Kepada sesiapa yang benar-benar luhur cintanya kepada kekasih, maka sesungguhnya tiada tarikh lain yang mesti kita ingat. Tarikh yang sepatutnya kita semua tunggui. Telah hampir tiba saatnya - Hari Memperingati Kekasih. Tarikh kelahiran seorang insan mulia yang berkorban segala-galanya untuk kesejahteraan kita dunia dan akhirat!
Tiada timbangan upaya menyukat maha besar pengorbanannya. Tiada gantian nilai cintanya di alam yang fana! Tiada terbanding peribadi Kekasih kita yang unggul & ulung ini.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Atha' bin Yasar, ia menceritakan:
"Aku pernah bertemu dengan Abdullah bin Amr bin Ash. Lalu kukatakan,'Beritaulah kepadaku mengenai sifat Rasulullah yang terdapat di dalam Kitab Taurat'. Maka ia pun menjawab: 'Baik, demi Allah, sesungguhnya beliau itu disifati di dalam Taurat seperti sifatnya di dalam al-Quran. Wahai Nabi sesungguhnya kami mengutuskanmu untuk menjadi saksi, pembawa khabar gembira, dan pemberi peringatan, serta melindungi orang-orang yang ummi. Engkau adalah hamba-Ku dan Rasul-Ku, Aku menamaimu Mutawakkil. Tidak kasar dalam berbicara, tidak keras hati, tidak berteriak-teriak di pasar, tidak membalas suatu kejahatan dengan kejahatan, tetapi beliau sentiasa memaafkan dan memberikan ampunan. Beliau tidak akan dicabut nyawanya sehingga beliau meluruskan millah (agama) yang telah menyimpang dengan mengajak agar manusia mengucapkan Laa Ilaaha illallaah. Maka dengan hal itu akan terbuka semua mata yang buta dan telinga-telinga yang tuli serta hati-hati yang telah tertutup."
Siapa lagi selain dia, seorang Kekasih yang sangat tinggi prihatinnya kepada kita, hatta sewaktu sudah di hujung hayatnya, diriwayatkan betapa kitalah yang sentiasa disebut-sebutnya!
Jika sungguhlah menerima hakikat bahawa dia adalah kekasih, apakah kita telah melayaninya sebagai seorang kekasih? Atau kita hanya menjadi penadah tangan dan menunggu syafaatnya semata-mata?
Jika kita mengaku sangat sayang kepadanya, dan mengaku bahawa kitalah jua kekasihnya, maka marilah kita sama-sama memperingatinya dengan memahami dan menghayati wasiat yang ditinggalkannya untuk kita:-
"Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tingggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya, yakni Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya."
"Wahai manusia! Sesungguhnya tidak akan ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah swt Tuhan kamu, dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuhanmu (Kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu".
Jangan sekali-kali kita lupa tarikh 12 Rabiulawal, 1433H (5 Februari 2012). Maulid Muhammad Rasulullah SAW.
Inilah 'Hari Memperingati Kekasih' yang sebenarnya!
Permisi. Bisa ketemu lagi.
petikan teks 1: Tafsir Ibnu Katsir (Juz 1, hlm 241) terbitan Pustaka Imam asy-Syafi'i, Bogor:2004
petikan teks 2: dua perenggan daripada Khutbah Arafah yang tersohor, disampaikan oleh Muhammad Rasulullah SAW pada 9Zulhijjah,10Hijrah.
foto:sangat beruntunglah sesiapa berpeluang menziarahi Makam Rasulullah di Masjid Nabawi, dan beribadat di Taman Syurga!
mohon share :)
BalasPadamrakan siber yang dikasihi, tak perlu mohon2. bisa saja dikongsi & disebarkan seluas-luasnya. Konsep 'Memperingati Hari Kekasih' mesti diperbetulkan. Tinggalkan yang lama, yang berkaitan 14 Februari itu. Kita anjak paradigma, jadikan 12 Rabiulawal setiap tahun 'Hari Memperingati Kekasih' - hari kelahirannya.dia pesuruh-Nya yang ulung, dia kekasih unggul untuk kita semua :-) ya Nabi salamualaika
Padam