Karya

Karya

Rabu, 10 Ogos 2011

MEMORI HAJI 2010: “MERANA KERANA TERMAKAN RACUN!”

Tiga hari tinggal di Madinatul Munawwarah, saya berhadapan dengan masalah besar. Wuduk tidak boleh bertahan lama. Jika di Masjid Nabawi, selepas solat Maghrib misalnya, lepas salam mesti tergesa-gesa ke tandas. Almaklum, tandas di sini walaupun banyak, bersih dan selesa, letaknya bukan bersebelahan pintu masuk masjid seperti rekabentuk lazim masjid atau surau di Tanah Bonda. Tandasnya di paras bawah tanah! Memang mudah kerana ada eskalator. Tapi kerana orang ramai (biasanya sebelah malam dari Maghrib ke Isyak), terpaksalah menapak di anak tangga. Nak meloncat cepat-cepat mana boleh. Silap langkah terlanggar orang di depan kita, boleh tergolek sampai ke bawah!

Sudahlah begitu, dengan banyaknya ‘peralatan’ yang ada di badan (dompet, jam tangan, cincin, kopiah, kad pengenalan jemaah, kad perubatan, buku al-maathurat, buku koleksi surah pilihan, telefon), maka jadi susahlah pula kita mahu buka pintu tandas dan terus ‘melepaskan dendam’. Mesti dibuka dulu vest poket banyak. Tidak boleh terburu-buru. Jika terlalai habislah bertaburan peralatan yang ada di dalam poket yang banyak itu. Sukar bangat mahu dikutip, jika sudah terdampar di atas lantai tandas yang digenangi air. Lagilah leceh jika kita masuk tandas yang baru saja digunakan orang lain. Air yang berladung yang ditinggalkan mesti dipancur dulu. Geli sekali mahu injak di atas ‘air kumbahan’ orang lain. Lagi haru-biru jika ada nampak sisa-sisa yang ditinggalkan di lantai!

Kalau pakai jubah lagi sukar. Kena selak dan ikat di perut. Apatah lagi jika dipakai dengan seluar Afghan yang tiada zip. Itu yang menyebabkan apabila keluar tandas, terpaksa balik semula ke Hotel Movenpick kerana seluar dan jubah sudah tercemar.

Tiga empat hari saya berkeadaan begitu. Pergi ke klinik TH luah kesusahan kepada HA bertugas, jawapannya mudah: “Haji kena doa banyak-banyak. Ini bumi berkat. Setiap kali keluar dan masuk Masjid Nabawi, jangan lupa minum air zam-zam. Istighfar. Solat taubat. Mohon ampun kepada Tuhan. Kadangkala kita buat dosa tak sedar!”
Tekanan darah normal – atas 125, bawah 85. Jauh lebih baik daripada prestasi ketika di Tanah Bonda.

Malahan ketika menghadiri sesi pemeriksaan kesihatan untuk menentukan 'kebolehan' berangkat ke Mekah (syarat utama ini), tekanan darah tinggi juga. Bacaannya 170 per 95. Doktor wanita yang punyai autoriti buat pengesahan lulus atau gagal jadi teragak-agak. Saya pun goreng lebih sikit. Dengar saja perihal profesion Yang Tersayang, dia terdiam dan terus tenyeh tanda tangan, dan conteng tanda betul dalam kotak kecil sebelah perkataan ‘lulus’. Tapi sempat berpesan juga: “Jangan lupa bawa ubat. Bekalan ubat biar lebih. Kalau tak sihat, susah nak ibadat.”

Rasa hampa sungguh kerana nasihat HA di klinik TH supaya minum air zam-zam dan doa banyak-banyak itu, sebenarnya sudah jadi koman dan tidak terpakai pun. Malahan terasa macam diperli pula. Saya memang dah buat begitu, dah jadi amalan di sini, sebelum pergi luah merana badan di klinik. Nak beritau Yang Tersayang, tidak sampai hati. Khuatir ganggu pula keseronokannya beribadah di Masjid Nabawi. Sayang isteri jangan kasi tau yang buruk-buruk. Merana badan bisa ditanggung sendiri, pak!

Terasa juga dengan kata-kata HA hinggakan timbul detakan dalam hati: Ya, Allah! Kenapalah Engkau hukum aku begini. Aku mahu beribadat. Aku mahu duduk lama-lama di Masjid Nabawi. Segeralah sembuhkan penyakitku ini! Ampunlah aku. Aku berdosa kepadaMu!”

Esoknya saya pergi sekali lagi ke klinik. Kali ini HA uji paras gula. Kemarin dia tak buat begitu kerana saya tak puasa dulu sebelum ke klinik. “Tinggi ni, Haji! Kena control. dah 17. Kalau naik lagi, kena masuk wad.”

Gundah-gulana jiwa dibuatnya. Sebelum melangkah keluar saya singgah di meja sang doktor. Dia berseorangan dah nampak relaks sekali. Orangnya masih muda. Saya ucap salam, dan mohon apologi sambil tarik kerusi di depan mejanya. Sopan sekali dia melayan saya. Tuturnya pekat loghat Kelate. Saya pun kecek Kelate juga. Saja nak wujudkan semangat ‘kekitaan’. Selesai saya luahkan merana badan, sang tabib muda tersenyum seraya berkata: “Abe Haji tak usah bimbang. Cuba jangan makan nasi sehari dua ini.”

Musykil sungguh saya. Segera mahu mencelah. Sang tabib muda lebih dulu memintas: “Nasi yang dipakej untuk jemaah muasasah, kandungan kanjinya tinggi. Itu sebab gula dalam darah Abe Haji naik. Usah bimbang. Cuba dulu, esok lusa datang check semula.”

Atas nasihat sang doctor, saya berpantang tak makan nasi selama dua hari. Tidak sukar untuk berbuat begitu. Di sini, kita punyai banyak pilihan selain nasi putih disediakan oleh pihak catering muasasah. Tidak jauh dari Hotel Movenpick ada medan selera. Sebut apa mahu. Pelbagai makanan ada untuk melayan selera anda. Nasi beryani, kebab, sandwich, ayam panggang, ayam goreng, burger, kentang & ikan, roti canai, dan murtabak (senarainya lebih panjang). Bahkan bakso ‘goyang lidah’ pun ada!

Minuman pula, jika jusnya memang tulen. Benar-benar terasa perahan buahnya. Bukan perisa dari Siam! Itu pengalaman masa datang tunai Umrah 2009. Tapi kali ini saya tak berani cuba. Masih dalam pantang. Selama dua hari, saya hanya minum teh (campur susu cair) tanpa gula. Enak sungguh rasanya teh Arab! Makanan pula bergiliran. Kalau tidak roti Arab (cecah kuah kari ayam), maka sandwich telur atau sardin. Ketika masuk masjid, teguk dua gelas air zam-zam suatu kemestian. Berdoa mohon kesembuhan dan keberkatan rezeki pula, jadi lebih bersungguh-sungguh sebelum gelas plastik menyentuh bibir. Saya lakukan juga solat sunat taubat. Dalam tempoh sebulan sebelum terbang ke sini, dua tiga kali juga saya melakukannya.

Perubahan mulai dirasai. Saya sudah boleh berada di masjid dari Zohor hingga Asar. Duduk dari Maghrib sampai Isyak juga tidak menimbulkan masalah apa-apa. Tiada desakan untuk bergegas ke tandas.

Selepas dua hari berpantang begitu, saya kembali ke klinik. Doktor muda entah di mana. HA ambil secalit darah dan uji. Dia memandang saya berkali-kali. “Turun banyak ni, Haji! Takat paras lima saja. Guna ubat apa?”

Saya senyum lebar. Kalau boleh mahu senyum lebar maksimum sampai cuping telinga. Sambil berjabat tangan saya tuturkan kepadanya, “Minum air zam-zam, istighfar dan banyak berdoa!”

Apabila sudah terasa segar-bugar, boleh bertahan hingga enam tujuh jam tanpa desakan ke tandas, barulah saya ceritakan pengalaman ‘menakutkan’ itu kepada Yang Tersayang. Dalam kesyukuran dia bercerita tentang rakan sejawatnya: “Dua pakar perubatan itu, badan mereka slim saja macam Aznil Nawawi. Ada kawan-kawan tanya apa rahsianya. Kedua-dua doctor lelaki ini memberikan jawapan yang serupa: Kami tak makan nasi. Dah lama sungguh tak sentuh nasi. Kurang-kurang sepuluh tahun. Bagi kami, nasi itu racun! Mudah jadi gemuk. Mudah datang ‘maut tiga beradik’. Diabetes. Darah tinggi. Sakit jantung!”

MasyaAllah. ‘Kesakitan’ saya selama tiga empat hari, sentiasa tidak dapat melawan ‘panggilan tandas’, rupa-rupanya kerana makan nasi yang kadar kanjinya tinggi. Patutlah nasi yang tersedia di dalam pek ini agak melekit macam terkandung pulut pula. Saya tidak pernah makan nasi yang rasa begini di Tanah Bonda.

Saya bertekad tidak akan makan nasi yang disediakan pihak caterer muasasah. Bukan menolak rezeki. lagipun, jika saya tidak ambil pek berkenaan, bisa saja diambil sebagai nasi tambah oleh jemaah lain. Saya tidak sanggup menjamahnya, kerana nasinya dah jadi racun untuk saya. Saya tidak mahu merana lagi kerana termakan racun!

Permisi. Wassalam.


foto 1: tong air zam-zam di dalam Masjid Nabawi. Bekalan tidak pernah putus walaupun air baraqah ini diteguk ratusan ribu jemaah tiap hari.
foto 2: merpati dua sejoli. Haji Rosli dan isterinya (Hajjah Rositta)bergaya di depan restoran Si Doel Anak Madinah. Di sini ada bakso 'goyang lidah', dan sup buntut!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan