Karya

Karya

Rabu, 30 April 2014

PEMUDA PENCINTA MASJID



(nota awal: ini cerita lama, waktu dekat-dekat nak tamat tahun sudah. Selepas lima bulan kami kembali menetap di Tanah Tumpah Darah, Darul Iman)

“Sedap Imam baca tadi. Suara. Lagunya. Macam Imam MasjidilHaram. Nak maghi pulok masjid ni!”
Lateefa berhasrat macam berdoa, sebaik saja menutup pintu kereta.
Kawe tidak respon. Tidak perlu. Hanya terasa sungguh puas hati. Pagi Jumaat itu dapat membawa Lateefa solat di masjid berkenaan, 
Hajatnya mahu solat Subuh dikepalai imam yang baca surah as-sajdah tercapai. 
Lima bulan kembali ke Tanah Kelahiran, barulah ketemu imam yang berkemampuan sebegitu. Barangkali bukan tidak ada yang mampu, Cuma ada imam yang tidak praktis baca as-Sajdah di Subuh Jumaat. Ada pula yang berpendapat itu bukan wajib. Tak masuk dalam syarat sah solat!

Ketika santai sambil hirup teh dan mamah ropal (kuih tradisional Ganu, rupa macam murtabak mini, tapi jauh terlebih sedapnya!) di serambi, kami sambung sembang-sembang. Tiada apa-apaan mahu digaduhkan. Jumaat hari cuti.
“Bukan semua imam boleh baca as-Sajdah molek macam tu. Bukan semua imam tu hafiz. Ayat tu panjang. Kalau bukan hafiz, imam kenalah biasa dah baca ayat tu.Calang-calang imam tak mampu. Silap congak, buat berani nak baca jugak, lepas sujud sajdah tu, bangun balik dah tak ingat nak sambung kat mana. Blank! Gaduh la jawabnya jemaah!”
Lateefa tunggu sambungan. Kawe boleh baca isyarat gerak badannya. Udah 25 tahun bersama membina kota kasih. Kita tahu banyak perkara tentang dia, dan Lateefa tahu banyak rahsia kita.
Lepas hirup teh sampai tinggal suku, dan Lateefa jerungau sikit untuk menambah, kawe kecek semula.
“Imam tadi tu muda lagi. Manis wajahnya. Cerah. Sedap tengok. Mukanya macam terpancar nur. ”
Lateefa ambil ropal separuh. Macam tak dengar pulak lagaknya.
“Dengar cerita, kerja pensyarah. Bujangan lagi.”
Lateefa kunyah ropal lambat-lambat.
“Kalau dapat jadi menantu kita...”
Tidak upaya dihabiskan. Ada salam di luar pagar. Pak Jaafar sedang berdiri di situ sambil mengangkat setin cat.
Ugh, baru teringat. Ada janji dengannya. Dua-dua dinding tempat mesin basuh perlu dicat semula. Dek-dek mahu warna yang lain. Warna biru kundang lembut. 
Kawe ikut saja. Citarasa gadis yang udah masuk tahun tiga di kolej. Major Sastera Inggeris. Minat seghoti hiasan dalaman.

@@@@@@@@
Malamnya tiada bersambung kisah imam muda yang jatuh berkenan kita mahu jadikannya menantu. Ugh, omongan saja. Mana bisa dipikat orang muda yang hebat begitu. Belum usia 30-an udah jadi imam dan khatib jugak. Dengar cerita pernah merantau ke Riau, ngaji dalam pengajian Islam di UNIN.
Ini orang muda Pencinta Masjid! Jauh bangat dengan kita!

Ugh, teringat kawe kepada seorang lagi pemuda professional yang jiwanya mesra amat dengan rumah Allah.
Kawe turunkan catatan lama tentang pemuda itu, yang ada sabitan dengan kenang-kenangan kawe ketika menunaikan ibadah Haji.

@@@@@@@@@@

Tahun 2010.

Sampai di KLIA, kami dimaklumkan penerbangan ke Madinah tertangguh tanpa dapat dipastikan waktunya. Sudah menjelma dugaan yang pertama. Kekusutan mulai terbit di wajah, dan gerak tubuh tidak upaya menudunginya. Seramai 450  bakal jemaah haji terpaksa menunggu tanpa diberikan batas waktu akan terlerai.

