Karya

Karya

Jumaat, 8 Mac 2013

Lahad Datu (2) "PERDAMAIAN YANG MEMBAWA KECELAKAAN?"




Inilah paradoks kehidupan.
Perdamaian yang membawa kecelakaan.

Ini suatu sudut lain yang boleh dilihat susulan perdamaian (antara MILF dengan kerajaan Filipina). Pertelingkahan yang panjang (selama empat dekad, dan makan korban lebih 150,000 insan) ditamatkan dengan ‘ikatan damai’ antara Benigno Aquino (Presiden Filipina) dengan Murad Ebrahim (Ketua Barisan Pembebasan Islam Moro - MILF) pada 15 Oktober, tahun lepas.

Selepas empat bulan, ikatan damai yang diusahakan oleh Malaysia itu, seolah-olah membawa kecelakaan pula kepada kita. Sebahagian Tanah Bonda telah diceroboh oleh pengganas yang menuntut bahagian Timur Sabah itu sebagai pusaka Sultan mereka!

Apakah ada kaitan langsung antara ‘ikatan damai usaha Malaysia’ itu dengan pencerobohan di Lahad Datu?
Barangkali ada benarnya. Kerana yang berdamai di Filipina itu bukan gerombolan yang menceroboh di Lahad Datu. Ini puak yang lain.

Golongan yang tidak terlibat secara langsung dengan perdamaian itu, adalah ‘mereka yang tidak mahu berdamai’. Rundingan selama tiga minggu supaya mereka berundur secara baik tidak berhasil. Mereka mahukan darah. Ini hakikatnya jika dilihat kepada sumpah ketua pengganas tersebut yang ‘mahu berjuang hingga ke titisan darah terakhir’.

Hakikatnya, mereka tidak mahu berdamai. Keganasan nampaknya semacam satu-satunya jalan bagi mereka, dan itulah yang mahu ditempohi gerombolan itu. Kerana itu mereka yang menyerang dan membunuh terlebih dulu.

Pelik. Ini suatu paradoks lagi.
Kerna kini, seolah-olah mereka pula yang mahu berdamai. Seolah-olah bukan mereka yang menceroboh dan cetus kecelakaan. Ketuanya hebohkan ke seluruh dunia, mahukan gencatan senjata.

Tapi hakikatnya, itu namanya ‘bukan berdamai’.
Itu hanya berhenti bertempur menggunakan senjata.
Itu bukan mahu berdamai.
Itu hanyalah hasrat rehat perang buat seketika.
Kerana damai yang dihasratkan itu ada tempohnya.
Lagipun, ‘janji damai yang sementara’ dalam tempoh gencatan senjata itu pun boleh dicerobohi, dan tercetus keganasan yang baru!

Inilah paradoks kehidupan.
Mereka datang dari negara yang baru saja berlangsung ikatan perdamaian daripada pertelingkahan yang panjang, dan yang telah banyak mengorbankan jiwa.
Kini mereka menceroboh dan mencetuskan keganasan di sebuah negara yang mengusahakan perdamaian di negara asal mereka!
Mereka adalah pencetus keganasan serta kecelakaan daripada sebuah perdamaian!
Pengusaha kedamaian pula yang mereka perangi!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Selasa, 5 Mac 2013

Lahad Datu (1) "LEBIH BAIK DIAM DARIPADA BERKATA-KATA!"



Seorang sahabat menelefon. Dalam suasana sekarang, dapat diteka. Tiada lain tujuannya. Mahu tahu pandangan tentang tragedi di Lahad Datu. Dia mintak saya tulis sesuatu mengenainya di dalam blog. 

Mulanya mudah saya memberikan jawapan, “Sukar nak tulis. Perasaan dah jadi rojak yang sangat tak sedap. Negatif belaka. Keliru. Marah. Dendam. Hampa. Baik diam daripada kata apa-apa.”

Lama jugak berbual dengannya. Hampir setengah jam. Kira-kira sepuluh minit kemudian dia telefon lagi. Pendek tuturnya.

Mungkin dia faham dan tahu. Waktu pagi hingga tengahari saya biasanya tidak layan panggilan sesiapa. Itu waktunya saya sedang berkarya. Kadangkala tekun  membaiki dan menyunting. Ada kalanya mentelaah di khutub khanah Tun Sri Lanang, mencari bahan-bahan yang khusus. Lazimnya, di watu pagi, saya tidak mengizinkan sesiapa jua mengganggu. Mudah kaedahnya. Tak jawab telefon. Kalau sms gagah lagi mahu dibalas. Waktu itu emas nilainya. Itu peruntukan waktu kerja kreatif.  

Tapi pagi ini ada kelonggaran. Kerana pertama kali dia telefon itu pun membalas panggilan saya yang tidak dijawabnya malam tadi. Kira-kira jam sebelas malam tadi saya telefon mahu rujuk tentang kesahihan fakta yang mahu dijadikan bahan dalam novel terbaru. Jadinya, kena layan jugaklah balasannya itu walaupun bukan waktu yang terbaik untuk saya.

Saya anggap dia faham situasi kreatif itu, maka panggilan kedua ini ringkas saja. 
Pemintaannya mudah bangat. “Tengok TV3!”

Gangguan lagi. Tapi kerana saranan itu daripada seorang sahabat, tentu ada hal yang sangat penting sehingga dia semacam ‘memaksa begitu’!

Kira-kira sudah tamat sidang akhbar oleh Ketua Polis Negara, berdenting sms masuk ke telefon. Dia lagi!
Begini (tanpa edit) ditulisnya:

Paling best bila tanya senjata apa kita guna utk serang...kpn jawab ‘kita guna sjata api’.

Maka musykil jadi nanar dalam kepala. Apa dah jadi ni? Mana pergi semua pakar runding dalam bidang media, komunikasi dan perhubungan awam? Kenapa seorang KPN boleh tersasul macam itu?
Situasi amat getir sekarang. Tanah Bonda diceroboh. Rakyat mahu tahu perkembangan terkini. Rakyat mahu lihat ketegasan pihak berwajib. Rakyat mahu lihat tindakan-tindakan bijaksana orang yang diberikan tanggungjawab. Termasuklah tutur katanya ketika berdepan dengan media. 
Kenapa jawapannya begitu?  Macam main baham rambang saja?

Ketika perajurit-perajurit negara berdepan dengan gerombolan pengganas, sekumpulan pesara yang pernah berkhidmat dalam pasukan ketenteraman awam berkumpul menyatakan protes di Tugu Negara. Sebelum itu, heboh seghoti dalam media hinggakan beberapa laporan polis dibuat beberapa pihak. Yang berkumpul di depan Tugu Negara, dan yang membuat laporan, semua marah-marah belaka. 

Lalu saya usaha cari punca kemarahan itu. Maka terjumpalah ia daripada sumber yang 'dipercayai benar' oleh sesetengah pihak. 

Rupa-rupanya beginilah kenyataan (dipetik daripada akhbar online) yang menyebabkan semarak semangat  dan ternyala api kemarahan beberapa pihak kepada seorang ahli politik yang asalnya dulu biasa terlibat dengan reformasi di jalanan.

_________________________________________________________

Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno – Tian
(Oleh Aisha Geoffrey) Posted by Keadilan Daily on Mar 1 2013.)
KUALA LUMPUR 1 MAC: Serangan tembak menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua. Ahli Parlimen Batu itu berkata, insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan Umno.
“Kita rasa pelik kenapa media Malaysia tidak melaporkan kejadian itu? Semua sumber laporan oleh media asing. Dari mana mereka dapat info sedangkan tidak ada wakil media yang dibenarkan membuat liputan? Malah berita yang dilapor itu setakat ini belum diketahui kesahihannya,” kata Tian kepada Keadilan Daily.
Menurut laporan media Filipina hari ini, berlaku kejadian tembak menembak antara penceroboh dari Kesultanan Sulu dengan pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu sehingga menyebabkan kematian.
Seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa seperti dilapor ABS-CBNnews, 10 orang terbunuh dan empat yang lain cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini. Menurut akhbar The Philippine Star, pihak berkuasa Malaysia yang memulakan serangan ke atas kubu penceroboh pagi ini.
Mengulas lanjut, Tian menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.
“Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing,” katanya.
___________________________________________________


Ugh, mungkin wartawan akhbar online itu tersilap tafsir kenyataan asal. Mungkin tidak begitu 'nawaitu' ahli politik berkenaan. Maka akan terjadilah 'perkara lazim' kesilapan itu terbeban di atas bahu wartawan yang 'silap lapor'. Atau benar jugak media lain sudah putar belit kenyataan yang sebenarnya.
Tapi dalam politik apakah yang 'betul-betul' benar? 
Kadangkala orang politik ni pulak, yang salahnya orang lain (lawannya) belaka! 
Entahlah. Benar atau palsu macam tiada garis sempadan.  

Teringat saya akan kata-kata seorang pujangga Raja Ali Haji:

"Kalau banyak mengatakan orang, diri sendiri yang kurang. Kalau banyak berkata-kata, di situ jalan masuk dusta!"

Itulah sebabnya kadangkala diam itu merupakan senjata orang bijaksana. 
Ugh, terasa silap pulak melayan permintaan sahabat yang seorang itu!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Al-Fatihah kepada para perajurit yang terkorban kerana kedaulatan Tanah Bonda. Semoga Allah merahmati semuanya, dan dimasukkan mereka dalam golongan orang-orang yang diredhai-Nya kehidupan mereka itu di dunia dan akhirat. Ameen.