Karya
Selasa, 16 Ogos 2011
Memori Haji 2010: “Apabila Raudhah sudah menutup pintunya!”
Sabtu, 16 Oktober.
Esok hari terakhir kami di Madinatul Munawwarah. Selepas Asar akan bermula perjalanan jauh rombongan kami (penerbangan KT2) menuju ke Kota Suci Mekah. Saya fikir semua jemaah berasa amat teruja kerana hari yang dinanti-nantikan sudah menjelma. Kain ihram yang sudah tersimpan lama dalam beg besar akan menyelimuti badan. Esok petang kami akan memakai ihram sebelum menaiki bas. Petang ini sudah bermula operasi mengemas pakaian. Rakan-rakan sebilik sudah mula ikat semula beg besar masing-masing yang perlu diletakkan di depan lif untuk diangkat oleh pekerja Muasasah. Beg sandang dan beg bimbit saja akan dibawa sekali di dalam bas.
Rakan-rakan sebilik dan ramai jemaah yang lain bukan sahaja sibuk berkemas, malahan berganda pula tahap sibuknya menguruskan barangan yang akan dipos lebih awal ke Tanah Bonda. Jika di depan lif, beg-beg besar sudah mulai disusun mengikut ‘petak’ yang ditentukan (mengikut penerbangan dan bilik), kaunter servis hantar barangan turut jem. Ramai orang kita beratur untuk 'bungkus, timbang dan pos'. Air Zam-zam pun boleh dihantar pulang melalui servis agensi ini. Tak payah tengok pun tongnya - sebut berapa mahu, bayar dan simpan resit. Dua minggu dah sampai di Tanah Bonda.
Di Madinah ini, aktiviti ‘sampingan yang utama’ ialah membeli-belah kerana di sekitar Hotel Movenpick ini ada banyak kedai serta beberapa pasaraya yang boleh disinggahi. Jalan kaki saja. Waktu balik dari Masjid Nabawi boleh terus ‘melontar rial’ di mana-mana kedai dan pasaraya. Mudah sekali dicari ole-ole untuk dibawa pulang ke tanahair seperti perhiasan, pinggan mangkuk, kurma, jubah, tasbih, kitab, al-Quran, permaidani, dan sejadah yang bermutu. Lantas mudah dan rajinlah orang kita ‘melontar rial’ di sini. Sebab itu jadi jem kaunter pos barangan yang terletak berhampiran dewan makan. Seorang kenalan saya membayar 500 rial untuk pos sekotak kurma. Tiap satu kilo barangan dicaj kira-kira 15rial. Rancak amat urus-niaga agen ‘bungkus dan pos’ barangan ini.
Saya tidak menyertai keghairahan ‘bungkus dan pos’ itu kerana sudah berkira-kira mahu hantar barangan ketika di Mekah - seminggu sebelum Wukuf. Ini atas nasihat Kak Ara sebenarnya. Kita yang hanya ada pengalaman di Madinah dan Mekah takat sebesar biji saga, moleknya ikut sahaja nasihat orang yang arif. Saya tidak juga begitu tergesa-gesa untuk berkemas dan ikat beg besar seperti rakan-rakan sebilik. Malahan Yang Tersayang terlebih dahulu siap berbuat demikian, minta saya tolak begnya ke tepi lif ikut petak yang ditentukan.
Sebenarnya, saya tidak teruja untuk berkemas kerana kesyugulan yang menyelubungi diri. Dukacita amat. Kerana setelah dicuba-cuba, sudah dua hari saya tidak dapat masuk ke Raudhah. Ini bermakna, sudah sepuluh waktu berjemaah di Masjid Nabawi, saya hanya dapat melihat kubah hijau saja. Itupun kerana saya solat di bahagian yang dibumbungi payung gergasi (boleh buka katup secara elektronik).
Saya jadi keliru. Setiap kali masuk untuk berjemaah di masjid tersohor ini, saya mesti melakukan rutin serupa seperti hari pertama di Madinah – meneguk air zam-zam, berdoa dilimpahi rezeki, diberikan keberkatan ilmu, dan diberikan-Nya ruang untuk beribadat di Raudhah. Entah kenapa, dua hari kebelakangan ini tiada desakan dalaman untuk bersungguh-sungguh masuk ke Raudhah hatta untuk berdoa pun!
Setiap kali selepas solat fardhu, saya cepat memadamkan hasrat untuk ke situ kerana melihat kesesakan yang berlaku. Terasa juga seolah-olah Raudhah tidak melambai saya pun! Raudhah tidak membuka pintunya untuk saya! Kini, saya terasa macam amat berat pula untuk ke situ. Memang timbul rasa dukacita dan bersalah. Tapi tidak pula saya berusaha keras untuk ke Raudhah.
Ahad 17 Oktober. Hari bertolak ke Mekah.
Selepas Subuh saya memasang niat untuk ke Taman Syurga buat kali terakhir. Malangnya, datang pula musibah. Perut memulas tidak tertahan. Maka segeralah saya pulang ke hotel.
Sebelum Zohor, saya menerima sms daripada Kak Ara: ‘Jangan lupa ziarah wada’. Ucap selamat tinggal kepada Rasulullah. Kalau susah, cukuplah lambai Makam Nabi dari luar saja.’
Selepas Zohor, sekali lagi saya memasang niat untuk sekurang-kurangnya solat sunat di Raudhah. Masih gagal. Masih tidak dapat masuk juga. Kesesakan sudah sampai tahap melampau.
Ketika duduk-duduk di bilik hotel sementara menunggu azan Asar, saya memasang tekad untuk usaha keras masuk ke Raudhah. Pihak TH sudah mengeluarkan arahan (ketika taklimat dan tampalan kertas hebahan di papan notis) supaya para jemaah siap dengan pakaian ihram ketika solat Asar di masjid. Turut diingatkan, beg sandang dan beg bimbit terus dibawa turun ke lobi sebelum ke masjid.
Saya tidak ikut kedua-dua arahan itu. Rasa tidak selesa solat di masjid dengan pakaian ihram. Beg bimbit dan beg sandang saya tinggalkan di dalam bilik saja.
Sebelum ke lif, saya intercom kepada Yang Tersayang: “Jika bas nak tinggal pun tak apa. Abang nak masuk Raudhah. Nak ucap salam terakhir kepada Nabi betul-betul dekat makamnya.”
Yang Tersayang hanya diam. Wanita yang luhur budinya ini, ketaatannya tidak berbelah-bahagi.
Sudah 20 tahun berkongsi hidup, menyemai kasih-sayang. Saya dapat rasakan kerisauan di hatinya, dan dapat bayangkan sugul wajahnya. Saya segera menambah, “Jika abang belum sampai, bas dah nak gerak…Mah turun saja. Tunggu di lobi.Kita jangan berpisah.”
Permisi. Wassalam.Bisa ketemu lagi.
foto: Kubah Hijau itu merupakan penanda letaknya Makam Rasulullah. Jika tidak upaya atau kesuntukan waktu, ziarah wada' boleh dilakukan dari luar masjid saja.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan