Karya

Karya

Khamis, 2 Februari 2012

"SANG DOKTOR PERAWAT JIWA"

Mari kita renungi kisah-kisah berikut:-

1)Lama dulu, seorang doktor pernah bercerita tentang tabiat seorang kawannya, yang juga pesakit regular di kliniknya di tengah-tengah Kota Darul Iman. Selalunya, kawannya itu akan muncul kerana sakit kepala. Datangnya ke klinik itu tiada lain, nak minta doktor berkenaan memberikan satu dos suntikan. Dengan ceria sang pesakit akan beritau si perawatnya: "Kalau sakit kepala, datang cucuk kat klinik ni, mesti lega. Hilang terus bengang dan loya!" Entah kenapa, sang doktor beritaulah rahsia mujarab suntikan itu (tidak dibocorkan kepada pesakit berkenaan). Sebenarnya, penawar yang dicucuk masuk ke bahu pesakitnya itu tiada lain, hanyalah air kosong semata-mata. Jika tiada mineral, dimasukkan ke dalam picagari itu air mati saja. Kata sang doktor lagi, "Kesannya serupa. Pesakit tetap gembira. Sakit kepala tetap hilang jugak!"

2)Semasa duduk mengaji di Kampus Lembah Pantai, tempat yang selalu saya kunjungi bersama rakan-rakan sebilik ialah Asrama YPM di Bangsar. Letaknya sepelaung saja dari Kompleks NST. Dua sebab kami gemar ke situ. Kerana ramai kawan sekuliah & budak-budak dari Ganu menginap di situ. Sebab lain, di sebelah bangunan NST itu terdapat deretan gerai menjual pelbagai makanan yang sedap-sedap tapi harganya bagus. Sesuai dengan bajet budak-budak U. Kalau baru dapat biasiswa, situlah tempatnya kami naik motor ramai-ramai (tak rempit pulak!) menjamu selera. Suatu waktu, saya dan Syukri berjalan santai menuju Asrama YPM. Kami berselisih dengan seorang khunsa. Tak disangka, dia menyapa, "Hi, beauty!" Ungkapan itu ditujukan kepada Syukri. Rupa-rupanya, maknyah itu nak mengurat Syukri yang memang 'jambu'orangnya.

Tidaklah Syukri memberikan respon. Lepas jauh sikit barulah kami pakat gelak kerana teringatkan ceramah yang disampaikan seorang ahli motivasi. Diselitkannya cerita tentang sekumpulan maknyah yang suka 'melepak' di suatu kawasan gelap yang cukup terkenal di Kotaraya KL. Kumpulan ini punyai seorang 'doktor peribadi'. Jika keuzuran, maka ke klinik kepunyaan doktor itulah mereka mendapatkan rawatan. Tidak mungkin ke klinik yang lain. Alasannya? "Doktor di klinik itu handsome! Tengok wajahnya saja, rasa hilang semua penyakit!"

3)Kira-kira dua minggu lepas, saya berkesempatan tumpang dengar nasihat seorang pakar mata dan motivator yang terkenal kepada sekumpulan doktor muda (masih jalani housemanship belaka). Antara lain, Profesor Dr Muhaya mengatakan:
"Cubalah buatkan supaya pesakit sentiasa berasa kondisi diri mereka bagus! Jangan ditambahkan sakit yang mereka alami. Rawati mereka dengan budiman dan penuh kasih sayang. Kadangkala, yang perlu dirawati bukan sakit fizikalnya, tetapi jiwanya!"
Diceritakannya, suatu hari seorang pesakit menghantar sms terisi gundah-gulana kerana kesakitan yang dihadapinya.Waktu itu, Sang Profesor baru saja selesai menjalankan pembedahan. Sebaik membersihkan dirinya, pakar mata itu pun respon sms pesakit berkenaan dengan nasihat ringkas tentang ketabahan dan kesabaran.

Cepat sekali pesakit itu membalas pula. Nadanya penuh ceria. Katanya sms yang dihantarkan oleh Profesor Muhaya sungguh melegakan hatinya. Dia berasa sungguh gembira dan bersyukur. Khuatirnya hilang, sakitnya terasa lebih ringan!

Permisi. Bisa ketemu lagi. Senyum sokmo!


foto 1: Profesor Dr Muhaya bersama sekumpulan doktor muda dari Serdang.
foto 2: Senyuman yang menjadi penawar!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan