Karya

Karya

Jumaat, 5 Ogos 2011

BAZAAR RAMADHAN (2): “Lumba kumpul kereta kebal dan roket!”

Bertemu kembali dengan bulan penuh baraqah ini dalam usia dewasa, tidak terelak akan berkocak kolah ingatan, membawa banyangan riang-ria zaman masih budak-budak. Ramadhan bulan yang amat dinantikan. Belum masuk sekolah lagi (umur empat tahun) sudah berpuasa kerana itu satu daripada tanda ‘jantan’ juga! Budak lelaki kalau tak puasa akan malu amat. Menjadi ‘rahsia besar’ antara ibu dan anaknya sahaja jika meninggalkan puasa. Jika pecah cerita kepada kawan-kawan, maka jadi ‘koman’ kita.

Kalau belum masuk sekolah sudah dapat puasa habis satu bulan, jantan sungguhlah kita. Puasa menjadi elemen tambahan ‘ukuran jantan’ budak lelaki zaman itu. Ia menjadi pelengkap kejantanan budak-budak selain mandi sungai, bermain di parit, tangkap ikan sekilau di bendang, bertumbuk, dan panjat duku. Tapi tentunya tanda jantan nombor wahid ialah ketika ‘duduk di atas batang pisang’ menunggu tok mudin!

Keseronokan berpuasa bertambah kerana keriangan yang terisi pada malamnya. Bukan kerana nak solat tarawih sangat. Seronok kerana lawan siapa paling kuat menjerit , respon selawat daripada bilal. Seronok nombor dua, makan kuih-muih selepas habis tarawih. Seronok nombor satu, ketika orang dewasa solat tarawih kita mengilas pelikat tinggi-tinggi, lipat songkok dalam poket, main kejar-kejar. Bunyi salam diberikan, lekas-lekas naik ke atas surau. Tempik kuat-kuat menjawab solawat daripada bilal! Seronok nombor wahid? Main mercun!

Belum lagi malam tujuh likor, mercun sudah mula meletup. Tapi belum begitu bersungguh-sungguh. Mercun yang dicucuh sebelum malam yang dinantikan itu, mercun yang biasa-biasa saja, dan pakat main bunga api lidi.

Mercun biasanya dibeli ketika mengikut ayah atau chek ke pasar. Tidak degil, dan ringan tulang tolong bimbit barangan yang dibelikan, maka upahnya dapatlah mercun. Boleh pula memilih mercun kesukaan kita.

Bekalan mercun juga boleh didapati hasil daripada ‘main tikam’. Yang ini bergantung kepada nasib sungguh. Mercun dan bunga api pelbagai jenis dibungkus plastik, digantung (digam) pada kertas sebesar 'manila card'. Memang banyak dan menggiurkan budak-budak. Kita akan beli tiket yang ditampal berbaris-baris di bawah mercun dan bunga api. Jika nombor yang ada di tiket itu menyamai mana-mana nombor yang tergantung mercun di bawahnya, boleh melompat kesukaan. Tapi ‘main tikam’ menjadi suatu rahsia di kalangan kawan-kawan baik sahaja. Jika sampai ke telinga ayah atau chek, merahlah telinga kena pulas. Kena rotan lagi kerana ‘berjudi’ di bulan puasa. Lagipun duit habis banyak, dapat mercun yang ciput-ciput saja.

Yang jadi ‘tauke main tikam’ ini seingat saya tiada yang lain – Nordin sahaja. Dia lebih tua daripada saya, habis darjah enam tidak sambung sekolah kerana kesempitan ekonomi keluarga. Ketika kelapangan, saya suka juga ikut Nordin. Dia pandai buat layang-layang. Selain itu, kebolehannya yang benar-benar saya tabik ialah membuat ‘meriam tanah’. Setiap tahun apabila muncul Ramadhan, berdegung kuat ‘tembakan’ meriam tanah Nordin. Badannya kurus saja, tapi dia boleh menggali dalam dan mengangkat batu-batu agak besar untuk ditindih di atas papan. Nordin tak pernah main meriam buluh. Katanya bahaya, mudah pecah. Lagipun jika dibedil, bunyinya tidak kuat macam meriam tanah.

Zaman itu, kampung-kampung sekitar berlawan ‘tembak meriam’. Kampung yang paling menggegar bunyi meriamnya, menjadi bahan percakapan di sekolah, dan menjadi kebanggaan budak-budak lelaki. Tapi saya tidaklah terlalu bebas mengikut rentak Nordin dengan meriam tanahnya. Bukan tiap-tiap malam boleh menyelinap dari surau, pergi menyaksikan Nordin membedil dengan meriamnya. Kalau ayah dan chek dapat tahu, langsung tak boleh ke surau lagi malam-malam.

Selain ‘main tikam’ dengan tauke Nordin, ‘bekalan’ mercun kami (saya dan Aweng) dapat daripada Pok Deng (abang saya), yang memang kaki mercun. Dia pandai juga buat meriam buluh. Tapi tak hebat macam meriam tanah kepunyaan Nordin. Jadinya, jalan paling selamat bagi kami untuk main mercun atau duduk dekat-dekat perhati orang main meriam ialah dengan masuk geng Pok Deng. Dia anak lelaki yang sulung. Salah silapnya jarang-jarang mendapat hukuman keras! Pok Deng juga yang jadi kepala pasang pelita buluh, sebagai persediaan ketibaan Malam Tujuh Likor.

Sementara menanti malam-malam akhir Ramadhan itu, saya dan budak-budak lelaki sebaya (termasuk Aweng) biasanya sudah mula mengumpul mercun sendiri. Kami tidak minat sangat dengan bunga api. Itu permainan budak perempuan. Waktu itu ada banyak jenis mercun juga. Selain mercun papan, ada mercun ayam bertelur, dan mercun motosikal. Mercun yang ini tidak dicucuh sebelum tiba Malam Tujuh Likur. Ini mercun istimewa, dan agak mahal.

Dalam banyak-banyak mercun yang menjadi kegemaran saya dan Aweng ialah mercun kereta kebal dan mercun roket. Mercun roket itu pula, jika ditembak, akan muncul pula payung terjun kecil melayang di udara. Jadi, sebelum ketibaan Malam Tujuh Likur, kami pakat lumba (dalam senyap) kumpul mercun kereta kebal dan mercun roket. Mahu lawan tembak dan tempik kuat-kuat di Malam Tujuh Likur! Tapi kali ini tentulah selepas selesai solat tarawih di surau.

Permisi. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan