Zaman kecil-kecil dulu, kalau terjaga tengah-tengah malam atau ketika suasana begitu bening (Subuh masih jauh), memang sahih akan menggigil dalam pukat ketakutan. Nak meraung malam-malam buta dan awal pagi yang gelita itu, mahu kejut orang lain, tak punyai keberanian langsung. Takut dimarahi adik-beradik yang senior, yang sedang lena. Terlebih takut jika bising kita mengundang pula segala makhluk yang halus dan pelik, yang kononnya berkeliaran dalam gelap malam. Di luar dan di dalam rumah! Terasa macam hantu dan syaitan sedang berkeliaran mahu menekup mangsanya.
Maklum saja, zaman pertengahan tahun 60-an hingga awal 70-an, kehidupan malam dilabuhkan sebelum sampai pukul sepuluh. Tiada rumah yang punyai televisyen, dan yang miliki radio seingat saya hanya sebuah sahaja. Tuan empunya ialah seorang peniaga kayu, yang juga punyai bot tangkap ikan, kebun getah dan sawah bendang.
Lantas anak kampung waktu itu, tidurnya awal sekali.
Siang-siang di kampung pinggir sungai, memang pemandangannya mengasyikkan. Ghairah tak padam mahu bermain macam-macam dan berlama-lama di sungai dengan kawan-kawan. Apabila melepasi waktu Isyak saja, balik rumah dari masjid, sebelum jam sepuluh mata sudah terpejam rapat. Kerana tidur awal itu, maka mudah pula terbangun tengah-tengah malam buta kerana mimpi atau terdengar bunyi yang pelik-pelik. Maklum saja, rumah kami yang terdiri kira-kira dua puluh meter dari tebing sungai, kedua-dua belah kiri dan kanannya kubur belaka! Jika tersilap buka tingkap dan memandang ke arah tanah perkuburan, boleh histeria jadinya!
Lantas, jika terjaga malam-malam buta dan mata sudah tidak boleh ditutup kerana bunyi yang pelik-pelik (suara alam), tiada pilihan lain, maka terpaksalah merangkak perlahan-lahan masuk ke bilik ayahanda bonda. Biasanya memang bonda akan terjaga walaupun bisikan di birai katil sangat halus dan tersekat-sekat. Biasanya bonda akan turun katil. Dikepit bantalnya sambil menyanggul rambut.
Dia sudah tahu apa masalahnya. Dia akan berlunjur di atas tikar mengkuang, dan saya akan berbaring di sisinya. Ketika itulah dia akan menuturkan ayat-ayat dari surah al-Fatihah sambil diusap-usap kepala saya. Bila masanya saya terlelap, tidaklah pasti. Sedar-sedar, dikejutkan semula kerana ayahanda bonda sudah balik dari jemaah Subuh di masjid. Tidur saya nyenyak sekali. Tiada hantu syaitan datang mengganggu.
Hakikatnya, itu sudah tinggal kenangan. Kekal dalam ingatan sebagai suatu tanda kasih sayang bonda, yang telah lama pergi mengiringi ayahanda mengadap Yang Maha Esa.
Kekal ingatan itu, abadi dalam diri sudah hampir lima puluh tahun. Petua pusaka daripada bonda. Jika anak terjaga malam-malam dan takut akan hantu dan syaitan, bacakan perlahan-lahan surah al-Fatihah dan hembus ke kepalanya. Ketika itu dan sampai sekarang, saya berasa yakin dengan kaedah ajaran bonda. Kerana dia bukan saja wanita yang amat setia kepada suami, sopan-santunnya tinggi, tetapi juga rajin mengerjakan amal ibadat, beberapa kali menunaikan Haji, dan dia jugalah guru al-Quran kepada anak-anak dalam kejiranan kami.
Mudah amat petuanya. Hanya membaca surah al-Fatihah, sudah tenteram jiwa saya. Tiada takut apa-apa kepada hantu dan syaitan. Kerana yakin, dengan bacan ayat-ayat suci itu, lintang-pukang lari jauh-jauh segala jin dan jembalang!
Tiga hari lepas (pagi Selasa), sempat menonton Tanyalah Ustaz. Kali ini pendakwah terkenal jadi hos - Dato' Hassan Din al-Hafiz. Saya menonton hingga habis. Sangat tertarik kerana ada disentuhnya juga tentang jin dan syaitan. Yang katanya tidak jemu dan tidak lelah mengganggu dan menghasut insan ke jalan kesesatan.
Kira-kira begini boleh dirumuskan, sebahagian inti bicara pendakwah tersohor itu:
'Sebenarnya, jin dan syaitan itu ada dalam badan kita. Menyelinap masuk sejak kita dilahirkan. Atas usaha kitalah untuk menyisihkannya dengan amal ibadat, amal soleh dan zikirullah. Inilah makanan rohani dan pengukuh jiwa, yang akan menjadi benteng dan senjata untuk menyingkirkan jin dan syaitan daripada menguasai badan dan jiwa kita.
Apakah kita sudah tunaikan semua ibadat yang wajib? Periksalah diri tentang pelaksanaan solat, puasa, zakat, dan haji. Jika tidak, maka tunaikan dengan ikhlas yang wajib-wajib itu.
Tanyalah juga, apakah kita sudah meninggalkan perkara haram di sisi agama atau perbuatan yang terlarang oleh syariat Islam? Jika tidak, maka buanglah tabiat yang buruk itu, dan tinggalkan perbuatan yang sia-sia yang dilaknat Allah.
Bertaubatlah. Taubatan nasuha.
Itulah caranya, kalau nak halau jin dan syaitan daripada hidup kita!'
Maha Suci Allah. Mudah sungguh nak halau jin dan syaitan!
Tak perlu susah-susah pinjam duit nak bayar hingga RM12,000 (dua belas ribu ringgit) kepada tok bomoh kerana nak halau jin atau syaitan, dan nak hapuskan dosa!
Permisi. Dengan izin-Nya kita bisa ketemu lagi.
petikan akhbar: perihal sebuah keluarga terjerat dek tipu-daya seorang bomoh yang mengaku boleh beritau tarikh kematian, tebus dosa serta halau jin & syaitan. Bukan saja wang lesap, anak gadis mereka turut 'diserahkan' kepada bomoh putar alam itu. begitu jijik & durjana. inilah khurafat zaman kontemporari!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan