Karya

Karya

Khamis, 9 Februari 2012

MAHU TIKET EKSPRES KE SYURGA?

Soda gembira, ais kacang special sudah separuh disedut dan dihirup. Makanan belum sampai kerana waktu begini (setengah jam lepas Maghrib) restoran tomyam ini mulai sesak dengan pengunjung. Rata-ratanya datang dengan famili. Waktu Berita Perdana sama dengan Waktu Makan Perdana bersama famili. Gaya hidup orang kita, komuniti Melayu pinggir kotaraya!

"Haron, tengok tu! Tabung Haji dah kena lagi!" Sudu seramik yang terisi sebiji laici dan cairan kemerahan ais kacang special tidak jadi disuapkan ke mulutnya. Lelaki berkepala botak, janggut dan kumis bertaut ala John Travolta dalam From Paris With Love itu memfokus pandangan ke televisyen.

Haron yang berkopiah dan berjubah menghirup air soda gembira. Matanya turut fokus kepada paparan berita utama.

"Dajjal betul! Sanggup tipu macam tu. Dulu sindiket songlap juta-juta ringgit. Ni sindiket Haji Ekspres pulak!" Lelaki bergaya John Travolta itu mengunyah perlahan-lahan buah laici yang terendam dalam sirap ais kacang. Matanya masih terkunci ke kaca tv.

"Haji Ekspres? Sidek, nampak gaya Dajjal tak sempat nak turun, macam-macam kerosakan dah terjadi di negara kita!"
Kedua-duanya berhenti menghirup dan menyedut. Nasi paprik, ayam goreng kunyit, telur dadar, dan nasi goreng kampung sudah dihidangkan di atas meja.

Selepas pelayan berbaju 't' lengan pendek, berseluar hitam sendat itu pergi, kedua-duanya belum menjamah hidangan kerana memberikan tumpuan ke visual seorang kenamaan sedang bicara di kaca tv.

"Kamu rasa betul alasan tu? Sindiket buat kerja haram tu kerana ada permintaan? Kerana ada orang yang nak pergi Haji cepat. Tak mahu ikut giliran! Kerana ada orang sanggup bayar, ada pulak yang jadi kaki putar, terus buka bisnes Haji Ekspres!"

Sidek sudah mula memegang sudu dan garpu. Dicarik-carikkan telur dadar yang masih panas-panas. Wap melengggang naik. Terburai isi dan kuah yang nampak begitu menyelerakan.

"Siapa tak mahu, kalau offer bagus. Top-up sikit saja bayaran, dapat segera ke Tanah Suci. Dapat tawaf keliling Kaabah. Dapat kucup HajarulAswad. Dapat solat di Masjid Nabawi 40 waktu. Dapat ziarah makam Rasulullah. Dapat beribadat di Raudhah. Taman Syurga tu!" Haron sudah menyuapkan sesudu sayur campur berkuah yang mengiringi nasi padpriknya.

"Kamu ni, dah jumpa makanan, akal dah songsang. Kamu ingat boleh dapat Haji Mabrur kalau buat macam tu?" Sidek mengunyah secarik telur dadar dengan sesudu nasi goreng kampung.

Haron ketawa kecil. Dia merenung wajah Sidek seketika. "Dapat tiket ekspres ke syurga. Err...maksud aku, ke Taman Syurga! di Masjid Nabawi! Tawaran hebat tu!" Terbatuk kecil Haron. Segera disedut air soda gembira. Dia menggeliatkan lehernya.

"Tak takut dosa? Tak takut balasan Tuhan? Tak takut kalau kena bala waktu kerja Haji? Buat jenayah, kemudian pergi Haji! Gerun aku!" Sidek menggetus. Dia mengesat bibirnya dengan tisu.

Haron meneguk air suam. Dia turut mengesat bibirnya, tapi dengan tangan. "Kamu rasa, ada tak orang-orang yang pergi umrah atau haji tu, yang sebenarnya memang biasa buat maksiat dan jenayah?"

Sidek kerut dahi dan muncung mulut.

Haron tersengih. "Jangan peliklah, Sidek! Haji Ekspres tu...jenayah jugak! jenayah bidang baru! buat jenayah, lepas tu pergi taubat di Mekah. mohon ampun di Taman Syurga!"

Sidek mendecit. "Kalau macam ni, kita tak boleh diam. Geram aku dah jadi marah nih! Lepas Isyak kita singgah rumah Ir Solehin. Pengerusi surau kita tu banyak tahunya. Jurutera tapi hafiz. Masa buat Phd di England, sempat dia celah pergi buat degree pengajian Islam di Jordan. Dah masuk lima enam tahun jadi penceramah Haji."

Haron mengangguk. "Molek benar tu. Kita tegang leher kat sini tak habisnya. Baik tanya dia. Lepas tu, masuk dalam blog. Dalam facebook. Kerja kebajikan tu! Lebih molek daripada kita duk tuding jari. Cari kesalahan orang lain! nak jatuh hukum, ilmu nipis kulit bawang!"

Sidek tak sempat menjawab. Perbualan itu terputus di situ. Azan Isyak berkumandang. Kedua-dua sahabat itu tergesa-gesa ke kaunter bayaran. Mereka mahu segera menapak ke surau yang kira-kira tiga ratus meter saja dari restoran tomyam itu.

Malam esoknya, Sidek masukkan posting baru dalam blognya "Wahai Jiwa Yang Tenteram". Begini yang dicatatnya:-

Sebab berlaku kes Haji Ekspres.

1. Haji & Umrah sudah menjadi alat komersil. Ketamakan membutakan mata hati. Keuntungan berlipat-ganda diraih dengan mengambil kesempatan keghairahan jemaah mahu menunaikan haji atau umrah.
2. Sebelum ini, kerap sangat berlaku jemaah Haji dan Umrah tertipu. Wang disonglap oleh agen. Jemaah terkandas di dalam negara. Sindiket Haji Ekspres itu adalah lanjutan daripada jenayah kecil-kecilan itulah.
3. Dalam keghairahan mahu ke Tanah Suci, sebahagian daripada kita telah lalai. Seumpama lalainya sebahagian orang yang solat. Balasannya? Allah menyebutnya dalam ayat 4&5 surah al-Maa'uun, "Maka celakalah bagi orang-orang yang sembahyang. Yang mereka itu lalai dalam sembahyangnya".

Cara membanteras atau mengatasi.
1. Sistem IT (urusan haji) di Tabung Haji mesti kebal. Duit yang banyak, mesti dilabur kepada kecanggihan peralatan, kemantapan sistem, dan kecekapan pengurusan.
2. Kerana sistem giliran 'memenatkan', manakala rayuan atau tambahan kuota tiap tahun itu belum gerenti berhasil, maka ada baiknya jika pihak kerajaan menjalin kerjasama dan persefahaman dengan negara Nusantara. Mana-mana 'kuota haji' negara masing-masing tidak terpenuh, boleh saja 'diberikan' kepada jemaah Malaysia melalui kaedah-kaedah tertentu yang sistematik dan munasabah.
3. Tabung Haji mesti post mortem segala hal yang berkaitan sistem pengurusan haji. Mesti dicarigali punca masalah Haji Ekspres ini ke akar umbinya. Menghukum yang salah itu wajar. Tapi mencari puncanya dan membawa jalan penyelesaian suatu kewajipan!
4. Tabung Haji sendiri usahlah turut 'berlumba' dalam 'keghairahan sesetengah pihak' mengaut keuntungan besar atas urusan ibadah haji dan umrah. Tabung Haji harus waspada supaya tidaklah kelihatan 'ligat promosi' pakej-pakej yang ketara nilai komersilnya! Nanti kita berasa puas hati menghukum penjenayah, walhal orang melihat kita sendiri (TH) tidak lebih daripada 'menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

foto 1: terowong tembus ke Kompleks Jamrah. Jemaah bersedia merejami iblis-syaitan.
foto 2: kesesakan di musim Haji kerana manusia berlumba-lumba mahu mendapatkan redha, rahmat dan hidayat-Nya. Haji yang mabrur, tiada lain balasannya kecuali syurga!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan