Karya

Karya

Selasa, 2 Ogos 2011

BAZAAR RAMADHAN (1): “PERIHAL AYAM DARA & AYAM BANDAR”

Ibu mentua saya akan berangkat menunaikan umrah selama sebulan dalam dua hari lagi. Kebetulan kemarin hari pertama berpuasa, Nabil (adik ipar saya yang bongsu) dan familinya yang datang menziarah bondanya di rumah saya, sekaligus berbuka bersama-sama. Dia yang baru pulang dari Terengganu, sengaja mengambil jalan melalui Nilai. Semata-mata mahu membeli ‘ayam golek’ sebagai juadah berbuka. Katanya, ayam golek dari Nilai itu sangat sedap, sekali dihadap pasti tak cukup satu ekor.

Kini famili saya hanya tinggal empat (termasuk Syai yang cedera lutut main bola baling. Dapat cuti dua minggu). Dek-dek pula tidak balik kerana ada kuliah. Bibik sudah tamat visa, dan enggak kerja lagi dengan kami dengan alasan suaminya tidak kasi permisi. Udah kaya, jadi jutawan, mana bisa kerja lagi, pak!


Tiga dewasa yang lain ialah mentua saya, Nabil dan isterinya Qalbie. Dua anaknya masih kecil. Suhail baru nak masuk tiga tahun, Aisyah pula merangkak pun belum boleh. Kami berbuka tidaklah mewah - air tebu, air sirap, roti John, karipap, samosa, mi kari, mi sup, nasi Arab.

Semuanya dibeli mengikut selesa setiap orang yang berpuasa (dan yang bercuti uzur syarie tapi berbuka sekali). Jadi, makanan terhidang di atas meja cukup-cukup ikut bilangan kepala. Yang paling ditunggu-tunggu mahu dijamah segera, tentulah ayam golek dari Nilai yang dibawa Nabil. Tambah istimewanya, Nabil beritau kerana itu ialah ‘ayam dara’.

Memang sedap. Rasa-rasa macam ayam Kenny Rogers pulak. Tambah enaknya dicecah dengan kuah yang rasanya seperti ‘lada keropok losong’! Timbul juga musykil dalam kepala, yang tidak diluahkan kepada sesiapa jua yang tengah meratah ‘ayam dara golek’ dengan berselera:-

Ugh, bagaimana bisa kita tahu sama ada seseekor ayam itu ‘masih dara’ atau sebaliknya? Apakah kerana belum bertelur? atau ayam-ayamnya itu sememangnya dibela dan dikurung tanpa ayam jantan? Maksudnya, jika didapati ada ayam jantan yang berjaya ‘menceroboh’ reban ayam-ayam betina itu (itu pun jika betul-betul ada watak seperti dalam animasi Chicken Runs), maka jadi sangsi dan nanar penternaknya. Boleh biul dia mahu pastikan mana satu ayamnya yang masih dara!
Satu soalan lagi: berapa ‘usianya’ ayam yang dipanggil dara itu?

Satu rutin saya di hujung minggu ialah ke pasar. Kerana dari remaja lagi selalu menemani ayah dan Chek (loghat Darul Iman panggilan untuk ibu), sudah berumahtangga pun saya tidak kekok ke pasar. Anak saya yang sulung (Syai) nampaknya mewarisi ‘kegemaran’ ini. Kerana sudah terbiasa ke pasar seksyen dua di Bandar Baru Bangi, lantas penjual di gerai daging, ikan dan ayam menjadi kenalan. Malahan boleh pula meminta ‘tawar’ ketika membeli. Biasanya dapat juga kurang tiga empat ringgit.

Saya perhatikan, orang kita yang tinggal di kawasan perbandaran ini, rata-ratanya tidak ‘menawar’ lagi apabila membeli apa jua di sini. Dengar khabar ada penjual dan peniaga seronok sekali dengan situasi itu. Mereka beritau: “Bagus berniaga di sini kerana orang-orangnya tak kisah bayar mahal, asalkan dapat ikan, daging, udang, ayam dan sotong yang segar. Mereka tidak tawar lagi dah. Sebut harga, dibayar terus tanpa soal.”

Ugh, terasa macam menyindir saya pula, yang selalu minta diskaun!

Pagi Ahad lepas, saya ke pasar untuk membeli ‘bekalan bahan mentah’ seminggu pertama Ramadhan. Kerana ramai yang kerumun di gerai ayam yang biasa saya kunjungi, terpaksa masuk barisan juga saya pagi itu. Ramai pula yang membeli ayam kampung. Sampai giliran seorang wanita (awal tiga puluh usianya) di depan saya, si penjual bertanya: “Cik nak yang mana?”

Selamba sahaja wanita yang rambutnya lurus mencecah bahu, berpakaian trek lengkap itu menjawab: “Saya tak mahu ayam kampung. Saya nak dua ekor ayam bandar!”
Nampak terkebil-kebil juga si penjual ayam asalnya dari Acheh. Bahkan saya pun terasa mahu ketawa. Cun-melecun bahasa orang kita!

Cuma timbul musykil lagi: Ugh, bagaimana rasanya makan ‘ayam bandar golek' berbanding ‘ayam dara golek’ atau ‘ayam kampung golek’, ya?

Permisi. Wassalam.

Semoga sekalian kenalan di alam siber diberikan hidayah, diberkati dan dirahmatiNya sepanjang menunaikan ibadah di bulan penuh baraqah ini. Ameen.

foto: Suhail & Aisyah yang comel lote. Si abang bermain dengan si adik ketika orang lain berbuka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan