Karya

Karya

Sabtu, 6 April 2013

pilihanraya umum ke-13 (1) “KERIS YANG BERLEGAR DI MUKA TASIK”




Cuti sekolah hujung Mac yang lalu.
 
Amalan lazim, inilah musim kenduri kahwin. Jadi penting seghoti cuti sekolah kali ini kerana Puteri Diyana, anak gadis Pok Deng yang sulung menikah. Maka kami pun pulang menghadiri majlis di Pulau Musang – sebuah kampung di tebing Sungai Terengganu, yang hakikatnya bukan sebuah pulau!

Balik kali ini tak sempat santai dengan sahabat-handai. 
Bahkan rencana mahu ketemu penyair Zizie Ali (yang bijak menyulam falsafah dalam karyanya) http://myzizieali2.blogspot.com/ belum kesampaian. 
Masa sendat terisi dengan jadual temu mesra dengan waris-warah saja. 
Bukan saja bertamu di sekitar Pulau Musang, jalan-jalan jugak ke Kampung Padang Paloh (kediaman mentua), singgah di Kampung Manir, dan lepas jauh hingga ke Kampung Tok Jembal (berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud).

Bangga jugak beritau anak-anak ketika melewati Sesma di Wakaf Tembusu yang kini sudah meningkat kelasnya jadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). “Sekolah ayah tu!”

Kerana desakan Ney-ney dan Syai, sempat jugak pusing-pusing sekejap dalam kawasan SBP yang membawa berkolah-kolah memori selama lima tahun mengaji di situ.

Teragak-agak jugak mulanya nak masuk tanpa alasan munasabah. Apabila turunkan cermin, belum sempat nak mohon permisi, Mak Guard yang bertugas bangat seghoti beri permit masuk tanpa periksa tanpa soal, “Begheh boh!” Itu saja tuturnya dalam senyum simpul.

Ugh, baik benar orang Ganu Kiter!

Sepanjang perjalanan ke Tok Jembal, kami melintasi Sungai Terengganu, dan Sungai Nerus. Menarik benar situasi di situ. Penuh dengan hiasan bendera hijau dan biru, bawak lambang bulan dan dacing!

Orang Ganu dah sedia benar nak sambut Raya Mega alaf baru! Panji-panji udah terpasang. Gendang perang sudah lama dipalu. Tunggu detik bergerak ke medan tempur!

Hari ketiga, kami bertolak ke Kuantan. Punya rencana mahu singgah bermalam di rumah Cikgu Mawarni dan suaminya Kaunselor Zahani. Waris dekat belaka tu.

Mahu mengelakkan sesak di Dungun dan Kemaman, Lebuhraya Jabor yang baru sekerat siapnya jadi pilihan. 

Habis lebuhraya tanpa tol itu (plazanya tengah naik), masuk ke kanan menuju Bukit Besi.
Di sebelah kiri, selepas kira-kira tiga ratus meter dari R&R, terdapat sebuah tasik.

Istimewa sekali tasik ini. Sudah lama (saya kira tak kurang lapan tahun), sepanjang gunakan laluan ini pulang kampung dan patah balik ke Bangi, pemandangan yang unik itu tidak berubah.

Ini tasik sudah jadi fenomena pulak. Tidaklah pernah saya ketemu pemandangan sebegini dalam kembara ke Melaka, Langkawi, Perlis, Perak, Kedah, Kelantan, Johor hingga ke Pulau Singa.
Tak terkira banyaknya, batang-batang buluh (sebenarnya tak dapat nak dipasti buluh atau batang bakau) dicucuk ke dasar tasik. Hujungnya terikat panji-panji yang mengibarkan lambang kekuasaan. Keris belaka! 

Apabila ditiup angin, nampak berlegar-legar keris-keris itu memenuhi muka tasik.

Saya tidak tahu nama tasik ini. Barangkali molek digelar Tasik Keris saja! 

Cuma sayangnya belum sempat lagi mahu kita susul ‘hikayat’ keris yang berlegar-legar di tasik itu.

Kalau ikut mitos dan legenda orang putih,  pedang sakti King Arthur disemadikan di sebuah tasik http://orgs.bsc.edu/arthur/excalibur.html selepas raja tersohor itu terkorban dalam perang di Camlann.  

Manakala Keris Taming Sari (rujuk Hikayat Hang Tuah) pula lesap disambar buaya putih ketika Sang Laksamana menyelam ke dasar laut mahu mengambil mahkota Sultan.

Tapi  keris yang banyak itu, tidak dibuang di tasik pinggir jalan Bukit Besi. Ia berlegar-legar megah, macam kirai bunga silat dalam gelanggang. Tapi tiada lawannya di situ. Tiada bulan mengambang, roket, dan mata yang ‘cerelong’!

Selepas perang besar di medan PRU ke-13 nanti, mungkinkah masih ada keris yang berlegar-legar di situ atau patah tiangnya, dan tenggelam ia di dasar tasik?

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.   
               

 

 



Selasa, 2 April 2013

Lahad Datu (5) BAGAIMANA AKAN DITULIS DALAM BUKU SEJARAH?



Tokoh sejarah Profesor Khoo Kay Kim pernah melaksanakan ‘suatu pekerjaan’ meneliti sejarah Tanah Bonda melalui laporan akhbar. Kenyataan tentang kerjanya itu diumumkan lama dulu. Seingat saya sudah tak kurang daripada lima belas tahun.

Tapi saya tidak punya sebarang pengetahuan apakah sudah selesai penelitiannya itu, dan diterbitkan menjadi sebuah buku atau ‘menjadi ia projek sejarah yang terbengkalai’. 

Tidak pula diketahui semasa melaksanakan tugasan akademiknya itu Profesor tersohor itu mendapat apa-apa dana daripada mana-mana pihak atau hanya menjalankan tugas murni sebagai seorang ilmuwan yang sejati dan patriotik .

Apabila tokoh berkenaan menyebut mengenai usaha menulis semula sejarah Tanah Bonda (dalam tempoh dua tahun sebelum PRU ke-13), tidak diketahui jugak apakah akhbar turut menjadi sumber rujukan pasukan pengkaji yang diketuainya.

Tujuan penulisan semula sejarah tanahair itu adalah untuk memberikan perpesktif yang ‘betul dan benar’ tentang sejarah Persekutuan Tanah Melayu menurut sudut pandangan cerdik-pandai yang terdiri daripada orang kita sendiri (rakyat Malaysia). 

Ada disebut jugak tentang usaha untuk memberikan ‘penghargaan yang sebetulnya’  kepada pihak-pihak yang telah memberikan sumbangan besar kepada Kemerdekaan tetapi tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya, termasuk 'tertinggal' dari sudut dokumentasi sejarah ketamadunan negara kita.

Tidak diketahui bilakah akan diterbitkan ‘buku sejarah baru’ itu. Tidak pasti pulak apakah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Profesor Emiratus itu sudah siap buat kerja. 

Tidak pasti jugak jika ditakdirkan Yang Maha Esa maka bertukarlah kerajaan selepas PRU ke-13, apakah akan dikaji semula dapatan ‘kajian untuk menulis sejarah Malaysia yang baru’ itu. Tidak pasti jugak apakah sang profesor itu akan dilantik jadi pengerusi 'jawatankuasa baru kerajaan baru' untuk kaji semula sejarah 'politik negara'.

Yang pastinya, Profesor yang arif jugak dalam bidang sukan tanahair (terutamanya bolasepak) itu sudah menyatakan dengan jelas Laksamana Hang Tuah tak wujud. Ia hanya watak dongengan. Hidup dalam mitos dan legenda. Tidak ada dalam catatan sejarah yang sebenar.

Maknanya, jika seorang tokoh legenda yang namanya sudah berakar kukuh dalam sosio-budaya masyarakat itu pun kemungkinan besar akan digugurkan daripada ‘kehidupan dan pembangunan tamadun Persekutuan Tanah Melayu’, maka mungkin akan ada tokoh-tokoh lain yang turut tersenarai dalam ‘keguguran’ itu.

Sebaliknya, mungkin tokoh-tokoh yang selama ini tidak masuk senarai sebagai penyumbang besar dalam tamadun Malaysia, akan mendapat pengiktirafan pula. 

Err, misalnya, yang berjuang sama-sama gerombolan komunis dikatakan sebaliknya, dan yang terkorban berjuang menentang komunis dianggap mempertahankan penjajah pulak!

Kalau jadi begitu, nampaknya sejarah sudah jadi suatu disiplin ‘serba-serbi mungkin’ macam politik.

Dalam konteks kontemporari, bagaimana pulak agaknya catatan dalam buku sejarah kita tentang Pencerobohan di Lahad Datu?

Apakah rujukan utama diasaskan kepada laporan akhbar perdana atau siaran rasmi oleh pihak berkuasa? 

Bagaimana pula dengan artikel atau laporan yang berlambak dalam pelbagai blog dan portal berita? Kerana yang jadi blogger itu ada juga di kalangan ilmuwan yang berwibawa.

Kalau ikut Profesor Khoo Kay Kim, beliau tak rujuk media baru untuk dapatkan info kerana katanya, “Saya tidak baca blog dan internet kerana banyak temberang”. Untuk baca lanjut pandangan beliau tentang isu Lahad Datu, sila klik capaian ini http://www.sinarharian.com.my/wawancara/pakar-sejarah-filipina-perlu-gugur-tuntut-sabah-1.140549

Selepas lewat 50 tahun mencapai Kemerdekaan, sejarah kita (buku teks) mahu ditulis semula. 

Mungkin selepas 50 tahun Pencerobohan Lahad Datu, akan ada pulak bab khusus tentang peristiwa itu dalam buku sejarah untuk budak-budak sekolah.

Tapi bagaimana agaknya bab itu akan ditulis? Apa pulak tajuk khususnya?

‘PENCEROBOHAN SULTAN PALSU DARI SULU'?

Atau akan jadi satu bahagian dalam bab ‘PERANG TERHADAP PENGGANAS’ yang dibincangkan sama tarafnya dengan ‘ANCAMAN KOMUNIS’?

Siapakah yang akan diangkat menjadi wira kebangsaan membanteras pencerobohan itu?
Siapa pula agaknya akan dicemuh sepanjang zaman sebagai petualang?
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.