Nota awal: Atas permintaan beberapa kenalan supaya saya menulis hal-hal berkaitan penghasilan karya kreatif, saya akan memulakan catatan di bawah judul umum "Idea di atas Kertas". Ini bukan bertujuan mengajar cara menulis atau menghasilkan karya. Ini merupakan perkongsian pengamalan saya sebagai pengkarya, dan pengalaman mengajar sastera di sekolah serta tutor subjek 'Retorik' di IPTA. Moga sekalian kenalan di alam siber mendapat manfaat. Saya mulakan dengan buku cerita "Sakeena Penjual Roti", yang baru saja diterbitkan - 5 OGOS 2011)
Seperti lazim, apabila sudah bersedia untuk menghantar manuskrip kepada editor Buku Prima, saya akan menghubungi Zuan Asura. Selepas telefon menyatakan tujuan yang dia sudah faham (tentang cara kerja saya), akan menyusul pula e-mel terkepil sinopsis dan deskripsi watak-watak utama. Paling lama dua hari Zuan Asura akan menyiapkan lakaran pensil. Apabila saya bersetuju (memang selalunya tidak bantah atau minta pindaan besar), Zuan akan memasukkan warna dan perincian.
Tapi kali ini, nampak musykil pula dia: “Nak tulis cerita tentang budak miskin ke?”
Saya tahu dia belum membaca sinopsisnya lagi. Saya ketawa kecil. “Kalau macam itu, saya akan e-mel manuskrip penuh."
Kerana karya saya yang terbaru merupakan buku cerita kanak-kanak, panjangnya tidak seberapa. Respon daripada Zuan sangat bagus. Dia sangat sukakan cerita itu. Baru dia tahu, Sakeena bukan budak miskin seperti yang disangkakannya (sinopsis asal saya turunkan di bawah sebagai nota kaki).
Respon daripada editor Buku Prima (Nurfilzah Wahidon - yang mengendalikan manuskrip Waris Kalung Naga) sangat memberangsangkan. Daripada reaksi spontan apabila saya mengunjukkan proposal dan manuskrip, saya lihat lukisan kulit depan oleh Zuan Asura sangat memikat hatinya. Saya akui, dalam bab melukis dan mewarna, Zuan memang handal.
Bagaimana tercetus ilham “Sakeena Penjual Roti”?
Pertamanya: bukan cetusan ilham yang berlaku, tetapi ‘desakan supaya mencari ilham oleh sang editor’!
Selepas Waris Kalung Naga (WKN), saya menghantar manuskrip kedua (kepada Nurfilzah juga). Karya ini (judulnya masih perlu dirahsiakan) sebenarnya merupakan suatu ‘prequel’ kepada novel remaja WKN. Cuma (atas maklum balas pelbagai pihak) kali ini gaya bahasa dan olahan cerita tidak seperti 'novel jantan' itu lagi. Jika novel sarat aksi itu ditujukan kepada khalayak sasaran pelajar sekolah menengah atas, manuskrip kedua itu disasarkan kepada murid-murid sekolah rendah (darjah empat hingga enam).
Ketika menerima manuskrip berkenaan (saya labelkannya sebagai 'novel motivasi remaja') editor menyebut tentang keperluan mendesak manuskrip buku cerita kanak-kanak. Katanya penerbit mahu lebih agresif dalam domain itu. Bersimpang-siur, silang-menyilang lintasan dalam fakulti kepala cuba membentuk konsep cerita seperti kemahuan sang editor. Saya ‘panjat gunung’ dan masuk bertapa ke dalam ‘gua ilham’.
Sebulan selepas itu, ketika menghadiri suatu sesi perbincangan di Grup Buku Karangkraf (antara sekumpulan penulis dengan pasukan editorial pimpinan Sri Diah), saya hulur kepada sang editor manuskrip terbaru yang saya fikir dapat mentafsir dan menterjemahkan ‘kehendak-kehendak’ editor. Riak air mukanya yang benar-benar ceria, lapang sungguh dada saya!
Permisi. Wassalam. Kita sambung dalam pertemuan lain.
NOTA KAKI
ilustrasi 1: lakaran pertama kulit depan Sakeena Penjual Roti.
ilustrasi 2: Kulit depan yang dijilid bersama manuskrip yang dihantar kepada editor.
sinopsis asal “Sakeena Penjual Roti” seperti terkepil dalam proposal berkenaan.
(Sakeena sangat gemar makan roti, kerepek ubi dan keropok yang dijual oleh Pak Syed Ali – seorang penjual roti bermotosikal yang selalu datang ke Taman Camar Indah (kawasan perumahan dihuni golongan profesional). Bukan itu sahaja, malahan Sakeena berangan-angan menjadi seorang tauke roti yang mempunyai kilang sendiri. Ketika kakaknya mengadakan jualan pada hari sukan sekolah, Sakeena turut menjual roti di gerai kakaknya! Semasa cuti semester, dua orang sepupu Sakeena tinggal di rumahnya kerana ibu dan bapa mereka pergi ke Australia. Kerana abang-abang dan kakaknya menyertai pelbagai program cuti sekolah, hanya Sakeena dan pembantu rumah (Bibik Suryanti) menjadi teman Walid dan Eihaab. Budak-budak lelaki berumur lima dan tiga tahun ini ada karenahnya sendiri. Walid liat melayan adiknya, dia hanya mementingkan permainan komputer online. Manakala Eihaab pula suka kontrol televisyen untuk dia seorang sahaja sepanjang hari. Pada hari kedua Eihaab mengamuk kerana teringatkan ibu dan ayahnya. Eihaab tidak mahu makan dan minum tetapi dia dambakan roti yang dijual Pak Syed Ali! Kerana hujan lebat dan Pak Syed tidak datang, maka Sakeena cuba berlakon sebagai penjual roti untuk memujuk sepupunya itu!)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan