(nota awal: Sebagai pribumi Tanah Bonda, kita tidak dapat menenggelamkan rasa prihatin terhadap isu besar yang menggegar - 'Perhimpunan Baju Kuning' dan yang terbaru 'Peristiwa Serbuan JAIS'. Ada ikhtibar yang terselindung, dan terzahir terang-terangan. Cuma kita harus bersabar, bertafakur dan bermuhasabah. Tindakan tidak perlu melulu. Jari tidak usah deras menuding. Sewaktu mastautin di England, berlaku suatu 'peristiwa kecil' yang saya fikir ada bayang-bayang 'goncangan dalaman' seperti yang kita hadapi sekarang. Saya turunkan catatan berikutnya, yang merupakan pemerhatian terhadap hubungan ras di England - ditulis pada tahun 2002. Semoga kita beroleh ikhtibar daripadanya.)
Duduknya di antara Dua Masjid
Di Cobridge terdapat dua buah masjid yang terbina berhampiran jalan besar Waterloo Road. Masjid Madina terletak berjiran dengan Klinik U Pathak, menghala ke Bandar Hanley. Manakala Masjid Cobridge pula letaknya di sebelah Elm Street menghala ke Burslem. Di antara kedua-duanya, kira-kira 300m dari Masjid Cobridge dan 50m dari Masjid Madina, dalam kawasan berpagar betul-betul di birai jalan, tersergam bangunan lama yang warna merah batu-batanya lusuh, tertulis besar di dindingnya Cobridge Hall. Bangunan ini merupakan sebahagian daripada kompleks Gereja St Peter. Betul-betul di depannya, dipisahkan oleh jalan besar Waterloo Road, terdapat bangunan rendah berpagarkan batang besi sebesar kelingking yang didirikan jarang-jarang - Sekolah Rendah Katolik St Peter.
Sekolah ini merupakan antara yang terbaik di Stoke-on-Trent, dan jauh mendahului dua buah lagi sekolah rendah di Cobridge - North Primary dan Forest Park. Jika dibandingkan antara ketiga-tiganya, St Peter terkedepan dari segi pencapaian akademik, disiplin pelajar, staf, peralatan dan kemudahan pengajaran-pembelajaran.
Apabila Suara Minoriti Menjadi Penting
Di pagar yang jadi sempadan di antara tempat letak kereta dengan pejabat sekolah, terikat tiga belas helai kertas saiz A4 yang dibaluti plastik. Setiap satunya tercetak di atasnya satu huruf warna hitam yang bercantum membariskan makna “Save Our School”. Sudah dua bulan, tiga belas helai kertas A4 bersalut plastik terikat di situ. Sebelum itu, digantung pada pagar sebelah luar yang berhampiran jalan, entah apa sebabnya, dicabut kemudiannya dalam tempoh tak sampai seminggu. Kertas yang terikat di pagar itu, merupakan penglahiran bantahan pihak sekolah terhadap LEA (Local Education Authority) yang bercadang menutup St Peter.
Pihak LEA telah mengemukakan notis penutupan yang ditampal di tiang elektrik sebelah kiri pintu pagar St Peter, sejak 3 Mei 2002. Notis itu memaklumkan, bermula 31 Ogos 2003, tiada lagi pengambilan murid baru untuk kemasukan ke mana-mana tahap di sekolah itu. Ia turut menyatakan tempoh bantahan penutupan itu tamat pada 2 Julai baru-baru ini. Ibu bapa yang masih inginkan pendidikan Katolik untuk anak-anak mereka dinasihatkan memohon ke Sekolah Rendah St Wilfrid, di Tunstall, sebuah bandar yang terletak paling Selatan dalam daerah Stoke-on-Trent, kira-kira sepuluh minit memandu dari Cobridge.
Daripada keseluruhan 200 pelajarnya, St Peter mempunyai 12 kerakyatan yang berbeza termasuk Itali, Britain, China, Pakistan, Filipina, Ireland, India, Bangladesh dan Malaysia. Walaupun ia sekolah Katolik, hanya 40 peratus pelajarnya yang termasuk dalam kategori itu. Inilah yang diangkat oleh LEA sebagai isu utama penutupannya. St Peter akan ditutup kerana tidak cukup bekalan pelajar Katolik. Lagipun, pihak LEA dikatakan tidak nampak kemunasabahan sebuah sekolah Katolik boleh memberikan perkhidmatan pendidikan terbaik kepada anak-anak Cobridge yang majoritinya orang Asia, yang teramainya Pakistan dan Bangladesh.
Alasan lain yang diberikan pihak autoriti, penutupan St Peter bertujuan menyatu-padukan masyarakat. LEA berpendapat, kehadiran sebuah sekolah agama seperti St Peter di tengah-tengah majoriti Muslim boleh menimbulkan benih pergeseran dan perpecahan masyarakat Cobridge. Ada khabar yang tersebar, penutupan St Peter disokong oleh pengurusan Masjid Cobridge. Meniupkan spekulasi betapa pendirian pihak masjid yang menyokong cadangan LEA dilihat sebagai menentang usaha mempertahankan status sekolah itu. Khabar angin yang menyusul kemudiannya menggambarkan isu ini sebagai pertembungan antara Katolik dengan Islam.
Kerana itulah, mereka (LEA) merasakan tiada kewajaran sebuah sekolah Katolik hidup dalam masyarakat Cobridge yang ramainya Islam. Kerana pergeseran berdasarkan sentimen agama boleh terpercik menyalakan api perkauman pula. Hal ini mudah difahami, kerana selepas Bradford dan Oldham huru-hara dek rusuhan kaum di Musim Panas tahun lalu, hampir separuh siang Cobridge dikepung polis atas peristiwa yang serupa. Cuma tiada harta-benda yang terbakar atau musnah. Dan yang ditangkap lebih kurang seratus pemuda, ramainya Asia.
Yang ironinya, dalam beberapa pertemuan antara PIBG dengan pihak sekolah, dan pertemuan khas dengan ibu bapa Muslim, Mr Orme (Guru Besar St Peter) menyatakan betapa mereka sangat memerlukan sokongan masyarakat Islam Cobridge. Ia menjadi faktor besar dalam menentukan buka katupnya St Peter, sebuah sekolah rendah Katolik yang jadi pembekal kepada St Magaret Ward dan St Joseph, dua buah sekolah menengah yang terbaik di Stoke-on-Trent. Malahan mengikut Mr Orme, suara protes masyarakat Islam Cobridge itu menjadi begitu bernilai kerana pihak LEA menjangkakan yang sebaliknya.
Maknanya, jika St Peter terus dibenarkan mengambil murid-murid baru melepasi tarikh 31 Ogos 2003, terus mendapat kebenaran LEA beroperasi sebagaimana lazimnya selama lebih seratus tahun sebelum ini, antara sebab utama kejayaan tuntutan pihak sekolah ialah sokongan daripada masyarakat Islam setempat. Dan sokongan yang diberikan itu, seperti kata Muhammad Parvez (wakil Muslim dalam Gabenor St Peter), adalah kerana masyarakat Islam Cobridge mahukan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Yang selama ini tersedia di St Peter.
Secara hurufiahnya, “Peristiwa St Peter” membentangkan usaha penutupan sebuah sekolah Katolik kerana kekurangan bekalan murid-murid yang menganut agama berkenaan bersekolah di situ, dan usaha itu ditentang oleh pengurusan sekolah yang berusaha mengekalkannya atas alasan ia sekolah yang terbaik untuk masyarakat Cobridge. Dari sudut kehidupan beragama anak-anak bukan Islam, autoriti pendidikan nampak seolah-olah tidak peka dengan kelangsungan hidup pendidikan Katolik. Manakala dari sudut yang lain, sokongan Muslim di Cobridge yang sangat diperlukan oleh pihak sekolah menunjukkan pula betapa suara minoriti* tiba-tiba menjadi begitu besar dan bernilai dalam penentuan hidup mati sebuah sekolah Katolik.
Mentafsir Yang Tersurat, Mencari Yang Tersirat
Jika sungguh St Peter ditutup, maka mengikut perencanaan LEA, North Primary akan mengambil alih tempatnya. Seluruh warga Sekolah North Primary – guru besar, staf sokongan, guru dan murid akan berpindah ke premis yang dikosongkan St Peter, menolak keluar keseluruhan warga sekolah Katolik itu, yang terpaksa berpindah ke mana-mana sekolah ‘yang boleh menerima’ mereka.
