Karya

Karya

Selasa, 14 Februari 2012

CINTA ABADI (tafsiran Profesor Dr Muhaya)

Kita baca dulu kalimah-kalimah hebat yang dikaitkan dengan 'Cinta Yang Abadi', yang hidup merentasi zaman dalam budaya bahasa kita.

Sumpah yang amat biasa kita dengar:
"Sehidup dan semati!"
"Cinta Sepanjang Hayat!"

Ada tafsiran menyebut kedua-dua ungkapan itu 'laku dan bernilai sewaktu hidup saja'. Jika pasangan sudah pindah ke alam baqa maka terputuslah cinta itu.

Ini pula bukti maha besarnya korban cinta:
"Kerana cinta lautan api sanggup direnangi!"
"Buang emak, buang saudara kerana cinta hamba turutkan!"

Ungkapan yang pertama itu, dari segi gaya bahasa dinamakan 'hiperbola'. Sengaja dibesar-besarkan perkara yang mustahil bisa terjadi! Jika sudah direnangi lautan api, maka mati hanguslah sang jejakanya! Maka menjadi realitilah sumpah 'sehidup semati' itu, kerana seorang masih hidup, seorang lagi sudah mati!

Ungkapan kedua, membawa realiti yang kerap benar berlaku. Semua yang disayangi dalam keluarga ditinggalkan kerana 'lari mengejar cinta'.
Mudah jika diingat kisah sang puteri dari Majapahit meninggalkan kemewahan keraton kerana menagih cinta Laksamana Tuah. Seperti tergambar dalam filem 'Puteri Gunung Ledang'.
Yang harmoni dengan ungkapan ini ialah 'kupujuk-pujuk kubawa lari!'
Relevan bangat kalau dikaitkan dengan peristiwa Sang Laksamana mengenakan guna-guna untuk membawa lari Tun Teja. Tunangannya dirampas, Megat Panji Alam mati ditikam.

Huh, agaknya kerana itulah ada sarjana sejarah mahu 'buang' Hang Tuah daripada susur-galur ketamadunan Kesultanan Melaka. Marah amat sarjana itu kepada Tun Tuah kerana menganjurkan 'cinta terlarang'. Agakan saya, begitulah!

Lantas, apa gerangannya tafsiran Cinta Abadi oleh Sang Profesor?
Mari kita sama-sama menelitinya.

Kira-kira lima minggu lepas, isteri saya mendapat sms daripada pakar motivasi itu supaya 'datang awal, bawa famili, mai makan nasi keboli'.
Besar tapak ipad yang menghantar pelawaan itu, sebuah kereta kami datang!
Sambil menunggu tetamu yang lain, saya dan isteri berbual-bual dengan Sang Profesor. Bersungguh-sungguh dia bicara tentang Cinta Abadi.

Katanya, "Cinta yang abadi itu membawa ke syurga. Jika benar-benar sayangi pasangan (isteri atau suami), kita pasti tidak akan membiarkannya 'berseorangan' sepanjang hayat di alam fana, dan selepas roh seorang daripadanya kembali kepada Penciptanya."

Saya memerah minda, cuba memahami. Isteri saya pula sudah mula mencatat cepat-cepat.

Profesor Muhaya menyambung, "Kita ambil contoh mudah. Seorang suami yang rajin solat tahajud dan witir. Kerap berlaku, ibadahnya berseorangan. Alasan tidak mahu diganggu. Dekat nak masuk Subuh barulah dikejutkan isterinya! Azan berkumandang terus bergegas menaiki kereta. Ditinggalkan sang isteri dengan alasan 'lambat. payah bangun tidur. tak boleh tunggu. nak solat sunat Subuh di masjid!"

Isteri saya berhenti mencatat. Dia mengangguk-angguk. Terasa panahan jelingannya hinggap sebentar di pipi saya! Ugh, ampun!

Pakar motivasi yang mudah mengukir seyumannya, memandang kepada saya sekilas. Waktu itu, hanya bunga-bungaan permaidani bisa hamba tenungi. Tapi benar sekali ungkapannya:

"Mana cinta yang murni itu? yang dilafaz sewaktu ijab kabul? Cinta hanya mekar sepanjang hayat? Kenapa tidak kita jadikan ijab kabul itu sebagai 'sumpah cinta' untuk sama-sama kecapi bahagia hingga ke syurga? Itulah sepatutnya jadi Cinta Abadi kita!"

Perbualan yang hampir menjangkau dua puluh minit itu terpaksalah ditamat jua kerana tetamu dekat dan jauh sudah memenuhi ruang tamu.


Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto: merakam kenangan di suatu majlis penuh manfaat.






2 ulasan:

  1. Artikel menarik. Cinta abadi bagi sang suami memang didambakan oleh seorang yang bernama isteri. Masih mencari dan berdoa..

    BalasPadam
  2. cinta yang murni di dunia ini adalah jambatan cinta abadi di hari kemudian. kita mesti cari. kita mesti usaha. kita tawakal kepada Yang Esa.

    BalasPadam