Sebulan pulang ke Tanah Bonda, kami satu famili (kecuali Ney-ney yang mengikuti perkhemahan KRS) menghadiri kenduri di Shah Alam - perkahwinan anak seorang jemaah haji yang tinggal dalam satu khemah dengan Yang Tersayang semasa di Mina. Janji diikat lebih awal, maka sebahagian rakan sebilik semasa di Tanah Suci Mekah dan Madinah berkumpul di rumah Haji Rosli sebelum ke majlis berkenaan. Kamal (dengan isteri) dan Azmi (solo, kerana isterinya ada komitmen kerja). Kassim tidak dapat hadir kerana baru sahaja pindah kerja di Johor Bharu. Dua yang lain dikatakan akan sampai lebih lewat, dan akan terus ke rumah kenduri.
Enak sekali sarapan yang disediakan. Selain kuih-miuh, kami dijamu nasi lemak dengan lauk spesil udang goreng tepung. Kenyang bukan main. Hinggakan ketika menghadiri jamuan berkenaan sebahagian kami hanya menjamah kuih sahaja. Saya satu famili pula memang tidak mampu makan nasi lagi kerana selepas itu akan menghadiri satu lagi kenduri (waris sebelah Yang Tersayang) tidak jauh dari situ.
Sewaktu sudah bersedia untuk beransur, muncul Abang Razi dan isterinya Kak Jah. Terkejut juga saya. Abang Razi nampak begitu ceria dan kemas penampilannya. Dia tidak lagi duduk di atas kerusi roda! Tiada tongkat pula!
Rancak dia menegur dan bersalaman, bergurau-senda dengan rakan-rakan yang sebenarnya hanya dikenali ketika di Tanah Suci. Berbisik hati saya: inilah hikmah besar ibadah Haji. ‘Bayangan Cinta Kaabah’ amat luas tebarannya, jauh menyusup ke lubuk hati. Kami yang tidak pernah kenal sebelum ini, menjadi begitu mesra seperti kawan lama belaka.
Tentunya yang lebih menyentuh jiwa, bagaimana mungkin seorang yang hanya berkerusi roda, dan sangat memerlukan tongkat, boleh berjalan seperti biasa ketika sudah pulang di Tanah Bonda? Allah Maha Perkasa. Di bawah kekuasaanNya segala yang ada di langit dan di bumi. Walaupun jalannya agak tempang, dan sebelah tangannya masih kurang upaya, Abang Razi sudah boleh berjalan tanpa tongkat. Malahan dia mampu memandu dari Kajang hingga ke Johor Bharu.
Kira-kira enam bulan selepas itu, sewaktu saya di Terengganu atas urusan kekeluargaan, saya menerima beberapa kali ‘miss call’ daripada Haji Kamal dan Haji Rosli. Hati mulai rasa tidak sedap. Ini pasti ada kaitan dengan rakan-rakan yang dikenali di Mekah. Apabila saya memanggil balas, kedua-duanya meminta kepastian pula daripada saya – betul atau tidak Abang Razi sudah meninggal!
Malamnya, barulah saya dapat pengesahan. Sebenarnya, Kak Jah sudah pergi untuk selama-lamanya. Saya mendapat khabar, malam itu juga rakan-rakan yang rapat dengan Abang Razi dan Kak Jah datang menziarah. Sebahagiannya ada bertemu Yang Tersayang, dan berkirim salam. Segera teringat, ketika di Mekah, Kak Jah pernah menyatakan khuatirnya kalau-kalau dia yang pergi dulu menyahut panggilan Yang Maha Pencipta. Dia bimbang tiada sesiapa yang boleh diharap akan menjaga suaminya.
Kapal terbang dari Darul Iman mendarat di LCCT hampir pukul sepuluh. Sampai di rumah sudah hampir sebelas setengah. Saya menangguh hasrat untuk menziarah. Saya memasang niat mahu ke sana pukul tujuh pagi esoknya.
Ketika sampai di rumah teres dua tingkat itu, saya batalkan niat untuk membaca Yaasin dan berdoa di dalam rumah. Tiada ruang untuk duduk. Waris-warah dan kenalan yang perempuan memenuhi ruang. Melihat saya teragak-agak di depan pintu, Abang Razi mempelawa saya duduk di sebelah di atas kerusi panjang yang bersandar di luar pintu gelongsor. Selepas membaca Yaasin, saya berbual-bual dengannya. Apabila ada saudara-mara yang datang, saya mohon apologi untuk meminggir. Abang Razi memegang lengan saya. Memek mukanya memberikan isyarat supaya saya duduk terus di situ saja.
Jiran yang datang ada yang bertanyakan siapa saya. Jawapannya mudah: ‘rakan sebilik sewaktu di Mekah’. Sebenarnya fakta sudah terseleweng. Saya rakan satu khemah Abang Razi ketika di Arafah dan Mina. Di Mekah dan Madinah, kami berlainan bilik. Barangkali dia mahu memberikan jawapan yang mudah dan ‘boleh mati ayat’ kepada sesiapa yang musykil.
Sewaktu bersedia untuk solat jenazah di masjid, seorang kenalan saya (dari khairiah surau yang sama dengan saya) mendekati dan berbisik: “Haji ini, adik-beradik dengan Razi?” Saya faham kenapa dia bertanya begitu. Kerana dia nampak saya duduk lama di samping Abang Razi di rumahnya. Kenalan saya itu hanya berlegar di luar pagar bersama ramai penziarah yang lain. Saya tidak menjawab, hanya tersengih sahaja. Lagipun, bilal sudah iqamat.
Ketika di tanah perkuburan, seorang kenalan yang lain bertanya lagi soalan yang lebih kurang sama. Kali ini jawapan saya, serupa yang diberikan Abang Razi: “Kami rakan sebilik sewaktu di Mekah”.
Saya tidak tunggu imam membaca talqin. Saya mengambil keputusan untuk balik ke rumah. Entah mengapa rasa terharu datang menguasai diri ketika melihat Abang Razi duduk di atas kerusi lipat, ralit memerhatikan anak-anaknya dan orang lain menguruskan liang lahad Kak Jah. Sebak deras sungguh memenuhi dada.
Sewaktu berjalan berseorangan menuju ke kereta, datang lintasan berkali-kali: “Hari ini aku menyaksikan perjalanan terakhir ‘cinta fizikal’ seorang wanita. Cinta itu sudah hilang di dalam bumi. Tapi aku yakin, cinta yang tertanam di dalam jiwanya tidak berkubur bersama Kak Jah. Cinta itu masih menyala-nyala dalam diri Abang Razi. Cinta itu kukuh sebati dalam sanubarinya, seperti ‘Bayangan Cinta Kaabah’ yang tidak akan hilang sampai akhir zaman!
Permisi. Wassalam.
foto: persahabatan yang terjalin sejak dari Madinah. Rakan sebilik saya (Haji Rosli dan Haji Azmi) sedang menikmati teh Arab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan