Karya

Karya

Khamis, 4 Ogos 2011

MEMORI HAJI 2010: “Dia ingat, bisa cakap direct dengan Tuhan?”

Sewaktu di Madinah al-Munawwarah, tempat yang kerap saya kunjungi pada waktu senggang ialah medan selera, yang jaraknya kira-kira empat ratus meter dari Hotel Movenpick. Deretan kedai makan yang menyediakan pelbagai jenis makanan ini (nasi lemak dan bakso pun ada!), didirikan bersebelahan pagar Masjid Nabawi. Berjamu selera di sini biasanya saya berseorangan. Sekali-sekala ditemani Yang Tersayang (biasanya waktu sarapan). Jarang kami bersama-sama singgah di sini kerana Yang Tersayang kerap juga berpuasa ketika di Kota Suci ini. Lagipun, wanita yang gemar ke masjid ini, lebih tinggi ketahanannya berbanding saya. Lagilah jika berpuasa, bisa sekali dia ibadah saja di masjid dari Zohor hingga Isyak.

Waktu paling lama saya di masjid ialah Subuh. Melangkah turun hotel kira-kira jam tiga pagi (ambil kesempatan tahajjud, witir dan zikir di Raudhah), balik hanya selepas selesai baca al-Maathurat (kira-kira pukul lapan). Kalau Yang Tersayang tidak berpuasa, adalah teman bersarapan. Kadangkala (tidak berjanji pun, kebetulan ketemu), saya minum dengan Haji Rosli atau Azmi. Pada lima hari pertama (kami tinggal di Madinah total lapan hari), tidak ramai orang kita bersarapan atau makan-makan di sini. Mungkin tidak tahu, barangkala sudah berpuas hati dan berasa cukup dengan makanan yang disediakan pihak hotel. Lagipun, dalam period itu, masih belum ramai jemaah kita yang tiba dengan penerbangan terus dari KLIA ke Madinah. Di samping jemaah dari Pakistan, Arab, Bangladesh, dan Malaysia, yang paling ramai mengunjungi medan selera ini orang Indonesia. Tentu sekali pak, baksonya ada di sini! Mereka mudah dikenali kerana yang lelaki berbaju batik dan perempuannya telekung berhias.

Suatu hari, sewaktu enak-enak bersarapan, saya disapa oleh seorang jejaka dari Tanah Seberang. Ramah sekali dia. Makin lama berbual, semakin banyak dibuka cerita tentang dirinya. Namanya Abdul Rahman. Dia sudah menetap lama di Madinah. Kerjanya membantu jemaah Haji, terutamanya dari Malaysia. Macam-macam hal dia bisa selesaikan. Betul sekali, kerana mengikut info yang diberikan, sudah hampir lima belas tahun dia di Madinah. Katanya pernah menjadi tukang masak untuk Tabung Haji. Kerana kefasihan berbahasa Arab dan pengetahuan mendalam selok-belok kehidupan di Madinah dan Mekah, dia pernah dilantik menjadi pembimbing dan imam di kalangan jemaah kita.

Dalam hati saya mulai menebal rasa kagum terhadap Abdul Rahman. Barangkali dia pun perasan betapa saya sudah terpikat dengan cerita tentang ‘kehebatan’ dirinya. Saya rasa itu sebabnya dia memanjangkan perihal riwayat dirinya. Dengan bangga diberitau kenalannya termasuk beberapa pegawai tinggi dan pembesar dari Tanah Bonda. Katanya, orang-orang ternama dari Malaysia bisa saja telefon dia sekiranya ada masalah peribadi (berkaitan apa saja – politik, famili atau bisnes). Minta ehsan supaya dia berdoa di raudhah atau di depan Kaabah! Enteng sekali tugasan itu untuk jejaka hebat seperti Abdul Rahman.

Sebagai balasan kepada jasanya itu, pernah sekali Abdul Rahman dijemput oleh orang kenamaan ke Tanah Bonda. Segala-galanya ditanggung beres. Malahan kereta dan pemandu diberikan percuma ketika ‘bercuti’ sebulan bersama familinya di Malaysia. Cuma saya mula rasa mahu segera bangkit dan berlalu apabila Abdul Rahman memberitau: “Ada beberapa menteri jika ke sini, sayalah juga dicari mereka. Bukan itu saja, pak! PM dan isterinya pun pernah jemput saya makan malam bersama-sama mereka.”

Selepas Zohor, ketika santai di lobi hotel, saya menyapa seorang pemuda Indonesia yang bekerja di situ. Saya berikan gambaran tentang fizikal Abdul Rahman. Saya beritau sebahagian cerita tentang ‘kehebatan’ Abdul Rahman. Pemuda tersebut menggelengkan kepala, lantas respon: “Apa, dia ingat bisa cakap direct dengan Tuhan? Usah terpedaya, pak! waspada, ramai yang cari kesempatan di sini!”

Sewaktu jalan-jalan melihat persekitaran sebelum masuk Asar, saya disapa seorang jejaka Indonesia juga. Bersungguh-sungguh mahu dijualnya ‘hati unta kering’ tersimpan sekeping di dalam botol kecil. Dia tawarkan pakej ‘minyak dhab asli’ dengan harga 60 rial. Minyak power untuk lelaki. Saya menolak dengan baik. Kerna kesungguhannya, dan teringat cakap-cakap orang kita, betapa hati unta bagus sebagai penawar lelah, saya beli sebotol hati unta dengan harga sepuluh rial. Nipis dan kecil saja kepingannya. Rasa puas hati juga kerana dapat beli sebotol penawar untuk Ney-ney yang kerap diserang athma. Ubat mujarab, kosnya hanya sepuluh rial. Sebelum pergi, jejaka berkenaan sempat hulurkan kad bisnes. Rupa-rupanya dia tukang urut juga.

Pagi esoknya kami ikuti program ziarah ke beberapa tempat bersejarah, yang berakhir di ladang kurma. Belum sempat sesiapa turun, sudah segera naik dua pemuda Indonesia menjual tasbih dan minyak habatus sauda’ tulen dengan harga spesil. Saya tidak terpikat. Hanya mahu segera ke kedai kurma, mahu teguk teh percuma yang sedap rasanya. Beberapa kaki dari pintu besar, ada dua lagi pemuda Indonesia bersila di atas tikar menjual kopiah, tasbih, kayu sugi, habatus sauda’ dan hati unta! Sengaja mahu bandingkan harga, saya singgah di situ sebentarnya.

Niat di hati mahu membeli juga minyak habatus sauda’. Maka terbatallah segera niat itu. Harga hati unta memang sepuluh rial juga. Tapi harga itu untuk tiga botol sekaligus!

Segeralah saya masuk kedai kurma, bergegas melepasi pintu belakang. Menyertai beberapa jemaah Malaysia yang santai di situ. Mahu legakan perasaan, menghirup teh Arab yang panas-panas di bawah redup pohon kurma!

Permisi. Wassalam.

foto 1: Medan selera berhampiran Masjid Nabawi. Tumpuan jemaah pelbagai bangsa.
foto 2: Di belakang deretan kedai makan, khemah-khemah kecil didirikan. Di sini saya bertemu Abdul Rahman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan