Hampir dua bulan lepas, seorang ustazah tinggal nota di dinding fb saya: 'falsafah cinta Harleem Dayam bagaimana pula?'
Saya memberikan respon begini: 'tunggu, ya ustazah! akan muncul dengan bergaya!'
Ustazah yang budiman itu sebenarnya merujuk kepada posting di dalam blog saya berjudul "Falsafah Cinta Profesor Dr Muhaya".
Ugh, mohon ampun ya Ustazah. Udah mungkir janji kita. Tidak bisa saya paparkan 'falsafah cinta' yang dimaksudkan itu. Saya jangka lebih awal lagi, hujung tahun sudah bisa dizahirkannya. Ugh, tiada upaya. Tidak mudah rupanya. Sebelum ustazah meluahkan musykilnya, saya sudah berkira-kira mahu menzahirkan 'sesuatu tentang cinta'.
Selama seminggu November 2011, saya menulis liriknya. Waktu itu saya sedang menyiapkan dua manuskrip. Satunya naskhah novel dewasa yang sulung. Keduanya buku umum yang berkaitan ibadah di Tanah Suci. Kerjanya menuntut daya ketahanan yang tinggi. Kerna kerja berkarya ini unik sifatnya, dalam period 'keserabutan dalam tungkus-lumus' itulah, lirik Merah Cinta Kita terbang melintas dalam minda berkali-kali. Bahkan waktu termengah-mengah di atas threadmill pun tidak bisa dibuang gangguan itu.
Sewaktu mengarang liriknya, melodinya pula bermain-main dalam fakulti kepala. Kerna itu, sebaik siap sunting draf akhir, saya cuba melagukannya. Terkial-kial juga merakamnya terus ke notebook. Rakaman yang ketiga barulah rasa lega. Anak sulung saya (Syai), yang pertama mendengarnya. Pada malamnya, ketika anak-anak (Ney-ney, Dek-dek dan Syai) kumpul ramai-ramai lepak dengan Yang Tersayang, saya 'dipaksa' menyanyikan lagu itu. Sambil turut memicit betis Yang Tersayang, saya turuti kehendak gadis bertiga itu.
Begini liriknya:
tanya kepada guru,
apa erti cinta?
tentu jawabnya:
cinta itu ilmu
cinta ada di dalam buku
tanya kepada ibu,
cinta untuk siapa?
lantas dijawabnya: cintai lah dirimu
tanya kepada jejaka,
hebat mana cintamu?
mendabik dadanya, bersuara:
gunung berapi sanggup kudaki
tanya kepada gadis,
apakah ada cinta murni?
bisikan terdengar:
cinta lahir di dalam hati
cinta dan jiwa jadi sebati
jika masih ada musykil
masuk gua ngadap pendeta
tanyalah falsafah cinta
dengar baik-baik tuturnya:
cinta serupa makhluk
cinta punya nyawa
cinta bisa bicara
cinta adalah kita
cinta umpama pokok bunga
perlu disirami mesti dibaja
jadi mekar kelopaknya
hijau segar dedaunnya
cinta kepada ilmu
cinta kepada guru
cinta kepada ibu
cinta kepada dirimu
cinta kepada kawan
cinta sesama insan
cinta kepada alam
cinta yang agung, hanya kepada Tuhan
____________________________________
RIUH-RENDAH suasana di dalam bilik tidur utama dengan gelak ketawa mereka kerana melihat sang ibu pula sudah pun terlena sebelum lagu habis dinyanyikan! Tambah gamatnya apabila Dek-dek pula komen: "Geli dengar ayah nyanyi lagu orang muda! nak bercinta lagi ke?"
Esoknya (22 November 2011), saya emel lirik dan melodi itu kepada Raja Farhan. Minta komen, dan mohon dia menggubah muziknya juga. Siswa bidang muzik ini juga yang menyusun muzik lagu 'Sakeena Penjual Roti'. Dua hari kemudian dia (gelaran glamurnya 'King') menghantar sms:
"sy dgr ok. tp mmg agak bnyk kne improve. so far idea sdap doh dgor. kne ade bnyk adjusmnt kt melodi die. sy kena dgr bnyk kali jgk la. sbb lagu yg pak harleem bg agak susah nk ikut."
Kerana jawapan yang agak 'menakutkan' itu saya tawakal saja. Jadi khuatir 'kos pembikinan' akan naik, pak! Takut kalau-kalau 'bayaran yang ciput' menyebabkan terencat usaha mahu zahirkan lagu ini. Tapi King tidak menyebut apa-apa tentang soal kos itu. Cuma disebutnya juga, penciptaan lagu ini dijangka agak memakan masa. King tidak memberikan tempoh penyiapan yang tepat. Maknanya saya kena tunggu saja,apabila siap dia akan beritau. Ugh, tiada batasan waktu, pak! Sudah begitu pengaturannya, maka saya kembali fokus kepada penyempurnaan dua manuskrip yang terbengkalai diganggu dek lirik dan melodi Merah Cinta Kita.
Tapi yang bagusnya, melodi lagu itu sudah tidak gila-gila bermain dalam kepala saya lagi. Dua manuskrip yang tertangguh berhasil dizahirkan dan dihantar kepada sang editor.
Hari pertama Januari 2012, King menghantar mesej. "Salam Pak, muzik argmnt dh siap. sy tgh tgg Ahnaf free je utk rekod vokal".
Waktu itu saya terikat ketat dengan tugasan menyiapkan cerita kanak-kanak. Kerana sudah memberikan janji kepada editornya, walaupun baru selesai mengarang dua naskhah yang 'agak berat' dan banyak pula halamannya, saya nekad dan tekad meneruskannya. Masa sangat terhad. Sujud syukur ke-hadrat Yang Maha Esa. Dalam sepuluh hari saya berjaya ke garisan penamat (hari terakhir hantar manuskrip). Dalam tempoh sepuluh hari diberikan-Nya kemampuan untuk menulis total 60 halaman, mengandungi enam kisah yang berbeza.
Pada 23 Januari, saya menerima sms tentang lagu itu lagi. Kali ini daripada Ahnaf Jamal (penyanyi utama kumpulan nasyid al-Jebra).
"King dh send lgu kat emel. tlg chck emel pak."
Bergegas saya membawa turun notebook ke ruang famili. Mahu dengar segera lagu itu dengan Yang Tersayang. Kami berdua saja. Anak-anak sudah lama keluar ke pasaraya.
Terharu sungguh mendengar lagu itu. Gubahan muzik King dan alunan suara Ahnaf Jamal begitu mengasyikkan.
Pada awal pagi 14 Februari 2012, setelah mencuba selama empat malam berturut-turut (mula jam dua belas hingga empat pagi), berjaya jua saya menyiapkan video klip Merah Cinta Kita yang dimuatkan ke youtube.
Wahai ustazah, silalah dengar lagu yang menggendong 'Falsafah Cintaku'!
Permisi. Bisa ketemu lagi.
ilustrasi 1&2: watak utama dalam 'Ella Gadis Pencegah Maksiat'. Kisah yang terkandung dalam siri pertama Merah Cinta Kita terbitan GrupBuku Karangkraf. Penghasilan karya untuk antologi itulah yang menjadi inspirasi penciptaan lagu berkenaan.
foto: pengalaman hidup di England mencetuskan ilham 'Kasut Bola Syafika' yang termuat dalam Merah Cinta Kita siri ketiga.
potret: Ahnaf Jamal. Suara lunak, orangnya hensem! Arkitek muda ini adalah penyanyi utama kumpulan al-Jebra.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan