Karya

Karya

Ahad, 21 Ogos 2011

“CERITA MELAYU (2): PUDINA TUMBUH DI DALAM PASU”

(nota awal: Sebaik saja muezzin mengalunkan azan Asar, saya baru saja menutup buku ‘Melayu Cape di Afrika Selatan’ (Wan Hashim & Hanapi Dolah: 2010). Buku setebal 232 halaman (tidak termasuk lampiran dan indeks) ini merupakan buku kedua tentang Melayu seberang laut yang saya baca, ditulis dalam bahasa Melayu karya sarjana Melayu. Buku pertama ‘Rumpun Melayu Australia Barat’ (Wan Hashim & A Halim Ali: 1999) saya baca ketika mastautin di England (2000-2004). Buku ini dihadiahkan oleh Ahmad Sidin Ishak (Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya) ketika bersama familinya menziarah kami sekeluarga di perantauan.

Kedua-dua buku berkenaan sangat menarik minat saya. Ini ada kaitannya dengan penyelidikan yang dilakukan oleh Yang Tersayang mengenai orang-orang tua Melayu. Hasilnya, sebuah tesis Phd berjudul “Health of The Older Malays in Britain: A Qualitative Exploration”).

Ketika mengutip data untuk kajiannya, saya selalu mengikuti (jadi pemandu dan pembantu peribadi sebenarnya!) Yang Tersayang ‘mencari’ orang-orang tua Melayu di Wales, London, Manchester, Stafford, Milton Keynes, Oxford dan Liverpool. Suatu pengalaman yang amat menyeronokkan dan nilainya tidak terkira.

Kali ini diperturunkan artikel yang pernah saya tulis pada tahun 2002. Ia berkaitan dengan perkenalan singkat kami sekeluarga dengan seorang kelasi Melayu yang menghabiskan sebahagian besar hayatnya di Liverpool.

Ada iktibar dalam sebuah cerita, ada pedoman dalam suatu peristiwa
.)



Liverpool, 2002.

ALAHAI CIK SITI, KETEMU KITA DI SINI!
Ketika pintu terkuak, anak-anak segera menyusup tanpa sempat dipersila. Suara Cik Siti yang lunak segera menyambut.

Kerana saya yang paling akhir menanggalkan kasut, diberikan tugas menyelak pintu. Syai, Dek-dek dan Ney-ney bergegas ke laman. Tahu mereka tempat mahu dituju. Mahu bermain-main di laman bersimen yang luasnya tak seberapa. Yang Tersayang beredar ke dapur.

Selepas bersalaman, buka bicara tentang hal-hal kesihatan dan kesegaran, saya bersandar di sofa.

“Sedap betul lagu ni. Lama tak dengar.”

“Haa… ini lagu kesukaan Pak Cik. Ada satu lagi.”
Telunjuknya menuding meja kecil di sebelah kerusinya. Dia nampak begitu selesa dan santai di kerusi empuk saiz besar, koko warnanya.

Saya bangun, membongkok sedikit, tangan minta laluan, melintasi dia. Segera membelek dua keping kaset tanpa sarang di atas meja kayu yang bulat warna coklat, setinggi dua kaki. Di atas meja kecil itu, kaset radio sedang terpasang, mengumandangkan suara merdu Cik Siti. Lagu-lagu dari album ‘Cindai’. Entah lagu apa. Entah yang mana satu, saya tak pasti. Yang pasti, sedap bung!

Tercetak di atas kaset satu lagi, yang terbaring tanpa sarang juga: ‘Seri Balas. Siti Nurhaliza & Noraniza Idris’.

Ah, dia nampak seronok sekali mendengar dendangan Cik Siti. Saya pun turut jadi begitu. Tenggelam diuliti merdu suara Cik Siti. Sesekali terasa suaranya macam Sharifah Aini pula.

