Karya

Karya

Isnin, 8 Ogos 2011

IDEA DI ATAS KERTAS (2): KELAHIRAN ‘SAKEENA PENJUAL ROTI’

Kita mula kali ini dengan melakukan ‘balik kuang’. Kita kembali memfokus kepada soal ‘bagaimana ilham Sakeena itu datang’? Ini sebenarnya soalan ‘cliche’ yang berkaitan pula dengan yang berikut:-

Bagaimana awak tulis cerita ini?
Saya tersekat, tak tahu nak sambung lagi!
Apa nak ditulis?
Fikiran ‘blank’. Saya tak boleh nak tulis.

Soalan yang nampak mudah, jawapannya berbeza-beza mengikut penulis dan karya yang berbeza. Untuk Sakeena Penjual Roti (SPR), langkah segera yang saya ambil ialah meminjam buku cerita kanak-kanak daripada editor Nurfilzah Wahidon (Filza). Saya mahu menekuni konsep, olahan, gaya bahasa, plot, latar dan perwatakan dalam buku-buku berkenaan. Buku cerita yang sudah diterbitkan, telah melalui proses penapisan yang ketat termasuk penyuntingan teks.

Editor yang berfungsi sebagai ‘the gatekeeper’ sesebuah syarikat penerbitan (dalam konteks ini Filza di Buku Prima – sebuah entity di bawah Grup Buku Karangkraf) mempunyai set piawaian tersendiri yang perlu dipatuhinya. Lantas, menekuni buku cerita kanak-kanak yang sudah diterbitkan, bermakna kita mencari aspek-aspek tertentu (misalnya: gaya bahasa, olahan, perwatakan) yang berjaya memenuhi ‘kehendak editor’ sehingga berjaya diterbitkan. Kehendak editor bukan bersifat peribadi. Ia adalah kehendak dan matlamat sebuah syarikat penerbitan. Matlamat syarikat penerbitan pula ialah untuk memenuhi kehendak khalayak sasaran (tentunya melalui kajian pasaran). Itu yang sangat bagusnya berkarya di bawah sebuah syarikat besar dan kukuh seperti Grup Buku Karangkraf. Organisasinya lengkap dan bergerak begitu profesional.

Selepas menekuni buku-buku cerita kanak-kanak yang berkenaan, saya mengadakan perbincangan dengan Zuan Asura (biasanya di sebuah restoran di Bandar Baru Bangi). Buku-buku itu ditekuninya pula dalam usaha menghasilkan ilustrasi yang boleh mencapai piawai yang ditetapkan. Kerja melukis tidak sukar bagi Zuan. Dia memang berbakat. Pemuda yang bekerja di sebuah agensi pengiklanan ini pernah berganding bahu dengan saya dalam suatu projek yang lain. Saya tulis skrip, Zuan lukis.

Ketika berbincang sambil pekena jus belimbing, teh tarik, mi goreng, dan sup urat keting, sebenarnya saya belum lagi mempunyai ‘cerita yang khusus’. Pertemuan dengan Zuan merupakan pencarian 'konsep yang betul' dahulu, agar tidak tersasar daripada ‘kehendak’ editor.

Selama tiga hari saya rayau ke beberapa kedai buku – Pustaka Rakyat dan Kedai Buku Shabab (dua kedai buku terbesar di Bandar Baru Bangi) serta MPH di Alamanda, Putraya. Ini merupakan suatu inisiatif untuk tinjau pasaran, melihat buku-buku dalam kategori yang sama daripada syarikat penerbitan lain.

Dalam masa yang sama, saya memperuntukkan masa meneliti koleksi buku cerita kanak-kanak yang dibawa balik dari England. Ketika mastautin di sana, anak-anak saya (Syai, Dek-dek, Ney-ney) rajin membeli buku cerita. Harga murahnya. Kadangkala dibeli ketika jualan murah di kedai-kedai buku ternama. Yang banyaknya dibeli daripada ‘car-boot sales’- buku terpakai yang masih elok terjual di pasar minggu. Buku yang baik-baik (kulit keras, ilustari penuh warna-warni) kadangkala harganya hanya 25pence!

Seminggu berlalu, saya belum dapat membentuk suatu tajuk khusus. Bayang pun belum ada! Jika ada pun, ditolak mentah-mentah oleh Dek-dek, Syai dan Ney-ney. Mereka ini menjadi penilai pertama molek tidaknya cerita yang akan dikarang. Saya akur. Mereka lebih tahu dan faham, kerana ketiga-tiganya lebih dekat dengan ‘alam fantasi anak-anak’.

Persoalan penting lain yang timbul dan menjadi hambatan: “Apa unsur moral yang mahu diketengahkan? dan bagaimana?” Di samping itu, tentu sekali elemen ceria dan suka-duka alam kanak-kanak yang penuh warna perlu 'dibungkus sebaik-baiknya' bersama nilai moral dalam karya berkenaan.
Sekali lagi saya ke kedai buku. Kali ini tidak ke rak buku cerita kanak-kanak. Kali ini terus bergegas ke rak buku teks sekolah rendah. Kerana dalam kepala sudah ditetapkan sasarannya, tanpa berfikir panjang mudah saya membeli tiga buah buku sekaligus – buku teks Pendidikan Moral (tahun 1, 2, & 3) terbitan DBP.

Yang ditemui di dalam buku-buku itu benar-benar membantu saya membentuk konsep dan pengolahan sebuah buku cerita untuk kanak-kanak tahun satu hingga tiga. Bayangan awal makin jelas. Lintasan-lintasan dalam minda mulai ‘datang memberitau’ tentang watak dan jalan cerita. Saya benar-benar dapat merasakan desakan-desakan dalaman, supaya segera menurunkan idea-idea itu di atas kertas!

Permisi. Bisa ketemu lagi.

ilustrasi 1: contoh karya Zuan Asura
ilustrasi 2&3: kulit buku ‘Sakeena Penjual Roti’ (belakang dan depan) sebagaimana yang diterbitkan.

2 ulasan:

  1. Bagus pak. Moga blh menerbitkan banyak lagi produksi yang molek dan bagus. Tunggu kita balik, nanti kita jadi tukang beli!

    BalasPadam
  2. Salam Pak Filasuf. Kita memang duk tunggu nih. Bila betul-betul jejak di Tanah Bonda? Dok sabar nak ajak gi intai pelanduk menari.

    BalasPadam