Karya

Karya

Ahad, 22 Januari 2012

AYUH, KITA KENDURI BUKU & MENGUNYAH ILMU!


KARNIVAL KARANGKRAF DATANG LAGI!
Kali ini tentu skelnya lebih besar. Dengan pelbagai acara yang bagus dan menyeronokkan, kita akan dapat merasai keseronokan yang berpanjangan selama tiga hari (27, 28 dan 29 Januari 2012) di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.

Hari pertama (8.30 malam, Jumaat, 27 Januari), aktivitinya sudah bikin gempar. Akan berlangsung forum ‘Bicara Cinta Anak Muda’. Pembicaranya hebat dan popular. Datang ramai-ramai, kasi sendat perkarangan Kompleks Karangkraf. Di pentas utama, ramai-ramai kita dengar bicara tentang cinta oleh Sham Kamikaze, Irma Hasmi, Ustazah Pilihan, dan Imam Muda Ashraf!

Anda memang ulat buku & kaki novel? Khas untuk anda diadakan ‘Sembang Buku’ selama tiga hari berturut-turut di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf.
Ahli panel dan moderator semuanya punyai autoriti dalam bidang masing-masing (novelis, ahli bahasa, pensyarah, penulis skrip, pakar motivasi, pendakwah, dan personaliti tv) seperti Fazley Yaacob, Ahadiat Akashah, Dr Robiah K Hamzah, Zabidi Mohamed, Dr Zaharuddin Abd Rahman, dan Ramlee Awang Murshid.

Bukan itu saja, sama-samalah kita memeriahkan pelancaran majalah baru Automaskulin dengan penampilan istimewa Neelofa & Izara.

Beli, Baca dan Berhibur!
Hari Sabtu (28 Januari, 8.30 malam) di pentas utama, artis kesayangan anda akan beraksi di Konsert & Anugerah PPMH Media Hiburan. Jangan tinggalkan Kompleks Karangkraf tanpa menonton persembahan Dafi, Akim, Alif Aziz, Adira, Mila, Nubhan, Awie Rafael, dan Sixth Sense!

Tentunya berita paling istimewa, penulis-penulis siri Merah Cinta Kita juga akan menyambut kehadiran anda di booth yang cantik dan ceria. Kita bergambar bersama-sama!

Kepada pengunjung dari luar Kuala Lumpur dan Selangor yang memerlukan penginapan, bisa saja tempah bilik di Hotel De Impian (Seksyen 15, Shah Alam). Jangan segan untuk hubungi Encik Azman (0126754350), dan sebutlah anda mahu hadir ke Karnival Karangkraf 2012 untuk mendapatkan diskaun khas. Hotel ini dekat saja dengan Kompleks Karangkraf. Tak perlu berkereta. Hanya beberapa minit berjalan kaki, anda boleh sampai ke Karnival Karangkraf!

Ayuh, selama tiga hari itu (dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam), kita sama-sama ‘Kenduri Buku dan Mengunyah Ilmu’ di Karnival Karangkraf!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

Isnin, 16 Januari 2012

Merah Cinta Kita untuk ADILA

Dah nak masuk minggu ketiga sekolah buka semula. Barulah saya dapat jumpa dengannya. Itu pun kerana dia cuti hujung minggu. Kami bersarapan di Restoran UK (Bandar Baru Bangi), yang terkenal kerana enak sup urat ketingnya. Adik-adiknya yang lain (Huwaida dan Mawaddah) ikut sekali dengan ayah kesayangan mereka.

Seronok melihat telatah si kecil molek Huwaida dan Mawaddah bermain dengan seekor anak kucing berbulu putih yang comel parasnya, nampak siap-sedia mahu meloncat di atas meja jika dibenarkan!

NurAdila ini, anak sulung sahabat saya Cikgu Idris. Sedang mengaji dalam tingkatan satu di Maahad Hamidiah, bersebelahan Kajang Country Heights. Cikgu Idris beritau, sewaktu di sekolah rendah lagi anaknya ini gemar sungguh baca novel. Sebulan sekali mesti ada novel baru yang dikhatamnya. Jika tidak dibeli sendiri, ada saja dibawa pulang dari sekolah. Pinjam daripada kawan-kawan yang punyai kegemaran yang serupa.
Saya fikir, kerana rajin membaca sejak tadika lagi inilah, Nur Adila miliki kebolehan bercerita. Belum masuk darjah satu lagi, biasa sangat gadis manis ini mewakili tadikanya ke pertandingan bercerita.

Bukan saja rajin membaca, si genit ini aktif dalam sukan hoki. Dia terpilih menyertai Pasukan Hoki Elit sekolahnya, dan pernah menyertai beberapa pertandingan di serata negeri di Semenanjung. Posisinya, penyerang. Wow, kaki novel yang manis sekali orangnya ini, rupa-rupanya punyai sisi yang agresif, pak! Jangan berani usik-usik, nanti tak cukup padang nak lari, dikejar dengan kayu hoki!

Aktif sukan tapi tetap rajin membaca, dan telaah pelajaran. Walaupun tidak masuk mana-mana tuisyen, pencapaian akademiknya hebat. 5A dalam UPSR tahun lepas.
Hadiahnya? Istimewa sekali. Lima naskhah lengkap siri Merah Cinta Kita!

Permisi. Bisa ketemu lagi.


Foto 1: Adila diapit adik-adiknya Huwaida dan Mawaddah, bersama Cikgu Idris.
foto 2: hadiah istimewa daripada ayahnya kerana cemerlang UPSR!