Karya

Karya

Khamis, 11 April 2013

pilihanraya umum ke-13 (3) PERIHAL SURAT WAN AZIZAH



Tiga hari lepas, sempat berbual dengan Aweng. Perunding undang-undang yang punyai minat besar terhadap politik. Tapi tak pernah tunjuk minat mahu masuk mana-mana parti atau pun galak promosi diri mahu jadi calon.

Selain bab politik, kalau ada keliru hal undang-undang, saya akan hubungi dia. Termasuklah soal nak bayar tidaknya saman AES.

Sudah lima surat saman sampai ke rumah. Banyak kalau nak bayar tu. Apabila saya timbulkan musykil, jawabnya mudah, “Tunggu dulu. Tengok iklim lepas PRU13! Simpan duit untuk balik kampung. Jadi dana mengundi tu!”

Waktu duduk sembang, terselit jua tentang surat pancing undi yang saya terima daripada Supremo PKR. Terkejut nampaknya dia. “Kenapa saya tak dapat pun!”

Nadanya macam hampa pulak. Gamaknya begitulah. Tentulah tak mudah terima surat daripada orang tersohor macam DSAI.

Tapi ketawa besar dia apabila saya katakan, 
“Surat tu main borong saja. Entah berapa ratus ribu pengundi terima surat macam tu. Isi pun ringan dan mudah faham. Tujuan mahu kita balik kampung dan undi calon Pakatan. Surat tak tebal pun. Tak ler sampai lapan belas mukasurat! Sehelai saja. Ada dua kertas lain. Bubuh alasan ajak kita pakat ‘rehatkan’ UMNO”.

Saya pun bacakan petikan sisipan yang ada gambar Dato’ Bendahara tengah pidato di suatu perhimpunan parti.
‘REHATKAN UMNO BUAT SEMENTARA. BERI PELUANG MEREKA BERMUHASABAH DAN INSAF’.

Kemarin, sepucuk surat kempen sampai lagi. 
Kali ini daripada Presiden PKR. Ditujukan kepada Yang Tersayang. Strategi yang mudah dibaca jugak. Cuba pujuk wanita untuk undi parti yang presidennya wanita!

Cuma nampak ada kelainan isi utamanya. Berbeza dengan surat untuk bakal pengundi lelaki yang diutuskan oleh Ketua Umum parti yang kibar simbol mata itu.

Saya turunkan petikan bahagian itu:-

"Di sebalik kemakmuran (Negara) ini, terdapat beberapa perkara yang tidak kena dengan cara negara diurustadbir. Baik di desa mahupun di Bandar, perasaan tidak selamat semakin mengcengkam. Pendapatan keluarga semakin tidak mencukupi untuk menampung belanja bulanan. Sistem pendidikan juga sering dirombak menurut citarasa menteri, sekaligus membebankan pendidik, pelajar dan ibu bapa.”

“Saya yakin kaum wanitalah yang paling faham tentang masalah ini. Wanita Malaysia  terkenal dengan sifat kerajinan, ketabahan dan dedikasi. Sifat-sifat mulia inilah yang menyumbang kepada kekuatan negara dan institusi keluarga kita. Sayangnya, kegigihan dan kekuatan Wanita Malaysia tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk memenuhi potensi sebenar negara kita. Inilah simptom kepincangan sistem pentadbiran sedia ada.”

Cuba kita tarik keluar inti dua perenggan tersebut, yang menonjolkan bebanan atau tekanan yang dihadapi rakyat:-

i.                    Rasa tak selamat.
ii.                  Pendapatan keluarga tak mencukupi.
iii.                Sistem pendidikan tak stabil.

Kaum wanita dikatakan ‘paling faham’ berkaitan tiga ‘masalah sosial negara’ disebabkan ketidak- cekapan tabdir urus kerajaan sekarang.

Wanita Malaysia punyai ciri-ciri unggul untuk menghadapi masalah itu.

Malangnya, kerajaan sekarang tidak memanfaatkan ‘keistimewaan’ yang dimiliki kaum hawa di negara ini.

Saya tidak pasti setakat mana kenyataan dalam surat itu benar dan sahih kerana tidak disertakan fakta (statistik). Cuma apabila menyentuh soal pendidikan dan ciri-ciri wanita, terasa galak pulak nak bawakan contoh daripada realiti. Ungkap hakikat yang berlaku dalam keluarga sendiri.

Dalam keluarga kami ada sepuluh orang yang terlibat dalam bidang pendidikan.

Ada yang jadi pengetua, penolong kanan, dan kaunselor.  Semua yang berkhidmat di sekolah menengah itu ialah wanita belaka. Yang paling tinggi, bergelar profesor di IPTA. Manakala yang jadi kaunselor itu pula pernah dilantik sebagai pengerusi guru kaunselor seluruh SBP.  

Manakala yang lelaki pula, paling tinggi jawatannya ialah guru besar di sekolah rendah.

Apakah ini boleh dijadikan suatu petunjuk kecil tentang “simptom kepincangan sistem pentadbiran yang sedia ada” seperti terkandung dalam surat Presiden itu?

 Ugh, seronok jugak sekali-sekala bersilat minda di alam siber!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi. 

Isnin, 8 April 2013

pilihanraya umum ke-13 (2) SAYA TERIMA SURAT DARIPADA ANWAR!



14 November tahun lepas, kali pertama sejak guna telefon mobil (mula guna 1998) saya menerima sms daripada parti kibar panji-panji keris di Darul Ehsan. Mesej yang dihantar setiausaha parti itu (disertakan nama penuh) mengirimkan ucapan Maal Hijrah 1434. 

Bagaimana diperoleh nombor saya  itu bukan suatu misteri. Ini zaman canggih belaka. Usahkan nombor telefon, nombor yang lebih rahsia seperti kad kredit, pasport dan kad pengenalan bisa dicuri dengan mudah!
    
Sudah jadi lazim, sejak heboh tentang PRU ke-13 dari tahun lepas lagi, muncul nombor tidak dikenali dan sonder nama pengirim mesejnya. Yang lebih kerap tahun inilah.

22 Januari 2013.
Muncul mesej yang dikatakan asalnya dari puncak kuasa di PWTC. Dinyatakan dengan nada yakin tentang tarikh bubar dewan rakyat (22 Februari), penamaan calon (16 Mac), dan hari undi (30 Mac). Beberapa minggu lepas itu, kebetulan saya ziarahi waris di hospital. Ketemu seorang kenalan dari Kelate, yang beritau dapat sms yang serupa. Yakin seghoti dia betapa mesej itu benar dan masuk akal.

24 Mac 2013.
Masuk pulak sms papar tuduhan parti pemerintah di Kelate terhadap lawannya. Tertulis mesej yang tak habis ayatnya itu bermaksud “Melayu yang sokong parti keris bak sampah, dan munafik!”      

25 Mac 2013.
Tertera mesej tentang PRU ke-13 akan ditangguh walaupun parlimen bubar. Sebabnya? Pencerobohan di Lahad Datu sudah merebak! Dikatakan, parti kibar simbol roket akan diharamkan. Manakala supremo PKR akan dipenjarakan!

28 Mac 2013.
Muncul sms siap dengan judul ‘Dasar Transformasi Kerajaan’. Terkepil sekali video klip durasi 40saat, tampilkan foto Dato’ Bendahara dilatari lagu 1M4U!

4 April 2013.
Sehari lepas parlimen bubar. Maghi pulok sms begini:

‘Salam 1Malaysia. Parlimen Sudah dibubarkan. Pilillah Malaysia. Undilah Barisan Nasional!’

Kesemua sms dari Januari hingga awal April itu sonder pengirimnya, dan nombor asing belaka bagi saya.

Jumaat, 6 April 2013. Sehari sebelum Dato Bendahara umum Manifesto BN.
Hari ini dalam sejarah. 
Saya dapat surat daripada Anwar! Ya, tiada yang lain lagi, supremo PKR itulah!

Mana diambil nama penuh dan alamat terkini kediaman saya, bukan perkara pelik. 
Ini zaman, apa rahsia pun bisa dikorek dan dilondeh atas perkiraan politik!
Surat itu bermula dengan nada sopan:
“Warkah ini diutus sebagai pengganti diri untuk memohon pertimbangan saudara bagi menentukan halatuju negara tercinta ini.”

Maksudnya tersimpul dalam perenggan kedua terakhir:

“Dengan rendah hati saya mengajak saudara untuk memberikan peluang dan kepercayaan kepada kami dengan menyokong calon-calon Keadilan, PAS dan DAP. Insya-Allah, mandat dan amanah yang diberikan tidak akan sesekali kami khianati dan sia-siakan.”     

Sejak mula layak mengundi (pertengahan 80-an), inilah pertama kali saya menerima warkah pilihanraya daripada seorang pemimpin.

Barangkali ramai pengundi yang telah menerima surat yang serupa.  
Berkesankah kaedah memancing undi melalui warkah sebegitu atau ‘sms hantu’ yang kerap muncul itu lebih berbaloi?
  
Bersama surat itu dikepilkan dua risalah yang lain.

Satunya dengan judul “Pulang dan luangkan masa bersama mereka.” 
Bertujuan memujuk pengundi pulang ke kampung halaman, dan berusaha menerangkan situasi negara kita ‘yang sebenarnya’ (bukan seperti yang dipropagandakan pemerintah) kepada kaum keluarga (khususnya ibu bapa).

Yang kedua, mengungkitkan musykil begini:
“UMNO Pertahankan Martabat Melayu. Dulu, kini, Selamanya...?”
Disisinya tercetak foto PM berpakaian lengkap Melayu, dalam gaya bersemangat sedang pidato di suatu perhimpunan parti.  

Cuma musykil pula kita, apa wajarnya menonjolkan PM dalam keadaan segak dan mantap begitu?

Tentulah warkah yang diutuskan itu tujuannya satu, mahu raih undian untuk Pakatan, dan pastinya bukan nak promo PM!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.