Karya

Karya

Isnin, 5 September 2011

CERITA MELAYU (6): ‘SARAH KAHWIN DENGAN MELAYU, TAU?’

Rasa-rasanya demam raya kita semua sudah kebah, kecuali mukmin yang masih meneruskan puasa enam. Maka akan ada raya lagi bagi mereka – Hariraya Enam. Zaman budak-budak hingga mencecah tamat tingkatan enam, saya masih menyertai keluarga merayakan hari kelapan bulan Syawal itu. Walaupun tidaklah menyempurnakan puasa sunat enam hari berturut-turut selepas hari pertama Eidulfitri. Apabila sudah masuk kampus, dengan jadual mengaji dan tuntutan yang lain, Raya Enam tidak lagi dapat diraikan. Seminggu lepas raya sudah kembali ke Kotaraya Kuala Lumpur.

Apabila punyai famili sendiri, saya tidak pernah lama beraya di kampung. Kali ini kerana ‘tak cukup cuti’ maka raya di kampung tidak pernah lajak hingga ke raya enam. almaklum. Selepas mendirikan rumahtangga, saya belum pernah bekerja di Darul Iman. Mastautin di Kedah, Kelantan, dan Kuala Lumpur. Jadi cuti selalu mudah kecut.

Kali ini serupa juga. Hari keempat Syawal sudah berada di Bandar Baru Bangi. Tuntutan anak-anak gadis perlu dipenuhi. Dek-dek perlu ke kolej sebelum Isnin. Syai perlu membuat persediaan untuk praktikal. Manakala Ney-ney pula ‘memaksa’ dirinya untuk membuka zip beg sekolah yang terdampar lama di kaki katil. Ada kerja sekolah yang perlu dibereskan segera.

Kali ini Bibik sudah tiada. Sudah empat tahun membantu di rumah kami, enggak bisa kerja lagi dia di sini. Katanya suami tidak izin. Ugh, mungkin sudah kaya dia. Bawa pulang ke seberang duit raya total tujuh juta rupiah.

Lantas, hujung minggu ini, anak-anak gadis yang bertiga itulah membereskan sebahagian kerja-kerja yang selama ini Bibik sempurnakan. Mengemaskan bilik, lipat pakaian, menggosok, menyapu dan mop lantai, buang sampah, membasuh pakaian. Tidak mudah rupanya menguruskan hal-hal domestic. Cuma nasib baiknya kami punyai tiga anak gadis. Banyak kerja rumah bisa dibereskan mereka secara bergiliran walaupun ‘bertolak-tolakan’ juga!
Sewaktu kami beraya pada Sabtu (lima Syawal), Dek-dek tinggal di rumah. Dia sukarela mahu membereskan kerja mencuci dan menjemur pakaian. Katanya sudah penat beraya di kampung. Mahu berkemas-kemas sebelum kembali ke kolej.

Selain beraya di rumah bapa saudara, ipar-duai, adik-beradik, dan sahabat-handai yang tinggal di sekitar Bandar Baru Bangi, terlajak juga kami ke Seremban.

Bersama sahabat saya Ir Puzi dan isterinya Dr Nurbaya, kami mengunjungi rumah Dr Suhaimi di Ampangan, Seremban. Lelaki tinggi dan segak ini asalnya dari Kg Pandan, merupakan seorang pakar O&G di Pasir Gudang. Isterinya (Azlina) masih tinggal di UK bersama anak-anaknya. Sebenarnya, rumah itu milik mentuanya. Ia jadi pangkalan raya Dr Suhaimi dan familinya. Azlina dan anak-anaknya (Sarah dan Hazim) pulang cuti Musim Panas selama sebulan di Tanah Bonda. Langsung beraya di sinilah mereka.

Kerana sudah lama tidak beraya bersama-sama (sejak tujuh tahun meninggalkan UK – boleh baca artikel “Mentari Eidulfitri sejuk di Cobridge”), maka Yang Tersayang dan Dr Nurbaya berpakat rancang beraya di rumah mentua Dr Suhaimi di Ampangan.

Syai pula terjua sekali kerana bisa ketemu dan beraya dengan Sarah. Kedua-duanya berkawan baik ketika kami mastautin di Stoke-on-Trent, England. Anak gadis Dr Suhaimi itu sedang studi di Scotland dalam bidang perakaunan. Dua tahun lagi dia akan tamat pengajiannya. Katanya mahu kerja di Tanah Bonda.

Selesai bergambar ramai-ramai di depan laman rumah, saya mengusik Sarah. “Kahwin dengan orang Melayu, tau?”

Sambil tersenyum, dalam pelat ala-ala ‘Mek Salih Scotland’ Sarah menjawab: “Memanglah, uncle!”

Permisi. Wassalam.

foto: gadis Melayu dari Scotland di samping gadis Kajang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan