Karya

Karya

Rabu, 7 September 2011

CERITA MELAYU (8): “ULEK MAYANG MELENGGOK DI GONG KAPAS”

(nota awal:posting kali ini adalah susulan daripada “Tiada Melayu di wajah mereka”)


Lima belas minit selepas 12 tengahari barulah Aminuddin dan famili berundur kerana mahu beraya di Pulau Rusa (kira-kira lima minit berkereta dari Padang Paloh). Petang kemarin mereka sudah ke sana. Malangnya terpaksa berpatah balik kerana jem teruk. Tak dapat masuk simpang ke Pulau Rusa kerana terlekat hampir satu jam. Laluan ke kampung ini masih jalan lama dan sempit. Jika berselisih dua buah kereta, satu mesti meminggir dari atas jalan.
Kami tidak pasti Aminuddin berjaya akses jalan masuk ke Pulau Rusa kali ini. Besar kemungkinannya akan gagal lagi. Ketika kami keluar dari simpang Padang Paloh ke jalan besar (mahu segera ke rumah Pok Lang di Gong Kapas), tengahari itu, keadaan jalan sudah tersumbat. Terpaksa kami lari ke jalan lain, membelok masuk ke Kampung Paloh Sungai Kiat.

Sampai di rumah Pok Lang sudah 45minit lepas jam dua belas. Jika bukan hari raya, paling lama hanya memakan masa lima belas minit.

Syukur sekali apabila diberitau anaknya, Pok Lang ada di rumah. Dia tidak menziarah ke mana-mana hari itu kerana perutnya kurang sihat. Bahkan saya menunggu (tentu sambil makan-makan) hampir 20 minti barulah dia menjengah di meja makan.

Buka bicaranya tentang perut yang meragam. Lanjut ceritanya tentang kondisi dirinya selepas menjalani pembedahan jantung. Kerana ‘hal-ehwal kesihatan dan kesakitan’ termasuk dalam bidang profesion Yang Tersayang, saya jadi tukang dengar, angguk dan senyum sambil hirup kopi secawan.

Sewaktu kisah ‘kesihatan dan kesakitan’ sudah kendur, saya pun mencelah. Meluahkan keterujaan yang tersimpan lama dalam dada. Tidaklah direct saya menyebutnya. Sengaja korner dulu kepada anak sulung saya.
“Syai, inilah pencipta lagu Ulek Mayang. Seniman hebat ni! Masa mudanya segak sungguh!” Saya muncung mulut serentak dengan telunjuk menuding ke arah potret yang digantung di ruang tamu.

Pok Lang (Mazlan Embong) ini bekas guru. Sudah lama pencen. Usianya sudah cecah tujuh puluh. Hebatnya kerana dia bukan guru biasa-biasa. Zaman mudanya (akhir 60-an hingga pertengahan 70-an), dia adalah aktivis budaya (penari dan penggubah lagu) yang aktif dalam Kelab Darul Ehsan.

Selain itu, dia seorang ahli politik yang disegani pada zamannya, lantang menyuarakan ‘hasrat rakyat’. Kemuncaknya, Pok Lang pernah bertanding dalam PEMILU pada tahun 70-an.

Ketika saya mengunjukkan sekeping CD “Dendang Rakyat Terengganu”, nampak keharuan terzahir di wajah guru dan insan seni yang dedikasi ini.

CD ini mengandungi sedozen lagu tradisional rakyat Terengganu, termasuk yang digubah oleh Pok Lang.

Ketika saya usulkan musykil tentang karya ciptaannya, sambil lambat-lambat merenung lagu-lagu yang tersenarai, Pok Lang segera menuding tiga judul: Ulek Mayang, Ayun Buai Kokek, dan Pintal Tali.

Seingat saya, sejak belum sekolah lagi saya sudah mendengar dua lagu yang terawal itu.

“Ayun Buai Kokek” itu bisa sekali dijadikan ejekan atau sindiran kepada rakan sebaya atau adik-beradik yang lokek (kedekut) – tidak mahu berkongsi permainan, makanan atau apa-apa sahaja milik mereka dengan orang lain. Kekal dalam ingatan sejak zaman budak-budak lagi rangkap yang mengandungi rasa dukacita dan sindiran sekaligus itu: ‘Ayun buai kokek, Kokek ulu golok; Hok dia lokek, Hok orang dia hendok!’

“Ulek Mayang”? itu sudah jadi identiti Darul Iman. Sudah sebati dengan rakyat Terengganu. Semasa budak-budak dulu, lagu berhantu ini pernah saya dengar dinyanyikan oleh seorang bomoh wanita. Ketika itu bomoh berkenaan merawat Aweng (adik saya) yang diserang demam panas (sawang). Meremang bulu roma, besar rasanya kepala apabila sang bomoh bergendang di lantai, melintuk-lintukkan seikat mayang, dan melagukan bait-bait “Ulek Mayang” – memanggil roh tujuh puteri segera turun membantunya!

Berkesan tidak perawatannya saya tidak ingat dah. Itu kisah lama. Lagipun saya tidak dibenarkan duduk dekat-dekat melihat sang bomoh menurun.

Yang saya pasti (ini diceritakan oleh Chek – arwah ibu saya), Aweng akhirnya dihantar ke hospital di Kuala Terengganu. Sihat-segar dia sampai sekarang. Lahir sebagai graduan undang-undang yang berjaya. Dah lama jadi perunding hal-hal legal. Bahkan pada zaman kemuncak kerjayanya, sebahagian tertuduh yang dianggap hampir pasti ke tali gantung pun, ada yang terlepas kerana handal dan bijaksananya Aweng.

Datang bermain-main dalam fikiran: handalnya dia mungkin kerana didampingi roh puteri yang tujuh itu sejak kecil! Puteri yang turun merawatnya ketika Aweng demam panas!

Agaknya, jika saya bawa Aweng bertemu Pok Lang, bisa menjelma semua tujuh puteri itu di rumah guru, budayawan dan ahli politik yang banyak baktinya kepada masyarakat.

Mungkin juga Pok Lang tidak mengizinkan saya mengatur pertemuan sebegitu. Saya ini bernasib baik dilayannya berbual-bual tentang masa silamnya. Sudah lama saya kenal dia – sudah 20 tahun.

Ketika di dalam kereta menuju ke surau berdekatan untuk solat Zohor, Pok Lang ada menyebut betapa kisah silamnya itu (jadi seniman dan ahli politik) sudah lama tidak difikirkannya lagi. Dia tidak anggap itu suatu kehebatan yang perlu dibanggakan. Katanya, itu hanyalah ‘suatu persinggahan’ dalam hidupnya, yang tidak perlu dikenang lagi.
Dia lebih gemar bicara soal ‘kesihatan dan kesakitan’, tentang kesementaraan hidup, serta hal-hal berkaitan ibadah harian.

Malahan matlamatnya yang terkini: solat 40 hari berturut-turut secara berjemaah di surau atau masjid. Dia sudah amat hampir mencapainya.

Ketika kembali membelek-belek fakta yang tertulis pada kertas bekas CD, tidak dinyatakan apa-apa info tentang Pok Lang. Begitu juga penggubah atau penulis lirik lagu-lagu lain yang termuat dalam CD kompilasi ini. Yang ada, biodata ringkas mengenai dua orang penyanyi – Hafsah Yusof dan Mustafa Mohd.

Molek sungguh kalau IPTA di Darul Iman (Universiti Malaysia Terengganu atau Universiti Sultan Zainal Abidin) mengambil inisiatif menerbitkan sebuah buku terkandung di dalamnya kisah ‘perjalanan seni’ budayawan rakyat seperti Pok Lang dan rakan-rakan seangkatannya. Sebagai penghargaan untuk budayawan yang berkarya atas minat yang tinggi dan kasih mendalam terhadap seni budaya tempatan. Kerja seni dilakukan secara sukarela. Bukan kerana diumpan gumpalan wang, dan tidak sekali-kali kerana mahu mengejar glamur.

Permisi. Wassalam.

foto 1: Segaknya seorang budayawan.
foto 2: Mengimbas masa lampau
foto 3: aktivis budaya Kelab Darul Ehsan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan