Karya

Karya

Rabu, 17 April 2013

pilihanraya umum ke-13 (5) ANWAR TOLONG PUN TAK MENANG JUGAK!



1986. Peristiwa penting dalam kehidupan. Kali pertama saya mengundi! Masih bujangan.

Waktu itu, Ustaz Abdul Hadi Awang adalah tokoh muda yang sangat berpengaruh dalam parti yang kibar panji-panji bulan mengambang. Pidatonya lantang mengkritik pemerintah, dan prinsipnya jelas tiada tolak ansur dengan parti keris.  Keberanian melontarkan hujah tanpa bertapis menzahirkan fenomena baru sosio-budaya politik Tanah Bonda.

Kuliahnya di Masjid Rusila lazimnya jadi suatu pesta-pestaan. Manakala kehadirannya untuk program di kampus menyebabkan dewan sesak!

Selepas bertanding dalam dua PRU (1978 dan 1982), tahun 1986 dianggap sebagai kemuncak karier politik Ustaz Hadi. Dia nampak hebat seghoti. Bahkan persekitaran politik pada waktu itu memberikan bunga-bunga betapa kerajaan UMNO akan tumbang di Darul Iman.

Penyebaran Amanat Haji Hadi dari suatu aspek menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Ganu. Sebaliknya pula ia menjadi pembakar semangat kepada penyokong dan pekerja parti PAS. Di ambang pilihanraya tahun itu, sekumpulan anak-anak muda bermotosikal (tak pasti ini geng rempit atau sebaliknya, tapi jumlahnya ratusan) sudah pusing Bandar Darul Iman mengibarkan panji-panji bulan mengambang, tunjuk kuat, dan berikan bayangan parti mereka akan ganti UMNO!

Hakikatnya tidak begitu. Ustaz Hadi pula hanya menang di DUN Rhu Rendang, tewas di Parlimen Marang. Tapi dek besarnya pengaruh Tokguru pada waktu itu hinggakan Abdul Rahman Bakar yang berjaya di Parlimen Marang mendapat jolokan ‘the giant killer’.

Jika Ustaz Hadi adalah panglima PAS, UMNO pula mempunyai tokoh muda yang sangat berwibawa, iaitu bekas Presiden ABIM. Kelicikan Mahathir membawa masuk pemimpin NGO yang terkenal itu, antara lainnya  dilihat sebagai suatu usaha mengekang pengaruh PAS di kalangan orang muda. Maka berlakulah pertembungan antara dua jagoan muda, yang pernah sama-sama berjuang dalam pertubuhan Islam yang sama.

Ketika masih di kampus, saya pernah menghadiri program berasingan yang melibatkan kedua-dua tokoh ini. Jelas, ada perbezaan ketara antara pemimpin pembangkang yang bercakap tentang perjuangan Islam dengan sahabatnya yang sudah mengambil pendekatan liberal selepas memasuki UMNO.

Beza yang lain, sementara khalayak yang hadir dalam program bekas presiden Abim itu nampak majmuk, hadirin yang memenuhi dewan ketika forum melibatkan Ustaz Hadi rata-ratanya Melayu.  

Pertama kali jadi pengundi tahun 1986 itu, saya mendaftar di DUN Wakaf Mempelam. Calon PAS ialah Mustapha Ali. Lawannya pula seorang guru bernama Abdul Latif Mohamad. Dari segi kewibawaan, renggang seghoti.

Jauh jaraknya. Mustapha Ali sudah menjadi pemimpin terkenal di Tanah Semenanjung. Pernah pula menjadi Timbalan Menteri. Cikgu Abdul Latif muka baru. Sekali tengok memang ada potongan orang politik. Tapi tak begitu dikenali dan kurang pengaruh di kalangan masyarakat setempat.

Ketika kempen, dalam usaha membantu Cikgu Abdul Latif, dibawakan jugak bekas pemimpin ABIM yang dah jadi pak menteri itu ke kampung saya.  Berceramah lepas Isyak dalam program memperkenalkan calon.

Tiada pentas didirikan. Ceramah yang seolah-olah diadakan secara ad-hoc itu berlangsung di bawah pohonan rendang, tak jauh dari rumah seorang peniaga kayu, letaknya di tepi jalan besar. Di belakangnya ialah sawah padi!

Sewaktu berjalan pulang, seorang jiran menegur. “Tak adil nih! Kena dengar jugak yang sebelah sana!”

Saya matikan langkah, dan bersalam dengannya.  Yang dimaksudkannya ialah  ceramah Ustaz Hadi, yang diadakan seminggu sebelum itu, di rumah seorang penyokong tegar parti PAS. Orangnya disegani penduduk kampung saya.

Lantas berbalas juga usikannya tadi. “Bukan tak nak pergi. Yang sebelah sana buat, ramai sangat mari. Nak dengar ceramah payoh. Dok sedap duduk. Ceramah sikit, main takbir yang lebih. Hok malam ning, orang kurang. Baru sedap dengar ceramah! Doh tu, boleh bersalam dengan tok wakil!”
Kami pun sama-sama ketawa.

Keputusan PRU 1986, menunjukkan persaingan sengit di Wakaf Mempelam, Mustapha Ali menang dengan majoriti kecil 105 undi.

Tapi selepas itu, selama 27 tahun, tidak ada calon UMNO yang menang di Wakaf Mempelam. ADUN PAS (Abdul Wahid Endut) yang menggantikan Mustapha Ali pada tahun 1990 kekal sebagai wakil rakyat hingga PRU ke-12 (2008). 

Selepas Cikgu Abdul Latif, empat calon lain dari UMNO masuk gelanggang mencabar Abdul Wahid. Kecundang belaka dengan majoriti undi jaraknya tak kurang seribu. Malahan pada tahun 1999, majoritinya besar seghoti hampir enam ribu!

Beberapa hari lepas PRU 1986 itu, saya bersembang dengan jiran yang sama di sebuah kedai kopi. Belum habis lagi modalnya mahu menyindir saya. 

“Doh rakyat tak boh. Letok wakil orang dok berahi. Anwar mari tolong pun dok menang jugak!”  

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Isnin, 15 April 2013

pilihanraya umum ke-13 (4) RAHSIA VIDEO KONSPIRASI




1998. Tanah Bonda dilanda gawat mega yang berganda.
Kemelesetan ekonomi memburukkan kesengetan akibat gempa politik.
Ancaman berkembar itu turut memberikan kesan skala besar dan berpanjangan kepada aspek sosial Tanah Semenanjung.  

Tidak pernah berlaku dalam tamadun Malaysia seorang TPM merangkap Timbalan Presiden parti dominan pemerintah dipecat kerana tuduhan salahlaku seks. Perbicaraan yang berlangsung selepas pemecatan itu, menyaksikan perubahan paradigma sebahagian masyarakat (terutamanya orang Melayu) terhadap parti pemerintah. Mereka tegas dan lantang melaungkan alternatif kepada parti yang mendokong kemerdekaan negara.

Waktu itu, kepercayaan kepada mahkamah dan keyakinan kepada pihak polis turut tergugat. Nampak benar kekacauan politik membawa pertikaian kepada sistem keadilan dan keselamatan negara. 

Dalam kemelut itu, yang hidup segar dan berkembang luas ialah Teori Konspirasi yang dibantu penyebarannya oleh media baru (internet). Sebahagian rakyat jelata  percaya TPM itu dijatuhkan oleh suatu konspirasi dari dalam partinya sendiri. Malahan inilah juga (konspirasi peringkat tertinggi) yang kerap diulang oleh pemimpin berkenaan dalam jelajahnya keliling negara. Ini adalah usaha mempertahankan diri, dan sekaligus cuba menghakis kepercayaan rakyat jelata kepada pemerintah, terutamanya terhadap PM waktu itu  DS Mahathir yang dicemuh dengan gelaran menggerunkan: Mahazalim dan Mahafiraun!

Walaupun internet sudah begitu berpengaruh membentuk pendapat umum mengenai teori konspirasi itu, Facebook dan Youtube belum lahir. Jadinya, alat pandang dengar fesyen lama seperti kaset dan video masih jadi medium yang efektif. Ceramah politik yang dirakam dalam kaset dan cd (termasuk ucapan-ucapan kembaraan bekas TPM ke seluruh negara) agak mudah diperoleh jika rajin ke kawasan sekitar Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur. 

Dalam period itu (ketika para peguam kedua-dua pihak masih hangat bertelagah dalam kes liwat), saya bekerja di bahagian komunikasi korporat di sebuah syarikat swasta. Lantas, lazim benar bersemuka dengan pelanggan. 

Saya sudah lupa tarikhnya, tapi tak akan lupa peristiwa itu. Seorang pelanggan yang sudah dua tiga kali singgah bincang-bincang, suatu hari  mengaku dia punyai bukti bahawa berlaku konspirasi terhadap bekas TPM itu benar!  Dalam kaget dengar pengakuan itu, terpengaruh jugak dengan cakap-cakapnya kerana dia bekas anggota tentera berpangkat kapten.

Selang beberapa hari, dia datang lagi. Kali ini lebih mengejutkan dan mengujakan. 

Dia tunjukkan buktinya. “Encik tengoklah video ni! Ini bukti ada konspirasi nak jatuhkan dia (bekas TPM)!”
Teragak-agak mahu menerima. Tapi rugi amat jika menolak. Maka dalam khuatir dan waspada, saya bawak video itu pulang. 

Bukti yang didakwa mengesahkan teori Konspirasi itu merupakan pengakuan seseorang (ah, lupa sungguh siapa dia!) bahawa dia hadir dalam suatu ‘mesyuarat’ (tidak berkaitan dengan mana-mana parti politik), yang bertujuan utama mengatur rencana untuk menjatuhkan TPM yang digelar sebagai anak didik DS Mahathir.      
Selepas seminggu, kapten bersara itu datang lagi ke pejabat. Lambat sungguh rasanya dia muncul mengutip bahan bukti itu. Tak berani saya simpan di rumah. Lantas siling pejabat menjadi tempat selamat menyoroknya. Tiada siapa yang tahu. Rahsia tersimpan kemah keming. Kalaulah pejabat saya diselongkor pihak berkuasa, tutuplah gamaknya syarikat itu! Tuduhannya? Menyimpan bahan terlarang yang boleh menggugat keselamatan negara tentunya!

Saya sudah lupa siapa watak utama dan sampingan yang muncul dalam video berkenaan. Sudah lama sangat. Lagipun, minda begitu selektif menyimpan memori. Sudah cuba diingat-ingat, tidak muncul-muncul lintasannya dalam minda.

Malahan nama kapten bersara itu, wajah dan bangun tubuhnya pun saya dah lupa. Tiada ingatan apa-apa lagi kepadanya atau kandungan video berkenaan. Mungkin kerana kes itu sudah berakhir. Manakala bekas TPM yang didakwa meliwat itu, sudah bebas daripada pertuduhan.

Cuma rasa rugi jugak kerana tidak menyalin video berkenaan. Tapi pada waktu itu, bayangan ISA begitu menakutkan! Nak simpan lama-lama pun risau amat. Bahkan tak masuk kepala langsung nak edar kepada waris-warah serta rakan-taulan. Jadilah ia rahsia yang tersimpan kemah keming hingga terbuka jua hari ini! Itupun kerana teruja dek tersebar video adegan ranjang seorang ahli politik minggu lepas.

Lima belas tahun berlalu. Saya sudah terlupa terus ‘bukti konspirasi’ yang ada dalam video itu!

Cuma datang teka-teki:

Apa sebenarnya tujuan kapten bersara itu meminjamkan kepada saya bahan bukti yang berkenaan?

Seingat saya, tak ada pulak video berkenaan dijadikan bahan bukti di mahkamah ketika Perbicaraan Liwat1.

Kapten bersara  itu?  Selepas mengutip kembali videonya, itulah kali terakhir saya ketemui dia. Lesap sudah dia tanpa bisa dihubungi lagi!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemju lagi.