Setengah jam sebelum Subuh, berlaku kesesakan di tandas. Ketika berbaris menunggu giliran, ada yang mulai bersungut. Tidak tahan menunggu lama kerana yang sudah ada di dalam bilik-bilik kecil itu pula, semacam tidak punyai ehsan kepada orang lain - curahan air kedengarannya macam bermandi-manda pula!

Selepas solat Subuh, belum ternampak kembang kelopak harapan rombongan kami akan segera dipanggil ke dewan perlepasan.  Lateefa seperti biasa, secara hafalan membaca al-Mathuraat. Tiada ternampak sebarang kesedihan atau bintik-bintik kegusaran di wajahnya.

Berlainan sekali dengan saya, keresahan membenih galak. Teringat akan kerja yang sudah dilepaskan, dan tiada ketentuan akan beroleh kedudukan yang serupa apabila pula dari Tanah Suci. Datang bergulung perlahan ombak kecil, bayang-bayangan tahap ketahanan menghadapi dugaan yang bakal menimpa ketika musim ibadah yang panjang. Datang menghimpit juga imbasan kenang-kenangan bersama arwah ayah dan ibu, yang kuat sekali mengocak kolah ingatan.

Tidak seperti waktu berangkat menunaikan umrah dahulu, kali ini hati saya amat mudah tersentuh. Beberapa kali ketika solat pun, terutama minggu akhir sebelum terbang sebagai Dhuyuf al-Rahman, air mata mudah amat tertumpah.

Ketika rakaat kedua solat Subuh Jumaat terakhir di surau, datang menangkap sebak di dada, maka bahu pun bergoncang, dan linangan air mati tiada tertahan. Barangkali sedar dan faham akan keadaan saya itu, selesai solat seorang jemaah yang bersebelahan menepuk-nepuk bahu saya.
“Banyak bersabar. Usah sedih. Nikmat dan rahmat-Nya menunggu di sana.”  
Ketika bersalaman saya tidak memandang pun wajahnya. Suara itu saya kenal benar. Tapi tidak termampu saya memandang dia. Sebak di dada mengikat diri. Pagar emosi amat rapuh. Boleh terhingguk-hingguk jadinya jika terpecah dan roboh pagar itu. Ugh, malu amat nantinya kepada jemaah yang lain!  
@@@@@@@@@@

Selepas selesai zikir al-Maathurat, Lateefa menyambung pula dengan surah ar-Rahman.
Kerana tidak mahu mengganggu konsentrasinya, saya ambil telefon dan memeriksa kalau-kalau ada mesej terbaru.
Ada lima enam mesej daripada waris-warah dan kawan-kawan yang intipatinya: mengucapkan kesejahteraan ke atas kami berdua; mohon berkirim salam kepada Rasulullah; dan minta didoakan kemurahan rezeki serta keharmonian hidup mereka. Selain itu, ada yang secara khusus mohon keredhaan-Nya supaya:-
·        segera mendapat jodoh;
·        mendapat anak kerana sudah lama kahwin;
·        lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM; dan
·        peroleh panggilan Ilahi menjadi tetamu-Nya jua.



Sedang saya mengetik butang pad untuk membalas beberapa mesej berkenaan, masuk satu lagi sms. Rupa-rupanya daripada Jenol – waris yang sedang studi di UTP, Tronoh. Menarik sungguh kirimannya.  
‘Bila hati berjuang kerana Allah,
dugaan itu tempat bersinggah,
 keperitan ditelan sebagai juadah,
kejayaan dianggap satu mimpi indah.
Andai ditakdirkan rebah, hati tetap redha kerana Allah.
Selamat menunaikan haji dan mujahadah menempuh tiap onak dan lurah, tiap agendaNya punya hikmah, agar hati diisi indahnya kasih Allah.’

Wow, hebat sekali!
Pandai pula Jenol tulis gurindam! Bakal jurutera ini saya gelar dia ‘Pemuda Pencinta Masjid’ kerana sejak zaman remajanya memang itu suatu kebiasaan baginya - ke surau, masjid, usrah dan membaca al-Quran memang ada peruntukan waktunya. Malahan jika dia bertandang ke rumah saya atas alasan apa jua, mesti ada al-quran terjemahan saiz kecil dalam poket kemejanya. 
 
Ketika Umrah bersama kami pada tahun 2009, Masjid Nabawi dan Masjidilharam seolah-olah sudah menjadi ‘rumah pertama’ baginya. Pulang ke bilik hotel pun jarang-jarang. Dapat pula dia menunaikan pesannya ibunya supaya umrah sebanyak tujuh kali.  
Di hujung gurindamnya itu, dicatat pula terjemahan sepotong ayat daripada surah ali-Imraan (139).
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula (kamu) bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”


_________________
permisi. dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

Isnin, 17 Mac 2014

MH370: doa seorang rocker masjid

Perkenalan pertama dengannya mudah dan singkat. Berkawan pula tidak lama. Tak cukup setahun, kawe pindah ke Darul Iman.

Kawe ketemu dia di masjid. Lepas solat Jumaat. Biasanya kawe keluar lambat dari dewan utama Masjid Sungai Ramal Dalam.

Sudah jadi kebiasaan. Kawe akan keluar ketika yang tinggal imam, bilal dan petugas-petugas yang kira wang daripada tabung.

Melintasi ruang solat tambahan, kawe akan ketemu Pak Karim. Tok Siak yang pandai dalam soal seni-tanaman, dan ringan tulang jika diminta bantuan. Selepas bersalaman dan berbual sekejap, kawe akan bergegas ke parkir, mahu cepat pulang ke rumah kerana Ney-ney sudah menunggu untuk berjamu tengahari.

Pada suatu Jumaat kawe terlekat lama di masjid. Budak-budak sekolah yang bersamping hijau dua tiga orang yang selalunya bantu Pak Karim tak kelihatan. Anak-anak Pak Karim juga tak ada. Yang ada dua jejaka yang jimat bicara tapi bersungguh-sungguh mahu cepat selesaikan kerja gulung, lipat, pikul dan susun permaidani, tikar dan sejadah ke dalam stor.

Maka tergerak rasa nak tolong Pak Karim gulung tikar dan permaidani.

"Larat ke nak buat ni?" Pak Karim yang mudah senyum itu ketawa kecil. "Sakit pinggang karang, boleh susah pulak!" usikannya bersambung tapi tak bersambut sesiapa.
Kawe senyum sikit dan sekejap. "Boleh. Takdak masalah. Nak buktilah ni!" Kawe segera mula menggulung permaidani yang pertama.

Ugh, dalam lambat-lambat buat kerja masih mampu lagi gulung dan pikul permaidani sekeping. Tak sebesar mana, cuma agak panjang. Gulung-gulung jadi saiznya sebesar batang kelapa! Terus jugak tolong Pak Karim hingga habis walaupun muka dah terasa pucat dan badan mulai dingin berpeluh. Dah terlajak nak tunjuk handal, mana boleh berenti lagi. Malu besarlah.

Masih ada kemampuan tapi tak secepat dan sebanyak yang dibuat Pak Karim yang berbadan tegap itu.

Kami sama-sama gulung dan pikul hamparan di bahagian yang lebih luas dan banyak kepingan permaidani.

Hampir habis baru kawe perasan ada seorang pemuda buat kerja sorang-sorang. Kerja senyap-senyap di bahagian atas tangga bersebelahan tempat ambil wudhuk.

Kurus orangnya. Pakai Baju Melayu biru, berseluar kelabu. Songkoknya tidak dapat menyembunyikan rambut lurus turun mencecah bahu.

Hari itu, lepas habis kerja gulung, lipat, pikul dan susun itu kami singgah di warung tepi jalan besar Sungai Ramal Dalam. Popular warung ini. Pagi dan tengahari selalunya ramai pengunjung. Kalau Jumaat, sebelum solat ramai yang singgah.

Nama taukenya Mat. Budak-budak sekolah gemar singgah di sini. Magnetnya ialah permainan video dalam bilik hawa dingin.Tempat makan hanya tersedia kipas angin besar yang keluar semburan partikel air.

Itu harinya bagaimana kawe mula berkenalan dengan pemuda itu.

Selepas itu, tiap selesai solat Jumaat, rasa seronok pula bercampur 'pasukan' gulung, lipat, pikul dan susun permaidani, tikar dan sejadah. Tapi yang pergi makan-makan di warung Tauke Mat itu kami bertiga saja.

Beberapa kali bertemu masing-masing cerita sikit-sikit tentang latar diri.

Syafiq. Bujangan. Usia dua puluhan. Pemain gitar, dan boleh gubah lagu. Ada kugiran sendiri.

Segera datang lintasan: kawe nak mintak gubah lagu tema untuk novel Waris Kalung Naga.

Setuju dia tanpa musykil. Liriknya kawe tulis. Lagu itu dirakam di rumahnya. 'Studio'nya amat sederhana. Lebih tepatnya bukan studio rakaman pun. Kita cerita lain ruang tentang itu.

Kerana tiada pilihan, suara kawe dirakam untuk latar. Jika nak mintak orang lain yang bagus-bagus, kena bayar mahal!

Visual pula diambil dengan permisi daripada hasilan animasi NetCarbon, syarikat multi-media milik pemuda Kelate yang terbitkan siri Super Tots di TV3.

Ada terkehel sikit, tak jadi video klip tu masuk youtube. Sebab hasrat nak masuk studio di NetCarbon untuk buat rakaman suara latar tidak menjadi.

Akhirnya, lagu tema ciptaannya itu (dengan izin) kawe jadikan muzik latar untuk promosi novel on-line Rimau di Tepi Tasik http://www.youtube.com/watch?v=tJElFrdAevo


Beberapa kali kawe makan-makan di luar sesi pertemuan lazim lepas solat Jumaat. Kami selalu bertemu di Restoran Nim Little Island.

Biasanya Syafiq datang dengan imej amat berbeza dengan pertemuan di masjid.

Rambut lepas bebas mencecah bahu sengaja dibiarkan mengerbang. Ketika kami makan-makan dan sembang-sembang itu, kawe perasan ada mata-mata yang curi-curi pandang. Mungkin pelik tengok dua watak yang kontras nampak berkawan baik. Seorang pemuda rambut panjang, t-shirt sendat pakai jeans ketat boleh duduk-duduk dengan lelaki separuh abad, udah ketara uban, pakai jubah dan berkopiah!

Sewaktu Ramadhan tahun itu (2012) ada juga kawe ketemu Syafiq berjemaah di Surau al-Umm. Sempat sembang-sembang sewaktu jamah hidangan lepas tarawikh.
 
Sejak hijrah kekal di Darul Iman, kawe tak berhubung lagi dengan Syafiq. Sesekali tengok juga perkembangannya di Fb. Nampak makin rancak dan ligat dia dengan dunia seninya.

Kemarin melintas mesej daripada Syafiq, beritau tentang karya baru gubahannya. Lagu penghormatan untuk anak kapal dan penumpang MH370. Begitu kira-kira maksud ayat tertulis mengiring muzik video itu.
   
Apabila kawe dengar di youtube, terharu rasanya. Seorang pemuda serba sederhana seperti Syafiq bisa menghasilkan karya sebegitu. Prihatin senghoti dia akan episod malang dan duka insan yang lain.
 
Syafiq (nama seninya Rex Strike) merupakan seorang pemain gitar kumpulan rock Nuclear Strike.

Lagu khas untuk MH370 itu dia yang cipta melodi dan gubah muziknya.

Syafiq, rupa-rupanya kamu seorang rocker yang prihatin.

Bangga kawe punyai kawan seperti kamu.

Seorang rocker yang ikhlas berdoa untuk kebajikan insan yang ditimpa malang. Tidak sesekali ghairah menyebarkan khabar angin seperti segelintir pengkarya siber yang lain.

Syabas, Syafiq!

Sahabat alam siber sekalian, jika ada kelapangan, mari sama-sama hayati lagu ini.

http://youtu.be/cPHMFAPCxdI

DOA DARIPADA SEORANG ROCKER YANG RAJIN KE MASJID,  UNTUK KESEJAHTERAAN ANAK KAPAL DAN PENUMPANG MH370.