Agak malang, di rumah saya tiada tersimpan album nyanyiannya. Sewaktu ke sini, saya tidak berbekal kaset lagu atau filem video lain selain koleksi ‘Terbaik M.Nasir’ dan enam VCD filem-filem P.Ramlee. Lagipun hanya lagu biduan itulah dan filem-filem seniman itulah yang jadi kegemaran saya. Dan ketika mengetik papan kekunci menulis artikel ini, yang berkemundang menjadi teman ialah ‘Ghazal Untuk Rabiah’. Ugh, tergeleng-geleng kepala terkena bisanya. Memang berhantu lagu ini!

Hakikatnya, dendangan Cik Siti bukanlah kegemaran saya. Namun begitu, apabila di rantauan ni, sekali dalam dua tahun mendengar suara Cik Siti, ugh, mengancam sekali, bung!

Tapi berdasarkan kata Yang Tersayang, sewaktu berkemas itu dan ini ketika akan ke sini dulu, ada juga diselitkannya sekeping CD Cik Siti dicelah lipatan pakaian yang tersimpan dalam beg besar. Malangnya, sesampai di sini, dah siap kemas dan lipat semua pakaian dalam almari pun tiada pulak terjumpa. Cik Siti hilang entah ke mana. Lepas dua tahun, akhirnya terjumpa Cik Siti di Liverpool. Kira cukuplah tu.

DELIMA RANUM, KELAPA MUDA.
Hari ini, kami bertandang ke rumah Pak Bakar. Melayu yang datang ke pulau besar ini - kerja sebagai kelasi - sejak sebelum Tanah Bonda merdeka lagi. Hari ini - hari pertama September - usianya genap tujuh puluh empat. Kami datang kerana itulah, janji yang ditutur sudah lima enam bulan dulu, ketika pertama kali kami dan keluarga Dr Salleh bertandang ke rumahnya di Flat The Groves, Liverpool. Janji akan bersama Pak Bakar sempena ulangtahun hari kelahirannya yang ketujuh puluh empat.

Pak Bakar tinggal sebatang kara, di flat satu bilik tidur, punya bilik air yang agak selesa, ada ruang tamu yang disempadani dengan dapur dek dinding sekerat setinggi tiga kaki, yang terpaku di atasnya pelantar kayu selebar satu kaki setengah.

Pada dinding yang bertentangan di ruang tamu yang bersaiz lebih kurang sepuluh kali dua belas kaki, terhias dengan delima yang ranum; rambutan masak merah berbulu jarang; durian sebiji berduri tajam berwarna hijau daun segar. Tergantung sama setandan kelapa muda segar bugar; dan setangkai jambu air warna merah pucat berkilat-berkaca - pecah liur rasa mahu kerkah segera!

Semua gambar itu tergantung dalam bingkai berasingan empat segi sama, bersaiz lebih kurang dua belas inci.

Di antara bingkai rambutan dan setandan kelapa itu, tergantung ayatul Kursi bersekali terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Ah, hiasan yang sebegitu, dilatari pula galak alunan joget Cik Siti dan Noraniza, pantas mengocak kolah ingatan, menerpakan bayangan kenangan dari Tanah Bonda.


BATU NESAN ITU, HITAM WARNANYA.
Di dinding ruang tamu itu juga, bertentangan dinding yang tergantung ayatul Kursi, betul-betul di atas pendiang, tertampal sebelas keping gambar saiz poskad. Dua keping gambar kucing comel entah apa bakanya. Lapan keping lagi memaparkan Pak Bakar dan isterinya bergambar kenangan dengan mahasiswa Melayu yang pernah mengaji di Liverpool, dan yang nampak ramainya gadis berjilbat.

Sekeping gambar lagi, gadis Melayu berjilbat hitam mendakap sejambak bunga, berdiri di tepi batu nesan. Di batu nesan marmar yang hitam warnanya itu, tertulis: Saimah bt Abdullah 1926 – 1996.

Hitam warna nesannya, hitam jua kisah di sebalik pemergian isteri Pak Bakar. Ceritanya penuh tragik. Saimah, wanita Inggeris yang perak warna rambutnya, meninggal dunia kerana dibunuh. Kerana kejadian itu Pak Bakar diheret ke mahkamah. Kerana itulah juga orang tua sebatang kara ini sampai pernah dihina di depan ramai oleh seorang kenalannya - bekas kelasi Melayu juga. Kerana semua itulah Pak Bakar kadangkala diserang kemurungan. Dah jadi penyakit pula membebani badannya yang agak kurus dan sedikit bongkok.

Kemurungan itu kerap datang menyeksa, lebih-lebih lagi apabila dia teringatkan peristiwa pembunuhan itu, dan kejadian serba hitam yang menyusulinya. Walaupun begitu, dia tetap mahu bicara tentang itu. Cuma saya tidak mahu memanjangkan cerita. Khuatir derita yang dituturkannya menambah luka lama yang terpendam. Kerana itu saya tidak pedulikan sangat dan tidak minat mahu mengusuli apabila Pak Bakar mahu buka bicara tentang pemergian isterinya - seorang perempuan Inggeris berambut perak, namanya Saimah.

Tapi hari ini Pak Bakar nampak girang sekali. Dan suasana hari itu tambah meriah apabila Noni, Dr Salleh, Ahmad Daud, Fazidah dan anak-anak mereka - Aiman, Ilyas dan Irshad - tiba sejam selepas kami sampai. Sama-sama mahu meraikan hari lahir Pak Bakar.


ENAKNYA EPOK-EPOK LIVERPOOL
Pak Bakar pandai memasak. Ketika kunjungan pertama kami enam bulan dulu, dijamunya masak lemak tauge, sambal tumis dan kari ayam. Hari ini, untuk hari istimewanya, dia menyediakan kek, kentang goreng, ikan dan udang goreng bersalut tepung jagung, serta ayam panggang seekor. Yang paling istimewa epok-epok. Sedap sekali, Kulitnya rangup, intinya ayam kisar campur kentang lumat. Jadi kegemaran saya tiap kali berkunjung ke flat The Groves. Itulah yang jadi hidangan pembuka selera menyambut kedatangan kami.

Pak Bakar tahu tentang kesukaan saya itu. Maka hari ini saya makan epok-epok banyak sekali. Sampai enam butir. Pertamanya memang saya suka sungguh. Memang sedap. Keduanya, ambil hati seorang tua yang tinggal sebatang kara di Liverpool.

Hari itu, di samping hidangan yang disediakan Pak Bakar, kami berjamu kek pisang Noni, dan nasi minyak kari ayam masakan Yang Tersayang.

Selepas empat jam di The Groves, kami singgah di rumah Dr Salleh. Kemudiannya bertandang ke rumah Husni, arkitek muda yang baru punya seorang anak, punya satu isteri bernama Sonia - wanita kacukan Melayu-Inggeris, parasnya mirip penyanyi lagu asli Orkid Abdullah.

Dalam perjalanan pulang kami membelok ke Manchester. Menjenguk sahabat lama saya KM Yaacob di Cheetham Hill, yang baru tiga minggu dianugerah cahayamata yang ketiga, Adiel namanya.

Ketika sampai di Cheetham Hill, tengah bersembang sambil hirup kopi, telefon mobil berdering. Pak Bakar bertanya khabar. Sangkanya kami sudah sampai di Cobridge. Dia sempat meluahkan rasa gembiranya kerana kunjungan kami dan rakan-rakan ke rumahnya petang tadi.

Hampir jam sepuluh kami beredar dari rumah KM Yaacob, singgah pula di rumah Amran, bekas penghulu MCCH (Malaysian Community of Cheetham Hill) yang kini sedang mengepalai MRG (Malaysian Research Group). Ikut khabarnya MRG akan mengadakan persidangan julung kali pada Oktober nanti.

Asyik berbual tentang macam-macam, sedar-sedar sudah hampir tengah malam. Anak-anak mula resah – yang terkecil merengek, yang sunti muncung mulut. Kerana mata pun dah beleh, urat saraf pun minta rehat, maka kami mengambil keputusan menerima tawaran Amran, bermalam di Cheetham Hill.

WANGI PUDINA DALAM SECANGKIR TEH
Jam sepuluh pagi hari kedua September barulah kami sampai di Cobridge. Selepas berkemas itu dan ini, ketika anak-anak menonton entah program apa di bilik tv, saya dan Yang Tersayang duduk-duduk di ruang tamu. Saya membelek-belek Daily Express sambil menghirup teh panas.

