Kenapa ‘penjual roti’ tidak ‘peniaga nasi lemak’ atau ‘mat burger’? Menjadi suatu teka-teki pula ekoran musykil yang ditimbulkan oleh Ney-ney, apabila saya menyebut tajuk yang akan digunakan untuk cerita bersiri ini. Dek-dek dan Syai masing-masing cuba memberikan jawapan. Maka bergiliran dan bercelahan timbul pelbagai sebab. Rata-rata dikaitkan dengan diri saya. Ini antara yang molek diturunkan di sini (tidak disusun mengikut dulu kemudian):-
ayah suka roti inti kacang.
ayah dalam pantang, nak kurang makan nasi.
kawan ayah penjual roti.
ayah bercita-cita nak buka kilang roti.
ayah rindukan kelembutan roti England.
ayah pernah kerja di kilang roti.
ayah suka makan roti kapit ais krim.
Dalam gelak ketawa dan saling mengusik, tiga gadis yang duduk bersama saya melingkungi meja batu, terus mahu menegakkan ‘kebetulan dan kebenaran’ masing-masing. Sebenarnya, jawapan mereka tiada yang ‘benar-benar’ betul, dan tiada pula yang ‘betul-betul’ salah!
Jawapan yang ketujuh, diberikan oleh Ney-ney itu paling menarik. Kerana memang itu kegemaran saya. Kalau bersolat Jumaat di Masjid Sungai Ramal Dalam, sebelum ke kereta saya akan beli roti kapit aiskrim. Harganya hanya seringgit. Sedap bukan main dimamah ketika mentari masih garang. Ada dua orang penjual aiskrim bermotosikal yang berniaga di tempat parkir kereta, bersebelahan sekolah rendah agama. Di seberang jalan pula sekolah rendah kebangsaan.
Sasaran jualan kedua-dua penjual aiskrim itu sebenarnya bukan orang seperti saya. Bukan orang dewasa atau jemaah yang selesai solat Jumaat. Murid-murid daripada kedua-dua sekolah itulah sasaran mereka. Seorang penjual yang lebih muda (umur pertengahan tiga puluh), jadikan pondok bersebelahan tembok sekolah agama sebagai tempat niaga. Seorang lagi yang gempal (usia cecah lima puluh), stesennya berhampiran budak-budak sekolah rendah kebangsaan berkumpul sebelum melintas jalan. Dua-dua tempat ini memang strategik ‘dipasang pukat' untuk jual ais krim.
Jawapan Ney-ney itu betul sebahagian saja. Ia berkaitan dengan ‘roti kapit aiskrim’ yang jadi kegemaran saya ketika balik dari solat Jumaat. Itu saja. Bukan sebab itu saya memilih ‘penjual roti’untuk membina cerita kanak-kanak ini. Lagipun, roti kegemaran saya itu dibeli daripada penjual aiskrim bukan penjual roti.Yang betulnya, ia berkaitan dengan pengalaman hidup merantau agak lama di England. Spesifiknya di kawasan perumahan Cobridge tempat kami dan beberapa keluarga Melayu tinggal. Suatu keunikan di situ, setiap pagi akan muncul penjual susu (The Milk Man), memasuki setiap lorong.
Seorang lelaki mat salih yang pakai topi dan uniform serba putih, memandu perlahan-lahan van kecil (macam penjual cendol) warna putih. Di lorong kami (Elderly Street), dia akan singgah di beberapa buah rumah. Mengutip botol-botol kosong, digantikan dengan botol baru dipenuhi susu segar.
Memori tentang keunikan itu datang mengusik berkali-kali. Saya mulai terasa inilah yang akan menjadi ‘pokok penceritaan’. Tapi tidak mungkin saya menulis perihal penjual susu yang pandu van. Itu tidak ada, dan tidak berlaku di tempat kita.
Suatu hari, sedang membuka pintu pagar (sementara menunggu Ney-ney bersiap-siap untuk ke sekolah), ‘detik eureka’ itu pun menjelma. Seorang penjual roti (memang dia saja yang setiap hari berniaga di taman kami) membunyikan hon beberapa kali, tiba-tiba membrek hampir dengan saya. Tidak pernah sebelum ini saya membeli apa-apa daripadanya. Saya tidak tahu pun siapa dia.Rupa-rupa dia mahu bertanyakan jiran saya yang sudah dua hari ke Pulau Pinang. Saya tidak terus memberikan maklumat itu, khuatir dia ada tujuan lain bertanya begitu.
“Sudah dua hari saya masukkan roti ke dalam mail box. Dia order roti kaya spesil. Ini hari, saya nampak ada plastic roti dalam mail box. Itu roti tak tahan lama. Cepat rosak. Encik kasi tau sama dia. Duit dia sudah bayar. Tapi roti sudah rosak. Kalau dia pulang, kasi tau, saya ganti lain juga!.”
Barulah saya tahu namanya Syed Ahmed Khan. Selepas berkenalan dan tambah mesra, saya membeli sebungkus roti berinti kaya. Nampak lembut, dan baunya menyelerakan. Kemudian terlintas idea lain. Saya segera ke pintu, dan meminta Ney-ney membawa turun kamera digital.
Saya mohon izin ambil gambar. Syed Ahmed Khan tanpa teragak-agak, dengan senyum lebar beri permisi. Lepas saya selesai ketik kamera, penjual roti yang ramah itu berpesan: “Kalau sudah siap, jangan lupa, encik kasi sama saya! Berapa harga, saya bayar juga.”
Malam itu, ketika melihat empat keping gambar Syed Ahmad Khan di krin notebook, dalam fakulti kepala sudah terlakar jalan cerita yang berkisar kepada seorang penjual roti. Kerana ingat akan pesan Filza Sang Editor (dia mahukan dalam karya saya seterusnya, watak perempuan jadi yang utama), saya ambil ‘white-board marker’ warna merah. Saya tulis besar-besar di atas kertas A4, dan tampal di dinding: SAKEENA PENJUAL ROTI.
Permisi. Bisa ketemu lagi.
foto 1: satu dari halaman ilustrasi yang telah diluluskan editor (sebelum dimasukkan teks).
foto 2: kulit depan yang dibaiki untuk kali kedua.
nota: dukacita kerana foto asal Syed Ahmed Khan tidak boleh dipaparkan. Belum dapat izin, pak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan