Karya

Karya

Selasa, 16 Ogos 2011

Memori Haji 2010: “Apabila Raudhah sudah menutup pintunya!”


Sabtu, 16 Oktober.
Esok hari terakhir kami di Madinatul Munawwarah. Selepas Asar akan bermula perjalanan jauh rombongan kami (penerbangan KT2) menuju ke Kota Suci Mekah. Saya fikir semua jemaah berasa amat teruja kerana hari yang dinanti-nantikan sudah menjelma. Kain ihram yang sudah tersimpan lama dalam beg besar akan menyelimuti badan. Esok petang kami akan memakai ihram sebelum menaiki bas. Petang ini sudah bermula operasi mengemas pakaian. Rakan-rakan sebilik sudah mula ikat semula beg besar masing-masing yang perlu diletakkan di depan lif untuk diangkat oleh pekerja Muasasah. Beg sandang dan beg bimbit saja akan dibawa sekali di dalam bas.

Rakan-rakan sebilik dan ramai jemaah yang lain bukan sahaja sibuk berkemas, malahan berganda pula tahap sibuknya menguruskan barangan yang akan dipos lebih awal ke Tanah Bonda. Jika di depan lif, beg-beg besar sudah mulai disusun mengikut ‘petak’ yang ditentukan (mengikut penerbangan dan bilik), kaunter servis hantar barangan turut jem. Ramai orang kita beratur untuk 'bungkus, timbang dan pos'. Air Zam-zam pun boleh dihantar pulang melalui servis agensi ini. Tak payah tengok pun tongnya - sebut berapa mahu, bayar dan simpan resit. Dua minggu dah sampai di Tanah Bonda.

Di Madinah ini, aktiviti ‘sampingan yang utama’ ialah membeli-belah kerana di sekitar Hotel Movenpick ini ada banyak kedai serta beberapa pasaraya yang boleh disinggahi. Jalan kaki saja. Waktu balik dari Masjid Nabawi boleh terus ‘melontar rial’ di mana-mana kedai dan pasaraya. Mudah sekali dicari ole-ole untuk dibawa pulang ke tanahair seperti perhiasan, pinggan mangkuk, kurma, jubah, tasbih, kitab, al-Quran, permaidani, dan sejadah yang bermutu. Lantas mudah dan rajinlah orang kita ‘melontar rial’ di sini. Sebab itu jadi jem kaunter pos barangan yang terletak berhampiran dewan makan. Seorang kenalan saya membayar 500 rial untuk pos sekotak kurma. Tiap satu kilo barangan dicaj kira-kira 15rial. Rancak amat urus-niaga agen ‘bungkus dan pos’ barangan ini.

Saya tidak menyertai keghairahan ‘bungkus dan pos’ itu kerana sudah berkira-kira mahu hantar barangan ketika di Mekah - seminggu sebelum Wukuf. Ini atas nasihat Kak Ara sebenarnya. Kita yang hanya ada pengalaman di Madinah dan Mekah takat sebesar biji saga, moleknya ikut sahaja nasihat orang yang arif. Saya tidak juga begitu tergesa-gesa untuk berkemas dan ikat beg besar seperti rakan-rakan sebilik. Malahan Yang Tersayang terlebih dahulu siap berbuat demikian, minta saya tolak begnya ke tepi lif ikut petak yang ditentukan.

Sebenarnya, saya tidak teruja untuk berkemas kerana kesyugulan yang menyelubungi diri. Dukacita amat. Kerana setelah dicuba-cuba, sudah dua hari saya tidak dapat masuk ke Raudhah. Ini bermakna, sudah sepuluh waktu berjemaah di Masjid Nabawi, saya hanya dapat melihat kubah hijau saja. Itupun kerana saya solat di bahagian yang dibumbungi payung gergasi (boleh buka katup secara elektronik).

Saya jadi keliru. Setiap kali masuk untuk berjemaah di masjid tersohor ini, saya mesti melakukan rutin serupa seperti hari pertama di Madinah – meneguk air zam-zam, berdoa dilimpahi rezeki, diberikan keberkatan ilmu, dan diberikan-Nya ruang untuk beribadat di Raudhah. Entah kenapa, dua hari kebelakangan ini tiada desakan dalaman untuk bersungguh-sungguh masuk ke Raudhah hatta untuk berdoa pun!
Setiap kali selepas solat fardhu, saya cepat memadamkan hasrat untuk ke situ kerana melihat kesesakan yang berlaku. Terasa juga seolah-olah Raudhah tidak melambai saya pun! Raudhah tidak membuka pintunya untuk saya! Kini, saya terasa macam amat berat pula untuk ke situ. Memang timbul rasa dukacita dan bersalah. Tapi tidak pula saya berusaha keras untuk ke Raudhah.

Ahad 17 Oktober. Hari bertolak ke Mekah.

Selepas Subuh saya memasang niat untuk ke Taman Syurga buat kali terakhir. Malangnya, datang pula musibah. Perut memulas tidak tertahan. Maka segeralah saya pulang ke hotel.
Sebelum Zohor, saya menerima sms daripada Kak Ara: ‘Jangan lupa ziarah wada’. Ucap selamat tinggal kepada Rasulullah. Kalau susah, cukuplah lambai Makam Nabi dari luar saja.’

Selepas Zohor, sekali lagi saya memasang niat untuk sekurang-kurangnya solat sunat di Raudhah. Masih gagal. Masih tidak dapat masuk juga. Kesesakan sudah sampai tahap melampau.

Ketika duduk-duduk di bilik hotel sementara menunggu azan Asar, saya memasang tekad untuk usaha keras masuk ke Raudhah. Pihak TH sudah mengeluarkan arahan (ketika taklimat dan tampalan kertas hebahan di papan notis) supaya para jemaah siap dengan pakaian ihram ketika solat Asar di masjid. Turut diingatkan, beg sandang dan beg bimbit terus dibawa turun ke lobi sebelum ke masjid.

Saya tidak ikut kedua-dua arahan itu. Rasa tidak selesa solat di masjid dengan pakaian ihram. Beg bimbit dan beg sandang saya tinggalkan di dalam bilik saja.

Sebelum ke lif, saya intercom kepada Yang Tersayang: “Jika bas nak tinggal pun tak apa. Abang nak masuk Raudhah. Nak ucap salam terakhir kepada Nabi betul-betul dekat makamnya.”
Yang Tersayang hanya diam. Wanita yang luhur budinya ini, ketaatannya tidak berbelah-bahagi.

Sudah 20 tahun berkongsi hidup, menyemai kasih-sayang. Saya dapat rasakan kerisauan di hatinya, dan dapat bayangkan sugul wajahnya. Saya segera menambah, “Jika abang belum sampai, bas dah nak gerak…Mah turun saja. Tunggu di lobi.Kita jangan berpisah.”

Permisi. Wassalam.Bisa ketemu lagi.


foto: Kubah Hijau itu merupakan penanda letaknya Makam Rasulullah. Jika tidak upaya atau kesuntukan waktu, ziarah wada' boleh dilakukan dari luar masjid saja.

Ahad, 14 Ogos 2011

MEMORI HAJI 2010: “Perihal kaki yang terbakar di Masjid Nabawi!”

Lima hari di Kota Suci Madinah, kesesakan di Masjid Nabawi sudah mulai dirasai. Tidak mudah lagi mahu berzikir, solat sunat dan fardhu di Raudhah. Jemaah pelbagai negara punyai strategi sendiri jika mahu kekal lama atau sekurang-kurang dapat solat sunat dua rakaat di Raudhah. Ada yang membaca al-Quran betul-betul berdepan rapat Mimbar Rasulullah. Selamat dia, tiada sesiapa mengacaunya. Saya nampak ada semacam pakatan juga berlaku di kalangan jemaah dari negara yang sama. Mereka akan bergiliran solat dan duduk berzikir. Yang penting kerjasama ini akan memberikan peluang kepada rakan senegara untuk mendapat ruang di kawasan Raudhah.

‘Perebutan’ tempat sudah menjadi lumrah. Cuma tiada yang bergaduh saja. Acap kalinya polis akan ‘halau’ jemaah yang terlalu lama mahu ‘ibadah’ di Taman Syurga ini. Kadangkala kecoh juga kerana jika sudah mendapat tempat untuk solat, nak berdoa panjang-panjang pun sukar. Selesai salam sudah ada jemaah lain yang berdiri rapat-rapat di belakang kita. Memberikan isyarat supaya segera bangun dan berlalu kerana orang lain pun mahu mendapat baraqah ibadat di Raudhah.

Dalam bab solat di mana-mana jua (termasuk di Raudhah), orang kita sudah terbiasa solat dalam saf yang selesa, dan boleh zikir lama-lama. Saya tidak punyai pengalaman solat berhimpit-himpitan di mana-mana masjid pun di Tanah Bonda. Saya rasa majoriti jemaah negara kita pun begitu juga. Mana nak berhimpit jika safnya paling banyak hanya tiga, di dalam sebuah masjid yang boleh menampung seribu orang? Sewaktu solat sunat EdilAdha dan EdilFitri mungkin jemaah melimpah masjid. Tapi masih tetap tidak ada polis datang memberikan amaran supaya jemaah paling depan beralih tempat, kasi peluang kepada orang lain solat dekat imam!

Di Masjid Nabawi ini atau di Masjidilharam, jika kita berdegil tidak mahu ikut arahan polis, maka sah akan berdepan masalah besarlah. Bukan saja dimarahi, malahan akan dihalau terus keluar dari masjid!

Di Raudhah, polis menarik keluar ‘jemaah yang degil’ ini suatu perkara biasa. Cuma agak menghairankan, ada sebilangan jemaah yang memang saya perhatikan duduk agak lama di Raudhah, tidak pula diapa-apakan pihak polis. Barangkali sudah rezekinya begitu. Mungkin polis sudah memerhatikan gelagat watak-watak tertentu yang sudah ‘menjadi sasaran’ mereka. Entahlah. Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui.

Saya pernah dapat duduk agak lama di Raudhah selepas solat Zohor. Selesai solat sunat, berzikir, berdoa dan mengaji surah tertentu, entah kenapa dapat pula terus bersila tanpa gangguan. Maka saya ambil peluang itu untuk tunggu azan Asar. Sambil menunggu, sempat memerhatikan gelagat jemaah yang duduk di depan. Saya ralit tengok dua jemaah Malaysia yang lebih lama duduk di situ sebelum saya. Seorang pemuda bersama lelaki separuh umur.

Empat lima kali juga beberapa jemaah dari negara lain (Pakistan dan India) yang meminta ruang untuk ‘tumpang’ solat. Pemuda itu dan lelaki separuh umur di sebelahnya tidak berganjak. Dia bersila (stail orang kita) dengan selesa, langsung tidak diendahkannya permintaan jemaah dari Pakistan dan India (mudah dikenali kerana pakaian dan tagnya).

Biasanya di sini, ketika saf agak sendat, para jemaah tidak bersila. Masing-masing akan duduk sambil memeluk lutut. Ini akan memberikan ruang kepada orang lain untuk duduk juga. Apabila kita bersila, sebenarnya menutup ruang untuk seorang jemaah lain mendapat tempat. Tapi orang kita, dah biasa bersila sukar nak ubah tabiat. Cepat lenguh dan rimas kalau duduk lama-lama, kedua-dua lengan pula mengepung kepala lutut. Boleh kejang otot bahu dan urat lengan! Kita tak biasa duduk lama-lama begitu. Apatah lagi kalau perut sudah gendut.

Tapi jemaah dari negara lain bukannya reti cara orang kita. Mereka nampak ada ruang boleh dicelah, maka datanglah merapat mohon permisi. Barangkali sudah rimas dengan kelakuan jemaah Pakistan dan India yang mahu duduk juga di sebelahnya, pemuda Malaysia yang buat tidak endah dari tadi akhirnya meletup juga: “Tak Boleh! Mana ada tempat!” Serentak itu tangannya diangkat seolah-olah mahu mengusir jemaah Pakistan yang mohon ruang duduk.

Selepas itu, tiada sesiapa lagi datang mengganggu pemuda berkenaan. Datang lintasan dalam fikiran saya: ‘Kalau aku buat begitu juga, tiada orang akan ganggu. Boleh duduk-duduk bersila dengan selesa sebelum solat Asar.’

Niat yang tidak betul itu amat segera didatangi ujiannya. Tiba-tiba hadir seorang jemaah India yang kurus dan tua. Dia minta izin untuk duduk di sebelah saya. Dia memberikan isyarat supaya saya mengengsot. Tapi kepala sudah ‘biul’ terpengaruh dengan gelagat pemuda Malaysia di depan saya, maka tidaklah dapat jemaah India itu duduk. Saya buat-buat tidak reti.

Tapi ketika solat bayangan jemaah India yang kurus dan tua datang mengganggu fikiran. Selepas solat, saya bergegas menyertai barisan untuk ziarah Makam Rasulullah. Biasanya, melepasi Makam Rasullah dan dua sahabatnya (Sayyidina Umar al-Khatab dan Sayyidina Abu Bakar as-Sidiq) jemaah boleh pusing balik untuk keluar semula melalui Babus-salam. Ruang di antara Makam Rasulullah dengan ruang solat cukup luas untuk jemaah lalu-lalang.

Entah kenapa kali ini sebaliknya berlaku. Keadaan tidaklah sesak sangat. Tapi ada yang dibenarkan buat pusingan ‘U’, ada pula yang dihadangi polis dan disuruh keluar melalui pintu bertentangan (Pintu al-Baqee). Tiba giliran saya, itulah yang berlaku. Serba salah sungguh kerana saya masuk Masjid Nabawi melalui Babus-salam. Selipar memang ditingggalkan di rak sebelum pintu besar.

Tiada jalan lain, kerna tidak boleh berdegil (khuatir risiko lain menimpa), maka saya turuti arahan polis. Untuk mengambil selipar di luar Babus-salam tidaklah saya upaya kerana jauh dan panas terik. Jadi saya tunggu di luar pintu al-Baqee. Payung-payung gergasi memang terpasang tetapi bahang kehangatan mentari tidak tertanggung. Maghrib masih jauh. Kerana letih, lapar dan haus, saya ambil keputusan untuk berkaki ayam saja pulang ke Hotel Movenpick. Dari pintu al-Baqee jaraknya lebih dekat ke hotel berbanding jika saya keliling masjid mahu ambil selipar di Babus-Salam.

Saya keluar dari teduhan bayangan dinding Masjid Nabawi. Mahu melangkah cepat-cepat pulang ke hotel. Nasib baik saya tidak menjerit (malu dengan jemaah negara lain yang santai di kawasan itu). Terasa macam terbakar kedua-dua tapak kaki saya sebaik menjejak lantai marmar laman masjid. Niat mahu berkaki ayam menapak ke hotel terpadam terus.

Sedang menghitung nasib malang menimpa diri, saya perasan sekumpulan jemaah Turki lelaki perempuan (tua-tua belaka), selamba saja berjalan di laman masjid. Semuanya berkaki ayam saja. Terfikir barangkali sudah surut tahap kepanasannya, saya cuba sekali lagi menapak. Tidak sampai tiga langkah, rasa mahu segera melompat kembali berlindung di bawah bayangan dinding masjid! Panasnya tidak tergambar. Macam terkoyak tapak kaki saya dibakar kepanasan yang tersangat tinggi. Anehnya, jemaah Turki lima enam orang tadi begitu selamba jalannya. Seolah-olah mereka berkaki ayam di atas api, tapi tidak memberikan kesan apa-apa!

Tiada ikhtiar lain (telefon tinggal di bilik hotel - caj bateri), saya menapak masuk ke Pintu Jibrail. Tiada lain lagi boleh dilakukan kecuali berserah bulat-bulat kepadaNya. Selepas meneguk dua gelas air zam-zam, saya memilih tempat yang agak lengang. Berdoa mohon ampun dan minta pertolonganNya. Ketika itu tidak tertahan, air jernih pun turun deras melepasi dagu.

Lima minit kemudian saya keluar semula. Tapi masih terpaksa berteduh di tepi dinding. Kepanasan lantai laman Masjid Nabawi tidak surut pun. Dalam dukacita dan sesalan itu, saya disapa seseorang.
“Apa khabar, pak?”
Seorang lelaki Indonesia menghulurkan tangan sambil tersenyum. Kerana teringatkan pengalaman terkena dengan dua jejaka Indon sebelum ini (Abdu Rahman yang kelentong saya di medan selera, dan seorang penjual hati unta ‘yang menipu’), acuh tak acuh saja saya menjawab salam dan berjabat tangan. Hati membisik: ‘Jangan ganggu. Aku tengah susah. Pergi segera jauh-jauh.’

Lelaki Indon ini ramah pula orangnya. Jadi saya memaksa diri juga melayani dia. Namanya ‘Nawaitu’. Ceritanya, dari awal Ramadhan lagi dia sudah berada di Madinah. Penginapannya agak jauh dari Masjid Nabawi. Katanya sewa murah. Jika datang solat Zohor, lepas Isyak baru dia pulang. Mungkin perasan betapa saya tidak melayaninya sangat, dia mohon permisi.

Sebaik akan berpergian, dia bertanya: “Mana sepatunya pak? Waktu begini, enggak bisa jalan-jalan di sini tanpa alas. Hangat sekali. Macam api, pak!”
Kerana termalu saya menjawab ringkas: “Selipar hilang”.

Mengejutkan sekali kerana Nawaitu menawarkan diri membeli selipar untuk saya. Dalam teragak-agak itu, saya berikan lima rial kepadanya. Tak Sampai lima belas minit dia kembali dengan sepasang selipar masih dibungkusi plastik.

Maka berkali-kali saya mengucapkan terima kasih. Nawaitu tersenyum sambil mengembalikan tiga rial wang baki. Saya minta dia menyimpannya saja. Setelah mohon permisi, Nawaitu berlalu. Rasa kesal juga di hati saya kerana ‘memberikannya’ hanya tiga rial. Jika dia minta, dua puluh rial saya sanggup berikan.

Saya tidak pulang terus ke hotel. Sebaliknya singgah di medan selera. Sambil duduk minum berseorangan, berkali-kali terfikir tentang gelagat ‘kesombongan’ di Raudhah dan peristiwa ‘tapak kaki terbakar’. Kedua-duanya seolah-olah ada relevensi yang kuat.

Timbul musykil pula: ‘Apakah lelaki Indon yang menolong saya itu benar-benar namanya Nawaitu?’

Permisi. Wassalam.

foto 1: ngaji banyak-banyak boleh duduk lama-lama di Raudhah.
foto 2: kesesakan di depan Makam Rasulullah.
foto 3: dari Zohor hingga Asar, di luar Masjid Nabawi nampak teduh & nyaman. Tapi kalau berkaki ayam, boleh terbakar tapak kaki!