Jika sungguh inilah yang berlaku, bermakna perkhidmatan pendidikan yang baik-baik dan bagus digantikan dengan yang tidak berapa bagus. Umumnya, masyarakat di sini beranggapan North Primary sekolah yang bermasalah - pencapaian akademiknya rendah, masalah disiplinnya rumit. Berbeza sekali dengan St Peter. Dan yang tidak bagus itulah, nampaknya dikekalkan dan diberikan kepada anak-anak Muslim, yang menjadi majoriti di Cobridge.
Barangkali pihak autoriti serik dengan ketegangan yang timbul akibat pertembungan pemuda Asia dengan polis ketika Musim Panas tahun sudah. Tetapi mereka seakan-akan lupa, sekiranya St Peter digantikan dengan North Primary (sebuah sekolah yang didominasi oleh anak-anak Asia), ia berpotensi menjadi sarang menyemai perkauman. Inilah yang terjadi di Bradford dan Odham, apabila terwujud sekolah rendah yang didominasi populasinya oleh anak-anak Asia, sehingga akhirnya tiada langsung kemasukan anak-anak Inggeris ke situ walaupun staf dan guru besarnya orang Inggeris belaka.
Sekolah sebegini, yang tidak memberikan ruang kepada integrasi kaum, memupuk nilai-nilai ‘kebangsaan’ yang membina benteng kelompok yang tebal dan kukuh. Padahnya, penyisihan kelompok mudah terjadi dan kebencian kepada nilai-nilai di luar kelompok mudah terpupuk, akibatnya ketegangan senang tercetus, dan pertelingkahan pun bisa meletus seperti peristiwa Oldham dan Bradford yang terbakar di Musim Panas 2001.
Laporan Ritchie (yang terhasil berdasarkan siasatan rusuhan kaum yang tercetus di Oldham) misalnya, menyebut betapa api perkauman yang membakar di situ, dicetuskan antara lainnya oleh perbezaan dan pembahagian yang jelas mengikut kaum dalam hampir semua aspek kehidupan, terutamanya dalam bidang pendidikan, pekerjaan, perumahan, rekreasi dan hiburan.
Memerhati dan Mendengar Realiti
Apabila berjalan-jalan di lorong-lorong Elm, Grove, Kirby, Ongreave dan mana-mana lorong di Cobridge atau bersantai di Cobridge Park - memerhatikan tingkah-laku penghuni rumah-rumah teres, dan gelagat anak-anak yang riang di taman, dapat dirasakan wujudnya ‘tembok kaum’ yang agak kukuh. Apabila berbual-bual dengan tauke kedai runcit dan restoran kebab kepunyaan Pakistan; sembang-sembang dengan drebar teksi; sembang-sembang dengan tukang gunting; bicara sesekali dengan jemaah di Masjid Madina, akan dapat dirasai terzahir keluh kesah, protes, prasangka, dan nilai ‘kebangsaan’ yang tebal.
Hasilnya? Selain ‘rusuhan kecil’ di Musim Panas tahun lepas, terjadi peristiwa tiang bendera yang tercacak di atas bukit kecil Cobridge Park ditebang tiada diketahui angkara siapa, selang tidak banyak hari selepas seorang anggota Majlis Tempatan berhasrat mengibarkan bendera Union Jack di situ.
Pernah sekali ketika sembang dengan beberapa mat saleh di waktu senggang, saya ditanyai tentang tempat tinggal. Apabila saya menyebut Cobridge, Steve yang melontarkan soalan segera pula memberikan reaksi, “Cobridge? Ugh, a good place to live, isn’t it?” Saya perhatikan, jawapan itu disambut senyum sinis rakan-rakannya yang lain.
Saya cuba meneka dan mereka-reka rasional di sebalik senyuman yang pahit itu. Apabila teringatkan Peristiwa St Peter, rasa-rasanya fahamlah saya sebab sebenar sekolah itu mahu dikatup!
(*nota: empat peratus daripada seluruh penduduk Stoke-on-Trent adalah Asia, yang majoritinya Pakistan dan Bangladesh. Sebahagian besar daripada empat peratus itu, tinggal di Cobridge.)
foto: kanak-kanak pelbagai bangsa & agama di tadika St Peters. Tadika ini terletak di dalam kawasan St Peters Primary School. Yang rambut hitam lurus (berbaju kuning) itu ialah Ney-ney.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan