Selepas solat Asar, kira-kira lima belas minit juga saya kekal dalam keadaan duduk antara dua sujud. Melihat jemaah pelbagai bangsa berpusu-pusu ke Raudhah. Rasa lemah semangat dibuatnya. Tapi kali ini saya sudah bertekad tidak akan keluar dari Masjid Nabawi selagi tidak dapat masuk berdoa di Raudhah. Saya tidak akan pergi selagi tidak dapat mengucapkan salam perpisahan kepada Kekasih Allah di ‘rumahnya’.
Mana mungkin tidak bisa ketemu. Hari pertama bertamu ke rumah Kekasih Allah, terus ‘bertemu dengannya’, mengucapkan salam, dan beribadah lama di Taman Syurga. Pada hari terakhir ini, amat tidak sopan jika berpergian begitu saja. Sudahlah tidak ‘bertemu dan bersalam’, ambil jalan mudah sekadar melambai di luar rumahnya. Taman Syurga pula langsung tidak mahu mendekat. Sungguh tidak sopan. Tapi berani pula berjanji akan kembali untuk menziarah lagi!
Tiada upaya lain. KepadaMu aku sembah, kepadaMu aku mohon pertolongan. Perlahan-lahan saya menuturkan doa.
“Ya Allah. Ampunilah segala dosaku. Tolonglah aku. Perkenanlah doaku ini. Aku mahu ke Raudhah. Aku mahu berdoa kepadaMu, ya, Allah. Aku mau ke Makam Kekasih-Mu. Aku mahu ucapkan salam terakhir kepadanya. Ya, Allah tolonglah aku. Ampunlah aku.”
Segera saya menggenyeh mata. Menyekat air jernih yang tergenang di bibir mata. Segera saya menyapu muka. Mengeringkan air yang turun tiada tertahan.
Ketika memandang ke kiri dan ke kanan, saya tidak ternampak akan apa-apa tanda pertolongan Allah akan segera sampai. Dengan rasa dukacita (kerana terasa dosa tidak berampun, dan doa tidak termakbul), terfikir juga: ‘Apakah Tuhan sudah merajuk denganku? Apakah Dia tidak izinkan aku ke Taman Syurga-Nya?’
Mulai terasa sudah tidak punyai peluang untuk ke Raudhah. Tiada ruang lagi untuk ‘berjumpa’ Rasululah. Rasa dukacita dan kesal menebal dalam diri. Mulai mencari salah sendiri. Mahu menghukum kelakuan yang membenihkan dosa.
Belum sempat saya bangun betul-betul, hampir tersungkur kerana bahu dilanggari. Seorang lelaki Afghanistan, badannnya tegap, tingginya kira-kira enam kaki mohon apologi (saya faham dengan gerak badannya). Kemudian, dia bergegas ke arah kesesakan menuju Raudhah.
Apakah ini alamatnya? Tanpa teragak-agak saya cepat-cepat mengikuti Afghanistani yang nampak gaya jalannya main rempuh saja halangan yang mendepani. Tiba berhampiran ‘binaan muezzin’ (tempat azan, dan sempadan Raudhah di bahagian kanan), Afghanistani itu terus mencelah di antara enam tujuh orang yang berdiri di situ. Jem terus! Tiada sesiapa yang dapat masuk ke situ kerana dihadangi ‘dinding kanvas’. Dinding ini akan dibuka selepas selesai jemaah wanita (ada waktu yang khusus) masuk ke Raudhah dan menziarahi Makam Rasul.
Sepuluh minit juga menanti di situ. Saya tidak boleh mencelah kerana benteng yang menghalangi saya, sama saja bangun tubuhnya seperti Afghanistani tadi – tegap, besar dan tinggi. Di depan mereka terlihat dua lapis lagi jemaah yang tidak sabar-sabar mahu 'merempuh' ke Raudhah.
Tiada lain yang saya tutur ketika itu, kecuali selawat tafrijiyah yang diulang-ulangkan entah berapa kali.
Sebaik dinding kanvas digulung ke tepi tiang, beberapa jemaah yang menjadi benteng di depan saya terus menyerbu, ‘seolah-olah mengepung’ jemaah yang berdiri lebih depan, masuk ke Raudhah.
Masing-masing jadi terdorong terus ke ruang mimbar dan mihrab Rasulullah. Ruang selepas ‘binaan muezzin’ ditinggalkan kosong! Tiada sesiapa berdoa atau solat di situ. Padahal itu sudah termasuk kawasan Raudhah. Saya terus saja melakukan hajat yang sangat diingini – berdoa panjang-panjang untuk arwah ayah dan Chek, untuk Yang Tersayang, untuk Ney-ney, Dek-dek dan Syai. Tidak dilupai doa untuk adik-beradik, ahli keluarga terdekat, dan jiran tetangga.
Sebaik selesai berdoa, seorang polis yang berkawal bersebelah ‘binaan muazzin’ mengarahkan saya beredar. Hasrat sudah terpenuh, hajat sudah tercapai. Saya patuhi dengan penuh kerelaan, dan terus masuk barisan jemaah yang beratur ke Makam Rasullah. Syukur ke-hadrat Ilahi. Ampunkan aku, ya al-Ghafur. Aku berdosa kerana prasangka terhadap Mu.
Sebaik saya sampai di lobi, Yang Tersayang sedang duduk bersendirian di kerusi set yang empuk. Ketika menghampiri, dia hampir selesai membaca al-maathurat.
Ringkas saja kami bicara. Selepas saya tuturkan apologi, dia khabarkan nama saya sudah tiga kali dipanggil. Kenalan yang duduk dekat-dekat kerap berpaling dan bertanya. Mungkin kerana tiada jawapan yang boleh diberikan, Yang Tersayang meminta izin urusetia untuk menunggu saya di lobi saja.
Ketika sudah selesa di atas bas, saya dapati urusetia masih gaduh-gaduh. Rupa-rupanya ada seorang jemaah lelaki masih belum muncul. Tapi saya lihat, jika penuh pun bas ini, rasa-rasanya belum boleh bergerak juga. Kerana para pekerja Muasasah masih memunggah barangan ke atas bumbung bas yang depan.
Sepanjang perjalanan ke Bir Ali (kira-kira 10km dari Masjid Nabawi), saya diam saja di kusyen. Tidak ghairah untuk pedulikan sesiapa. Merapatkan kelopak mata. Hanya membiarkan minda melayani bait-bait lagu ‘Doa’ nyanyian Zubir Ali.
“Tuhanku dalam termangu
Kusebut namaMu
Biar susah sungguh
Mengingatkan Kau penuh seluruh.
Tuhanku cahayaMu
Panas suci
Bagai kerdip lilin
Di kelam sunyi.
Tuhanku aku hilang bentuk
Kembara di negeri asing
Tuhanku pintuMu ku ketuk
aku tak bisa berpaling”.
Permisi. Wassalam.
foto: Tempat muezzin bertugas. Di depannya termasuk kawasan Raudhah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan