Karya

Karya

Selasa, 26 Februari 2013

Pasar Kedai Payang (2) "KEINDAHAN YANG HILANG"



Keindahan Yang Hilang.

Ayat yang cantik itu, sebenarnya saya kutip daripada tajuk sajak yang terkumpul dalam antologi yang dijadikan teks wajib Sastera Melayu. Penyairnya ialah Shamsudin Jaafar.

Ketika itu, tahun 1981. Saya tengah ngaji di tingkatan enam Sekolah Alam Shah, Bandar Tun Razak.

Temanya tentang pembangunan yang rakus, hingga memusnahkan alam sekitar. Masih segar akan baitnya yang mengungkapkan kesan hebat penerokaan hutan rimba kepada hidupan unggas.
“sayup-sayup undan tua berlagu hiba.”

Undan adalah lambang kehidupan lestari, bebas dan liar alam rimbaraya. Tidak mudah untuk menemui spesis burung ini, kecuali rajin melawat Zoo Negara.    

Sewaktu berkhidmat di Kampus Sintok (awal tahun 90-an), suatu hari pernah terjadi kecoh kecil di pejabat am  Sekolah Bahasa dan Pemikiran Saintifik (SBPS). Ditakdirkan saya terserempak dengan seekor undan yang sedang rehat di luar tingkap. Berebut jugalah beberapa orang staf mahu melihat hidupan unik alam rimba.

Lembah Sintok yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thai itu, sebelum terbinanya kampus universiti, adalah belantara yang hijau segar didiami pelbagai haiwan, flora dan fauna. Malahan alam rimba itu juga menjadi sumber rezeki pencari rotan dan pengumpul herba. 

Apabila diterokai untuk dijadikan kampus, timbul kekecohan agak besar. Bukan penentangan atau protes keras daripada mana-mana pihak. Sebaliknya, meletus berita tentang kegiatan menebang dan mencuri balak!
Itu tanda betapa tingginya kerugian yang perlu ditanggung akibat pembangunan. Entah berapa banyak balak yang dibawa lari, dan entah berapa banyak flora dan fauna yang musnah.

Kerana itu, apabila terserempak dengan seekor undan yang tumpang rehat di atas simen belah luar tingkap pejabat, maka kecoh kecil jadinya. Ada rakan yang beranikan diri, cuba mendekat dengan hasrat mahu menangkap makhluk yang hebat itu. Tidak semudah itu. Undan yang tumpang berhenti lelah itu tangkas mengelak, dan terbang lesap diiringi bunyi yang unik (seperti memekik). 

Dukacita seghoti. Hanya sekali itulah seekor undan ‘datang ziarah’ masyarakat bertamadun yang sudah ambil-alih habitatnya. Selepas itu, selama lima tahun saya khidmat di Kampus Sintok, tidak pernah lagi ketemu haiwan yang cantik itu. 

Barangkali ketika undan itu terbang, pekikan yang dibunyikannya itu adalah lagu hiba tentang ‘Keindahan Alam Asalnya Yang Telah Hilang’!  

secebis hati nurani Pasar Kedai Payang. 
suatu keindahan yang bakal hilang?
Apabila terbaca bermacam-macam posting yang ‘bising bangor’ dalam Fb tentang rancangan perobohan Pasar Kedai Payang yang asal, segera datang bait daripada sebuah sajak yang saya studi (kerana nak masuk periksa!) kira-kira 30 tahun dulu.

Walaupun latarnya berbeza. Belantara yang memberikan kehidupan kepada pelbagai makhluk. Dengan sebuah pasar yang menjadi nadi rezeki pelbagai lapis rakyat jelata. 

Antara kedua-duanya punyai jalinan. Tentang keindahan-keindahan yang kekal lupus, dan yang bakal hilang. 

Terlintas bayangan kabur melakarkan suatu musykil:

Apakah suatu hari nanti akan singgah “Undan Tua Yang Berlagu Hiba” di birai tingkap Pasar Kedai Payang yang baru dan canggih? 


Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.     

___________________________________________________
foto: ehsan daripada Zakaria Aura Batik (www.alzikr.blogspot.com)

Isnin, 25 Februari 2013

Pasar Kedai Payang (1) "MELANKOLIK UNTUK PENGGOHEK TEKSI"




Sudah seminggu lebih. Macam-macam dipos dalam fb. Satu pun tiada pujian. Nada yang hadir ialah hampa, marah, dan dendam. Para rakan di alam siber nampaknya punyai nostalgia masing-masing berkait ikon yang hebat itu. Pasar Kedai Payang (lebih dikenali sebagai Kedai Payang) yang akan dirobohkan! Pasar  tersohor seantero Nusantara itu (dikatakan ranking popularitinya di tempat ketiga selepas pasar air di Bangkok), akan digantikan dengan pangsapuri 32 tingkat, bersebelahan dengan sebuah hotel baru kira-kira separuh tingginya daripada itu. Termasuk dalam pelan itu akan terdiri sebuah bangunan baru empat tingkat, yang dikatakan itulah nantinya Kedai Payang yang baru.

Marah, hampa dan dendam kesumat yang dilontar dalam alam siber, kini sudah terzahir dalam alam nyata. Tertubuh suatu badan digelar AMANAH (dikepalai seorang arkitek termuka Darul Iman) untuk ‘memperjuangkan’ kesinambungan hidup Kedai Payang seperti sediakala. Kekal serupa macam yang ada ‘lening’. 

Beberapa NGO (diberitakan termasuk Anak Terengganu di Perantauan) udah bergabung menguatkan AMANAH. 

Ketika catatan ini dinukil, saya tidak punyai maklumat apakah ‘suara rakyat Ganu’ yang kononnya disalurkan melalui AMANAH itu sampai ke pangkuan Dato’ Bendahara PM. Kalau tengok foto dalam media, PM senyum lebar saja ketika naik ‘teksi’ (beca rodatiga) depan Pasar Kedai Payang.

Teksi Ganu! Ini juga suatu ikon Bandar Darul Iman . Ini juga satu keunikan yang boleh sangat dikaitkan dengan pasar yang terkenal itu. Biasanya, teksi inilah yang disewa suri rumah untuk mengangkut barangan yang dibeli di pasar. Peniaga kecil-kecilan (termasuk pemilik warung) juga menggunakan khidmat yang unik ini. Servisnya bukan terhad di kawasan bandar Ganu saja.  Fungsinya pulak bukan untuk bawak barang runcit dari Pasar Payang saja. 

Malahan pada zaman saya masih di kampus dulu (tahun 80-an), kalau balik dengan  bas ekspres, sampai di Bandar KT sebelum Subuh, biasa jugak naik ‘teksi ’ ni hingga ke Pulau Musang. Hampir 20km dari Bandar Ganu tu! Tapi pengayuh teksi ni gagah orangnya. Nampak macam dok lelah sikit pun duduk menggateh sambil bercerita!      

Zaman itu, biasa jugak saya ‘gohek’ atau gateh teksi. Bukan milik ayahanda. Saya pinjam untuk suka-suka. Seronok gohek teksi (kalau untuk main-main!) Lebih seronok duduk congok dalam, orang lain yang gohek. Pakai drebar!

Yang empunya teksi itu ialah Pak Long. Selain gateh teksi,  kerjanya ambil upah panjat nyiur. Kepandaiannya yang lain ialah mengurut. Sudah lama dia kembali ke alam baqa. Al-Fatihah. Teksinya entah ke mana. Anak-anak lelakinya tidak gohek teksi. Kerja lain. Ada yang jual air tebu dan ada yang jad kepala tukang.
Seorang lagi tukang gohek teksi di kampung saya ialah Pak Lah. Duduknya dekat saja dengan rumah kami. Dia jugak sudah lama kembali menemui Yang Maha Pencipta. Teksinya jugak sudah tiada. Anak-anaknya kerja macam-macam. Pemilik warung, pegawai kerajaan, tukang perabot, tukang jahit, dan cikgu.

Sudah lama seghoti tak naik teksi di Kedai Payang walaupun kerap jugak balik kampung, dan 'newor' jugak di pasar terbesar di bandar KT. Bab balik kampung ni, Aidifitri doh jatuh dalam bab 'wajib kena balik'!

Aidilfitri empat tahun lalu saya bawak anak-anak saudara jalan-jalan di Bandar KT, dan singgah di Pasar Payang. 

Kami tak naik teksi. Budak-budak tak mahu. Terliur mereka hanya nak rasa naik bot penambang dari jeti Pasar Payang ke Seberang Takir. Saja suka-suka, naik bot bersama Syai, Hadi dan Mashitah. Dua yang akhir itu anak-anak saudara (bujangan belaka) yang duduk di Bangi.

Kami jalan-jalan di sekitar jeti perkampungan nelayan Seberang Takir. Tempat buat keropok keping dan keropok lekor. Lenguh berjalan, kami singgah minum di kedai kopi. Masih fesyen lama. Bangunan zaman Jepun! Tapi makanannya Ganu Ori!

Kembali ke jeti Pasar Payang, kami masuk ‘kompleks pasar rakyat’ itu untuk mencari ole-ole. Cari keropok lekor. Hadi dan Mashitah mahu bawa balik ke Kajang.

Kemarin, Ahad 24 Februari.
dari Kuala Brang ke Dublin.
Hadi singgah di rumah bersama isterinya Aida, dan Aisyah (anak kecil yang pintar dan comel). Belum sampai enam bulan mereka kembali ke tanahair. Tiga tahun mastautin di Ireland kerana Aida mengaji PhD.  

Dalam sembang-sembang sambil kunyah pisang goreng, kentang dan nugget, timbul jugak cerita Pasar Payang.

Hadi ini dulunya pernah belajar di MRSM Kuala Berang. Sebahagian jiwanya terpahat roh ‘Ganu Kite’! Apabila disebut tentang rancangan ‘perobohan’ pasar tersohor itu, terkejut seghoti dia.

Spontan terpantul daripada bibirnya, “Dia orang ingat, pembangunan tu...buat bangunan tinggi-tinggi dan canggih saja ke?”

Dalam cakap-cakap selanjutnya, intinya berkisar pada ‘kerugian-kerugian’ jika ikon tersohor Darul Iman itu dirobohkan, dan bergantian yang baru.  

Kerugian itu termasuklah ‘Keindahan Sosio-budaya Yang Akan Hilang’ bersama lenyapnya Pasar Payang yang asal!

Barangkali termasuklah hilangnya kerja si tukang gateh, yang teksinya pernah dinaiki seorang Perdana Menteri! 


Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.