Karya

Karya

Ahad, 8 Julai 2012

PERIHAL ULAR YANG TAK SEMPAT JADI JIN!

Lewat petang, hujung minggu lepas.

Rumah saya jadi kecoh. Yang Tersayang tergesa-gesa naik ke tingkat atas. Kedengaran pintu bilik utama ditutup dalam cemas. Lepas itu, tiada respon lagi daripadanya. Dipanggil tidak menyahut. Menjenguk tidak. Bertanya dari jarak jauh pun tidak. Diamnya itu penanda tidak akan turun-turun lagi.

Syai yang baru seminggu jalani pembedahan di kepala lutut, susah-payah naik tangga dengan tongkat di tangan kanan. Senget punggungnya mahu imbangan kaki kirinya yang masih berbalut. Tangan kirinya menggagah pagar tangga. Hanya terdaya memanjat separuh tangga. Dia berlunjur di situ.

Tiada siapa boleh menolong. Bukan tidak mahu membantu. Niat ada. Kebolehan dan keupayaan kami yang tiada. Semua orang - Ney-ney, saya dan bibik ada tugas cemas.

Ibu mentua saya diam di kerusi, yang mengepung meja makan. Saya tidak pasti sama ada dia turut cemas atau tenang. Atau sedang membaca ayat-ayat suci. Bibik sudah masuk dalam stor. Saya berdiri di depan pintu. Ney-ney pula mengangkat beg dan kotak ke ruang tamu. Tidak teratur letaknya. Bertindihan dan simpang-siur.

Sudah hampir satu jam. Bibik sudah kepenatan. Lantas giliran saya pula masuk ke dalam stor. Barangan tinggal sepertiga lagi. Kini Ney-ney pula yang menunggu di depan pintu.

Sambil menyambut kotak sederhana besar, dia membisik, "Bibik cakap, kalau tak ada...kalau tak jumpa, itu bukan ular! Itu jin!Kita kena pindah!" Nampak sangat kegusaran di wajahnya.

Syai yang jadi pemerhati, menekap mukanya di pagar tangga. Dia mencelah, "Telefon bomba!"

Cadangan itu tidak bersambut. Tercabar rasanya maruah saya. Anak kampungan, ular masuk rumah mahu panggil bomba. Ugh, malu bangat, sih!

Zaman remaja dulu, ular tidak menusuk ketakutan dalam hati. Malahan, nampak ular, mahu saja membedal dengan buluh atau kayu.

Waktu itu (awal tahun 70-an), biasa amat ular sawa masuk ke reban ayam. Seingat saya, tidak pernah panggil jiran atau sesiapa membantu. Jauh sekali mahu dipanggil bomba. Ular sawa yang kadangkala hampir sebesar paha mesti tewas. Ada kalanya ayah saya tembak. Satu das sudah cukup. Peluru penabur bisa memecahkan kepala. Jika terkena perut, terburai!

Kadangkala tak sempat ditembak, saya dan Aweng (anak lelaki ketiga dalam famili, kini jadi perunding legal) hentak saja kepala ular dengan cangkul. Ular sawa yang baru menelan ayam gerakannya terhad. Mudah saja ditewaskan.

Selain ular sawa, yang selalu datang mencuri telur, ialah biawak. Jika tak sempat lari, maka pasti terkorban ia di dalam reban. Biasanya, apabila dah terperangkap dalam reban, kami radak saja perutnya dengan kayu rel yang tajam hujung. Bisa amat. Menggelupur biawak sebesar betis itu tak sampai setengah jam.

Yang paling handal di kalangan adik-beradik lelaki ialah PokDeng (yang sulung). Jerut ular sawa yang terperangkap di dalam reban atau merejam biawak, PokDeng tak layan. Dia buat apa yang tidak termampu kami buat. Masuk hutan jerat kancil, dan tembak seladang. Pergi ikut orang jerat kerbau liar bukan perkara pelik. Bukan takat Terengganu Mati, bahkan sampai ke sempadan Siam dia pergi memburu!

Itu lama dulu. Zaman remaja sudah sangat lama berlalu. Yang remaja kini ialah anak-anak gadis. Yang tidak reti apa-apa dengan gaya hidup kampungan yang saya tempuhi dulu-dulu.

Ikut ibu mentua, dia amat pasti ular yang menyelinap masuk ke dalam stor kecil saja. Malangnya, saiz yang kecil itu dan jenisnya tidak dapat dipastikan. Tapi saya tetap degil tidak mahu memanggil bomba. Buat malu saja. Ah, pengalaman zaman remaja datang membawa keberanian dan keyakinan.

Ketika barangan dari stor sudah berlambakan di ruang tamu, dan yang berbaki hanya empat kota lagi, datang juga rasa khuatir. Bukan takut ular bingkas dan mematuk. Tapi bimbang omongan bibik jadi kenyataan:

"Kalau tak jumpa, maknanya ular udah ghaib. Jika hilang, itu bukan ular. Itu jin! Kita harus pindah, pak!"

Ketika sudah rasa lenguh sangat, dan yang dicari tidak menampakkan diri, maka mudahlah kehampaan menguasai diri. Mulalah yang karut-marut mahu dipercayai. Mungkin betul sungguh omongan bibik itu!

Sebaik menujah dengan hujung batang penyapu ke dinding kotak besar di penjuru stor, mata menangkap badan yang melingkar, hitam warnanya. Kecil saja. Sebesar ibu jari tangan. Tapi bahayanya tidak terduga.

Si hitam berkilat yang kecil itu memanggung kepala. Mahu melawan usikan hujung batang penyapu.

Saya belum bertindak. Hanya menunggu tindakbalasnya. Sah, ini bukan tedung. Kepalanya tidak kembang.

Saat yang ditunggu pun tiba. Ruang sudah terbuka. Sewaktu ia menurunkan kepalanya menyentuh lantai, bedalan pertama pun hinggap. Tanpa belas. Deras dan keras. Mujur sungguh. Serangan pertama itu terus melumpuhkannya! Kepalanya tidak terdaya diangkat lagi. Hanya badan dan ekor menggelapar.

Berkali-kali dipanggil, dengan suara yang perlu dikeraskan, dalam ketakutan, Ney-ney menghulurkan cekup sampah, dan cepat meminggir dari pintu. Segera saya kuiskan ular yang menggeliat liar itu. Sambil berdiri di depan pintu, saya unjukkan cekup sampah ke arah bibik. Beristighfar panjang dia. Pucat mukanya.

"Bibik...ini bukan jin! Pukul sampai mati. Buang di longkang!"


Permisi, bisa ketemu lagi.




Isnin, 25 Jun 2012

EURO 2012: BOLEH ORANG LUPA ALLAH!

Ungkapan ini pertama kali saya dengar pada tahun 1998. Ketika bulan demam Piala Dunia tengah memuncak.Saya masih ingat Tok Khatib menyebutnya ketika khutbah di sebuah masjid di Sungai Buluh.

Waktu itu saya bekerja dengan syarikat swasta yang punyai kolej dan sebuah pusat bina semangat. Atas kehendak pengurusan tertinggi, semua pegawai kanan syarikat dikumpulkan di Pusat Bina Semangat di Ampang Pecah. Lari jauh dari kem kepunyaan syarikat di Port Dickson.

Mahu merasa perubahan persekitaran. Jauh dari air laut dan angin pantai. Pagi-pagi hirup udara segar dari bukit, dan bermain air di tasik bekas lombong.

Aktiviti direka untuk mengukuhkan ukhuwah, meluas horizon minda, menyuntik nilai murni dan meniup semangat baru di kalangan para pembuat polisi. Sangat seronok dan sungguh bermanfaat.

Selain menguji ketahanan fizikal, pengisian rohani jadi aktiviti utama. Di sebelah siang berpenat lelah main flying fox, abseiling, dan kayaking. Awal pagi pula bangkit, berjalan dalam kabut menuju surau. Tunaikan solat tahajud dan witir.

Dalam letih fizikal dan mental, sebelah petang masih sempat main bola. Sekumpulan lelaki umur pertengahan tiga puluh, kurang stamina dan sebahagiannya rambut sudah jarang-jarang, berlari bawak perut boroi, begitu bersemangat terkontang-kanting di padang. Berangan macam budak-budak muda, mahu jadi Zidane dan Ronaldo! Demam Piala Dunia 1998 berjangkit tak kira usia dan kedudukan sosial.

Kini bulan demam BOLA datang lagi. Euro 2012 sudah masuk fasa akhir. Kejutan tidak berlaku. Sudah pasti England tak jadi juara. Nampak ada kemungkinan ini Tahun Ronaldo. Piala Dunia 2002 dulu Ronaldo dari Brazil yang jadi rajanya. Selepas sepuluh tahun, nampak bunga-bunga Ronaldo dari Portugal pula akan memakai mahkota Raja Bola Eropah yang baru.

Keluarga kami demam jugak. Saya, Ney-ney dan Dek-dek menyokong England dan Sepanyol. Syai pula pilih Belanda. Yang Tersayang, macam biasa, akan tunggu dua pasukan yang bermain di final. Tak adil! Gitu biasanya anak-anak akan menjerit serentak!

Sehari sebelum England lawan Ukraine, kerana cuti, Dek-dek berpesan supaya dikejutkan jam dua setengah pagi. Mahu jugak dia nonton England main secara langsung. Sungguh-sungguh berpesan gadis yang baru setahun kenal alam kampus itu kepada saya.

Saya terjaga kira-kira jam dua pagi. Teruja mahu nonton Wayne Rooney kembali ke padang. Segera teringat pesanan Dek-dek. Tapi tidak sampai hati pula saya mahu mengejutkan dia.

Berbaloi ke bangun pagi-pagi buta hanya mahu nonton bola? Patutkah diajar anak-anak bersekang mata kerana mahu berhibur semata-mata? Sudah biasa terjadi, ghairahnya tengok bola saja, habis menonton terus dengkur. Kemudian sangat liat pula nak bangun Subuh. Jika tidak dikejut, pasti terlepas yang wajib itu.

Akhirnya, tak jadilah kejutkan Dek-dek.

Saya masih ingat ungkapan Tok Khatib di sebuah masjid di Sungai Buluh pada Tahun 1998 dulu.

Kerana BOLA, sanggup bangun di pagi buta, tapi tak terfikirkan pula nak solat sunat tahajud dan witir.Kerana BOLA, solat Subuh terlepas. Kerana BOLA sanggup ambil cuti sakit, tak mahu kerja. Yang muda remaja tak pergi kuliah dan ponteng sekolah.

Kerana BOLA, ramai yang sanggup lepak di kedai mamak bermandikan embun. Tapi tak sanggup ronda-ronda ikut jadual Rukun Tetangga.

Ada pula yang dapat mudharat kerana bola. Ada yang rebah diserang sakit jantung. Ada yang patah hidung kerana bergaduh.

Yang lebih parah lagi, sudah terbukti, kerana BOLA juga orang gila berjudi!

Memang benarlah kata-kata Tok Khatib di Sungai Buluh itu. Semuanya itu terjadi kerana BOLA - B (Boleh) O (Orang) L (Lupa) A (Allah)!

Permisi. Bisa ketemu lagi.