Karya
Isnin, 19 November 2012
APABILA PONDOK JADI BENTENG POLITIK (2)
Kelantan, 1995.
Saya mastautin di Pasir Tumbuh, Kelate. Stesen kerja di Unit Bahasa & Terjemahan USM, Kubang Kerian. Mengajar ketrampilan Bahasa Melayu kepada siswa perubatan, dan yang ambil program jururawat.
Tugas lain yang lebih menarik, tentunya mengajar ‘Bahasa Melayu Komunikasi’ kepada pensyarah dan petugas perubatan dari negara asing yang berkhidmat di Pusat Perubatan USM. Murid saya ada yang asalnya dari England, India, Bangladesh, dan Timur Tengah. Nak ngajar Bahasa Melayu, tapi guna Bahasa Inggeris sebagai wahana. Kerana itu saya ambil cuti tanpa rekod ikut kursus di British Council (BC). Mahu asah lidah dan korek telinga. Moga cepat faham dan mudah bicara dalam bahasa global itu. Mahu biasakan diri guna bahasa orang putih.
Kursus di pusat bahasa BC yang letaknya hampir dengan Pasar Seni itu sangat berkesan. Saya fikir, inilah kursus bahasa Inggeris yang paling menyeronokkan. Cikgu-cikgunya orang putih belaka, memang pandai mengajar. Peralatan dalam darjah dan di makmal bahasa cukup lengkap. Dalam kelas kami pula majmuk ras. Sebahagian besarnya anak Malaysia -Melayu, India, Cina. Yang internasional ialah orang Itali dan Jepun.
Dua minggu kursus intensif di BC, berfikir pun dah dalam bahasa orang putih. Hatta, setiap hari, sebaik habis kelas, kepala dipengaruhi sepenuhnya bahasa itu. Bercakap dengan drebar teksi pun ikut slang British! Selepas dua minggu balik ke Kelate, hilang jugak akhirnya ketaman dan asahan bahasa di BC. Kembali cakap orang putih stail Malaysia, telor Ganu!
Setahun juga saya kerja di USM, Kubang Kerian. Pertengahan 1994 hingga pertengahan 1995.
Dua peristiwa lekat kejap dalam minda. Yang pertama berlaku hujung 1994. Menggelak lautan politik Tanah Bonda dibuatnya. Muntah lava gunung berapi jagoan-jagoan politik, terutamanya yang naik bahtera mengibarkan Bendera Keris.
Apa tidaknya? Seorang jagoan Parti Bulan dicekup di Hotel Perdana. Dituduh khalwat dengan isteri kawannya. Seorang gedebe politik (tidak masuk senarai sebagai jagoan) yang kini pimpin PERKASA, menyebut dalam serangannya terhadap panglima Parti Bulan itu, betapa sewaktu diserbu, keadaan katil dalam bilik hotel berkenaan “macam perang dunia ketiga!”
Panglima Parti Bulan itu melenting darjah tertinggi apabila menerima cemuhan daripada DSAI, Timbalan Presiden Parti Keris.
Saya ingat lagi kata-katanya kira-kira begini, “Dia tuduh aku khalwat. Tapi dia tak ingat waktu zaman sama-sama aktif dalam ABIM dulu. Biasanya, lepas apa-apa program, kalau Wan Azizah nak balik ke kampus, akulah yang jadi drebar. Kalau aku ni jahat, dah lama dah aku r***!”
Peristiwa besar yang kedua, tahun 1995 diadakan Piliharaya Umum (PIRAYU) ke-9. Panglima Parti Bulan yang dituduh khalwat itu masuk bertanding di Parlimen Kubang Kerian. Menang dia dengan majoriti selesa. Kejadian khalwat ditendang mahkamah. Buang kes. Tak cukup bukti. Dan tak cukup kuat jugak untuk tumbangkan jagoan politik dari Utara itu dalam PIRAYU ke-9.
Waktu itu, kami tinggal di kawasan perumahan kakitangan USM. Duduknya bersebelahan dengan MRSM, yang berhimpit pula dengan Pondok Pasir Tumbuh.
Hari Jumaat, saya solat di Masjid Pondok. Paling dekat dengan rumah. Kalau ada apa-apa ceramah, selalu jugak saya hadir. Rugi. Orang buat program ilmu depan tangga, takkanlah kita tak mahu jenguk. Jangan jadi sombong dengan ilmu!
Kerana musim pilihanraya, maka yang banyaknya ceramah politik. Seingat saya tiada jagoan dari Parti Keris yang singgah buat apa-apa program di Pasir Tumbuh. Pernah sekali ceramah pilihanraya diadakan hanya sepelaung dari rumah kami. Sesak kawasan perumahan itu. Ramai senghoti. Bendera yang berkibar tiada yang lain, Terang Bulan belaka. Penceramah utama, tokoh dari Kampung Pulau Melaka. Dia, tokguru yang jadi MB.
Sebahagian intipati ucapannya ada menyentuh tentang Pondok Pasir Tumbuh jugak. Disebutnya betapa fungsi pondok itu (dan pondok-pondok lainnya di Kelate) sangat penting dalam perjuangan Parti. Hubungan Pondok dan Parti Bulan dikatakan sangat akrab. Kerana parti itu memperjuangkan politik Islam, maka tidak boleh dipisahkan ia daripada institusi Pondok. Begitu katanya. Secara tradisinya sudah begitu. Bahkan parti dan pondok saling memerlukan dan sentiasa bergandingan. Tak boleh dipisahkan. Itu sebahagian isi utama ceramahnya.
Tokguru juga ada menyebut, “Pondok ini macam peluru, Parti kita pula ialah bedilnya! Jika tak ada peluru, macamana bedil nak menembak?”
Ugh, kalau dihitung lamanya Parti Bulan memerintah Kelate, tentu sudah ramai jagoan Parti Keris yang tumpas kena bedilan dari pondok! Tumbang mereka dalam beberapa PIRAYU sejak 1995!
9 November 2012.
Dato’ Bendahara umum nak pertahankan Sekolah Pondok. Disebut betapa pentingnya pondok sebagai benteng identiti Melayu-Islam. Maka diisytiharkan penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia. Diberikan pelbagai anugerah kepada tok-tokguru pondok yang hadir (sila rujuk bahagian pertama artikel ini).
Dalam senarai pondok yang dapat pengiktirafan, tak ada wakil Pondok Pasir Tumbuh dari Kelantan.
Agaknya, pondok di Pasir Tumbuh itu tidak perlu dipertahankan oleh pihak penguasa Persekutuan. Barangkali tidak begitu berfungsi ia sebagai benteng mempertahankan identiti Melayu-Islam berbanding pondok-pondok lain di Kelantan, Kedah, dan Terengganu. Maka tidak boleh ia dijadikan model kepada pondok-pondok yang lain.
Agaknya, kekalkan pondok itu menjadi benar dan betul dengan fungsi lamanya sebagaimana disebut dalam perumpamaan seorang TokGuru, “Pondok ini macam peluru, Parti kita ialah bedilnya!”
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
Selasa, 13 November 2012
APABILA PONDOK JADI BENTENG POLITIK (1)
nota awal: artikel yang ditulis dalam dua bahagian ini merupakan reaksi, persepsi dan perspektif pengarang terhadap laporan Berita Harian (9 November 2012) tentang tekad pihak pemerintah untuk mempertahankan Sekolah Pondok sebagai ‘Benteng Pulihara Identiti Melayu-Islam’.
______________________________
Tahun 1892. Paloh, Terengganu.
Mujahidin yang berperang menentang penjajahan Inggeris di Pahang telah berundur ke Darul Iman. Hulubalang-hulubalang Melayu yang dikepalai pejuang tersohor Dato’ Bahaman telah mendapatkan perlindungan di pondok kepunyaan seorang ulamak Ungku Saiyyid Abdul Rahman. Menyertai Dato’ Bahaman ialah pendekar handalan seperti Mat Kilau dan Tok Gajah.
Pada waktu itu, ulamak berkenaan terkenal bukan saja kerana ketinggian ilmu agama, malahan merupakan penasihat yang sangat berpengaruh kepada Sultan Terengganu. Beliau lebih dikenali sebagai Tokku Paloh.
Sepanjang tempoh perlindungan di pondok Tokku Paloh, para mujahidin dari Pahang dikatakan mendapat banyak manfaat. Di samping mendalami ilmu agama daripada ulamak terkenal itu, mereka turut menuntut ilmu perang!
Di akhir perguruan di Paloh, dikatakan Tokguru Ungku Saiyid Abdul Rahman telah menghadiahi Dato’ Bahaman sebilah pedang istimewa, yang terukir kalimah ayat-ayat suci Quran di matanya.
Bukan itu sahaja, hulubalang-hulubalang Terengganu turut menyertai Dato’ Bahaman meneruskan perjuangannya di Pahang. Ketika itu, yang turut membantu perjuangan suci itu ialah para mujahidin dari Kelantan.
Kebangkitan orang-orang Melayu menentang kerakusan penjajah Inggeris di Pahang itu merupakan sebahagian kisah perjuangan anak watan yang tercetus di Tanah Semenanjung.
