Karya

Karya

Isnin, 16 September 2013

MELAYU DI ATAS WAKAF



(nota awal: lama seghoti tak tulis puisi. jaman ngaji di tingkatan enam, sajak asmaradana menang nombor satu, dan masuk majalah sekolah. puisi jugaklah karya pertama yang muncul di akhbar Berita Minggu, jaman masih studi di kampus tua lembah pantai. perihal nasib mujahidin di bumi Palestin. hari ini, Hari Malaysia. Gatal sungguh mahu kembali cuba bariskan kata-kata, bina rangkap-rangkap puisi. susun kalimah perihal orang kita. harap-harap menjadi, dan timbul maksudnya.)  
___________________________

MELAYU DI ATAS WAKAF


Ketika azan dikumandang bilal tua,
Melayu itu tiba satu van penuh dengan kawan-kawan
ada yang menyusul naiki lori
Kerja kontrak belaka
tiada takwil
Kerna wajah, perilaku, tutur dan pakaian tergambar ketara

Ketika iqamah memanggil masuk saf,
dia dan rakan-rakan mula buka mangkuk tingkat
dan bungkusan lain santapan tengahari

Sewaktu imam sopan kalimahkan salam,
udah sendawa dia kekenyangan

Sewaktu pintu gelongsor dewan solat sudah terkatup,
masih sembang-sembang dia, 
dan ada rakannya yang terbaring - lengan di atas dahi, kaki bersilang.
Kenyang + letih + berlunjur + rehat-rehat. 

Ini waktunya khusus untuk rehat. Udah kerja dari pagi. lenguh badan angkat segala yang berat-berat dan kerja sukar-sukar. Pijar otak, berdenyut kepala kerna terik mentari.

Melayu di atas wakaf.
Mahu lepak dulu kerna pukul dua nanti, dia wajib kembali ke tapak.
Bekerja untuk  tanggung anak bini dan siapa jua yang dia perlu tanggung.
Untuk naik solat di masjid yang harga 4juta ringgit itu, belum tentu. Dia tahu itu pun wajib.
Tapi dia ke situ kerana mahu rehat dan penuhkan perut untuk caj tenaga. Kerna nantinya dia wajib kembali ke tapak. Ada rumah agam yang perlu disiapkan segera.
Yang wajibnya untuk naik dan tunaikan rukun di dewan solat tidak nampak semacam wajib.
Padahal itulah tapak binaan rumah agamnya di alam baqa.

Melayu di atas wakaf.
Dia dan kawan-kawannya wajib ke laman masjid itu tiap hari ketika waktu rehat tengahari, selagi rumah agam yang dibina belum bangun sempurna.

Melayu di atas wakaf.
Masuk ke laman masjid kerana mahu sembang-sembang. Mahu makan-makan. Mahu rehat-rehat. dan main tekan punat di pad telefon berbalas-balas sms entah dengan siapa. 
dekat pukul dua, tergesa-gesa naik van ramai-ramai mahu segera ke tapak binaan rumah agam. Wajibnya begitu!
Ketika itu, imam dan bilal baru sampai di rumah, dan mula siap-siap mahu menjamah hidangan di atas meja.

___________________________________________________
permisi. dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
pesisir Tok Jembal, Hari Malaysia 2013.

Khamis, 29 Ogos 2013

“ORANG MELAYU SUKA MEMBUNUH?”



(nota awal: Mohon jutaan maaf kepada para sahabat siber. Lama bangat tak muncul dan bicara. Tidak di blog. Tidak di facebook jua. Kembali  menjadi warga di tanah tumpahnya darah kita, menuntut komitmen banyak perkara dan amat meletihkan. Jiwa dan raga memerlukan perimbangan dan penjajaran. Banyak pula peristiwa yang dialami dan begitu mengujakan. Tapi tidak cukup ruang dan waktu untuk dirakam segala-galanya. Yang pentingnya, dengan izin-Nya  kita mampu ketemu dan bicara lagi. Semoga akan lancar semula seperti dulu-dulu. Ameen.)    
_______________________________________________________________



Pagi Khamis, minggu ketiga Syawal 1434.

Suatu kejutan. Dek-dek yang tidak gemar ziarah mana-mana muzium jua, tuptup rela ikut saya ke situ dengan satu syarat: sahabatnya Kim diajak sama. 

Sejak kembali ke Darul Iman, dah lama saya pasang angan-angan mahu ke muzium. Mahu jenguk khazanah sosio-budaya yang menjadi pulur dan tunjang tamadun negeri penyu ini. Anak yang bongsu (Ney-ney) memang berminat mahu ke situ. Dukacita kerana sibuk bercuti raya merangkap cuti sekolah, hasratnya belum tertunai.

Mula-mula kami rencana mahu kudapan di Restoran Pok, duduknya kira-kira lima puluh meter ke  simpang empat Losong-Pulau Musang-Manir-Durian Burung. Terlajak. Kim yang tinggal di Pulau Rusa terlepas hitung jarak, dan tak berapa pasti warung yang saya fikir molek untuk disinggahi itu. Pernah lintasi, tapi tak pernah singgahi.

Segera tertukar niat, setuju belaka mahu makan-minum di cafeteria muzium saja. Dengan harapan akan terhidang juadah original Ganu – ropal (gopa), asam gupal, kuih gomok, pulut lepa, keropok lekor,  dan nasi dagang. Ugh, tengah kawal stering, lagi sepuluh minit sampai ke destinasi, udah terpecah liur teringat itu semua!

Masuk kawasan muzium, rasa agak lain. Kami disambut dengan mesra pengawal tahap satu, siap dengan tabik sekali. Tiba di simpang akan ke parkir awam bersebelahan surau, seorang pengawal yang lain beri isyarat supaya motokar dihentikan.

“Nok gi ker perasmiang pamerang? MB mari doh. Rasa-rasa nyer tengoh duk berucap doh tu!”
Ramah pengawal itu menyebabkan saya segera tukar niat dan gaya. Tak mahu dilihat macam pelawat biasa-biasa. Lagipun Dek-dek tiba-tiba ghairah mendesak. "I wanna meet Mat Said! Please, dad. We can have breakfast later!”

Saya pun buat selamba. Berlagak sikit ketika membalas sapaan pak jaga. 
“Ingat nok minung di keting dulu. Lepah tu, baru gi pamerang. Doh MB mari doh, kita gi selalu situ!”

Tak sampai sepuluh langkah meninggal motokar, datang seorang jejaka segak berpakaian Melayu lengkap. Disambut kami dengan penuh sopan. Diiringi senyuman, dia menunjukkan arah dewan pameran tanpa musykil. Seolah-olah kami bertiga ini tetamu VIP pulak! Padahal bukan saja tidak diundang. Pameran yang berlangsung itu kami tak tahu pun! Bahkan, pagi itu, tidak terfikir langsung akan dipelawa masuk ke majlis dirasmikan MB Ganu!           

Ketika kami menapak waspada cari tempat duduk yang berkenan, terasa macam semua orang memandang. Rata-rata yang datang memakai baju Melayu lengkap atau baju batik dengan seluar slek. Yang wanitanya berbaju kurung. Rupa-rupanya, ini majlis sambutan Aidilfitri sekaligus dengan pameran lukisan karyawan Darul Iman.

Pakaian kami?
Dek-dek (doubledek.blogspot.com) menghayati karya seniman Ganu
Dek-dek bergaya dengan blaus biru muda dan jeans warna serupa. Kim nampak dinamik dengan blaus petak-petak, dan jeans hitam. Saya pulak, kemeja lengan pendek dengan jeans biru air laut!

Saya ambil kerusi agak depan. Kim dan Dek-dek selang sebaris di belakang saya.

Ketika kami mengemaskan duduk, yang berucap ialah Pengarah Muzium Negeri. Rasa sekejap saja kerana sudah penghujungnya.

Ucapan MB pula ringkas tapi padat. Pandai jugak pemimpin besar dari Kemaman ni buat kelakar. Ada dua tiga kali selitan lucunya memecahkan ketawa para hadirin.
bicara MB: ada sinis dalam lelucon


Yang tersurat nampak ketara lelucon itulah. Tapi yang tersirat dalam bangat maknanya.

Lekat kejap dalam fakulti kepala kata-kata MB yang terkandung lucu dan sindiran sekaligus. Kira-kira begini tuturnya:

“Orang Melayu suka membunuh. Jika jumpa ular tedung, tiada lain lagi, mesti mahu dibunuhnya. Mesti guna buluh. Katanya bisa. Ular mesti mati. Padahal kalau guna kayu, katok betul-betul di kepala tedung, tentu mati jugak! Lain dengan orang India. Jumpa tedung, dia akan tangkap. Masuk bakul. Kemudian dia tiup serunai depan orang ramai. Dapat duit! Melayu bunuh tedung tak dapat duit! Dapat bangga kerana bunuh ular saja!”

Lelucon MB itu dalam konteks mahu dikaitkannya dengan sikap orang kita yang ‘suka membunuh warisan dan sejarah’ tanpa menghitung faedah jangka panjangnya. Seperti sikap ‘suka bunuh ular’ itulah.

Benar senghoti-kah lelucon MB itu? Memang sungguh rata-rata Melayu bersikap begitu? Membunuh dan memusnahkan sosio-budaya warisan pusaka tamadun tanah bonda tanpa rasa bersalah, dan tidak berasa rugi apa-apa?

Salam kemerdekaan dari  Pesisir Tok Jembal, Darul Iman.
       
Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.