13 Ramadhan, pukul tiga pagi.
Masih terlalu awal untuk bersahur (kebiasaan famili kami, pukul lima). Tapi inilah masa yang molek sangat untuk berkarya. Sunyi dan damai. Ilham datang dalam lintasan ayat-ayat bersilih ganti dengan visualnya sekali. Kali ini yang datang sangat menonjol ialah tentang dongengan orang Terengganu - tentang asal penamaan kampung. Lalu, kerana desakan itu mengetuk minda beberapa kali, kita bicara saja tentang dongeng dan mitos kampungan.
Saya percaya, ini ada kaitan dengan buku yang dibaca sebelum tidur. Karya Zakiah Hanum (1989, Times Books International) itu berjudul “Asal-Usul Negeri-Negeri di Malaysia”. Di dalamnya dipaparkan asal penamaan sesebuah negeri bersandarkan mitos masyarakat dahulu kala. Terengganu misalnya, disabitkan dengan kisah sekumpulan pemburu terjumpa ‘taring harimau’ di dalam belantara.
Ketika perihalkan kepada orang-orang lain tentang penemuan mereka itu, tiada siapa jua berani menyebut ‘taring harimau’. Masing-masing hanya berani takat menyebutnya sebagai ‘taring anu’.
Adalah dipercayai, pantang sekali disebut perkataan ‘harimau’ ketika di dalam belantara. Hatta di rumah sendiri pun ditegah main-main dengan perkataan yang dianggap punyai roh tersendiri. Kerana perbuatan itu seolah-olah ‘memanggil’ pak belang muncul di sisi. Maka menempah maut saja perbuatan sebegitu!
Kisah ‘taring anu’ ini diulang-ulang dan tersebar secara lisan. Dek berlakunya penambahan dan pengguguran, akhirnya tempat asal dijumpai taring berkenaan disebut ‘Terengganu’.
Satu daripada keunikan Darul Iman, sebilangan kampungnya dinamakan sempena binatang - ada yang jinak, ada yang liar, dan ada pula dikaitkan dengan binatang mistikal. Antaranya ialah Pulau Musang, Pulau Duyung, Pulau Rusa, dan Pulau Kambing.
Yang pertama dalam senarai itu, nama kampung tumpah darah saya. Pulau Musang (dalam daerah Kuala Terengganu) diceriterakan telah diterokai seorang alim bergelar Tok Khatib Siput. Jika ikut jalan potong (kena panjat pagar), melalui semak-samun dan mencelah beberapa batang getah tua, boleh sampai ke pusaranya, yang terletak kira-kira sepuluh minit sahaja dari rumah saya.
Asal-usul penamaan kampung saya ini, rasanya memang ada kaitan dengan musang. Rumah pusaka ayah saya (sejak didirikan) kerap didatangi ‘haiwan malam’ ini. Jika sanggup bersengkang mata, sekitar pukul tiga hingga lima, tidak sukar untuk melihat musang menyusup di dahan duku, meniti kabel elektrik atau berlari menyelinap pintu pagar. Larinya macam tupai yang tangkas, cermatnya macam kucing.
Musang memang ‘sentiasa ada’ di kampung saya. Banyak sikit jumlahnya tidaklah diketahui. Walaupun sudah acap kali ditembak oleh Pok Heng (abang ipar saya), tidaklah pupus binatang licik ini. Pada waktu awal pagi (pilihlah hari apa pun), kurang-kurangnya seekor musang pasti boleh dilihat menyelinap masuk bumbung, meloncat dari dahan duku. Jadinya, saya tidak ragu-ragu langsung, sebab-musabab kampung di tebing Sungai Terengganu ini dinamakan Pulau Musang.
Pulau Rusa? Janganlah mengharap anda akan melihat ladang ternakan rusa atau zoo mini di Pulau Rusa! Sepanjang hayat, saya belum pernah mendengar ada sesiapa ternampak rusa berkeliaran atau sesat di kampung ini. Seperti kampung saya, di sini memang banyak pohon duku di sampai pelbagai jenis pokok buah-buahan yang lain. Letaknya selang dua kampung yang lain dari Pulau Musang. Kalau mahu berbasikal di sini, bagus sungguh kerana persekitarannya yang redup dan menyegarkan. Ini merupakan kampung di tebing Sungai Terengganu juga.
Mengikut cerita orang tua-tua, wanita di sini terkenal kerana keputihan kulitnya. Mungkin kerana keredupan itu atau sebab keturunan, saya tidak tahu. Isteri bapa saudara saya memang putih melepak orangnya, asalnya dari Pulau Rusa itulah!
Ada cakap-cakap (yang ada logiknya juga) mengatakan nama asal kampung ini diambil sempena sebatang pohon rhu yang tumbuh di sini. Kalau membilang ikut loghat orang Ganu, satu itu disebut ‘Se’. Jadinya, ‘sebatang pohon rhu’ dipendekkan sebutannya menjadi “Rhu-se” (rhu satu). Lama-kelamaan terbit dan kekallah sebutan itu menjadi ‘Rusa’.
Masa remaja, sekali-sekala saya (dan Aweng) berbasikal dengan kawan-kawan sejauh enam batu ke Pulau Kambing. Kami akan singgah di pangkalan pendaratan ikan. Ralit tengok peraih tawar-menawar hasil laut yang segar. Ralit lagilah tengok orang mengail ikan. Kampung Pulau Kambing ini dikira dah termasuk kawasan bandar Kuala Terengganu. Jadinya, kami yang datang berbasikal ke sini ialah sekumpulan budak kampung yang masuk bandar.
Waktu itu memang ketara kambing-kambing berkeliaran di tepi jalan besar. Tapi tidaklah sampai berpuluh-puluh ekor menyebabkan jalan jadi jem. Mungkin banyaknya kambing yang melintas jalan (nak ragut dan mamah sisa buangan di pangkalan), maka dinamakan kampung ini sempena haiwan berjanggut yang suka senyum ini. Tapi seingat saya, banyak-banyak pun, nak dapat sekawan dalam dua puluh ekor bermain di tepi jalan pun payah.
Ketika Zaman Perang, kampung ini menjadi sasaran bom yang digugurkan kapal terbang British. Kerana di sini terletak depoh minyak, serangan sengit dilakukan untuk memusnahkan bekalan bahanapi dan melumpuhkan pertahanan tentera Jepun. Perihal pengeboman yang turut menambah keperitan hidup masyarakat nelayan di situ, boleh ditemui dalam novel “Di Bawah Alunan Ombak” terbitan DBP (1961) karya Rashid Ngah - orang kuat Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), dan bekas exco kerajaan juga.
Pulau Duyung? Bezanya dengan kampung-kampung lain yang telah saya sebutkan di atas, ini kampung benar-benar sebuah pulau. Yang lain-lain (Pulau Musang, Pulau Rusa, dan Pulau Kambing) bukan pulau sebenar. Letaknya di atas daratan belaka. Bukan di tengah-tengah sungai pun! Pulau Duyung yang letaknya di muara Sungai Terengganu sudah terkenal di mata dunia. Inilah gelanggang Monsoon Cup.
Kenapa dinamakan Pulau Duyung? Memang Maya Karin pernah datang ke sini sebagai duta kejohanan kapal layar itu. Tapi nama itu dan kampungnya sudah lama wujud sebelum jelitawan yang jadi duyung dalam filem itu lahir lagi!
Saya terbaca sebuah tesis seorang graduan UTM (NURUL AZHANI MOHD AZMIN:2008) yang menurunkan catatan sebegini:
“Mengikut cerita orang-orang tua, suatu masa dahulu didapati dua ekor ikan duyung – berkemungkinan dua ekor ikan jenis ‘dugong’ ataupun manatee (tidak dikenalpasti sama ada adik beradik atau anak beranak / sepasang atau kelamin) telah terdampar di pulau semasa air surut maka kemudian daripada itu pulau ini dinamakan ‘ Pulau Duyung’. Berdasarkan lagenda, Pulau Duyung Besar telah dikaitkan dengan ‘ibu ikan duyung’ tersebut dan Pulau Duyung Kecil dengan ‘anaknya’ dan kaum nelayan masih boleh melihat tanda sisik ikan duyung diatas pasir pada waktu senja, semasa mereka pergi ke laut.”
Selain itu, tidak pernah saya mendengar sesiapa bercerita tentang kemunculan ‘duyung betul’ di pulau ini atau di mana-mana tempat di Terengganu. Sehinggalah lima hari sebelum Ramadhan, saya menerima emel dari seorang kenalan. Katanya dia baru saja balik setelah selesai tugasan di sebuah pulau.
Ketika di situ, dia menginap di sebuah chalet terletak di sebuah kampung bernama ‘Pasir Hantu’!
Dalam emelnya, terkepil sekali gambar yang agak kabur imejnya. Kalau diteleng-teleng atau disenget-sengetkan kepala ketika melihatnya, anda akan nampak suatu imej yang pernah kita lihat (mungkin dalam filem, buku cerita kanak-kanak, akhbar, tv atau media yang lain).
Saya diberitau, foto itu diambil di perairan sebuah pulau di Terengganu. Ketika berada di atas bot yang berhenti kira-kira 500meter dari pulau berkenaan, seseorang telah mengetik kameranya berkali-kali ke permukaan air. Niatnya mahu menangkap gambar ikan-ikan yang galak berenang dalam air yang jernih. Apabila dilihat semula gambar-gambar itu, terkejutlah orang berkenaan dan rakannya.
Apakah ini benar-benar ‘duyung’ atau hanya suatu ilusi ‘Maya Karin’?
Permisi. Wassalam.
nota:
Nama penangkap gambar dirahsiakan. Lokasi diketik kameranya juga rahsia. Anggap saja ini dongeng dan mitos yang diperturunkan seorang penulis ketika menunggu waktu lazim untuk bersahur. ‘Bermain bahasa’ sekadar mempertajamkan sensitiviti dan persepsi. Lagipun, apakah anda percaya duyung itu ada?
cantek rupa duyung tu...tapi apsal bila dizoom sebijik cam muka god zeus berhidung besar??
BalasPadammungkin keturunan Zeus jugak tu :-) macam Perseus dlm "Clash of the Titans".
BalasPadamipah rase mke dye cam Rapunzel dlm cite Tangled.. rmbut dye beralun..hehe~
BalasPadamkalu nak gambar terang, pi ambik kat Water World Langkawi. di situ ada duyung tiruan. tapi boleh menyelam & berenang. pandai posing lagi.
BalasPadamAssalamualaikum,
BalasPadamTuan,
Jika tuan mempunyai cerita langjut tentang Tok Khatib Siput, sila berkongsi di dalam blog tuan, atau singgah komen ke blog saya.
http://daerahdungun.blogspot.com/
Saya masih mencari dan mengumpul cerita Tok Khatib Siput.
Kerjasama tuan amatlah saya hargai.
As Salam
PadamMaaf bertanya..dah dapat ke cerita bekenaan tok khatib siput
Blh berkongsi dgn sy d no fon 0139928414
Sy Rohizam dr Kg Kuala Triang Pahang..sbb arwah pakcik ade bgtau keturunan sy bermula dr Pulau Musang..
السلام عليكم سموا
BalasPadamTeruja betul saya membaca cerita2 ini yang saya anggap amat bermakna dan ralek dibaca. Saya juga tulis blog tapi tidak seperinci ini. InsyaAllah dapatan dari blog ini akan saya jadikan semangat baru.
السلام عليكم سموا
BalasPadamTeruja betul saya membaca cerita2 ini yang saya anggap amat bermakna dan ralek dibaca. Saya juga tulis blog tapi tidak seperinci ini. InsyaAllah dapatan dari blog ini akan saya jadikan semangat baru.
Saya berasal dr kampung kuala bekah. Arwah bapa saya pernah bercerita waktu kecil yang dahulunya pulau rusa mmg betul2 pulau. Ada perahu disediakan untuk menyeberangi kampung sebelah sehinggalah paras air makin rendah dan menjadi daratan
BalasPadam