. Pulau pura-pura belaka tuh. Pulau Musang. Pulau Babi. Pulau Kambing. Pulau Sekati. Pulau Rusa. Kampung yang bukan pulau. Cuma duduknya di pinggir sungai.

Dulu-dulu, zaman tamadun lama, sungai itulah lebuhraya. Mungkin orang-orang yang letih lesu mudik, yang singgah di pangkalan kampung-kampung itu terfikir, "ah, lega! aku dah sampai kat pulau!"

Pulau Kerengga yang masyhurnya kerana ada 'penjara terbuka' itu, tidaklah ketara sangat pembangunan fizikalnya. Walaupun ada jalan besar membelah dadanya langsung ke Wakaf Tapai, yang jadi mudah mahu ke LPT, rata-rata pembangunan fizikal yang lain tak nampak ghairah.

Ketika bicara dengan beberapa penduduk (antaranya ada yang masih ingat akan arwah ayahanda) terloncat keluhan jua, "Ugh, kawasan orang kalah. Mana nak bangun apa-apa! Janji nak buat macam-macam. Tapi doh kalah, tinggal macam ni sajalah!"

Maka jadi fahamlah kita. Akan perihal sebuah jet yang terhempas di tepi jalan besar. Jalan utama Pulau Kerengga. Terdampar di situ lama lepas PRU13.

Akan robek ditembusi lalang dan cendawan. Akan punah dek luluh hawa.

Mungkin akan terdiri jet baru. Dengan janji lama yang diperbarui. Lima tahun lagi tuh!

Berhampiran jalan besar, kira-kira sepuluh kilometer dari jet yang terhempas itu, ada jet lain yang tegak gagah macam sedia gempur bila-bila jua. Megah melambai seorang pilot yang pakai topi keledar motosikal.
Barangkali bertahan ia di situ menanti PRU14. 


Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.