Karya

Karya

Jumaat, 19 Ogos 2011

“CERITA MELAYU (1): ANAK SAYA MENYANYI DI GEREJA!”

(nota: Molek benar jika dibaca juga artikel “Peristiwa St Peters: Toleransi Muslim dan Kristian” untuk memahami isu ini. Moga kita mendapat baraqah Yang Esa.)


Suatu hari, 2001 (Cobridge, Staffordshire).

Dek-dek balik dari sekolah membawa berita yang amat mengejutkan: “Daddy, you wanna know something? The head teacher brought us to the church this morning. We sang many lovely songs!”

Hampir terloncat saya, terbang lesap selesa bersandar di wingback Chesterfield yang empuk, lebar dan besar.
Sebelum Yang Tersayang balik lagi saya sudah membuat keputusan. Malamnya, selepas Maghrib keputusan itu hanya bersifat pemakluman semata-mata. Tiada perbincangan apa-apa lagi. Yang Tersayang pun setuju sepenuhnya. Dek-dek dan Syai nampak muram dan tidak mahu bercakap banyak. Sebutir ditanya sebutir dijawab. Mereka memprotes.

Saya tidak peduli lagi kerana ini adalah soal aqidah. Mana mungkin anak Melayu dibawa ke gereja dan menyanyi macam-macam lagu penuh ceria diiringi piano? Entah diminum ‘holy water’ itu, tiada saya tahu. Dek-dek dan Syai sudah katup mulut. Tidak mahu bercerita apa-apa lagi. Saya faham benar perangai kedua-dua gadis sunti ini. Jika makin dipaksa-paksa, membisu terus mereka, dan akhirnya linangan air mata tidak terhadang lagi.

Saya sudah buat keputusan: Dek-dek dan Syai wajib ditukarkan segera ke sekolah lain.

Esoknya, anak-anak tidak dibenarkan pergi ke St Peters Primary School. Mereka duduk di rumah saja. Yang Tersayang sudah ke kampus, ada pertemuan dengan supervisor. Kira-kira jam sepuluh (anggaran keadaan sekolah sudah tidak sibuk), saya berjalan kaki ke North Primary School. Letaknya kira-kira 400meter dari rumah kami di Elders Street. Sekolah ini majoriti muridnya (kira-kira 90 percen) kanak-kanak Asia - Pakistan, India dan Bangladesh. Majoriti guru pun orang Asia juga. Ia bukan sekolah Kristian.

Tiada karenah untuk berjumpa dengan guru besar, Mr Roberts. Setelah mendengar penjelasan saya, tiada sebarang respon negative daripada sang guru besar. Yang penting katanya: “It depends on St Peters head teacher. If Mr Orme agrees to let go your childrens, then they are most welcome here. Very simple matter. Dont worry, I’ll consult Mr Orme first.”

Dua hari selepas itu (Sabtu), kira-kira jam sepuluh pagi, dua orang wanita datang bertamu di rumah kami. Seorang wanita Inggeris rambut perang bersama temannya rambut kerinting, kulit macam Melayu (darah campuran Inggeris-Negro). Mereka adalah guru dari North Primary School. Sopan sekali kedua-duanya berbicara dengan saya dan Yang Tersayang. Rupa-rupanya kedatangan mereka ialah untuk berkenalan dengan ibu bapa bakal murid yang akan bersekolah di situ.

Mereka dihantar oleh guru besar untuk mengambil details dan melihat sendiri latar sosio-ekonomi famili. Soal nak menghentikan Dek-dek dan Syai daripada St Peters Primary School disentuh juga secara sepintas lalu. Saya fikir soal itu diungkitkan juga kerana mereka mahu memahami ‘sebab besar’ anak-anak saya ditarik keluar dari St Peters.

Cikgu yang rambut perang hidung mancung sungguh itu seolah-olah setuju benar anak-anak kami berpindah ke situ. Katanya, “Here, in North Primary, actually, we’re not really concern about religious matters.”

Betullah tu, North Primary bukan sekolah Kristian!

Hari Isnin berikutnya, saya menerima panggilan telefon daripada Mr Orme. Dengan penuh sopan dia menjemput saya ke sekolah. Katanya untuk berbincang tentang anak-anak saya.

Esoknya, kira-kira jam sembilan saya ke St Peters . Ney-ney (masih belum layak masuk tadika) ditemani Dek-dek dan Syai yang masih dalam ‘perintah berkurung’. Arahan domestic sudah keluar: Tidak boleh pergi sekolah sehingga dapat tukar ke North Primary School.

Sejam juga saya berbincang dengan Mr Orme. Dalam keadaan diri yang bengang dan meruap rasa marah (nak jihad ni!), saya luahkan apa jua yang melemaskan dada dan menyesakkan minda. Saya berterus-terus saja kerana sudah amat biasa dengan Mr Orme. Bukan sahaja setiap hari hantar dan ambik anak-anak di sekolah, apa-apa acara anjuran St Peters, saya akan hadir. Jika Yang Tersayang tiada komitmen di kampus atau urgency apa-apa, biasanya kami akan pergi bersama-sama.

Mr Orme anggap kami sebagai ibu bapa yang prihatin dan komited. Penyokong kuat St Peters Primary School. Kalau ada kesempatan, saya gemar berbual dengannya. Dia amat teruja jika bersembang tentang bola. Ghairah bercerita tentang anak lelakinya yang bermain dalam liga amatur di Stoke-on-Trent.

Saya mengambil peluang menerangkan kepadanya sebab-sebab Dek-dek dan Syai tidak boleh bersekolah di situ lagi. Mudah cerita, saya rumuskan: “We’re Muslim. We never go to Church for any reasons. Myself, nearly forty now, never enter any church. That is my family’s principle. My parents will never allow me. Hence, I will not permit my childrens.”

Mr Orme ini tenang dan ceria orangnya. Inilah the real English gentleman! Tidak nampak langsung dia rimas dengan gelagat saya atau terkejut dengan alasan-alasan saya. Dengan sopan dia mohon apologi kerana ‘innocent’ (sebenarnya, jahil). Katanya dia fikir muslim Malaysia sama saja pegangan dan amalannya dengan muslim di Stoke-on-Trent (bagi masyarakat di sini, apabila disebut muslim biasanya merujuk kepada Pakistani).

Tambahnya lagi, “Never before...muslim parents forbidding their children attending sessions at St Peters Catholic Church!”

Akhirnya, Mr Orme meminta saya menghantar surat rasmi. Dia berpesan supaya disenaraikan kehendak dan keperluan anak-anak saya jika masih mahu bersekolah di situ. Dia minta segala butiran perbincangan dengannya pagi itu dimasukkan sekali dalam surat berkenaan. Yang penting baginya: anak-anak saya terus bersekolah di situ!

Saya ungkit musykil tentang hal itu. Dia memberikan dua alasan utama. Pertama, jika anak-anak saya berpindah ke North Primary School, wibawanya sebagai guru besar akan tergugat kerana gagal menyelesaikan ‘masalah sekecil’ itu. Keduanya, yang lebih parah, Sekolah St Peters akan dipandang serong. Masyarakat sekitar akan prasangka tiada toleransi terhadap penganut agama lain di St Peters.

Saya memberikan janji akan kembali esoknya membawa surat yang dihasratkan Mr Orme.

Malam itu, sewaktu mengarang surat berkenaan, terfikir juga: apakah Mr Orme ini ada muslihat lain? apakah aku sudah masuk perangkap seorang guru besar yang juga pemain piano di sebuah gereja Khatolik? apakah aku sudah terkeliru dengan ‘dakyah yang diselimuti diplomasi kelas satu’ oleh Mr Orme?

Permisi. Wassalam. Bisa ketemu lagi.


foto: Ney-ney (berbaju kuning, seluar biru) sewaktu di tadika St Peters.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan