Karya

Karya

Rabu, 25 Julai 2012

madrasah ramadhan (1) DOSA YANG TAK DIAMPUN DI BULAN KEGEMBIRAAN

Di ambang Ramadhan. Jumaat, 20 Julai 2012.

Seekor lembu ditumbangkan. Dengar cerita disedekahkan oleh seorang tauke stesen minyak. Petang itu, sebilangan anak khariah bergotong-royong melapah dan memasak di laman surau. Dua tukang masak handalan Haji Murat dan Tuan Syed menjadi tekong. Sup, daging kuzi dan gulai kawah. Pecah liur ketika terhidu aromanya. Dua tukang masak ini juga yang menjadi tekong sewaktu AidilAdha tahun lepas. Supnya memang sedap sungguh. Kalah sup urat keting yang begitu terkenal di Bangi.

Kerana hujan, dan mahu jalan kaki saja, hampir jam lapan suku malam baru saya sampai di surau. Terlepas nak hirup sup tulang. Periuk besar sudah kering. Tapi makan nasi panas-panas dengan gulai kawah daging segar...ugh, enak bangat! Maka berlama-lama jugak kami di bawah khemah, hinggakan terpaksalah tok siak memanggil kerana solat tarawih dah nak mula.

Sebelum berjamu, diadakan ceramah ihya' Ramadhan. Kerana terlewat sampai, bahagian akhir saja dapat saya dengar. Ceramah dimulakan selepas solat Maghrib. Disampaikan ustaz dari Pusat Zakat Selangor.

Tumpuan ceramahnya mengenai wakaf. Tapi bahagian hujung yang masih sempat saya dengar itu menyentuh mengenai hikmah dan nikmat Ramadhan.

Ustaz menyebut betapa di bulan yang dikatakan 'penuh kegembiraan' itu, barang siapa yang bertaubat nasuha, nescaya Allah akan memberikannya keampunan, kecuali empat perbuatan keji, iaitu:-

1. Minum Arak (ketagihan)
2. Derhaka kepada ibu bapa
3. Memutuskan silaturrahim
4. Menyimpan Dendam Kesumat

Ramadhan 'bulan penuh kegembiraan' kerana pintu ibadah terbuka amat luas, dan ganjarannya berlipat ganda dijanjikan Allah.

Tiada bulan-bulan lain didirikan solat tarawih. Nuzul Quran pada bulan ini jugak. Begitu juga dengan Lailatul-qadr (malam seribu bulan). Bahkan zakat fitrah itu mula ditunaikan sepanjang bulan puasa hingga menjelma satu Syawal.

Alangkah ruginya, jika di bulan penuh kegembiraan itu ada di kalangan kita 'mengisinya' dengan melakukan 'kemudaratan diri' dalam rupabentuk perbuatan keji yang empat itu.

Barangkali, kutipan berikut bisa memberikan pengajaran kepada kita. Tentang seorang lelaki yang mengaku derhaka kepada ibunya.
Dulu, dibiarkan saja si isteri menghalau ibunya yang mahu menumpang di rumahnya. Kini, dia (lelaki itu) pula dihalau anak lelakinya sendiri, selepas menjalani pembedahan jantung. Tinggal dia di rumah kebajikan untuk orang-orang tua. Kebetulan, biliknya kini bersebelahan dengan yang pernah dihuni ibunya dulu (sudah meninggal).


Hidupkan Ramadhan kita dengan ibadat bukan maksiat. Hindarkan perkara keji yang empat itu.

Permisi. Bisa ketemu lagi.




Khamis, 12 Julai 2012

PERIHAL ORANG MENGAMUK DI KAMPUNG BENDAHARA

Dalam Hikayat Hang Tuah, tercatat tiga kejadian mengamuk yang termasyhur.

Bab ke-2 memaparkan dua kejadian orang mengamuk. Peristiwa yang berlaku berturut-turut dalam waktu yang singkat itu menonjolkan Tuah sebagai Pendekar Unggul.

Dalam kejadian pertama, amukan itu menyebabkan huru-hara negeri (kota) Bentan. Tiada siapa pun berani mendepani lelaki yang tengah berang dan kegilaan itu. Ramai yang luka dan mati. Sebahagian yang lain (termasuk para peniaga) lari masuk kampung. Hang Tuah yang sedang membelah kayu, disuruh lari juga oleh orang lain. Tapi tidak berganjak dia. Masih remaja, bicaranya persis jagoan terbilang:

"Apatah yang ditakutkan orang mengamuk sekian itu? Bukan negeri tiada berhulubalang dan pegawai akan mengembari; di sana juga ia mati dibunuh orang!" (Hikayat Hang Tuah, hlm 35)

Tewas akhirnya orang yang mengamuk dek kehebatan remaja yang usianya baru sepuluh tahun.Terbelah kepalanya penangan kapak Hang Tuah.

Selepas kejadian itu, Hang Tuah balik rumah, lepak bersama empat sahabatnya yang tersohor - Hang Kasturi, Hang Lekiu, Hang Jebat, dan Hang Lekir. Tiba-tiba gempar lagi. Empat lelaki mengamuk di kampung Bendahara Paduka Raja.

Penduduk bertempiaran, manakala pengawal Bendahara lari lintang-pukang. Kelima-lima pendekar remaja itulah yang menyelamatkan Bendahara. Empat orang yang mengamuk habis mati ditikam.

Tidak dijelaskan di mana-mana dalam bab ke-2 karya epik itu sebab-musabab amukan yang tiada belas ehsan itu tercetus. Malahan orang-orang yang bengkeng dan tidak waras itu pun tiada dicatatkan nama mereka.

Kedua-dua kejadian menumpu kepada hebatnya Hang Tuah semasa remaja, tidak bertujuan menjelaskan punca kecelakaan itu. Tapi amukan yang berlaku itu tidak terbanding dengan peristiwa yang dipaparkan dalam bab ke-17.

Peristiwa inilah yang menjadi asas pertikaian para sarjana sosio-budaya Melayu mengenai keperwiraan Hang Tuah. Tafsiran yang pelbagai hatta meletakkan Hang Jebat pula sebagai wira Melayu kerana dianggap berani menentang kezaliman.

Dalam kejadian 'amukan yang paling masyhur' dalam sejarah ketamadunan Melayu itu, yang menjadi korban masih jugak rakyat jelata. Seperti kejadian amukan dalam bab ke-2, sewaktu Tuah masih remaja.

Kejadian pertama: ramai penduduk Kota Bentan mendapat padah - mati dan luka. Para peniaga tutup kedai dan lari ke kampung. Amukan tiada sasaran khusus. Yang mengamuk mati ditetak Hang Tuah.

Kejadian kedua: ramai penduduk Kampung Bendahara yang terkorban. Sasarannya ialah Bendahara Paduka Raja. Semua yang mengamuk mati ditikam Hang Tuah dan sahabatnya yang empat.

Kejadian Ketiga: Tiga hari tiga malam Hang Jebat mengamuk selepas cedera parah ditikam Laksamana Tuah. Ribuan rakyat Melaka terkorban. Tujuannya yang asal mahu menuntut bela atas kezaliman Sultan yang menghukum Tuah. Tidak pula terlihat Jebat berusaha bersungguh-sungguh untuk membunuh Sultan. Manakala orang yang mengepalai konspirasi fitnah (Patih Kerma Wijaya) tidak dipengapakan oleh Jebat.

Kali ini, Datuk Bendahara tidak menjadi sasaran amukan. Sebaliknya, menonjol bijaksananya - membawa pulang Hang Tuah daripada 'hukuman mati'. Akhirnya, Jebat tewas di tangan Laksamana.

Itu kejadian dari Zaman Kesultanan Melaka.

Kejadian amuk berlaku juga di alaf ini. Masih terlalu baru dan hangat. Kampung Bendahara yang menjadi sasaran. Tapi tiada insan macam Laksamana Tuah, yang berani menghayun kapak, mengelit dan menetak - muncul menjadi wira. Tambahan pula, tiada pendekar yang upaya memiliki Keris Taming Sari.

Tapi masih adakah orang seperti Laksamana di alaf ini?

Kalau tengok jawatan pentadbiran negara, sepatutnya menteri yang menjaga Hal Ehwal Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan yang selayaknya bergelar Laksamana. Tapi kalau Dato' Bendahara dah dianugerahkan gelaran Laksamana Negara (sila baca artikel terdahulu "Laksamana Dato Seri Najib?"), nampak gayanya kena berpencak sendirilah jika ada orang mengamuk lagi!

Malangnya, ada bahaya juga. Tak mungkin bisa menghunus Taming Sari, kerana tersimpan elok dan rapi keris sakti itu di Muzium Raja!

Permisi. Bisa ketemu lagi.