Karya

Karya

Ahad, 14 Ogos 2011

MEMORI HAJI 2010: “Dah lima kali saya umrah di Madinah!”

(nota: catatan kali ini merupakan sambungan “Nak Doa Sambil Berdiri Pun Susah!”)

Yang termasuk dalam kategori kedua pula ialah kunjungan ke tempat-tempat bersejarah di sekitar Kota Madinah, iaitu Medan Perang Uhud, perkuburan Syuhada’ Uhud, Masjid Qiblaitani, Masjid Quba, dan kilang al-Quran. Kerana Madinah terkenal dengan produk kurma yang bermutu tinggi, rombongan haji akan dibawa ke ladang kurma juga. Ketika menunaikan umrah tahun 2009, tempat-tempat berkenaan (kecuali kilang mencetak al-Quran) sudah saya dan Yang Tersayang lawati.

Tapi mengambil-kira soal ukhuwah dan kepentingan bergerak dalam organisasi, serta mematuhi program disediakan pihak TH, maka kami tetap menyertai. Pada fikiran kami, mungkin ada perbezaan tertentu antara program diaturkan agensi swasta (ketika Umrah 2009) dengan program TH sewaktu menunaikan Haji Musim 2010. Lagipun, tiada rugi apa-apa, malahan terasa amat beruntung dsapat mengulangi ziarah tempat-tempat yang merupakan simbol syiar Islam seperti Masjid Quba’, Bukit Uhud, dan Masjid Qiblaitani.

Saya turunkan empat perkara yang membezakan program lawatan anjuran TH ketika Musim Haji 2010, dengan pengaturan oleh pihak swasta yang menguruskan Umrah 2009. Ini berkaitan dengan mutawifnya.

Pertama:
Mutawif kali ini ialah pelajar Melayu, bukan lagi pemuda Indonesia. Dia memang seorang pemuda yang berpengetahuan dan berkebolehan. Pelajar tahun tiga yang asal dari Kedah ini studi di bawah biayaan kerajaan Saudi. Komunikasi memang tiada masalah walaupun dia bertutur agak pekat dalam loghat Kedah.

Kedua:
Tidak seperti Ustaz Feri (pemuda Indonesia – mutawif 2009), kali ini lain sekali, pak. Dia ambil kesempatan berniaga minyak habatus sawda di dalam bas! Katanya minyak pelbagai khasiat ini dijamin tulen.

Ketiga:
Mutawif Melayu ini tidak terkejar-kejar seperti mutawif dulu. Anggapan umum jemaah umrah waktu itu, mutawif terpaksa ‘melayan’ kedatangan rombongan Umrah yang bersilih-ganti. Kami rasa kesian juga melihat mutawif seperti keletihan. Bahkan program pertama (sewaktu umrah) untuk ziarah Masjid Nabawi terpaksa diteruskan sendiri-sendiri kerana mutawif tidak muncul. Rupa-rupanya (pengakuannya sendiri dan mohon apologi) dia tertidur kerana keletihan melayani jemaah Umrah yang baru terbang pulang ke Tanah Bonda!

Keempat:
Ketika Umrah, mutawif yang sama menjadi pembimbing sewaktu di Madinah dan Mekah selama 14 hari. Sewaktu Musim Haji, di Madinah kami dipimpin pemuda Melayu itulah (untuk dua hari saja). Manakala di Mekah, mutawifnya orang Arab yang hanya berikan servis memimpin umrah wajib ketika hari pertama masuk Kota Suci itu.

Kelima:
TH menyediakan servis guru-guru pembimbing Haji untuk menangani pelbagai masalah seharian (ibadah) yang dihadapi jemaah. Mereka (ustaz dan ustazah) stesen di pejabat urusan TH di Hotel Movenpick, dan di Hotel Janadriyah turut menyampaikan ceramah secara berjadual kepada jemaah. Tugasan membimbing itu menjangkau hingga ke Arafah, Mudzalifah dan Mina. Bahkan ada pakar rujuk Haji pula yang boleh ditemui jemaah ketika di Mekah. Hal ini tidak mungkin berlaku ketika Umrah kerana soal lojistik, situasi, bajet, jumlah jemaah, tempoh ibadah, dan keperluan.

Secara umumnya, servis Bimbingan Haji & Umrah TH untuk jemaah boleh dikatakan bagus. Saya perhatikan masalah yang timbul kadangkala puncanya sikap jemaah yang mengambil mudah dan tafsir ‘ikut kepala’ sendiri dalam persoalan ibadah.

Ketika di Madinah, suatu rutin yang dikejari jemaah ialah menziarah Masjid Quba’. Nampak ketara jemaah ghairah untuk ke masjid itu setiap hari. Malahan saya dan Yang Tersayang dapat enam hari berturut-turut (total tinggal di Madinah lapan hari) bersama rakan-rakan sebilik mengunjungi Masjid Quba’. Kami mengambil inisiatif mengatur sendiri dengan pemandu ‘van sapu’ untuk ke situ. Mujur sekali (ini rahmat daripada-Nya) isteri Azmi (Zubaikah) seorang ustazah. Kebolehannya berunding dalam bahasa Arab melancarkan urusan kami ke Masjid Quba’.

Suatu waktu di antara enam hari itu, saya dan Yang Tersayang santai di lobi Hotel Movenpick. Menunggu rakan-rakan yang lain turun sementara van pula belum muncul lagi. Bertegur-sapa juga kami dengan dua tiga jemaah lain. Apabila diberitau kami akan ke Masjid Quba’, seorang lelaki yang agak berumur jadi begitu teruja.

Dengan nada penuh kebanggaan dia tinggikan suaranya: “Pakcik dah lima kali umrah di Madinah ni!”

Saya dan Yang Tersayang saling berpandangan.

Pakcik itu menambah, “Sebelum naik van, jangan lupa niat umrah!”
Memek muka dan gerak badan langsung tidak menunjukkan dia buat kelakar. Pakcik itu memang serius!

Dalam perjalanan, kata-kata pakcik berkenaan masih terngiang-ngiang dalam kepala saya bercampuran dengan rasa belas kasihan yang tebal. Saya tahu pakcik berkenaan sebenarnya ‘berbangga dalam kejahilan’.

Saya tahu pandangannya itu berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud:
“Sesiapa yang berwudhu’ di rumahnya, kemudian pergi ke Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya, ganjaran pahalanya seperti melakukan satu umrah.” (riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Permisi. Wassalam.


foto 1: Solat di dalam Masjid Quba’ terasa amat kesyahduannya. Mudah benar air mata berlenangan ketika memanjatkan doa ke-hadrat Yang Esa.

foto 2: Azmi dan Haji Rosli bersama pemandu van sama-sama pekena teh Arab selepas solat sunat di Masjid Quba’

Sabtu, 13 Ogos 2011

Dongeng Sebelum Sahur: Ini Duyung betul-betul atau Maya Karin?

13 Ramadhan, pukul tiga pagi.
Masih terlalu awal untuk bersahur (kebiasaan famili kami, pukul lima). Tapi inilah masa yang molek sangat untuk berkarya. Sunyi dan damai. Ilham datang dalam lintasan ayat-ayat bersilih ganti dengan visualnya sekali. Kali ini yang datang sangat menonjol ialah tentang dongengan orang Terengganu - tentang asal penamaan kampung. Lalu, kerana desakan itu mengetuk minda beberapa kali, kita bicara saja tentang dongeng dan mitos kampungan.

Saya percaya, ini ada kaitan dengan buku yang dibaca sebelum tidur. Karya Zakiah Hanum (1989, Times Books International) itu berjudul “Asal-Usul Negeri-Negeri di Malaysia”. Di dalamnya dipaparkan asal penamaan sesebuah negeri bersandarkan mitos masyarakat dahulu kala. Terengganu misalnya, disabitkan dengan kisah sekumpulan pemburu terjumpa ‘taring harimau’ di dalam belantara.

Ketika perihalkan kepada orang-orang lain tentang penemuan mereka itu, tiada siapa jua berani menyebut ‘taring harimau’. Masing-masing hanya berani takat menyebutnya sebagai ‘taring anu’.

Adalah dipercayai, pantang sekali disebut perkataan ‘harimau’ ketika di dalam belantara. Hatta di rumah sendiri pun ditegah main-main dengan perkataan yang dianggap punyai roh tersendiri. Kerana perbuatan itu seolah-olah ‘memanggil’ pak belang muncul di sisi. Maka menempah maut saja perbuatan sebegitu!

Kisah ‘taring anu’ ini diulang-ulang dan tersebar secara lisan. Dek berlakunya penambahan dan pengguguran, akhirnya tempat asal dijumpai taring berkenaan disebut ‘Terengganu’.

Satu daripada keunikan Darul Iman, sebilangan kampungnya dinamakan sempena binatang - ada yang jinak, ada yang liar, dan ada pula dikaitkan dengan binatang mistikal. Antaranya ialah Pulau Musang, Pulau Duyung, Pulau Rusa, dan Pulau Kambing.

Yang pertama dalam senarai itu, nama kampung tumpah darah saya. Pulau Musang (dalam daerah Kuala Terengganu) diceriterakan telah diterokai seorang alim bergelar Tok Khatib Siput. Jika ikut jalan potong (kena panjat pagar), melalui semak-samun dan mencelah beberapa batang getah tua, boleh sampai ke pusaranya, yang terletak kira-kira sepuluh minit sahaja dari rumah saya.

Asal-usul penamaan kampung saya ini, rasanya memang ada kaitan dengan musang. Rumah pusaka ayah saya (sejak didirikan) kerap didatangi ‘haiwan malam’ ini. Jika sanggup bersengkang mata, sekitar pukul tiga hingga lima, tidak sukar untuk melihat musang menyusup di dahan duku, meniti kabel elektrik atau berlari menyelinap pintu pagar. Larinya macam tupai yang tangkas, cermatnya macam kucing.

Musang memang ‘sentiasa ada’ di kampung saya. Banyak sikit jumlahnya tidaklah diketahui. Walaupun sudah acap kali ditembak oleh Pok Heng (abang ipar saya), tidaklah pupus binatang licik ini. Pada waktu awal pagi (pilihlah hari apa pun), kurang-kurangnya seekor musang pasti boleh dilihat menyelinap masuk bumbung, meloncat dari dahan duku. Jadinya, saya tidak ragu-ragu langsung, sebab-musabab kampung di tebing Sungai Terengganu ini dinamakan Pulau Musang.

Pulau Rusa? Janganlah mengharap anda akan melihat ladang ternakan rusa atau zoo mini di Pulau Rusa! Sepanjang hayat, saya belum pernah mendengar ada sesiapa ternampak rusa berkeliaran atau sesat di kampung ini. Seperti kampung saya, di sini memang banyak pohon duku di sampai pelbagai jenis pokok buah-buahan yang lain. Letaknya selang dua kampung yang lain dari Pulau Musang. Kalau mahu berbasikal di sini, bagus sungguh kerana persekitarannya yang redup dan menyegarkan. Ini merupakan kampung di tebing Sungai Terengganu juga.

Mengikut cerita orang tua-tua, wanita di sini terkenal kerana keputihan kulitnya. Mungkin kerana keredupan itu atau sebab keturunan, saya tidak tahu. Isteri bapa saudara saya memang putih melepak orangnya, asalnya dari Pulau Rusa itulah!

Ada cakap-cakap (yang ada logiknya juga) mengatakan nama asal kampung ini diambil sempena sebatang pohon rhu yang tumbuh di sini. Kalau membilang ikut loghat orang Ganu, satu itu disebut ‘Se’. Jadinya, ‘sebatang pohon rhu’ dipendekkan sebutannya menjadi “Rhu-se” (rhu satu). Lama-kelamaan terbit dan kekallah sebutan itu menjadi ‘Rusa’.

Masa remaja, sekali-sekala saya (dan Aweng) berbasikal dengan kawan-kawan sejauh enam batu ke Pulau Kambing. Kami akan singgah di pangkalan pendaratan ikan. Ralit tengok peraih tawar-menawar hasil laut yang segar. Ralit lagilah tengok orang mengail ikan. Kampung Pulau Kambing ini dikira dah termasuk kawasan bandar Kuala Terengganu. Jadinya, kami yang datang berbasikal ke sini ialah sekumpulan budak kampung yang masuk bandar.

Waktu itu memang ketara kambing-kambing berkeliaran di tepi jalan besar. Tapi tidaklah sampai berpuluh-puluh ekor menyebabkan jalan jadi jem. Mungkin banyaknya kambing yang melintas jalan (nak ragut dan mamah sisa buangan di pangkalan), maka dinamakan kampung ini sempena haiwan berjanggut yang suka senyum ini. Tapi seingat saya, banyak-banyak pun, nak dapat sekawan dalam dua puluh ekor bermain di tepi jalan pun payah.

Ketika Zaman Perang, kampung ini menjadi sasaran bom yang digugurkan kapal terbang British. Kerana di sini terletak depoh minyak, serangan sengit dilakukan untuk memusnahkan bekalan bahanapi dan melumpuhkan pertahanan tentera Jepun. Perihal pengeboman yang turut menambah keperitan hidup masyarakat nelayan di situ, boleh ditemui dalam novel “Di Bawah Alunan Ombak” terbitan DBP (1961) karya Rashid Ngah - orang kuat Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), dan bekas exco kerajaan juga.

Pulau Duyung? Bezanya dengan kampung-kampung lain yang telah saya sebutkan di atas, ini kampung benar-benar sebuah pulau. Yang lain-lain (Pulau Musang, Pulau Rusa, dan Pulau Kambing) bukan pulau sebenar. Letaknya di atas daratan belaka. Bukan di tengah-tengah sungai pun! Pulau Duyung yang letaknya di muara Sungai Terengganu sudah terkenal di mata dunia. Inilah gelanggang Monsoon Cup.

Kenapa dinamakan Pulau Duyung? Memang Maya Karin pernah datang ke sini sebagai duta kejohanan kapal layar itu. Tapi nama itu dan kampungnya sudah lama wujud sebelum jelitawan yang jadi duyung dalam filem itu lahir lagi!

Saya terbaca sebuah tesis seorang graduan UTM (NURUL AZHANI MOHD AZMIN:2008) yang menurunkan catatan sebegini:

“Mengikut cerita orang-orang tua, suatu masa dahulu didapati dua ekor ikan duyung – berkemungkinan dua ekor ikan jenis ‘dugong’ ataupun manatee (tidak dikenalpasti sama ada adik beradik atau anak beranak / sepasang atau kelamin) telah terdampar di pulau semasa air surut maka kemudian daripada itu pulau ini dinamakan ‘ Pulau Duyung’. Berdasarkan lagenda, Pulau Duyung Besar telah dikaitkan dengan ‘ibu ikan duyung’ tersebut dan Pulau Duyung Kecil dengan ‘anaknya’ dan kaum nelayan masih boleh melihat tanda sisik ikan duyung diatas pasir pada waktu senja, semasa mereka pergi ke laut.”


Selain itu, tidak pernah saya mendengar sesiapa bercerita tentang kemunculan ‘duyung betul’ di pulau ini atau di mana-mana tempat di Terengganu. Sehinggalah lima hari sebelum Ramadhan, saya menerima emel dari seorang kenalan. Katanya dia baru saja balik setelah selesai tugasan di sebuah pulau.

Ketika di situ, dia menginap di sebuah chalet terletak di sebuah kampung bernama ‘Pasir Hantu’!

Dalam emelnya, terkepil sekali gambar yang agak kabur imejnya. Kalau diteleng-teleng atau disenget-sengetkan kepala ketika melihatnya, anda akan nampak suatu imej yang pernah kita lihat (mungkin dalam filem, buku cerita kanak-kanak, akhbar, tv atau media yang lain).

Saya diberitau, foto itu diambil di perairan sebuah pulau di Terengganu. Ketika berada di atas bot yang berhenti kira-kira 500meter dari pulau berkenaan, seseorang telah mengetik kameranya berkali-kali ke permukaan air. Niatnya mahu menangkap gambar ikan-ikan yang galak berenang dalam air yang jernih. Apabila dilihat semula gambar-gambar itu, terkejutlah orang berkenaan dan rakannya.

Apakah ini benar-benar ‘duyung’ atau hanya suatu ilusi ‘Maya Karin’?
Permisi. Wassalam.

nota:
Nama penangkap gambar dirahsiakan. Lokasi diketik kameranya juga rahsia. Anggap saja ini dongeng dan mitos yang diperturunkan seorang penulis ketika menunggu waktu lazim untuk bersahur. ‘Bermain bahasa’ sekadar mempertajamkan sensitiviti dan persepsi. Lagipun, apakah anda percaya duyung itu ada?