Jumaat 17 Februari, 8.08 malam. Sepang.
Kami bertiga baru saja keluar dari Masjid Sultan Abdul Samad, sewaktu sms timbul di skrin handphone.
'Takpe dtg aja. nasi dagang menunggu.'
Ney-ney dan Dek-dek agak keberatan. Alasannya: 'segan sampai lewat'.
Hati membisik, 'Ugh, resmi anak dara! jadi segan, tak reti atur angkah, dalam suasana orang lain berpaling dan memerhati! gabra. gabra. gabra.'
Mulanya rasa ingin mengusik. Tapi saya tidak zahirkannya. Takut terus memberontak kedua-duanya, langsung tak jadilah kami menunaikan jemputan tuan rumah.
Kempunan nasi dagang lauk 'ikan aya dan acar' okay lagi. Yang sayangnya jika terlepas majlis ilmu yang dihoskan oleh Profesor Dr Muhaya. Dalam dua bulan ini, semacam jadi rutin pula kami menyertainya (atas undangan). Biasanya kami pergi awal. Sebelum Maghrib sudah tiba di Villa as-Sohwah.
Walaupun membayang riak keengganan daripada tutur kata dan gerak badan, ketika membelok ke kawasan parkir villa, tiada pula terzahir protes apa-apa daripada kedua-dua anak dara itu. Mungkin kerana rasa lega, kami bukan orang terakhir yang sampai! Ada empat lelaki dan perempuan baru keluar dari kereta juga. Lagipun majlisnya pula baru bermula. Barangkali teruja kerana dapat tahu Ustazah Asni al-Hafizah akan hadir juga sebagai tetamu istimewa.
Ugh, macam biasa nampaknya. Dalam majlis sebegini, barisan kerusi paling depan betul-betul dekat dengan Ustaz Fauwaz banyak yang kosong. Yang jadi mangsa, orang paling akhir sampai. Terpaksa duduk di barisan paling depan. Bagus juga, dapat dengar dengan jelas huraian penceramah.
Ketika membetulkan duduk, terdengar usikan, "Duduk paling depan, bolehlah jadi best student!"
Fokus! Fokus! Jangan dilayan. Majlis ilmu bukan tempat nak berkelakar!
Ustaz Fauwaz menyambung tafsiran surah al-Alaq.
Intipati mukadimahnya menarik sekali.
"al-Quran diturunkan oleh Allah untuk akal, kemanusiaan dan tamadun."
Molek benar bicara kita kali ini bertolak daripada premis yang sarat mesej tersirat dan tersurat itu.
Apa kaitannya dengan surah al-Alaq yang merupakan ayat-ayat suci yang pertama diturunkan kepada Muhammad SAW?
Firman Allah yang dibawakan oleh Jibril itu adalah tanda pertabalan Muhammad sebagai Rasulullah. Ia peristiwa agung dalam tamadun manusiawi. Ia merupakan titik mula penurunan wahyu dalam tempoh 23 tahun, yang membawa perubahan maha besar kepada cara hidup dan akalbudi manusia. Cerita, hujahan, huraian dan gambaran yang terkandung di dalam al-Quran sebenarnya mencabar kemampuan akal. Allah perintah kita supaya berfikir!
Surah al-Alaq itu sendiri sudah membuktikan hal ini. Dalam ayat 9 hingga 14 misalnya, Allah melontarkan suatu 'cabaran minda' yang sarat dengan falsafah hidup manusiawi. Memilih jalan yang benar atau kekufuran. Dialog Allah dengan pesuruh-Nya itu membentangkan isu tentang manusia yang angkuh, tidak bersyukur dan menyimpang daripada 'jalan hidup yang benar'. Angkuh dan kufurnya mereka sehingga berani menghalangi orang lain melakukan ibadah kepada Allah.
Begini terjemahan ayat-ayat (9 hingga 14) itu:-
'Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang, seorang hamba ketika dia mengerjakan shalat? Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu berada di atas kebenaran, atau dia menyuruh bertakwa (kepada Allah)? Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling? Tidakkah dia mengetahui bahawa Allah melihat segala perbuatannya?'
Watak antoganis yang disebut dalam ayat berkenaan ialah Abu Jahal bin Hisham. Diriwayatkan (Imam Ahmad, at-Tirmidzi, an-Nasa-i, dan Ibnu Jahir*) dialah yang cuba menghalang Rasulullah solat di depan Kaabah.
Namun pembalasan yang dahsyat sudah menunggu jika Abu Jahal meneruskan niat jahatnya itu.
'Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian), niscaya Kami tarik ubun-ubunnya'. (al-Alaq:15)
Apakah perintah Allah kepada hamba-Nya ketika menghadapi situasi yang genting, didatangi bahaya ketika berhajat menunaikan perintah-Nya?
'sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh kepadanya; dan sujud serta dekatkanlah (dirimu kepada Rabb)'(al-Alaq:19).
Berkaitan dengan ayat ini, di dalam Shahih Muslim*, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Saat paling dekat antara seorang hamba dengan Rabb-nya adalah saat dia melakukan sujud. Oleh kerana itu, perbanyaklah doa."
Akhirnya, bisa kita rumuskan:
1. Allah memberikan kita akal untuk berfikir mengenai keimanan dan kekufuran.
2. Ketika dalam kegentingan atau kedamaian, hanya kepada Allah kita tawakal.
3. Mukmin sejati tidak gentar berdepan dengan musuh atau apa jua halangan dalam menegakkan kalimah Allah.
4. Ketika solat, itulah saat paling hampir kita dengan Allah. Kita bisa bicara tanpa selindung dengan-Nya. Lantas, janganlah lalai dalam solat! Kerna saat kita sujud dalam solat itu adalah suatu waktu yang kudus. Ketika itulah seorang insan sedang berinteraksi sepenuh jiwa dan raga dengan Yang Maha Esa.
Permisi. Bisa ketemu lagi.
*nota: terjemahan surah al-Alaq dan kutipan hadis diambil daripada Tafsir Ibnu Katsir (juz 30, hlm 503-508)
foto: Ustaz Fauwaz dan Ustazah Asni Abu Mansor - orang muda yang berilmu dan arif al-Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan