Karya

Karya

Isnin, 18 Februari 2013

MAMA, BOLEH SAYA KAHWIN DI ENGLAND?



Pagi hujung minggu yang baru berlalu, saya dijemput hadir ke rumah seorang waris kerana urusan besar. Ada jejaka menyatakan hasrat mahu hantar ‘agen perisik’ ke rumahnya! Lantas saya dipelawa menyertai pertemuan dengan ‘perisik’ berkenaan.
Ketika perbincangan berlangsung (bertukar-tukar maklumat, bukan dokumen!), diungkit tentang majlis susulan. Maka timbul pula soal kaedah melaksanakannya. Mahu ikut ‘adat atau biasa-biasa’ saja.
Hakikatnya, inilah citra hidup bermasyarakat dalam kemakmuran dan keharmonian. Bisa bangat dua famili merangka jadual menyempurnakan ‘pembinaan sebuah masjid’ tanpa kegawatan ekoran hambatan-hambatan ekonomi, sosial dan politik.
Makmur dan harmoni sekali. Apabila sang jejaka menyuarakan hasrat kepada ibu bapa, dan isyarat di pihak sang gadis betapa ‘jalannya tenteram’, maka ‘agen perisik’ pun dibebankan mandat untuk mempastikan ‘jadinya’ saja!
Sempurna. Segalanya lancar dengan kehendak-Nya.
Malamnya, memori menjalar jauh. Membawa nostalgia ketika di perantauan. Menimbulkan peristiwa lama bermacam perkara. Termasuk yang istimewa tentang ‘usaha bina masjid’. Di negara Orang Putih!
Apa reaksi ibu bapa di Tanah Bonda, jika suatu hari (dalam makmur dan damai) menerima permintaan daripada anak gadisnya: Ibu, boleh saya kawin di sini saja? Di England ni?    
Hasrat yang boleh dinyatakan melalui pelbagai cara - sms, fb, telefon, emel, skype – mungkin sangat mengejutkan ibu bapa.
Sebenarnya, tidak mudah untuk mengawal, dan mengawasi anak-anak jika sudah tinggal berjauhan begitu. Hendak terbang dengan segera mungkin tidak termampu kerana hambatan kewangan, masa, kerja dan jarak. Tidak terdaya emak ayah mahu meluahkan rasa marah-marah tak tentu fasal, mahu menghalangi perkahwinan itu kerana gadis itu boleh berkahwin di sana, dan terus merajuk tidak pulang-pulang lagi ke Malaysia kerana kecil hati. Ibu bapa pun akan dirundung malang, dan menghadapi tekanan berat jika anak gadis itu yang sulung pula!
Mari kita ambil iktibar daripada satu kisah yang berlaku di kalangan pemuda-pemudi Melayu yang studi dan bekerja di England.
(nota: kerana tidak mahu melukai sesiapa dan mahu dielakkan hal sensitif, maka nama-nama watak ditukar dan lokasi tidak dinyatakannya.)
Peristiwa ini berlaku di Musim Panas, tahun 2002.
Samad yang berbaju tebal dan memakai tutup kepala hingga menudungi telinganya mengetuk pintu. Walapun sekarang Musim Panas, dinginnya tetap terasa. Panas yang dingin sekali! Tidak tahan  ‘kulit Melayu’ digigit sejuk persekitaran. Beberapa minit kemudian, seorang lelaki tinggi sederhana, badannya masih steady (usia hampir empat puluh, tidah terbeban dengan tayar spare di pinggang), membuka pintu. Selepas bersalaman mereka beredar ke bilik tamu.
“Pak Jalil, saya datang bawak hajat besar. Minggu depan, Amy dan Junaidy pelan nak pindah rumah, duduk sekali...”
Tak jadi meneguk kopi panas, ternganga Pak Jalil. Terus dia mencelah, “Budak-budak ni dah sesat ke? Belum kahwin dah nak duduk sekali?”
Akhirnya, setelah menerima penjelasan daripada Samad, barulah Pak Jalil mengurut janggut, menyimpulkan senyum. Samad - yang dianggap sebagai ketua tidak rasmi di kalangan pemuda-pemudi Melayu di kawasan majoriti dihuni Pakistani.
Rupa-rupanya, Amy dan Junaidy sudah pelan untuk berkahwin dalam tempoh seminggu. Mengikut keterangan Samad, si gadis itu sudah memaklumkan kepada ibu bapanya, yang kononnya sudah pun memberikan lampu hijau.
Pak Jalil yang menghuni di hujung blok rumah teres dua tingkat itu masih ragu-ragu. Dia meminta Samad menjemput pasangan yang mahu berumahtangga itu singgah di rumahnya dalam kadar segera.
Esoknya, apabila berbual dengan Amy dan Junaidy, barulah terbuka rahsia. Ayah dan ibu si gadis sebenarnya tidak merestui perkahwinan itu. Mereka mahu anak gadisnya pulang ke tanahair jika benar-benar mahu berkahwin dengan pemuda pilihan hatinya – Junaidy, yang mengaji dalam bidang yang serupa, masuk universiti yang sama dengannya. Dikatakan, mereka sudah ‘berkawan’ sejak di sekolah menengah lagi. Ibu bapa kedua-dua belah pihak saling mengetahui hubungan anak-anak mereka. 
Sebagai jalan keluar, Pak Jalil menelefon ayah Amy yang tinggal di Lembah Kelang. Setelah berbual panjang dan memahami kedudukan anak-anak mereka, akhirnya, ayah Amy bersetuju mewakilkan wali kepada Pak Jalil untuk menikahkan Amy dengan Junaidy.
Pak Jalil yang sedang mengaji PhD, sudah empat tahun (semester akhir) bersama keluarganya, tinggal di kawasan perumahan berkenaan. Dia bukan sahaja disegani oleh pemuda-pemudi Malaysia yang studi atau bekerja di bandar berhampiran, lima keluarga Melayu lain yang tinggal di situ mengangkat dia sebagai ‘penghulu’ mereka. Penghulu kepada ‘masyarakat kecil’ Melayu ini juga mempunyai kenalan di kalangan komuniti Pakistan. Malahan hubungannya sangat baik dengan imam masjid di kawasan itu.
Atas keperibadian itu, tidak sukar Pak Jalil mengaturkan majlis pernikahan di sebuah masjid yang sederhana besar. Malang sedikit, pak imam yang jadi jurunikah tidak membenar sebarang gambar diambil ketika majlis berkenaan diadakan di dalam ‘masjidnya’. Aapbila diungkit soalan. Jawab Tok Imam singkat, “Haram!”
Selesai majlis itu, dua hari kemudian kenduri sederhana diadakan di rumah Pak Jalil. Meriah sekali. Bahkan sempat pula komuniti kecil Melayu di situ ‘mendirikan’ sebuah pelamin untuk persandingan pengantin!
Atas usaha Pak Jalil juga, urusan pendaftaran pernikahan itu dengan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) di Kotaraya London tidak berdepan dengan sebarang masalah. Walaupun ikut peraturan yang sepatutnya dokumen (termasuk mohon permisi) dihantar ke MSD sebelum pernikahan dilangsungkan.
Enam bulan selepas pernikahan itu, ibu Amy mengunjungi pasangan penganti baru itu. Datang dia bersama birasnya, ibu Junaidy! Tiada masalah langsung. Gembira sungguh kedua-duanya bertemu menantu.
Enam bulan kemudian Pak Jalil kembali ke Malaysia. Berjaya dia dalam Phd-nya.
Dua bulan selepas itu, Amy dan Junaidy pula kembali ke Tanah Bonda. Dia mendapat pekerjaan di sebuah syarikat multi-media. Manakala Junaidy menjadi tutor di sebuah kolej swasta. Kenduri diadakan seminggu selepas mereka jejak kaki di tanahair.
Ramai sahabat-handai dan waris-warah yang datang berkunjung.
Sewaktu bersalaman dengan Junaidy yang segak dalam pakaian songket hasil tenunan Terengganu, dan tersisip keris di pinggang, Pak Jalil sempat mengusik. Sambil ketawa kecil lelaki berjanggut sejemput itu, yang kini sudah miliki gelaran ‘doktor’ itu  muncungkan mulutnya kea rah Amy. “Wah, sudah bertambah saiz badan ni! Bunting kelamin ke? Bila dijangka tarikhnya?”
Sambil mengusap perlahan perutnya yang memboyot itu, tersipu-sipu Amy menjawab, “Err...empat bulan lagi!” 
Begitu kisahnya. Asal ‘sebuah masjid’ terbina jauh di perantauan. Tanpa kehadiran ibu bapa kedua-dua pihak. Tiada pula waris-warah terdekat. Tidak ada sebarang ‘risikan’ menjadi pemula. Malahan majlis nikahnya pula tidak ada sebarang rakaman!
Suatu suasana yang ‘sukar’ terjadi di Tanah Bonda yang makmur dan aman damai ini. Kecuali ‘masjid terbina’ secara senyap-senyap dengan menaiki perahu menyeberangi Sungai Golok!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.                                    

Khamis, 14 Februari 2013

RUPA-RUPANYA SAHABATKU KEPALA GANGSTER!




Dah terlalu lama tak jumpa. Jadi tak relevan lagi mahu dihitung total tahunnya. 

Lepas habis SPM ada ketemu dua tiga kali di Bandar Darul Iman. Waktu sambung belajar di tingkatan enam di Bandar Tun Razak, tiada berhubungan lagi. Dengar cerita dia masuk UTM. Tiada kepastian sebenarnya. 

Begitu jugak selama saya ngaji di Kampus Lembah Pantai. Terputus terus. Tiada berita apa-apa. Tahun 80-an, mana ada fb, sms atau apa-apaan alat komunikasi yang canggih-manggih macam hari ini.

Ada jugak bertanya khabar kepada teman-teman yang lain. Ingat jugak kepada dia. Kolah memori tidak kering, dan tidak tiris.  Tidak  terhapus ingatan kepadanya.

Tidak mungkin. Kerana dia seorang daripada ‘sahabat mi maggi’ pada zaman remaja di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Berkocak kolah memori. Riaknya  membawakan lintasan kenangan yang segar amat.

Waktu itu, pertengahan tahun tujuh puluhan. Kami baru tingkatan satu. Budak-budak kampung yang masih sangat baru dengan persekitaran hidup di SBP.

Waktu itu juga, mi segera (yang terkenal ialah cap maggi) jadi makanan amat popular di asrama. 

Sudah jadi tabiat, kalau kami (Aleng, Usin & Udin) teringin nak makan ‘maggi’ tempat ‘memasak’ ialah di tingkat paling atas asrama lelaki. Kalau tak silap saya tingkat tiga. Sudah terlupa berapa tingginya blok itu. 

Di tingkat paling atas itu, ada beberapa dormitari yang tiada penghuni. Tapi digunakan sebagai stor katil dan tilam yang berlebihan atau rosak.

Masak (sebenarnya rebus!) mi maggi mudah saja. Didih air dalam baldi, guna heater yang boleh disangkut di birainya. Lepas tu, tuang air mendidih ke dalam tiga mangkuk berasingan. Tiga minit tunggu sudah tersedia untuk dimakan mi segera yang direndam perisa kari. Slurrp! Ugh, sedap bukan main makan mi maggi panas-panas!

Masih kuat dalam kolah memori. Baldi kecil warna merah kepunyaan Udin, yang digunakan untuk rebus mi maggi itu, pecah akhirnya. Kerana gurau-senda sesama rakan-rakan, baldi itu terjatuh dari tingkat satu, letaknya domitari kami. 

Pecah dan tidak berganti. Lepas itu, kami pun tak naik lagi ke tingkat paling atas asrama lelaki. Tidak punya bajet untuk beli baldi baru. Tak tergamak pulak nak guna baldi besar yang sedia ada. Itu digunakan untuk rendam macam-macam pakaian, yang akan dicuci  di hujung minggu.  Termasuklah stokin, tuala, uniform, seluar dalam, kasut, baju, cadar, sampul bantal, dan pelikat. Jadi tak tergamak nak rebus mi maggi dalam baldi serba guna itu!

Pertengahan Januari lepas saya balik kampung. Hadir dua kenduri anak saudara. Pertama pernikahan, keduanya pertunangan. Anak-anak kakak yang tengah, dan abang yang sulung.

yang hensem, yang gedebe & yang selamba!
Selesai kenduri, petangnya terasa nak telefon Usin. Kemudian telefon Tom pula. Tengah hari itu, kami jumpa di Pantai Batu Buruk.  Zali dan Zuki mari sekali. Usin yang ajak. Tengah makan, kami terkejut. Dia muncul dengan seorang rakannya. Tanpa diundang. Ditakdirkan dia melintas di situ ketika kami sudah di penghujung makan dan minum. 

Ini sudah takdir-Nya. ‘Sahabat Mi Maggi’ bertemu di Pantai Batu Buruk setelah begitu lama tidak bersalaman dan bergurau-senda.

Dalam gurau-senda rakan-rakan lain yang hadir, terbit cerita, dia kini ‘turun naik’ mahkamah. Jadi ‘Orang Kena Tuduh’ dalam suatu cubaan membunuh. Dialah yang dituduh sebagai dalangnya. Dituduh sebagai ketua kepada gengnya yang kena tangkap jugak!

Ketika ditanya betul tidaknya, dia membalas pendek.
“Ambik, kamu baca sendiri!” Diunjukkan telefon canggih yang memaparkan berita sensasi. Laporan tentang suatu ‘jenayah peras-ugut’ yang dikaitkan dengan dirinya!

Ditambahnya sikit info lagi.
Katanya, “Hidup di penjara aku tak heran doh! Hari tu, sebelum masuk court, sembilan hari aku kena tahan. Kalau kena sumbat kat situ lagi, tak rasa apa-apa doh!”

Ugh, sudah lama benar tak jumpa. Betul-betul sudah sangat berubah sahabat saya ini. Tak sangka, udah jadi kepala gangster dia!

Kerana tergesa-gesa mahu segera pulang ke Lembah Kelang (dengan kereta petang itu jugak), maka terlupa pulak mahu bertanya kepada dia: "masa kena tahan, kamu makan maggi jugak ke?" 

Tak terkilan apa-apa sebenarnya. Jika balik kampung lagi, saya sudah tahu di mana dan bagaimana mahu mencari dia! Teringin benar nak tahu kisah-kisahnya selama puluhan tahun tak ketemu itu.Mungkin ada banyak yang sensasi dan mengejutkan. 

Mahu benar-benar tahu, bagaimana 'sahabat mi maggi' boleh bertukar jadi seorang yang 'gedebe seghoti' ketika usia sudah cecah separuh abad. 

Perbicaraan masih berjalan. Hukuman jatuh entah bila.

Yang betul tidak semestinya benar; yang baik tidak semestinya penawar; yang salah tidak semestinya jahat!     

Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.