Suatu hari, di Masjid Nabawi. Selepas waktu Zohor.
Saya bersila di bahagian tengah masjid yang bumbungnya boleh dibuka katup (sebenarnya payung gergasi elektronik). Jemaah makin berkurangan. Tiada kelihatan orang Malaysia duduk-duduk atau sedang berjalan berdekatan. Tiada juga rakan-rakan sebilik. Mereka boleh ada di mana-mana. Masjid ini amat besar, dan banyak pula pintunya. Di sebelah kanan, ada satu kumpulan kecil pemuda-pemuda Arab sedang melingkungi seorang lelaki tua yang duduk di atas kerusi kayu – agak tinggi dan lebar. Masing-masing memegang kitab suci al-Quran. Nampak gelagatnya, mahu talaqi beramai-ramai berdepan dengan tok guru.
Saya mengeluarkan buku koleksi surah-surah pilihan. Mahu habiskan satu surah sebelum beredar pulang ke Hotel Movenpick. Sedang membelek-belek, tiba-tiba datang seseorang yang terus duduk di depan saya. Terpinga-pinga dibuatnya kerana selepas member salam terus saja lelaki itu menarik tangan kanan saya agak kasar. Cepat pula dikucupnya tangan saya dengan bersungguh-sungguh!
Lelaki berjubah putih, rambut tidak terurus, misai dan jambang tidak bercukur itu memandang ke arah saya sambil bertutur dalam bahasa Arab (loghat apa tidaklah saya tahu – bunyinya macam bahasa Arab!). Daripada tutur katanya yang agak laju, dapat saya tangkap beberapa perkataan: Palestine. Yahudi. Israel. Syaitan. Taghut. Kafirun. Laknatullah. Jihad.
Beberapa kali dia merapatkan kedua-dua belah tangannya ke dada sambil menyebut: Palestine! Palestine! Palestine!
Saya agak dia mahu beritau asalnya dari Palestine, berjihad menentang Yahudi laknatullah!
Betul tidak, hanya Tuhan yang tahu. Saya agak sahaja.
Mungkin melihat saya seperti kebingungan, dia mengangkat kedua-dua tangannya, menggayakan seperti orang sedang berdoa. Selepas itu, dia memandang ke kiri dan kanan dengan cepat seperti berwaspada pula. Dikeluarkan wang kertas lima puluh (Ringgit Malaysia), ditunjukkan kepada saya sambil terus menampakkan kesungguhan ketika bercakap. Kali ini, perkataan yang saya dapat tangkap ialah: Malaysia. doa. Allah.
MasyaAllah. Barulah saya faham. Rupa-rupanya lelaki rambut kusai itu mahu berdoa untuk saya dengan upah sebanyak lima puluh ringgit. Saya jangka, wang kertas lima puluh ringgit itu ditunjukkan sebagai bukti sudah ada jemaah Malaysia yang membayarnya sebanyak itu sebagai ‘upah berdoa’. Jika tidak, mana dia mendapat duit berkenaan?
Setelah memahami maksudnya, saya terus buat-buat tidak mengerti. Saya membelek buku koleksi surah pilihan dan mula membaca surah as-Sajdah perlahan-lahan. Lelaki itu tidak berkata apa-apa. Tapi tangannya mencuit paha kanan saya pula. Dia mengangkat tangan menunjukkan gaya orang berdoa. Kedua-dua keningnya terangkat. Sebenarnya, dia minta kepastian – mahu atau tidak? Saya memandangnya sekilas, dan menggelengkan kepala. Cepat dia bangkit dan bergegas entah ke haluan mana. Tidak memberikan salam. Tidak pula mencium tangan saya!
Ketika di bilik hotel, rakan-rakan sedang berbual tentang seorang lelaki Arab (gambaran yang diberikan tidak sama dengan lelaki yang mengucup tangan saya) yang mengutip duit daripada jemaah, untuk diberikan kepada imam Masjid Nabawi. Lelaki ini dikatakan ‘orang tengah’ yang boleh jumpa terus dengan imam tanpa sekatan. Sesiapa yang membayarnya sejumlah duit, maka lelaki itu akan bertemu dengan imam di kamarnya. Lantas, imam akan berdoa untuk kesejahteraan atau apa saja hasrat jemaah yang telah membayar duit kepada lelaki Arab yang menjadi ‘broker doa’.
Saya mencelah, dan buka cerita perihal tangan dikucup lelaki Arab.
Seorang rakan memberikan reaksi: “Itu maknanya, bukan dia nak minta upah baca doa. Dia ingat kamu tok wali! patutnya, kamu yang doa untuk dia. Berkat doa kamu dalam Masjid Nabawi, duit 50 ringgit terus bertambah jadi seratus ringgit! itulah yang Arab tu hendak!”
Lantas berderailah ketawa memecah dingin air-con di dalam bilik kami.
Permisi. Wassalam.
foto 1: Payung gergasi di dalam Masjid Nabawi. Boleh dibuka-katup secara elektronik.
foto 2: Jemaah Turki (seragam biru cair), dan jemaah Malaysia (tali tag warna merah) sedang berdoa depan mihrab di Masjid Nabawi. Tak payah guna servis 'broker doa'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan