Karya

Karya

Isnin, 29 Ogos 2011

BAZAAR RAMADHAN (3): “Kalau tak jual Red Devils, saya tak datang dah!”

Sepanjang Ramadhan ini saya jarang sekali pergi membeli kuih-muih atau lauk-pauk. Jika beli pun hanya gerai yang memang sudah biasa dikunjungi sewaktu Ramadhan lepas. Atau alternative yang lebih baik, membeli sahaja juadah berbuka atau bekalan untuk sahur di restoran yang diketahui umum sedap masakannya di Bandar Baru Bangi ini.

Bazaar yang saya kunjungi ialah di kawasan parkir Kompleks PKNS. Ini merupakan yang terbesar di sini. Pada Ramadhan tahun sudah, terdapat dua gerai yang diusahakan selebriti. Tauke satu daripadanya ialah Samsul Ghau-ghau. Saya tidak pernah singgah di gerainya. Tapi pernah ternampak kelibat taukenya di situ. Di luar Ramadhan, saya dan famili ada beberapa kali jamu selera di Restoran Bonda (berhampiran Hentian Kajang), milik selebriti itu juga. Gerai selebriti yang satu lagi, taukenya Ustaz Fauzi. Pendakwah dan moderator regular rancangan al-Kuliyyah TV3.
Ramadhan kali ini, saya lihat tiada gerai-gerai yang berkenaan. Mungkin beroperasi di bazaar yang lain.

Bersandarkan situasi tahun lepas, saya perhatikan, walaupun selebriti terkenal membuka gerai, tidaklah pula gerai mereka mendapat sambutan terhangat di bazaar berkenaan. Situasi tahun lepas dan tahun ini serupa sahaja. Yang paling top ialah gerai ayam golek, letaknya di kepala simpang hujung Kompleks PKNS. Seperti tahun lepas, kalau berhajat nak beli ayam golek (saya tak pasti ayam dara, ayam bandar atau ayam kampung) di situ, timing kena betul.

Tahun lepas dapat dua kali saya membeli dua ekor ayam golek di situ. Tahun ini, entah kenapa, tidak upaya pula mendapatkannya. Tiga kali pergi mendekat, tiada rezeki. Kalau pergi pukul 3.30 jadi terlalu awal. Arang baru dicucuh api. Ayam yang diikat dibatang besi masih tersandar di tempat membakar. Datang pukul 4.00, sudah sepuluh orang beratur. Jika hari minggu, kalau singgah pada waktu itu, sudah ada dua baris pelanggan menunggu.

Ramadhan kali ini saya tidak bersungguh-sungguh sangat nak beli ayam golek itu. Walaupun dah masuk barisan, lihat panjangnya dan anggar masa (kira-kira sejam) yang diambil untuk dapat seekor ayam golek, saya akan mengundurkan diri.
Semangat yang kurang itu ada dua sebabnya. Pertama, saya bertekad kurangkan makanan berat ketika berbuka. Mahu betul-betul kontrol paras gula dalam darah. Mahu buat balik amalan bagus ketika menunaikan Haji 2010. Waktu itu, dalam tempoh sebulan berat turun lapan kilogram!

Tahun ini, makan nasi tidak masuk senarai pilihan sewaktu berbuka. Bahkan nasi hanya jadi hidangan utama jika ada sanak-saudara datang berbuka sekali atau Dek-dek pulang di hujung minggu dari kolej. Kedua, keracunan makanan yang saya alami seminggu sebelum berpuasa. Selepas makan pari bakar di sebuah restoran, saya muntah dan cirit-birit teruk sekali. Seperti akan terkeluar segala isi perut dibuatnya. Berulang ke tandas tidak terhitung lagi. Lembik habis dibuatnya. Manakala Yang Tersayang pula letih-lesu terkena keracunan makanan akibat makan ikan bakar pada hari kedua puasa.

Itu yang menjadikan saya agak serik untuk membeli makanan yang terjual di restoran atau bazaar Ramadhan tahun ini. Apatah lagi setelah tersebar berita kecelakaan menimpa sebuah famili akibat keracunan makanan, dibeli daripada bazaar Ramadhan (bukan di Bangi).

Lima hari sebelum bertolak ke kampung, mendesak rasa ingin merayau, melihat-lihat suasana bazaar Ramadhan yang agak lama ditinggalkan.

Saya tidak mendekat pun gerai menjual ayam golek. Dari jarak dua ratus meter sudah ternampak kira-kira 20 orang sedang beratur di situ. Ketika itu baru jam 4.00 petang.

Lantas saya merayau ke gerai-gerai lain yang tidak pernah saya singgahi. Tertarik sungguh dengan sebuah gerai menjual pelbagai air – oren, soya, bandung, tembikai, laici, cincau dan jagung. Kreatif sekali taukenya yang bernama Din. Setiap bekas air yang berlainan warna kandungannya dilabelkan dengan nama-nama yang unik. Jagung Ori ‘Harimau Malaya’. Tembikai-laici ‘The Red’. Bandung-cincau “Red Warriors’. Hot Soya ‘Real M’. Oren marvellous “D’ Orange”. Semuanya itu merujuk kepada pasukan bola belaka.

Kerana mahu rakam keunikan itu saya guna diplomasi, beli air bandung-cincau “Red Warriors”. Maka dapatlah saya tangkap gambar gerai Din dan produk spesilnya. Walaupun telan liur tengok merahnya Tembikai-laici ‘The Red’, tapi tidaklah terbuka hati untuk membelinya. Kerana di bawahnya tertulis: Liverpool!

Maaflah Mizi (sahabat di Kuantan) dan Hadi (pemuda Kajang yang tinggal di Ireland) - kedua-duanya peminat setia Liverpool.

Walaupun kita sama-sama minat jersi warna merah, Red Devils dan The Red tak boleh ‘campur’!

Sempat saya berseloroh dengan Din sebelum berlalu: “Kenalah juga jual ABC Juara ‘The Red Devils’! Esok, kalau tak jual ABC Red Devils, saya tak datang dah!”

Permisi. Wassalam.

foto 1: ayam golek yang laris.
foto 2: ABC Juara 'Red Devils' saja yang tak ada!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan