Karya

Karya

Isnin, 23 September 2013

MELAYU DI ATAS WAKAF (3)

baru lepas solat Jumaat
duduk ramai-ramai di atas wakaf
gelak ketawa sembang-sembang tiada yang lain geng mereka saja
tak boleh balik sekarang
kerana cuaca panas terik
datang Jumaat jalan kaki kalau nasib baik ada payung
yang ada lebih untung tumpang kereta
buka pintu duduk di belakang, tak layak rasanya dia duduk di sebelah pemandu, yang belum tentunya empunya kereta
tak ada orang yang mahu beri bonceng motosikal
mungkin kerana nafasnya berbau sirih dan tembakau!


yang nampak macam Melayu di atas wakaf itu
sembang-sembang hingga hingga awan meneduh
kerana tidak mahu sakit kepala
tadinya sebelum ke masjid, kerja di bawah terik mentari pijar mata sampai ngap-ngap kepala
patuh kerja sampai pukul satu. dah begitu undang-undang tauke. azan baru boleh berenti. mandi pun tergesa-gesa.
orang melayu kata mandi tak sempurna jadinya "mandi kerbau". tapi dia tak tahu peribahasa itu.


hari ini petang baru dapat rasa nikmat cuti.
bukan cuti-cuti 1Malaysia tapi mahu belanja. beli ubat gigi, kopi, beras, rempah kari, ikan kering, bilis, dan lada.

Lama lepas Jumaat, sudah teduh langit, pukul empat ramai-ramai rencana nak ke bandor naik bas Cas Ligas.

Tak ada masa nak lepak di HutanLipur Sekayu, lagilah tak mahu lekok dia ke Giant. Mahu ke Sabasom saja. Katanya, "Itu kedai banyak ada. Semua murah-murah. Situ kita suka beli. Lagi bagus daripada Mydin juga!"


Yang nampak macam Melayu itu, tak reti sangat cakap Melayu.
kalau tengah kerja, lagu hindustan jadi teman. lagu melayu katanya "tau sikit-sikit jugak! faham tarak!"
pasang kuat-kuat lagu hindustan guna telefon murah saja. sudah cukup terhibur dan naik semangat kerja. sambil gaul simen, pasang wayar, susun tiles, cat dinding, plaster siling, ikat bata, sambung paip.

Mahu kumpul duit banyak-banyak. Ini raya haji, mahu balik Dhaka. tauke sudah kasi janji, cuti dua minggu.

itu Melayu yang lepak di atas wakaf lepas Jumaat, bukanlah mereka itu Melayu.
pasang angan-angan kawin dengan gadis melayu. Mahu duduk lama-lama sini juga. kerana orang Terengganu ini baik-baik saja. Negeri ini banyak bagus. Senang mahu kerja. Rajin kalau, banyak tempat boleh kumpul-kumpul duit. Takda siapa-siapa mahu kacau juga!

Yang di atas wakaf itu sebenarnya bukan Melayu. Cuma bunyi namanya dekat-dekat macam kita. Tapi ada campur-campur itu Hindustan juga.
Ayob, Bachu, Hamidun, Sanjay.
Rajinnya kerja lebih daripada kita. Walaupun mereka tidak tahu dan tidak reti peribahasa "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!"   

________________
permisi. dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Selasa, 17 September 2013

MELAYU DI ATAS WAKAF (2)


Melayu itu kerjanya mengail
lepas Subuh udah cepat-cepat injak pasir
kemudian congok dalam bot, pegang kemudi erat-erat
corong pandangan ke laut luas,
mahu perah laju-laju botnya sederas mata memandang
pecah ombak cari ikan hingga ke Pulau Bidong
kerana tahu benar dia di situ bermain ikan aya
pulau cantik yang dulunya Pulau Pelarian

waktu itu, tahun 70-an,
di situ nelayan macam dia tidak boleh cari makan
sebab kerajaan kena jaga 'oghang viyatnang'

Melayu di atas wakaf itu, tengah lepas lenguh
baru balik mengail dekat-dekat Pulau Bidong
mitosnya tempat aya bermain-main,
tapi hari ini hanya dapat seekor tak sampai pun besar lengan!

Melayu itu yang santai di atas wakaf
memaku pandangan ke Laut China Selatan
dalam hati merendam tekad menyangkut dendam
lepas Asar nanti mahu lekas-lekas pecut bot ke laut lagi
kerana udah berdengung jadi panas telinga
ditampar jerit-pekik senda-gurau      
pengail-pengail yang lain,
yang ralit melapah tiga pari selebar kusyen kereta
yang celup-celap timbang bungkus kerisi sepuluh kilo dalam jabir-jabir plastik

Melayu di atas wakaf yang tidak bertutur dengan siapa-siapa
matanya corong melemparkan dendam ke lautan dalam
tidak peduli dia panji-panji biru yang rebah
selepet disodok bot yang tuannya udah lama pulang
kerana panji-panji itu nantinya akan berganti dan berkibar berganti baru lima tahun lagi.

Ugh, sebenarnya dia tidak peduli warna apa pun panji-panji atau bendera itu
kerana aya, kerisi, sotong dan pari meragut umpan tidak peduli apa warna pun
lagipun, di laut luas dan lepas itu,
bendera apa pun bukan janji ikan dan sotong akan melompat ke dalam perahu! 
________________________
permisi. dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.