Sebelum itu, sudah meledak Perang Naning (1831-1832), yang menyaksikan kira-kira empat ribu hulubalang dikepalai Dol Said memerangi soldadu Inggeris. Di Pasir Salak, kedurjanaan penjajah Barat terhadap penduduk pribumi, menyebabkan berlakunya pembunuhan JWW Birch (1875). Peristiwa ini telah menyemarakkan perjuangan orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Dato’ Maharajalela. Manakala di Pasir Putih (1915), telah bermula kebangkitan rakyat yang dipimpin Haji Mat Hassan, yang lebih terkenal dengan gelaran Tok Janggut.
Tiga puluh enam tahun selepas Dato’ Bahaman berlindung dan berguru (ilmu agama dan muslihat perang) di Pondok Tokku Paloh, muncul seorang ulamak yang pemimpin rakyat menentang penjajah.
Pada tahun 1928, berlaku peristiwa sangat penting dalam sejarah ketamadunan Terengganu. Meledak perang terbuka terhadap Inggeris yang dikenali sebagai ‘Pemberontakan Tani’. Berbeza ia dengan kebangkitan rakyat di Pahang, Perak, Kelantan dan Naning itu. Kerana kebangkitan anak watan menentang penindasan penjajah British kali ini diketuai seorang ulamak - Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau adalah anak murid kepada Tokku Paloh.
Haji Abdul Rahman Limbong ini sangat besar pengaruhnya, hingga digambarkan oleh pihak British betapa kepimpinannya seumpama Mahatma Ghandi, yang “capable of rallying thousands of Malays who would stand ready to follow blindly his bidding” (hlm 147, buku After Its Own Image – The Terengganu Experience; karangan Shaharil Talib: 1984).
Seperti perjuangan Dol Said, Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, dan Tok Janggut sebelumnya, kebangkitan rakyat yang dipimpin Tokguru Haji Abdul Rahman Limbong akhirnya juga menemui kegagalan. Sistem pemerintahan feudal pada zaman itu menjadi tembok penghalangnya. British memperkudakan feudalisme di Tanah Semenanjung sebaik-baiknya dan secara optimum untuk menyekat dan melumpuhkan nasionalisme Melayu daripada hidup dan berkembang.
Kelicikan British ini menyebabkan kebangkitan rakyat itu dilihat dan diperlihatkan sebagai suatu penderhakaan terhadap sultan. Muslihat British itulah menyebabkan kebangkitan nasionalisme Melayu dapat ditewaskan. Apabila British berjaya menjadikan pihak istana sebagai sekutu mereka, dan dapat meyakinkan sultan kedudukannya terjamin, maka terbantutlah dan padamlah perjuangan rakyat jelata. Kerana orang Melayu tidak menderhaka kepada rajanya!
Antara iktibar penting dalam rentetan kebangkitan rakyat atau nasionalisme Melayu itu ialah peranan yang dimainkan oleh ulamak seperti Tokku Paloh dan muridnya, Haji Abdul Rahman Limbong. Kedua-dua tokoh ternama ini lahir dalam sosio-budaya pondok. Ketika itu, pondok bukan hanya tempat menuntut ilmu akhirat. Yang diajar dan diamalkan ialah Islam sebagai addin. Yang meliputi segenap aspek kehidupan bermasyarakat – sosial, ekonomi dan politik.
Kerana itulah, pada waktu itu, pondok menjadi benteng agama, bangsa dan negeri.
Apabila PM Dato’ Seri Najib bertekad mahu ‘mempertahankan sekolah pondok’ sebagai ‘benteng pulihara identiti Melayu-Islam’, nampak keterbalikan kepada peristiwa yang pernah berlaku pada tahun 1892 dulu.
Waktu itu, orang kenamaan Pahang (Dato’ Bahaman) mencari perlindungan dan bantuan di pondok Tokku Paloh kerana menentang penjajah British.
Kini, pada zaman kontemporari ini, orang kenamaan dari Pahang juga (tapi statusnya terlebih tinggi kerana memimpin negara), bukan meminta perlindungan atau bantuan tetapi bertekad mempertahankan pula sekolah pondok yang ada di Tanah Semenanjung dengan penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia.
Secara hurufiah, nampaknya begitulah.
Tidak mungkinkah pondok akan dijadikan benteng politik pihak yang berkepentingan?
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
_____________________________
nota akhir: dalam bahagian kedua perihal ‘pondok dan politik’ ini, akan disentuh bicara seorang Tokguru Kelate, “orang pondok itu peluru, parti itu bedil!”
Langgan:
Catatan (Atom)
