Karya

Karya

Khamis, 18 Ogos 2011

MEMORI HAJI 2010: “DAPAT RIAL, RAJIN TALBIAH!”

Ahad, 17 Oktober.
Kira-kira 20minit kami sampai di Bir Ali. Elok saja untuk berjemaah Maghrib dan jamak Isyak. Ketika saf sudah bersedia, entah apa sebabnya, saya didorong ke depan oleh seseorang. Maka jadilah imam buat pertama kali di Tanah Suci ini. Selepas solat, santai di kawasan parkir, minum teh panas-panas dan kunyah kerepek dengan Yang Tersayang. Masih ramai jemaah yang belum selesai urusan di masjid (bukan hanya solat dan zikir, termasuk menunaikan ‘panggilan’ ke tandas, dan membetulkan ikatan kain ihram juga).

Ketika berjalan di laman masjid, seorang jemaah lelaki menyapa. Dia minta tolong hantarkan seorang jemaah wargamas yang bersamanya. Katanya bukan waris dia tetapi naik bas yang sama. Dia sebutkan nombor bas kepada saya sambil berpesan, “Pakcik Mat ini mudah gabra kalau orang ramai-ramai begini. Matanya tak berapa nampak. Dia memang tak tahu nak naik bas yang mana! Kalau abang tak tolong, boleh sesat!”

Sangat ramai orang, maka pelbagai gelagatnya. Nampaknya, ketepatan ikut jadual perjalanan bukan perkara utama. Masa senggang yang agak lama ada hikmahnya. Dapat hirup the Arab tanpa gaduh-gaduh nak naik bas. Kebetulan pemandu bas ada berhampiran, saya unjukkan kerepek kentang dan segelas teh. Suka betul dia.

Sepanjang perjalanan, gamat dalam bas kerana jemaah mula talbiah beramai-ramai. Ada seorang dua (entah siapa – gelap tak nampak) bergiliran memegang mikrofon menjadi kepala talbiah. Makin jauh malam, semain kendur nada talbiah. Akhirnya mati terus. Masing-masing sudah keletihan kerana perjalanan yang jauh.

Betul-betul tengah malam bas singgah di R&R. Sekali amati, saya rasa inilah tempatnya menjadi persinggahan juga ketika Umrah 2009. Segera bangkit selera kerana terbayangkan ‘nasi mendi Yemen’ yang terjual di sini. Lauknya ikan talapia dan ayam goreng. Dimakan ramai-ramai lima orang satu talam. Memang sedap. Tidak pernah saya makan nasi sesedap itu. Nampak macam biryani tetapi tidak ada dalca atau kari. Makan nasi kosong begitu-begitu saja sudah sedap sangat. Jika di Tanah Bonda, ada dua kedai yang jadi kegemaran kami satu famili – yang menjual biryani gam di Bandar Baru Bangi, dan satu lagi restoran Arab di Cyberjaya. Memang sedap masakannya. Tapi tak boleh lawan ‘nasi mendi Yemen’ di R&R ini.

Malang sungguh. Hasrat tergantung. Tiada nasi mendi. Sudah habis. Pilihan lain hanyalah roti nan cecah kuah kacang dal. Jemaah turun serentak tiga empat bas, masing-masing lapar dan dahaga. Kerusi meja di luar dan di dalam restoran tidak mencukupi. Kami ambil jalan mudah saja. Bersila di atas permaidani nipis. Makan bersama Kassim dan isterinya Auliya.

R&R ini jauh amat bezanya dengan yang ada di Tanah Bonda. Tidak terbanding keselesaan pelbagai kemudahan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, dan perjalanan dari Pantai Barat ke Pantai Timur. Negara kita dilimpahi kekayaan hasil bumi dan nikmat yang banyak!

Kalau pernah menonton filem pertama Terminator, di hujung ceritanya heroin berhenti mengisi minyak di sebuah stesen padang pasir. Begitulah kira-kira jika boleh dibayangkan R&R persinggahan kami ini. Tidaklah sekecil itu, tapi keadaan ‘rugged’nya serupa saja. Restoran tiada aircon. Tandasnya pula guna ‘sistem curah’ bukan pam! Ada pili tanpa saluran getah, dan sebuah kendi plastik (macam dalam cerita Aladin). Kalau kecemasan, payah sekali dibuatnya. Mungkin nampak mudah untuk orang lelaki. Sebenarnya, sukar juga mahu uruskan dua helai pakaian ihram yang melilit badan. Kalau gaduh-gaduh, jatuh ke lantai tandas jadi haru-biru.

Sebaik menaiki bas, lelaki di depan mengunjukkan sebuah kotak (bekas tisu). Kenalan yang duduk bersama isterinya di sebelah kanan, berpaling sambil tersengih: “Tabung kebajikan bas!”
Mulanya saya tidak faham. Dia jelaskan dalam ayat yang berbeza, dan lebih panjang: “Sedekah untuk driver. Berilah berapa pun, asal ikhlas! Kalau tidak, lambatlah kita sampai ke Mekah! Dia boleh buat pelbagai karenah!”

Saya pernah dengar cerita tentang pemandu dan kalendan yang mengambil kesempatan terhadap jemaah haji. Mereka mengutip sedekah ‘rela-paksa’. Di tengah-tengah perjalanan begini, jika jemaah tidak menghulur rial, bas kononnya ‘boleh rosak’ dengan tiba-tiba. Dipercayai, ada juga pemandu yang sengaja melencung ikut jalan yang lebih jauh atau buat karenah dengan susur ke situ dan ke sini, akhirnya ‘berpusing-pusing’ ikut jalan yang sama. Hal serupa ini dikatakan turut berlaku ketika dalam perjalanan ke Arafah, Mudzalifah dan Mina. Perjalanan memakan masa setengah jam, boleh memanjang jadi dua jam. Itu parahnya jika tak berikan ‘rial sedekah’ kepada pemandu dan kalendannya.

Atas rasa ehsan kerana mereka ‘cari makan’ dan dapat peluang besar ketika musim haji, saya masukkan dua rial ke dalam kotak yang sudah hampir penuh. Saya lihat kepingan sepuluh rial pun ada! Murahnya hati orang kita. Sebenarnya, takut Tok Arab yang pandu bas mogok tiba-tiba!

Selang dua tempat duduk di belakang, timbul kecoh kecil. Seseorang yang barangkali baru tersedar dari nyenyak, telah membuang kotak tisu itu ke dalam tong sampah. Dalam gelap itu, dan masih kelabu matanya, dia fikir orang di depannya minta dibuangnya kotak itu. Lagipun, kebetulan tong sampah memang terikat di kaki kusyennya!

Kerana dalam bas ada dua baris tempat duduk, maka diedarkan dua kotak tisu kosong sebagai ‘tabung kebajikan pemandu’. Kotak pertama sudah kembali ke depan. Apabila menerimanya dan mula mengira, kalendan mengambil mikrofon dan mula talbiah! Waktu itu, tiada jemaah yang berbuat begitu. Masing-masing letih dan mahu tidur saja.

Tidak berapa lama kemudian, nada talbiah makin kuat dan galak. Kali ini pemandu dan kalendan berpaduan suara bertalbiah! Rupa-rupanya kotak kedua sudah sampai ke tangan mereka. Barangkali ‘rial sedekah’ yang mereka peroleh sudah cukup bagus. Sebab itu bertalbiah dengan nyaring dan ceria di malam-malam buta.

Kalau ditambah penuh satu kotak tisu lagi ‘rial sedekah’ itu, mahu mereka bertalbiah tak henti sampai ke Kota Mekah. Dapat rial, rajin talbiah. Malam itu, perjalanan kami menuju Kota Suci tiada apa-apa gangguan atau halangan. Tidur pun diuliti 'talbiah duet' oleh pemandu dan kalendan. Lunak sekali. Sebutan dan lenggok Arabnya membuai jemaah yang terus terlena.

Permisi. Wassalam.


foto:
Berjamu roti nan di tengah malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan