Karya

Karya

Khamis, 27 Oktober 2011

SALAM ‘MERAH CINTA KITA’ DARIPADA HALIM OTHMAN

Pagi Selasa, saya punyai kesempatan bertemu dejay radio tersohor Halim Othman. Pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam. Setengah jam di sebuah kedai kopi di dalam Tropicana Mall. Baki waktunya dihabiskan dengan jalan-jalan di persekitaran yang serba kontemporari dan begitu kekotaan penampilannya. Jalan-jalan sambil sembang-sembang itu merupakan idea jejaka kacak ini. Sudah tabiat sehariannya sekarang. Tidak betah duduk lama-lama kerana mahu capai sepuluh ribu langkah sehari. Katanya mahu caj bateri (rohani dan jasmani)!

Sewaktu di warung berwajah klasik tapi bergaya moden itu, saya menghabiskan secawan kopi O kosong, pekena roti bakar. ‘The most eligible bachelor guy in Malaya’ asal dari Darul Iman ini hanya meneguk segelas ais kosong. Beberapa kali perbualan kami terganggu. Ah, jejaka bujangan yang popular, ada saja orang yang lalu-lalang mahu menegurnya!
Bicara kami cubit-cubitan pelbagai isu. Dua perkara yang timbul dan membangkitkan ghairahnya.
Pertama tentang sebuah filem klasik “Akhir Sebuah Impian”.

Ugh, bukan sahaja HO sangat meminati Broery dan Emilia, malahan beberapa dialog di dalam filem itu dituturkannya persis sang hero yang digilai wanita suatu waktu dahulu. Kebetulan saya pernah mendengar (dengan asyik) filem berkenaan melalui piring hitam, dapatlah juga saya sebutkan satu dua dialog yang mantap. Itu juga menjadi hafalan HO rupa-rupanya.

Angkat tangan dan tabik saya kerana tidaklah saya upaya untuk meniru pengucapan Broery Ramantika. Tapi jejaka rambut ikal cecah bahu ini bisa lontar dialog umpama Boery juga. Sesekali bergaya dia macam Rahim Razali pula. Bisa jadi hero filem sang dejay yang tersohor ini!

Kedua ialah keghairahan baru HO, iaitu mencapai sasaran sepuluh ribu langkah sehari. Itu merupakan setengah jam kedua pertemuan kami terisi pagi Selasa itu. Dari kedai kopi kami jalan-jalan melintasi pintu depan bangunan studio Suria fm. HO disapa oleh seorang pak jaga. Tersengih dan nampak megah dia ketika berkata sambil meleret pandangan kepada sang dejay, “Ini idola saya! Jalan-jalan sepuluh ribu langkah!”

Kami jalan-jalan hingga ke kolam renang. Jenguk dan singgah di gimnasium. Sempat sang dejay memberikan pedoman kepada saya cara-cara optimumkan mesin threadmill.

Ketika kembali menapak di tingkat bawah, saya mohon permisi kerana ada janji lain di kampus Universiti Malaya.
Rugi rasanya hanya punyai masa satu jam bersama HO. Bukan senang untuk bicara lama dan jalan-jalan dengan sang dejay yang ketat amat jadual kerja dan sibuk pula acara sosialnya.

Tujuan saya minta sangat bertemu dengan HO pagi itu tiada lain, mahu menghantar sendiri antologi Merah Cinta Kita siri ke-3. Sewaktu bertemu dengannya enam bulan lepas, jejaka rambut ikal ini pernah meminta saya tuliskan suatu kisah berkaitan pengalaman hidup di perantauan.

Di dalam antologi MCK siri ke-3 itu termuat karya saya berjudul “Kasut Bola Shafika”. Cerita gadis Melayu yang sangat gemar main futsal dan bercita-cita mahu menyertai pasukan sekolahnya memasuki pertandingan di Kompleks Carrington (milik Manchester United). Kerana pengkisahan tentang suatu peristiwa di England itu cocok dengan hasratnya, maka MCK siri ke-3 saya hadiahkan kepada jejaka tampan dari Darul Iman itu.

Sebelum berpisah, sempat saya merakam sang dejay yang bergaya dengan antologi MCK siri ke-3. Saya bangkit juga satu soalan: “Apa pesanan HO untuk para remaja kita?”

Sambil tersenyum (manis dan memikat, sih!) begini jawabnya: “Banyak berjalan. Banyak baca buku. Sihat badan. Segar minda. Semarak cinta anda. Merah Cinta Kita!”

Permisi. Bisa ketemu lagi.

Ahad, 23 Oktober 2011

MERAH CINTA KITA: "GADIS SUNTI SUMBER INSPIRASI"

Detik itu bermula 31 Mac 2011. Saya di antara sekumpulan penulis Grup Buku Karangkraf (GBK) menghadiri pertemuan sulung yang dipengerusikan oleh Sri Diah (novelis terkenal & wanita dinamik berjawatan Pengurus Besar Editorial GBK). Intipati bicara Sri Diah hari itu mengenai usaha menerbitkan novelet banyak siri diberi gelar 'Merah Cinta Kita' yang disasarkan kepada remaja (perempuan khususnya). Pembentangan susulan diberikan Puan Siti Zarinah yang nampak tegas orangnya (sang editor merangkap pengarah projek ini).
Berat kepala, dan panas otak jadinya kerana Sri Diah sudah menetapkan tempoh hantar sinopsis serta tarikh akhir menghantar manuskrip lengkap. Dalam gurauan terkandung amarannya tentang sikap non-kompromi untuk penulis yang 'sambil lewa dan buat kerja sekerat jalan' . Ketara sungguh betapa bersungguh-sungguh dia mahu merealisasikan Merah Cinta Kita (MCK) dalam tempoh yang singkat. Kepala yang berat jadi serabut, minda pula dah jadi macam CPU kepanasan!

Ini bukan kerja mudah. Karya saya yang terdahulu tidak pernah menyentuh soal alam sang gadis remaja.

Ketika masih di kampus saya kerap menulis artikel (tersiar di akhbar) tentang sosio-budaya, dan rajin menghantar komen ke ruangan 'surat kepada pengarang' dengan nama samaran Musang Pulau. Ketika kemuncak kekejaman Yahudi (penyembelihan di khemah pelarian Sabra & Shatilla), sajak saya tentang tragedi itu tersiar di sebuah akhbar mingguan. Selepas alam kampus, saya pernah bekerja sebagai editor eksekutif di sebuah syarikat penerbitan (lama sudah dikatup) yang antara lainnya menerbitkan semula novel-novel karya Tokoh Wartawan Negara - Tan Sri A Samad Ismail. Kerna masih jagungan, saya ditugaskan menjadi pembaca pruf untuk satu daripada novel berkenaan - Tembok Tidak Tinggi. Pernah sekali tokoh tersebut menziarah pejabat kami. Bukan sahaja ombak gementar menghempas di dalam dada berdepan dengan seorang tokoh persuratan Melayu, telinga panas dan merah jadinya kerana ditempelak. Beliau memberikan sindiran pedas kerana kerja saya dikatakan tidak teliti.

Pengalaman lain dalam bidang pengkaryaan ialah apabila saya terlibat dengan penerbitan buku dan buletin pelancongan untuk sebuah agensi kerajaan negeri. Saya dilantik sebagai ketua editor dan penulis utama. Seronok tapi amat mencabar. Bersama seorang jurugambar (Jasneh - sekarang di Pantai Timur dengan Bernama), pernah kami mencari bahan hingga ke dalam hutan dan pinggir air terjun. Peristiwa paling tak dilupai, kamera terjatuh ke dalam takungan air terjun kerana Jasneh terlalai ketika mahu mengetik di suatu sudut yang sukar.

Novel pertama saya (Waris Kalung Naga) pula ditulis untuk meladeni selera remaja jantan. Watak si gadis (Emilda) itu pun turut dibentuk jadi 'keras dan agak kasar ' macam kawan-kawannya (lelaki belaka). Novel yang terselit banyak adegan lasak ini merupakan suatu sintesis pengalaman zaman kanak-kanak (dengan rakan sebaya) yang selalu bermain di sungai, panjat pokok duku, lawan bergaduh di kebun getah, mandi parit, tarik lembu, dan tangkap ikan di baruh. Waktu itu, berkawan dengan budak-budak perempuan dikira sangat koman!

Tulis novel untuk remaja jantan, bahannya tidak sukar dihimpun dan dicerna.
Tulis novel untuk remaja perempuan? Ugh, itulah yang bikin kepala jadi serabut, minda naik suhu macam CPU kepanasan!

Tapi janji mesti ditunaikan. Peluang yang diberikan oleh Pengurus Besar Editorial GBK tidak boleh dipersia-siakan.

Malam itu saya berbincang dengan anak-anak (Syai, Dek-dek dan Ney-ney). Mujurnya, mereka gadis remaja belaka. Macam-macam cadangan timbul dalam gelak ketawa dan gurau-senda. Ney-ney membelek album lama. Ditunjukkan sekeping foto nostalgia ketika kami mastautin di UK. Dalam foto itu Ney-ney sedang seronok bermain salji di Cobridge Park bersama kawan-kawannya (satu famili Melayu dari Wales) yang bertandang ke rumah kami.
Foto itu mencetuskan ilham "Kasut Bola Shafika" - kisah gadis Melayu yang gemar bermain futsal walaupun dihalangi bapanya. Shafika curi-curi bermain futsal dengan budak-budak Inggeris dan Pakistan (lelaki & perempuan). Gelanggang futsal itu letaknya di Cobridge Park itulah juga, tempat Ney-ney bermain salji.

Sinopsis kisah gadis futsal itu diluluskan oleh sang editor tanpa guntingan.

"Kasut Bola Shafika" termuat di dalam siri ketiga antologi Merah Cinta Kita (tajuk kulit depan: "Kisyah Budak Junior Masterchef").
Jika pemangkin cerita ialah sekeping foto gadis sunti bermain salji, dari mana pula datang inspirasi menzahirkan heroin, konflik, plot dan lain-lainnya?
Yang itu, tunggu dulu. Permisi. Kita bisa ketemu dan bicara lagi.