Karya

Karya

Isnin, 8 Oktober 2012

BERTEMU MR BEAN DI DALAM SURAU!

Pertengahan minggu sudah saya kelik Ganu. Naik bas Ekspres Sani. Selesa guna servis ini kerana mudah akses dari rumah. Jaraknya dekat saja. Kira-kira lima belas minit saja ke Hentian Kajang. Mungkin tak sempat habis rokok sebatang jika disedut santai. Entahlah. Ukuran waktu ikut puntung ini saya tak tahu. Saya tak pernah hisap rokok, dan tidak tahu banyak perkara mengenainya.

Bas ekspres sekarang molek-molek dan selesa sungguh. Berbaloi dengan tambangnya. Ada pulak kusyen sorang-sorang. Lagi lega. Nak buat apa pun - ketik pad telefon, dengar radio, merayau alam siber guna galaxy tab, atau nak lelap awal dan berdengkur ikut gaya semberono - tidak akan ganggu sesiapa.

Pengalaman naik bas ulang-alik dari kampung ke Kotaraya KL sejak zaman sekolah di Alam Shah, Cheras hingga habis mengaji di kampus UM, beri pengajaran yang banyak. Satu yang terpenting ialah seboleh-bolehnya beli tiket kusyen solo. Kalau dapat tiket kusyen berkembar, banyaklah karenahnya nanti, terutamanya perjalanan malam. Jika 'pasangan sebelah' saiznya besar dan lebar daripada insan biasa, bukan saja jadi sukar nak tidur, nak keluar masuk pun jadi masalah jugak.

Malam itu, di barisan depan sebelah kanan duduk seorang ibu muda yang mendukung anak belum setahun usianya, bersebelahan seorang jejaka. Dalam hati sudah dapat meneka, sang pemuda akan berdepan dengan banyak masalah menempuh lapan jam kembara bas ke Darul Iman. Apa tidaknya, belum pun bas bertolak, si pemuda yang nampak budiman itu sudah mula terpaksa membantu wanita di sebelahnya. Sewaktu si ibu muda membancuh susu, sang pemuda yang berkumis jarang-jarang itu yang tolong dukung anaknya. Sambil mengoncang botol anaknya, si ibu menghimpit ke jendela, melambai-lambai ke arah seseorang di luar bas. Sesekali diagah anaknya seraya disebut, "Daddy tak boleh ikut. Baby jangan nangis. Baby mesti baik-baik dengan uncle ni!"

Ralit jugak diperhatikan gelagat sepasang penumpang yang baru saling mengenali ketika di dalam bas inilah. Sepanjang perjalanan ke Hentian Putra pula, beberapa kali jugaklah si pemuda tolong dukung anak kecil itu kerana sang ibu banyak pula perkara yang mahu dilakukannya. Termasuklah menukar pakaian anaknya dengan yang lebih tebal, menyusun semula lampin ke dalam beg yang lebih kecil, kembali mengemaskan ikatan ekor kudanya, dan tidak lupa bergayut pula di telefon!

Sewaktu bas berhenti di Hentian Putra, kira-kira sepuluh penumpang naik lagi. Seorang lelaki veteran duduk di kusyen solo sebaris dengan ibu muda dan 'pasangannya' pemuda berkumis nipis. Sebaik lelaki yang nampak veteran itu santai di kesyennya, pemuda kumis nipis bangun dan menyapa dengan sopan. Beberapa minit kemudian, si ibu muda itu serta anaknya bertukar tempat dengan lelaki veteran yang baik hati dan memahami.

Sebaik selesai 'kerja pindah' barangan si ibu dan anaknya ke kusyen lain, pemuda kumis nipis itu pun berlunjur di tempatnya. Selepas menyapu muka dengan kedua-dua belah tangan, dia santai dan memejamkan mata. Barangkali lega sangat tu!

Setengah jam kemudian, bas belum bergerak. Pemandu sudah membebel. Seorang penumpang yang naik d Hentian Kajang belum kembali. Ikut pemandu itu, dia ke tandas. Sewaktu penumpang yang ditunggu sudah pun diam di tempatnya, terdengar soksek-soksek dua penumpang sebaris dengan saya. Rupa-rupanya penumpang yang dikatakan mahu ke tandas, sudah lajak pula melakukan solat Isyak di surau Hentian Putra! Ugh, kalau ada sepuluh macam ini, tergendala besar perjalanan malam itu.

Mungkin dia tidak biasa kembara dengan bas ekspres. Mungkin dia tidak tahu, sewaktu bas berhenti di R&R Temerloh bisa saja dibereskan kewajipan itu. Mungkin juga dia seorang yang amalkan tunai solat awal waktu. Sebab itu tidak dipedulikannya, asal ada ruang terus solat walaupun menyebabkan perjalanan tergendala. Mungkin betul jugak tindakannya itu, manalah tahu dia tidak terjaga sewaktu bas berhenti di tengah-tengah malam di R&R Temerloh, maka terlepaslah pula solatnya yang wajib!

Mujurnya, saya sudah menyelesaikan tuntutan yang wajib itu di Hentian Kajang lagi. Saya sampai 30 minit sebelum jam sembilan. Sudah lima belas minit masuk waktu Isyak. Jadinya, saya terus saja menunaikannya di surau stesen bas itu.

Sewaktu masuk, ada seorang lelaki berkopiah dan berjubah. Sedang ralit dia dengan telefonnya. Barangkali banyak sms mahu dihantarkan. Mungkin dia guna telefon pintar, lantas ralit pulak merayau-rayau alam siber. Saya berikan salam dia tidak menyahut. Kepala tidak diangkat. Seolah-olah saya yang berdiri dalam jarak satu meter daripadanya itu tidak wujud pun. Sungguhlah dia sudah hanyut di alam siber!

Ketika tahiyat akhir, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Kuat jugak. Nadanya dendangan Maheer Zain. Cepat dia menjawab. MasyaAllah. Suaranya lantang amat. Saya kira, boleh sahaja melantun ke luar beberapa meter. Hingga saya selesai berdoa pun, dan mula beredar, lelaki berkopiah dan berjubah itu masih belum habis sembangnya. Tidak berpaling pun dia kepada saya yang baru selesai solat. Dia bercakap seolah-olah tiada orang lain di dalam surau itu. Dia bercakap seolah-olah dia santai di kerusi rehat di laman rumahnya sendiri!

Sambil mengetatkan tali sandal, saya terpandang papan notis yang tertampal betul-betul di atas pintu surau.

Begini ditulis amaran di papan kecil itu: TIDAK DIBENARKAN MEMBAWA MASUK BEG, KASUT DAN MAKANAN.

Anehnya, di luar surau tiada jaga berkawal. Kabinet berkunci untuk simpan beg jugak tiada. Lantas bagaimana mahu ditinggalkan beg di luar surau itu? Tidak mungkinkah nantinya amat terdedah kepada liar mata maling? Tidakkah jadi habuan mudah kepada mana-mana bakal pencuri yang melintasi kawasan yang agak gelap itu?

Peliknya peraturan ini. Tapi lebih pelik lagi pengalaman bertemu lelaki berkopiah ketika solat di dalam surau tadinya. Lelaki yang lantang bercakap melalui telefon ketika orang lain sedang menunaikan solat fardhu.

Kalau di gereja, ketika orang lain kusyuk beribadat di situ, hanya seorang saja akan buat kacau. Tidak peduli gangguan kepada orang lain, dan tidak menghormati tempat ibadat. Tidak lain, itulah Mr Bean yang popular itu.

Jadinya, lelaki berkopiah dan berjubah yang lantang bersembang guna telefon ketika orang lain tunai solat fardhu di sebelahnya, serupalah dengan watak Mr Bean itu juga.

Ugh, malangnya saya, bertemu Mr Bean ketika beribadat di dalam sebuah surau!

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.

______________________________________

foto 1:
bas ekspres di stesen MPKT, Darul Iman. Kalau bertolak malam dari Hentian Kajang, jam lima pagi sudah tiba di sini.
foto 2: surau di Hentian Kajang. Waktu kita tak solat, Mr Bean tak ada pulak!









Selasa, 2 Oktober 2012

SYAITAN YANG MENYAPA DI WAKTU SUBUH!



Sabtu. Dua hari sebelum berakhir September.
Saya dan Yang Tersayang terbang ke Kepala Batas. Menghadiri kenduri kahwin seorang sahabat di Alor Setar.

Atas perkiraan lojistik, jam lima pagi kami sudah bertolak dari Bangi. Sampai di LCCT ngam-ngam azan Subuh kedengaran daripada IKIM fm. Kami terus daftar masuk di mesin automatik. Ketika sudah melepasi mesin imbas, saya diminta berundur. Kena buat sekali lagi. Tali pinggang mesti ditanggalkan. Dibubuh melingkar dalam kotak di sisi telefon. Entah apalah yang mahu dicari. Tak mungkin boleh disembunyikan apa-apa dalam tali pinggang yang tebalnya hanya 3mm. Nipis saja. Tak mungkin boleh diselitkan dadah atau senjata apa-apa.

Entahlah, saya tidak nampak apa lojiknya perlu ditanggalkan pengetat seluar itu. Jika saya memakai tali pinggang Haji, barulah rasa masuk akal peraturan itu. Sebab tali pinggang hijau yang banyak poket itu boleh disusup macam-macam di dalamnya.
Rasa-rasanya lebih baik diharamkan terus penumpang memakai apa-apa jenis tali pinggang pun. Pihak penguasa kena sedar. Banyak bahayanya. Boleh dijadikan senjata. Besi pencucuk di kepalanya itu tajam jugak. Boleh ditikam ke leher pramugari dan juruterbang. Kepalanya pula kadangkala lebar, kasar dan solid. Jika tali pinggang itu digunakan untuk menikam, memukul dan menjerut, memang berkesan.

Kepada para penguasa di lapangan terbang, siang-siang lagi perlulah diumumkan, haram dipakai tali pinggang dalam kapal terbang! Kena bubuh dalam bagasi yang masuk perut kapal terbang saja.

Jika tidak, peraturan tanggal tali pinggang depan ramai penumpang lain, boleh membawa malu. Malang boleh menimpa. Seluar yang longgar boleh terlondeh kerana tiada tali pinggang!

Sewaktu menyusup dan mengetatkan semula tali pinggang di seluar, giliran Yang Tersayang pula ditegur. Hairan saya. Tidaklah dia memakai tali pinggang. Rupa-rupanya, polis wanita yang duduk depan skrin beritau ada pisau lipat di dalam tas tangannya.
Polis itu mengambil sesuatu dari rak. Dia mengeluarkan sebilah pisau lipat pelbagai guna warna kemerahan. Digoyang-goyangkannya sambil bersuara tegas, bermuka serius.

Katanya, “Ada pisau macam ini! Buka handbag!”

Terpinga-pinga jugak dibuatnya. Terasa semua orang yang ada di situ memandang ke arah kami ketika Yang Tersayang mengeluarkan satu persatu barangan daripada tas tangan.
Memang sah tidak ada senjata yang dicari itu. Tapi polis wanita tadi tak puas hati. “Saya gerenti ada!” Dengan muka bertambah tahap seriusnya dia bangkit. Dimasukkan semula tas tangan warna hijau daun pisang itu di konveyer mesin imbas. Kami sama-sama menjenguk. Tiada pun imej macam pisau lipat pelbagai guna yang disangsikan itu.

Polis wanita yang sudah mencantum itu mengalih-ngalih pula segala barangan yang sudah selerak di atas meja. Dia segera mengangkat objek putih bentuknya macam tumb-drive. Sebaik dicabutnya bahagian depan, cepat tersembul kepingan kecil warna hitam. Terkejut sungguh dia. Terloncat istighfar daripada bibirnya. Objek macam tumb-drive itulah yang sebenarnya dia cari. Sekali imbas memang macam bentuk pisau lipat.

Yang Tersayang bersuara perlahan, “Itu stamp pad saya. Cop rasmi pejabat.”

Polis wanita itu tidak berkata apa-apa. Dia buat-buat tidak tahu saja ketika segala barangan kecil besar yang diselerakkan tadi kembali ke dalam tas tangan. Malu sebab tersilap tuduh atau memang tabiatnya macam itu, tidaklah saya pasti.

Cuma yang pastinya, inilah budi bahasa sebahagian orang kita. Tersalah tuduh orang, tidak pula mahu menghulurkan kemaafan. Bukan saja tuduhan melulu kerana salah tengok skrin, malahan sudah menjadikan malu pula pada empunya diri yang dituduh.

Sebab mahu segera ke surau, dan penumpang yang tersekat di lorong kami itu sudah panjang, tidak jadi saya mahu bertanya polis wanita itu ke mana lesapnya pisau lipat yang dia yakin benar ada di dalam tas tangan Yang Tersayang. Mahu jugak saya minta kepastian. Mahu jugak rasanya nak malukannya seperti dia sudah malukan kami. Mahu saya tinggikan suara agar semua orang di situ bisa mendengarnya. Biar merah padam mukanya.

Tapi niat tak baik itu terbatal saja. Kedengaran bisikan yang mendesak agar segera ke surau saja. Yang Tersayang menarik pergelangan tangan saya. Dia mahu saya beredar.

Saya tahu maksudnya, walaupun tidak dizahirkan.

Sudah setengah jam masuk Subuh. Tak guna masa yang sangat berharga itu disia-siakan untuk memberikan malu kepada siapa-siapa. Tak ada sebiji zarah pun manfaat membalas perbuatan tidak sopan itu. Jangan dilayan nafsu amarah. Jangan dibiar syaitan terus membisik. Usah dihirau sapaan iblis itu. Halau saja syaitan yang datang mengganggu di waktu Subuh!

Lebih baik segera solat. Kemudian istighfar, takbir dan tahmid kepada Yang Maha Esa. Kita jangan terlalai. Kita jangan jadi nanar kerana kelakuan tidak sopan orang lain. Musibah itu sangat kecil jika dibandingkan dengan nikmat yang amat banyak dikurniakan Yang Maha Berkuasa kepada kita.

Maka segera terlintas ayat-ayat daripada surah al-Kautsar.

“Sesungguhnya engkau telah dikurniakan nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat dan laksanakan korban. Sesungguhnya orang yang membencimu, merekalah yang terputus (daripada nikmat Tuhan).” (maksud ayat 1-3).

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.