Karya

Karya

Sabtu, 14 Februari 2015

bencana banjir di Kelantan (11): SIDANG JEJAKA DI SEBUAH CAFE

Kawe kembali menetap di Darul Iman udah cecah setahun setengah.
Selama itu jugak kawe dan famili tinggal di sebuah taman perumahan di Kampung Tok Jembal, dalam daerah baru Kuala Nerus.

Dulunya (jaman kecik-kecik dulu)  - ketika masih main parit, mandi-mandian di sungai, lastik burung, berenang ke Pulau Wau, bergocoh tak tentu pasal, bergayut di pokok duku dan panjat pohon rambutan - kalau disebut Tok Jembal itu terasa jauhlah amat dari kampung tumpah darah Pulau Musang.

Kini dengan kemudahan jalanraya yang selesa dan pembangunan pesat sosio-ekonomi di Darul Iman yang semaraknya ketara di kampung-kampung sekitar Kuala Nerus, maka Tok Jembal yang ada di dalam sempadannya sudah berubah wajah fizikal dan rohani.

Inilah antara sebab kami memilihkan untuk menetap di sini.
Nak ke Paloh ke rumah mentua atau pulang sekali-sekala ke Pulau Musang jadi kecik bangat masalahnya. Sebab lain yang utama ialah Lateefa kini berikan khidmat di sebuah IPTA yang membangun pesat tak jauh dari Tok Jembal.

Di taman kediaman kami, rata-rata jiran tetangga adalah golongan profesional Melayu yang terbabit dengan pelbagai bidang kerjaya - pensyarah, peguam, guru, pegawai tadbir, doktor, arkitek, ahli korporat, dan kontraktor. Bahkan pemain bola pasukan Terengganu pun ada menghuni di sini.

Macam-macam pekerjaan jiran tetangga di taman kami ini turut mengubah dan menambah warna-warni masyarakat Kampung Tok Jembal. Fizikal dan jiwa kampung tradisonal Melayu ini udah berubah banyak sengoti.

Tinggal di sini udah setahun setengah lebih, ramai saing-saing baru yang kawe peroleh.

Antara mereka itu, ditakdirkan-Nya terikat qalbu untuk sama-sama aktif dalam Kelab Kejiranan di taman kami.

Antara mereka itu, bukan saja luangkan masa di hujung minggu untuk kecek-kecek ambil cakna hal jiran tetangga, akan tetapi sewaktu Kelantan dilanda bencana hujung Disember tahun lepas, mereka juga yang semarak semangat menyertai konvoi bantuan ke Darul Naim.

Coretan kali ini adalah suatu penghargaan kepada mereka - Hassan, Azami, Zuraidi, Chang, Kamal, Hauzi, Ibrahim, Nazrul dan Rosli.

 
            Permisi.
            Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi. Insya-Allah
            

Khamis, 5 Februari 2015

bencana banjir di Kelantan (10): APABILA SETERU JADI SAHABAT

Pada suatu waktu dulu, kawe pernah jadi khusyuk telaah ucapan-ucapan penting Dato-Dato Bendahara Tanah Melayu. Secara khususnya, koleksi ucapan dalam Perhimpunan Agung Parti Keris itu jadi tugasan kawe untuk teliti kerana sudah diberikan amanah untuk menyiapkan sebuah buku berkaitan gagasan seorang pemimpin utama di sebuah negeri.

Lantas, buah fikiran pemimpin tertinggi negara jadi bahan utama untuk melihat kerangka pemikiran ketua bangsa.

Antara yang menarik sengoti ialah kumpulan ucapan Dato Bendahara dari Kedah yang memegang cokmar kuasa paling lama - dua puluh dua tahun.

Banyak kalimahnya yang biser-biser dan dalam makna. Walaupun disampaikan dalam bahasa yang bersahaja (tidak bombastik seperti sesetengah pemimpin) tetapi begitu kemas aturan idea dan jernih mesej yang dihasratkan.

Antara yang banyak itu, kawe ingat sangat akan nukilannya tentang nilaian hubungan kawan dan musuh.

TUN yang sudah bersara tapi masih didambakan buah fikirannya oleh banyak pihak bersabit soal pembangunan dan pengurusan negara, dalam konteks 'falsafah persahabatan orang politik' pernah menuturkan kira-kira begini:-

"Dalam politik musuh tidak selamanya, dan kawan juga tidak selamanya!"   

Pandangan TUN itu bersifat sejagat. Tidak terhad dan bukan terpakai untuk perihalkan 'kesetiaan dan permusuhan dalam dunia politik' sahaja.

Dalam gelutan dan kemelut bencana di Darul Naim itu, kawe nampak gunaan kalimah menggendong falsafah manusiawi itu bersabit jua.

Kawe perhati, sewaktu Kelate dalam kegawatan mega, antara golongan awal yang menghulurkan bantuan tanpa syak wasangka dan tidak teragak-agak ialah para sukarelawan dari negeri jirannya - Darul Iman.

Tidak dikibarkan bendera. Tidak pentingkan bangsa. Tidak kira daerah tenggelam itu yang mana. Tidak kisah ada bertali kait waris-warah atau sebaliknya. Malahan bertutur pun para sukarelawan Darul Iman itu pakat kecek Kelate jugok! Tanpa lambang apa-apa, orang yang menerima bantuan cepat mengagak betapa sukarelawan itu maghi dari Terengganu walaupun plet Triton tertera huruf Wilayah Persekutuan.

Ketika Kelate dilanda kegawatan mega, yang bergelar seteru udah menjadi kerabat dan sahabat!
   

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi, InsyaAllah.

Selasa, 3 Februari 2015

bencana banjir di Kelantan (9): KAHWIN BUKAN SETAKAT BERGESEL LUTUT!

Soal kahwin sudah menjadi kelakar lazim yang tersebar di kalangan rakan-rakan grup WhatsApp. Kawan-kawan lama ini yang ada sekali dalam grup itu ngaji dalam darjah yang sama sejak sekolah rendah, nampaknya suka sengoti jadikan hal-ehwal bangunkan rumahtangga itu suatu gurauan.

Mungkin gini fesyennya kalau umur dah lompat masuk separuh abad.
Miang keladi udah menjadi pakaian!

Tunggu saja hari Khamis. Maka muncullah mesej tukang tolong peringat tentang malam Jumaat. Datang sekali dengan kepilan gambar gadis lawa senyumannya menggoda. Ditampal pulak dialog yang mengancam!

Entah gambar gadis mana jadi pengiklan dan pengghairah malam sunat itu, dan entah siapa yang mula reka dialog yang masuk kategori kelakar dewasa. Kadangkala tersirat maksudnya. Banyak kali terus terang bangat pula isinya.

Kalau soal kahwin, tiada lain diposkan mesej anjuran tambah seorang lagi.
Kalau disentuh soal isteri pula, banyaknya mempersenda teman yang setia itu. Atas paras fizikal dan usia.

Bahkan ketika ikut saing-saing pergi ke Kuala Krai dalam waktu-waktu terdekat selepas bencana, gurauan tentang nikah-kahwin ini menjadi hiburan pula dalam perjalanan yang jauh dan meletihkan:-

"Molek jugak terima kalu ada offer, Haji. Kalau-kalau ada yang susoh-susoh, yang dok mampu nak tanggung anak gadis sebab banjir besar ini...kita pakat terima kalau mok ayoh dia offer."

Gelak ketawa pun berderai dalam Triton yang sarat muatan untuk kebajikan insan merana ditimpa malapetaka.

Yang bercakap nampak sangat gagah itu pun sambung lagi kerana ada sokongan kuat. Naik semangat dia!

"Saksi dok susuoh. Pakat-pakat sama kita jer. Tok Imam dengan hal2 daftar tu, kita masuk sebetor lekok ke sempadan. Kawe ada worih yang boleh urus kerja lagu nih! Kerja kebajikan ni, Haji. Kita pakat tolong orang susah. Bantuwer susu, beras, kain baju kita buwi doh. Kita tolong jaga anok gadis dia pulok!"

Drebar Triton yang udah pencen, usia cecah enam puluh lima itu ketawa sampai terpejam mata sebentar. Tangannya menggendang stereng. Kelakar bangat tuh!

Cuma kawe mahu pesan kepada saing-saing dan sahabat-sahabat yang usia sama tahap. Baca ini puisi.

Ingat tu kawan-kawan satu grup usia: Perkahwinan bukan setakat bersuapan pulut kuning di atas pelamin, dan bukan sekadar bergesel lutut di ranjang malam pengantin!

Ini bukan perkara main-main. Jangan gurau lebih-lebih. Usah bertindak kerana desakan kawan-kawan dan dorongan nafsu.

"Kurang fikir, kurang siasat. Kelak dirimu akan tersesat!" (pujangga klasik Raja Ali Haji)



     
   

Isnin, 2 Februari 2015

bencana banjir di Kelantan (8): BAHTERA GST BAWA HARAPAN?

Tidak mudah untuk bangun semula kesan daripada ranap harta fizikal dan terjejas kestabilan jiwa mangsa malapetaka yang menimpa Kelantan. Jika pun dihebahkan ada khidmat kaunseling untuk ratusan dewasa dan ribuan kanak-kanak, hasilnya belum bisa disukat dalam tempoh terdekat. Lagipun hambatan dan kekangan kerana kemusnahan harta benda fizikal dan kehilangan mata pencarian tidak mudah untuk dipulihkan dan digantikan semula dalam tempoh yang segera.

Jika masih di bawah kanvas di bekas tapak rumah atau menumpang di rumah-rumah perlindungan yang ala kadar, dan berlindung di khemah-khemah terdiri macam di kawasan jambori pengakap maka sukar bangatlah pemulihan kejiwaan boleh berlaku mengikut tahap yang teratur.

Memang pada hakikatnya banyaknya seperti melimpah-ruah bantuan makanan, minuman, pakaian dan keperluan asas yang lainnya.

Namun begitu, sesiapa yang pernah melihat dan melawat sendiri keadaan sosial yang kumal dan sukar di Kuala Krai, tentulah berfikir tentang kesulitan mangsa banjir mega itu untuk ubah-suai gaya kehidupan dengan suasana selepas bencana.

Apakah dengan langkah-langkah penstrukturan semula bajet Kerajaan Persekutuan maka dapat disediakan dana yang mencukupi untuk pembangunan semula sosio-ekonomi di Kuala Krai dan kawasan lain yang dilanda bencana serupa?

Begitu juga, nampak banyak sengoti jumlah dana terkumpul hasil kutipan GST.
Tapi aspek kutipan itu satu hal. Mahu membahagikan hasil itu secara saksama satu hal yang lain pulak.
Lagipun kena tengok jugak apakah berlaku apa-apa ketirisan dan ketempangan dalam perlaksanaan GST itu?
Kalu saing-saing tanya, mudahnya kawe jawab begini saja:-