Karya

Karya

Khamis, 20 Mei 2010

“Saya dan Dokumentari”

Selama lima hari (8 hingga 12 Mac lepas) saya menghadiri Bengkel Skrip Dokumentari di Finas. Ini merupakan kali yang pertama saya menghadiri kursus penulisan skrip secara formal dan diajar pula oleh seorang sarjana tulen dalam bidang perfileman. Azrain Ariffin - orang muda dalam dadanya sarat ilmu terkandung, lulusan dari sekolah filem di Kotaraya London. Sebelum ini, saya pernah menghadiri kursus penerbitan video selama seminggu di bawah kendalian Hamid Ghani, seorang pengarah dan penerbit drama tahun 90-an. Kerana kemudahan studio suntingan dan audio serta kelengkapan penggambaran yang mencukupi, maka kursus itu diadakan sepenuhnya di kampus UUM (Sintok). Namun dalam masa seminggu itu, aspek penulisan skrin atau skrip tidak ditekankan. Tumpuan lebih kepada aspek teknikal dan perkenalan dengan produksi dokumentari secara umum. Hinggakan dalam waktu yang singkat dan jadual yang ketat kami (kira-kira 14 orang) diajar banyak perkara termasuk mengenal kamera (waktu itu superVHS), penggambaran di lapangan, kerja ‘masuk suara’ dan aspek penyuntingan. Yang paling saya tidak lupa, ketika praktikal di sekitar Alor Setar. Sebaik kamera elok bertenggek di atas tripod, barulah perasan grup kami terlupa membawa view finder. Rasanya malu sungguh kepada Hamid Ghani (yang menempelak kami kerana tidak buat senarai semak sebelum berangkat ke lapangan). Oleh sebab akur dengan kesalahan sendiri, dan tidak mahu ketinggalan dengan grup lain, seorang daripada kami sukarela memandu ke Sintok selama sejam pergi balik semata-mata mengambil sebuah alat kecil tetapi sangat penting - view finder yang tertinggal itu.

Hasil daripada bengkel itu, saya dan beberapa rakan baik termasuk Ahmad Jelani Shaari (sekarang prof madya mengajar Bahasa Inggeris), dan Azmi Rahman (sarjana yang mengkaji pantun dan merupakan penyair yang punyai beberapa antologi, kini aktif berkarya dalam e-sastera) telah berpakat menubuhkan unit video di Sekolah Bahasa dan Pemikiran Saintifik (SBPS). Hasilnya, kami telah berjaya menerbitkan video dokumentari durasi 15 minit tentang SBPS. Skrip VO saya yang hasilkan. Caranya dengan berulang kali melihat visual yang terhasil, saya reka VO yang sesuai. Untuk suara latar, kami gunakan khidmat (tentu berbayar!) seorang juruhebah RTM Alor Setar. Itu merupakan produksi video dokumentari pertama dihasilkan oleh sebuah fakulti (sekolah) di UUM pada waktu itu! Kos pembikinan keseluruhannya RM10 ribu. Kerja editing on-line / off-line dan visual effect kami bikin di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Kira-kira empat hari di Kotaraya, kami berlima (saya, Sharif Zulkifli, Marzuki, Ahmad Jelani dan seorang drebar universiti) tinggal di KL Internasional Hotel, Chow Kit. Walaupun saya dan Ahmad Jelani layak untuk mendapat sebilik seorang, kerana mahu jimat belanja, kami menyewa dua bilik untuk lima orang dan tidak mengira soal status jawatan (Sharif adalah juruteknik, dan Marzuki jurufoto). Apabila ditayangkan untuk previu ketika mesyuarat fakulti, grup pembikin video itu mendapat tepukan gemuruh! Itu kisah kira-kira 17 belas tahun dahulu. Pada waktu itu, grup kami dianggap paling tahu tentang pembikinan video dokumentari. Kami rasa bangga sungguh kerana kerja keras selama kira-kira tiga bulan mendapat penghargaan tinggi daripada rakan sejawat.

Apabila saya menghadiri bengkel di FINAS dua bulan lepas, barulah terfikir betapa grup kami yang ‘disangka pandai bikin video itu’ rupa-rupanya sekumpulan orang-orang yang tau ‘sedikit lebih’ di kalangan orang-orang yang tidak tahu. Ringkas, yang ‘sedikit cerdik di kalangan orang-orang jahil’! Barangkali itulah sebabnya pada waktu itu saya tidak berupaya pergi jauh dan tidak berminat tinggi dalam pembikinan dokumentari. Bekerja pula tidak bersandarkan asas ilmu yang kukuh. Saya tidak tahu pun apa itu story out-line, dan treatment. Jika ditanya tentang Act1, Act2, Act3 maka akan gigitlah kuku sampai sumbing! Amat malang lagi kerana jenis dokumentari apa yang terhasil pun saya tidak tahu kategorinya! Barangkali itu juga sebabnya video SBPS merupakan yang pertama dan terakhir penanda penglibatan saya dalam pembikinan dokumentari. Walaupun begitu, selepas bengkel di FINAS bulan Mac lepas, rasa gian mahu terlibat dalam bikin dokumentari datang kembali!

(Nota: kali ini, saya pos Salam dari Badakhsan, catatan pengalaman-pengamatan ketika di UK 2001/2002. Catatan ini mempunyai kaitan dengan sebuah cerpen yang pernah saya karang ketika studi di Universiti Malaya)

4. SALAM DARI BADAKHSAN (England 2001/2002)

“Salam dari Badakhsan” tiba-tiba menerjah membawa memori ke zaman ketika tengah mengaji di kampus Lembah Pantai. Terbuka satu demi satu laman daripada album nostalgia zaman anak muda trang tang tang yang mengimbaukan pahit-manis, suka-duka, jerit-payah, senang-susah selama tiga tahun bergelar mahasiswa. Ilmu tertimba, pengalaman terkaya dan tertambahlah erti dan faham tentang makna kehidupan hasil kuliah-tutorial sang professor, dicampur aduk gelumang hidup masyarakat menara gading kampus tertua di Tanah Pusaka. “Salam dari Badakhsan” timbul dari pengalaman dan pengetahuan yang tertimba semasa di menara gading itu, yang tercerna bersama pengamatan terhadap kehidupan persekitaran. Ia tercetus daripada pertemuan saya dengan seorang mahasiswa UIA pada awal tahun 1980-an. Pertemuan itu bukanlah disengajakan, ia terjadi atas kekerapan saya mengunjungi kampus UIA di Seksyen 16, Petaling Jaya. Kunjungan yang agak kerap ke situ kerana kebetulan pula adik saya, Aweng, mengaji undang-undang di UIA.

Dalam acap kali kunjungan itulah, saya bertemu dengan Sayeed, mahasiswa UIA yang kebetulan sekali rakan sebilik Aweng. Sayeed tanah asalnya Badakhsan, sebuah pekan di Afghanistan. Orangnya tinggi kacak, hidung mancung, berkumis nipis, jambang keperangan tumbuh jarang-jarang - nampak sekali imbas tiada cacat celanya. Tapi pada kedua-dua belah tangannya terbawa bukti perit dan kejamnya perang: sebahagian besar jari-jemarinya hilang diragut ledakan bom tangan. Sayeed, sebahagian daripada cerita luka akibat kerakusan sebuah regim yang dianggap Kuasa Besar waktu itu. Parut di tangannya itu adalah simbol penderitaan kehidupannya dan masyarakatnya, yang tidak terpadam dan tiada redanya, bahkan mungkin akan menjadi suatu kelumrahan hidup mereka, yang akhirnya menjadikan mereka seperti tidak berasa apa-apa lagi apabila “luka dan bisa kubawa berlari, hingga hilang pedih dan peri” (Chairil Anwar; ‘Binatang Jalang’).

“Salam dari Badakhsan” merupakan cerpen yang saya hasilkan sebagai dedikasi kepada mujahidin dari negara asal Sayeed, dan dialah yang menjadi wiranya. Tajuk yang sama jugalah diangkat menjadi judul antologi cerpen yang terkarang sebagai tugasan kursus tahun akhir saya di menara gading.

Saya pernah menghantarkan cerpen berkenaan kepada majalah Dewan Masyarakat, malangnya ditolak oleh editornya dengan alasan tidak boleh disiarkan kerana cerpen berkenaan ‘mewirakan orang luar’ dan tidak sesuai bertempat dalam majalah Kebangsaan. Saya akur dengan alasan editor berkenaan, yang memberikan syarat jika mahu cerpen itu tersiar jua, wiranya mestilah anak tempatan, bukannya Sayeed. Selepas pertemuan dengan sang editor, itulah kali terakhir saya menghantarkan apa-apa karya jua ke Dewan Masyarakat. Sampai sekarang, saya tidak mengubah pun cerpen tersebut seperti yang dicadangkan sang editor, dan tidak pula saya berusaha menghantarkannya ke mana-mana majalah lain, takut hasilnya tidak berbeza.

Ketika zaman tengah mengaji itulah juga saya menghasilkan sebuah sajak tentang durjana dan malapetaka di kem tahanan Sabra dan Shatilla. Dalam sajak itu terungkap tanggapan saya terhadap watak bajingan yang tiada belas ehsan, dan nasib sang wira yang merempat. Karya yang ini, tersiar dalam Berita Minggu, Malangnya keratan akhbar berkenaan sudah hilang dari simpanan, malah tajuknya saya sudah lupa. Yang saya ingat, apabila dapat bayaran sebanyak $30.00, saya ke Berita Minggu bersama Idris (sekarang bergelar cikgu, mengajar di Kemaman) kerana cek yang diberikan atas nama saya disalah eja, lantas tidak boleh ditunaikan. Dengan duit itulah, tengah hari itu saya dan Idris raya sakan pekena tomyam, sup ekor, sayur campur dan telur bungkus di Jalan Riong.

Apabila meledak kegemparan alaf baru yang berdentuman pada 11 September 2001, saya seperti kebanyakan orang lain, buat pertama kali menontonnya di BBC1, sama sekali tidak percaya akan betul benarnya peristiwa itu. Ia ternampak umpama kecelakaan dan kengerian yang tercetus dalam filem-filem aksi produk dagangan Hollywood. Ulang tayang berkali-kali tusukan bencana boing 767 dan 757 American Airlines ke menara WTC, dan siaran di dada akhbar tentang impak dan korbannya, kemudian tersiar berkali-kali pula nama dan foto orang yang diangkat sebagai musuh utama dan dituduh sebagai perancang kemusnahan WTC dan sebahagian Pentagon, maka datang tertayang dalam ingatan akan “Salam dari Badakhsan” dan sajak tentang celaka-durjana di Sabra dan Shatilla.

Saya tidak pernah berjumpa dengan Sayeed lagi selepas bergelar graduan, dan saya tidak tahu sama ada dia tamat pengajiannya, dan tidak pula saya punyai apa-apa maklumat terkini kemungkinan dia di Badakhsan atau di mana-mana kawasan pergunungan di negara tanah tumpah darahnya atau dia bermastautin di negara lain. Yang pastinya, “Salam dari Badakhsan” masih tinggal diam dan bisu dalam khutub khanah Jabatan Pengajian Media, sebuah menara gading di Lembah Pantai. Mungkin juga sudah teralih dan terbuang di mana-mana. Kerana ia sebuah antologi yang tidak penting, hanyalah sebuah karya kerdil terhasil dari ketukan mesin taip murah seorang mahasiswa, buah tangan seorang penulis yang bernama tapi tidak ternama, yang secara kebetulan kenal dengan seorang insan mangsa kedurjanaan perang.

Dua hari selepas pecah berita kemusnahan di New York itu, saya berjalan-jalan ke pekan Burslem yang jauhnya 15 minit berjalan kaki dari rumah saya di Grove Street, Cobridge. Ketika di perjalanan saya bersua dengan Tawwab. Sudah agak lama saya tidak bertemu dengannya. Dia nampak begitu ceria ketika berbual-bual sebentar tentang mala petaka di New York. Di akhir perbualan kami yang tidak begitu lama, Tawwab berpesan “please forget not the long suffering of the people of Bosnia, Iraq, Labenon, Palestine, and my own country…Afghanistan…!”