“Ok tak? Teh daun pudina. Original!”

“Pudina? Original?”

“emm…pudina Pak Majid.”

Pertengahan Julai yang lalu saya, Ney-ney dan Yang Tersayang ke Milton Keynes. Mengunjungi keluarga Pak Majid. Seorang lagi Melayu yang tinggal lama di tanah bekas empayar ini. Usianya sudah hampir tujuh puluh. Punya anak sepasang, satu isteri. Kegemarannya bertanam pokok bunga. Di belakang rumahnya tumbuh elok dan segar pelbagai bunga-bungaan yang saya tak pasti jenisnya. Ada pula sepohon pir di birai pagar. Tumbuh juga di laman itu pudina yang segar-bugar. Ketika akan berpulangan, dia membekalkan kami anak pudina itulah.

Saya tidaklah reti bercucuk-tanam. Tiada minat, pengetahuan pula sangat kurang. Kerana pemberian orang, maka anak pudina itu saya tanam dalam pasu kecil bersaiz CD sekeping, yang terisi di dalamnya tanah hitam.

Tiga minggu kemudian kering garing jadinya. Daun kering, batangnya nampak kecut. Saya terus renjiskan juga dua tiga sudu air setiap pagi. Minggu keempat mula tumbuh daun baru di batangnya yang nampak macam dah mati. Kini, sudah hampir dua bulan. Pudina yang tumbuh dalam pasu kecil di birai jendela dapur sudah melonjak naik setinggi empat belas sentimeter. Daunnya yang kering dulu sudah gugur semuanya. Kini berganti daun baru saiznya menjangkau selebar tiga sentimeter. Apabila direndam dalam teh O panas, ah, sedap sekali! Hirup teh panas yang wangi, disediakan pula isteri tersayang.

MESRA YANG TUMBUH, KASIH YANG KEMBANG.
Sesekali ketika duduk sorang-sorang dalam bilik studi, merenungi cerah langit biru yang terhias gumpalan awan memutih, dan ralit tengok pohon renek halus yang tumbuh di atas bumbung tergeleng-geleng dibuai angin dingin Musim Luruh, datang lintasan mengganggu asyik akan indah alam. Bermacam-macam datang. Macam-macam tentang Melayu yang saya kenali di sini. Mereka - yang muda, yang tua, budak-budak, lelaki dan perempuan – yang rata-ratanya saya tidak kenal pun sebelum bermusafir ke UK. Mereka, termasuklah Pak Bakar, Pak Majid, Pak Mansor, Pak Ali, Hamidi, Fauzi, Redzuan, Amran, Saiful, Salleh, Suhaimi, Ahmad Daud, Zulfaisal…senarainya agak panjang, dan detik perkenalan dengan mereka punya ceritanya yang tersendiri.

Yang sangat saya terkesan dan tersentuh, apabila terfikirkan betapa mudahnya kemesraan itu tumbuh, walaupun pertemuan tidaklah kerap. Tidak bersua dan tidak pun bicara tiap hari, malahan tidak juga tiap minggu. Tapi mudah sekali kembang dan segar kemesraan itu.

Kadangkala terfikir jua betapa pertautan kasih yang terjadi itu umpama pudina yang tumbuh segar bugar dalam pasu kecil di birai jendela kaca di ruang dapur rumah saya. Mudah sekali tunasnya tumbuh dalam tempoh yang singkat. Kembang biak daunnya yang hijau, segar dan wangi pula.

Begitulah juga kemesraan yang terjalin di kalangan Melayu yang saya kenal di tanah bekas empayar ini. Mudah mesra, tumbuh kasih tanpa dipaksa bak ‘pudina tumbuh di dalam pasu’.

Permisi. Wassalam.

foto 1: kenangan di Albert Dock, Liverpool.
foto 2: 'anak-anak pudina' bermain salji di Cobridge Park.
foto 3: kasih mesra perantau - meraikan harilahir Zulfaisal, graduan ICT dari Staffordshire University.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan