Karya

Karya

Selasa, 23 Ogos 2011

CERITA MELAYU (4): ANGKASAWAN TELEFON SEBELUM BERBUKA!

Kebelakangan ini, kerap benar kenangan-kenangan sewaktu mastautin agak lama di Cobridge bermain dalam fakulti kepala. Bermacam-macam peristiwa suka-duka yang dialami tertayang dengan begitu jelas. Antaranya yang terpahat kemas dalam sanubari ialah perkenalanan dengan sekumpulan bujangan Melayu yang tinggal berjiran dengan kami di Elders Street. Jika rumah kami penghujung blok menghampiri jalan besar, rumah sewa mereka pula di pangkal Elders Street. Dekat benar dengan Cobridge Park. Kalau punyai kehandalan seperti Carl Lewis (olahragawan legenda USA), sekali lompat dari kaki lima rumah bujangan Melayu ini, boleh menyentuh pagar taman itu.

Rata-rata pemuda-pemuda Melayu yang tinggal menyewa di rumah dua tingkat milik Mr Basheer itu adalah graduan dalam bidang mekatronik Stafford University. Selepas habis studi, mereka bekerja dulu di merata-rata tempat di sekitar Stoke-on-Trent. Matlamat nak kumpul duit, dan timba pengalaman kerja di negeri orang putih. Kumpul duit itu pula punya macam-macam tujuan – nak kahwin, nak bayar hutang bank (pinjaman belajar), nak bawa balik duit untuk orang tua, nak pergi London, nak keliling UK, dan nak melancong ke Eropah (idamannya tentulah Paris).

Pemuda-pemuda itu baik-baik belaka. Mudah mesra, hormat senior dan ringan tulang. Yang berfamili (Puzi, Harleem, Hasnizam, Nik, Shahrul, Aziz, dan Saadon) tinggal berselang lorong di Cobridge ini, serasi pula dengan anak-anak muda ini. Redzuan satu famili yang ‘terkeluar daerah’ tinggal di Shelton (kira-kira 20minit berkereta dari Cobdridge) kerap menyertai aktiviti kami bersama anak-anak muda di sini. Biasanya, pemuda Kelate pakar ICT itu bertandang bersama Zulfaisal (bujangan lagi waktu itu). Seronok sungguh. ‘Bornfire Night’ riuh-rendah kami bakar mercun, bunga api, dan roket di padang bola Cobridge. Ketika ‘Malaysian Festivals’ di Birmingham, kami berjaya membentuk pasukan futsal dan bola jaring. Menang tidak, tapi semangat lawan mesti ada juga! Kenduri buka puasa, tarawih dan urusan zakat fitrah sama-sama dibereskan. Takbir malam raya, dan jamuan keesokan harinya pula jadi begitu meriah. Bahkan pergi ‘carboots sale’ ketika Musim Panas pun pakat ramai-ramai. Tiada masalah langsung jika ada sahabat baru sampai nak masuk rumah atau ada yang mahu angkat barangan ke dalam kontena (nak balik ke Tanah Bonda). Gotong-royong jadi macam kenduri pula!

Kepala ‘rumah bujangan’ ini ialah Shakeel. Pemuda budiman asalnya Melaka – tall, dark, and handsome. Sekali tengok macam Pakistani versi Malaysia! Dia pemuda yang bagus pengetahuannya dalam hal-hal agama. Kebolehannya yang saya tabik sungguh ialah memasak. Kalau masakan kari dan dalca, ugh, boleh malu suri rumah dibuatnya. Memang sedap sungguh. Tulen rasa mamak juga! Roti canai? Kalau takat satu besen saiz sederhana, Shakeel bisa uruskan sorang-sorang. Uli, tebar, dan tepuk-tepuk. Enteng saja. Saya biasa juga tempah untuk simpanan family di kala gian nak pekena roti canai ori. Di sini waktu itu sudah ada roti paratha beku. Tapi mana nak sama dengan roti canai yang diuli dan ditebar Shakeel.

Seorang pemuda yang saya ingat betul ialah Fadli. Orangnya tidak banyak cakap. Tapi punyai kebolehan istimewa. Kalau nak bergambar ramai-ramai selepas sesuatu program, Fadli jadi jurukameranya. Enam tujuh kamera akan bergantungan di lehernya, jadi tukang ambil gambar untuk orang lain! Bukan itu saja, dia memang pandai sungguh hal-hal kereta. Sewaktu Mercedes saya bermasalah, Puzi (sahabat saya) minta pemuda itulah yang tolong tengokkan sebelum dihantar ke bengkel.
Graduan kejuruteraan ini hanya menggunakan spanner panjang untuk diagnosis sakit kereta saya. Satu hujung diletak ke enjin, hujung satu lagi disumbat ke telinganya. Beberapa detik saja Fadli sudah boleh beritau ‘kerosakan dan kesakitan’ kereta saya. Ketika bawa ke bengkel di Tunstall, mat salih yang kerja di situ dignosis 'sakit enjin' yang serupa. Lepas itu, 'sembuh' terus Mercedes itu hingga dibawa balik ke Tanah Bonda.

Wow, Puzi yang lulusan USM dalam bidang kejuruteraan juga, mengaku kalah dengan anak muda yang handal ini. Boleh dipanggil ‘bomoh kereta’ dia! Kereta rakan-rakan yang lain, jika 'ada penyakit' Fadli juga yang jadi bomohnya.

Itu semua kenang-kenangan yang tersimpan di sanubari, menjadi memori terindah hidup saya. Sudah tujuh tahun saya kembali ke Tanah Bonda. Pemuda-pemuda Melayu yang tinggal di Elders Street, Cobridge semuanya sudah menetap di Malaysia. Masih ada yang saling berhubungan dengan saya sekali-sekala. Kadangkala ketika membelek album dibawa pulang dari UK, kenang-kenangan itu seperti peristiwa yang berlaku baru minggu lepas!

Kemarin, kerana agak keletihan, saya tertidur lepas Asar hingga jam enam setengah. Tengah menggenyeh-genyehkan mata, Ney-ney mengunjukkan telefon.

“Tadi kawan ayah telefon. Angkasawan!”

Saya tidaklah segera menelefon balik. Ney-ney saja bergurau, nih! Selepas rasa segar, mata jadi terang dan fikiran pun stabil (tidur petang-petang begitu mudah jadi bengong!), saya telefon nombor tanpa nama.

Rupa-rupanya Fadli. Sudah tiga tahun saya tidak bertemu ‘bomoh kereta’ ini. Pemuda baik hati ini sebenarnya amat sibuk dengan profesion. Dia bekerja dengan sebuah syarikat MNE dalam sector ‘gas & minyak’. Tugasan menyebabkan dia kerap ‘terbang’ ke negara-negara Asia-Pasific, malahan ke Eropah juga.

Hah, ada hajat besar dia! Menjemput saya satu famili ke majlis perkahwinannya bulan November nanti.

Jadi betul sungguh Ney-ney beritau ‘Angkasawan’ yang telefon ketika saya tidur. Fadli ini pernah ‘bertanding’ dalam mencapai impian untuk menjadi Angkasawan Negara yang pertama. Pemuda dari Desa Pandan ini berjaya melepasi ujian hingga termasuk ‘18 calon’ yang terakhir. Sebab itulah kami sekeluarga memanggilnya ‘Angkasawan’.

Permisi. Wasslam.

Foto: Fadli yang rambut pendek, jeket biru, pegang camcoder. Yang mana satu Shakeel? Bisa diteka aja, pak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan